Tabiat Mencederakan Diri Sendiri

537

Dalam proses kita untuk menjadi seorang dewasa iaitu semasa dalam fasa hidup kita yang membesar, iaitu daripada fasa kanak-kanak kepada remaja, dan daripada fasa perubahan  remaja kepada orang dewasa, kita sedia maklum bahawa perubahan fasa ini mempengaruhi gaya dan tingkah laku kita kadangkala. Dari segi emosi, perubahan fizikal dan juga reaksi kepada percakapan dan perlakuan orang lain, fasa-fasa ini amat penting dalam membentuk personaliti dan tingkah laku seseorang itu.

Fasa kritikal ini ada kalanya merupakan satu perkara yang mencabar untuk beberapa golongan masyarakat yang ada kalanya secara tidak langsung menjuruskan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dianggap sebagai patologikal iaitu berpenyakit dan secara tidak langsung membentuk satu jenis tabiat yang di luar norma masyarakat.

Dalam artikel kali ini, saya akan menyentuh mengenai tabiat dan perlakuan mencederakan diri sendiri. Dalam terminologi perubatan dikenali sebagai Non-Suicidal Self Injury (NSSI). NSSI ini berbeza dengan perlakuan membunuh diri. Jika kita memahami maksud dua perkataan pertama dalam terma NSSI ini iaitu non-suicidal, bermaksud perlakuan mencederakan diri sendiri ini bukanlah berniat sebagai salah satu cara untuk membunuh diri, dan maksud ‘self-injury’ itu secara literal bermaksud perbuatan yang membawa kecederaan kepada diri sendiri.

Terdapat beberapa cara perlakuan self-injury ini mengelar lengan menggunakan pisau cukur, membakar, menghantuk kepala ke dinding atau mencakar diri sendiri, yang mana perlakuan ini mencederakan diri sendiri ini tidak teruk sehingga ke tahap mereka mendapat kecacatan kekal. Tabiat ini menjadi masalah kerana dalam kajian klinikal jelas membuktikan bahawa perbuatan ini merupakan satu sebab yang meningkatkan risiko seseorang untuk membunuh diri.

Banyak sebab dan faktor mengapa perlakuan NSSI ini dilakukan oleh seseorang  dan menjadi rutin kepada sesetengah orang. Dalam beberapa laporan kes dan juga kajian psikologi yang dibuat yang mengambil kira kes-kes yang berlaku dalam masa 10 – 15 tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa sebab mengapa perlakuan ini dibuat oleh seseorang.

1.        Untuk menghilangkan emosi dan reaksi negatif yang keterlaluan dalam diri seseorang dan menyalurkan kemarahan dan kekecewaan.

Kajian mendapati mereka yang mempunyai kecenderungan untuk melakukan NSSI ini mempunyai masalah berkaitan psikiatri pada awalnya. Antara penyakit yang diketahui berkaitan dengan NSSI ini termasuklah Major Depressive Disorder (MDD), Generalized Anxiety Disorder (GAD) dan Bipolar Disorder (BPD).

Mereka kurang sokongan dan kasih sayang daripada rakan sekeliling dan keluarga, menyebabkan mereka memilih jalan ini sebagai cara menyalurkan kemarahau atau kesedihan mereka. Akhirnya, otak dan mental mereka akan mengaitkan apa-apa kesakitan emosi yang mereka alami akan diikuti dengan kesakitan dari segi fizikal, yang mana amat berbahaya dan merupakan salah satu tunjang utama mengapa perkara ini tidak semena-mena menjadi rutin dan tabiat mereka.

2.         Sebagai cara mengelakkan diri daripada terfikir untuk membunuh diri.

Ada beberapa jenis orang yang menggunakan cara ini sebagai cara untuk mengalihkan perhatian daripada minda mereka yang terus-menerus memikirkan perihal bunuh diri. Perbuatan NSSI ini dapat mengalih perhatian, di samping memberi sedikit ‘kesedaran’ bahawa kesakitan yang dialami itu sedikit jika berbanding dengan mencederakan diri dengan niat membunuh diri.

3.         Sebagai satu cara menghukum diri sendiri.

Self-punishment ini merupakan salah satu implikasi daripada cara seseoraing itu dibesarkan, yang mana ada kalanya, setiap kesalahan yang dilakukan akan menerima hukuman yang diterjemahkan dalam bentuk kesakitan oleh ibu bapa mahupun orang yang membesarkan mereka. Apabila golongan yang dibesarkan ini mencapai usia remaja dan dewasa, di mana perlakuan mereka yang mereka rasa salah dibiarkan begitu sahaja, mereka mempunyai kecenderungan untuk menghukum diri mereka sendiri dengan memberi kesakitan dan kecederaan.

4.         Untuk menghilangkan rasa ‘kekosongan’ dalam diri.

Ada kalanya, sesetengah orang melakukan perkara ini kerana mereka merasakan kehidupan mereka agak ‘numb’ dan kosong serta mendatar sahaja. Untuk memberikan minda mereka kesedaran bahawa mereka ini sedang hidup, serta memberikan rasa dan perasaan untuk ‘hidup’, mereka menyakitkan diri. Rasa jiwa kosong ini banyak berkait rapat dengan pengambilan ubat-ubat psikiatri yang berfungsi sebagai penenang dan menstabilkan mood pesakit.

5.         Untuk mendapatkan perhatian daripada orang lain.

Ada sesetengah orang melakukan perkara ini untuk mendapatkan perhatian daripada orang lain, atau orang yang mereka cintai, iaitu dengan cara membuat sesuatu perkara yang mengundang simpati orang lain. Mendapatkan perhatian ini juga sebenarnya adalah sebagai satu cara untuk memberitahu bahawa mereka memerlukan pertolongan dan rawatan daripada segi kesihatan mental.

Perbuatan NSSI ini seperti yang kita ketahui adalah tidak normal dan buat mereka yang mempunyai tabiat sebegini, seharusnya mereka perlu mendapatkan pertolongan dan rawatan daripada segi psikiatri dan kesihatan mental. Kajian demi kajian mendapati kemungkinan besar untuk para pelaku NSSI ini untuk mengakhiri kehidupan mereka dengan membunuh diri adalah amat tinggi.

Disebabkan oleh NSSI ini sendiri kadangkala berkait rapat dengan beberapa penyakit mental. Penyakit-penyakit tersebut perlu dirawat dalam pelbagai cara mengikut kepada kesesuaian dan diagnosis pesakit. Dalam kebanyakan masa, tabiat NSSI ini akan hilang apabila penyebabnya, dan penyakit mental yang berkait dengannya dirawat sepenuhnya.

Bagi NSSI yang tidak berkait rapat dengan apa-apa penyakit mental pula, teknik ‘coping mechanism’ yang sesuai dan normal akan diajarkan kepada mereka. Selain daripada bimbingan kaunseling, beberapa strategi rawatan seperti psikoterapi dan ‘cognitive behavioural therapy’ (CBT) dikatakan efektif dalam menangani masalah ini. Akhir kata, sekiranya anda mengenali atau mengetahui sesiapa yang sering mempunyai kecenderungan untuk melakukan NSSI ini, ada baiknya sekiranya anda membawa mereka mendapatkan rawatan dan bimbingan daripada mereka yang profesional.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.