Lumrah bagi manusia bila mendapat panggilan alam, kita perlu ke tandas untuk melunaskan hajat yang terpendam. Dan biasanya selepas selesai beristinjak, kita akan menggunakan air dan benda kering (kebiasaannya tisu) untuk membersihkan alat sulit atau dubur. Tetapi di Barat, jika anda menggunakan air untuk mencuci alat sulit atau dubur selepas selesai melepaskan hajat, maka anda akan dianggap pelik bin ajaib. Usah terkejut kerana penggunaan tisu merupakan sebahagian daripada anekdot tabiat penggunaan bilik air Barat yang menghairankan ini.

Tisu tandas vs air

Mungkin atas sebab itulah, perkara ini menjadi bahan lawak pelawak Mesir, Bassem Youssef semasa membuat persembahan di Britain pada Jun lepas. Beliau berkata, “Sebagai orang Arab, kami sentiasa memastikan ada tiga barang yang dibawa setiap kali mengembara iaitu pasport, sedikit wang tunai dan bidet kecil yang boleh dibawa.” Dalam persembahan sama, Bassem turut menayangkan sebuah penyembur kecil sebagai prop. Beliau menambah, “Saya tak faham. Kamu semua (Britain) merupakan salah satu daripada negara termaju di dunia. Tetapi bila membabitkan soal belakang (punggung), kamu memang ke belakang.”

Rajah 1: Contoh tandas Barat yang menggunakan tisu sebagai alat pencuci alat sulit.

Menerusi jenaka ini, sudah pasti ramai bersetuju dengan pandangan Youssef. Ramai masih tertanya-tanya apa kejadah orang-orang Barat lebih suka membersihkan dubur mereka dengan tisu berbanding membersihkannya dengan air. Hakikatnya, air dilihat jauh lebih elok bagi memastikan alat sulit bersih dari semua kotoran.

Dan walaupun tisu tidaklah sekasar seramik (digunakan oleh orang Yunani) atau tangkai jagung (era kolonial Amerika), ramai bersetuju air lebih baik berbanding tisu yang paling lembut digunakan semasa beristinjak. Jika tidak, kenapa masih banyak negara yang masih memastikan akses air sentiasa ada untuk tandas setiap kali hendak digunakan. Malah, ‘penyembur punggung’ yang ditayangkan Bassem biasa digunakan di Finland.

Tetapi di dunia Barat, tisu masih tetap juara di hati mereka. Dan ini kadang-kadang menyusahkan pengguna tandas terutama yang beragama Islam atau dari negara-negara sebelah timur. Dalam satu kajian berkenaan mentaliti budaya dan sejarah berkaitan dengan kemudahan tandas, penyelidik kerajaan Australia, Zul Othman mendapati sesetengah warga Muslim Australia beradaptasi dengan tandas gaya barat dengan menggunakan tisu dan cucian air dengan membawa bidet kecil atau secangkir air sebagai medium cucian.

Sementara Astha Garg, seorang penyelidik data dari Navi, Mumbai mendedahkan dia terpaksa membawa botol plastik atau cawan setiap kali hendak melepaskan hajat di tandas-tandas Amerika terutama jika melawat rumah rakan-rakannya. Zul turut mendapati orang Barat terlalu cenderung dengan tisu sehinggakan seorang rakannya semasa tahun-tahun pengajiannya di Sheffield, UK menggunakan duit kertas 20 paun sebagai alat pengesat. 20 paun sebagai alat cucian alat sulit!

Melihat kecenderungan mereka terhadap tisu tandas, tidak hairanlah mengapa Amerika Syarikat merupakan pengguna tisu tandas nombor satu di dunia. Dan ini juga merupakan satu tabiat yang dilihat tidak mesra alam dan membazirkan wang semata-mata. Tambah Garg, “Bukan satu perkara baru sekiranya tisu tandas dilempar ke dalam mangkuk tandas. Selain memakan kos kewangan dan menjejaskan alam sekitar, perbuatan sebegini ‘mencekik’ tandas (menyebabkan ia tersumbat). Pada saya, satu daripada empat tandas yang saya gunakan ada masalah perpaipan.”

Duduk atau cangkung

Tetapi jika anda rasa penggunaan tisu saja yang pelik, ini satu lagi fakta pelik untuk anda. Usah terkejut setiap kali anda hendak melepaskan hajat di mana-mana tandas dunia Barat, anda dapati kebanyakan tandas dalam bentuk format duduk dan bukan format bercangkung. Dan bagi yang sudah biasa bercangkung, ini memang menjadi satu masalah besar. Masalahnya, orang Barat lebih gemar duduk semasa melepaskan hajat berbanding bercangkung walaupun dua pertiga penduduk dunia memilih bercangkung semasa menggunakan tandas.

Rajah 2: Dua pertiga penduduk dunia memilih cangkung semasa melepaskan hajat di tandas sebegini walaupun dianggap pelik oleh orang Barat.

Rajah 2: Dua pertiga penduduk dunia memilih cangkung semasa melepaskan hajat di tandas sebegini walaupun dianggap pelik oleh orang Barat.

Jika anda tanya mereka kenapa mereka memilih duduk, jawapan yang biasa anda dengar ialah ia bersifat logik dan memudahkan. Tetapi tidak ramai tahu dalam satu kaji selidik yang dijalankan di Britain, majoriti responden wanita berpandangan mereka lebih rela bercangkung daripada membiarkan punggung mereka terlalu lama di tandas duduk. Ini menunjukkan tandas cangkung dilihat jauh lebih baik berbanding apa yang dinyatakan selama ini.

Dan dari segi anatomi, bercangkung juga merupakan satu kedudukan yang baik kerana membenarkan otot bahagian alat sulit yang terlibat menjadi kendur sekaligus membenarkan najis keluar dengan mudah dan lancar. Pergerakan badan juga tidak banyak dan lebih cepat berbanding menggunakan tandas duduk. Tetapi memandangkan menggunakan tandas duduk ini mengambil masa lama, Barat terutama Amerika Syarikat memanfaatkan ia sebagai satu bentuk hiburan. Bagi mana-mana rakan ekspat di sebelah sana, tak sah jika anda melihat buku-buku bacaan semasa duduk di tandas membabitkan cerpen, info trivia atau jenaka.

Tetapi bagaimana hendak memuaskan hati semua tentang isu duduk lawan cangkung ini? Di Barat, sesetengah syarikat mula menghasilkan satu bentuk kompromi di mana mereka menghasilkan alat yang membolehkan pengguna bercangkung walaupun semasa menggunakan tandas duduk. Salah satu daripadanya ialah Squatty Potty. Walaupun ia menjadi bahan jenaka pelawak-pelawak Amerika dalam rancangan seperti Saturday Night Live, syarikat pengeluar berjaya meraih pendapatan tahunan sebanyak US$33 juta dan saluran perniagaan CNBC menggelar bangku kaki itu sebagai satu produk yang menjadi bualan hangat.

Bagi Zul Othmanpula, solusinya boleh dilihat di kampung halamannya, Malaysia. Bagi kita, bukan sesuatu yang asing melihat dua jenis tandas disediakan oleh pengurusan bangunan sama ada tandas cangkung atau tandas duduk. Dia berkata, “Di kawasan pusat beli-belah, pihak pengurusan selalunya memperuntukkan satu pertiga kawasan tandas untuk tandas cangkung.” Kajiannya turut mendapati warga Muslim Australia tidak mempunyai isu menggunakan tandas cangkung atau tandas duduk tetapi yang pasti, mereka masih nakkan air berbanding tisu tandas.

RUJUKAN:

1. Blasdel, Alex. (2018). Bowel movement: the push to change the way you poo. The Guardian. https://www.theguardian.com/news/2018/nov/30/bowel-movement-change-the-way-you-poo-squatty-potty-toilet

2. Ro, Christine. (2019). The peculiar bathroom habits of Westerners. BBC. http://www.bbc.com/future/story/20191004-the-peculiar-bathroom-habits-of-westerners


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.