Syeikh Idris Al Marbawi: Pengarang Kamus Arab-Melayu Pertama

314

https://bit.ky/kombowww

Kamus Idris Al-Marbawi

Sheikh Idris Al-Marbawi

Boleh dikatakan setiap hari rakyat Malaysia mempelajari Bahasa Arab dan hampir setiap hari juga mereka memerlukan kamus terjemahan bagi memudahkan proses pembelajaran. Tetapi pernahkah kita terfikir siapakah susuk tubuh yang memulakan usaha murni menterjemahkan Bahasa Arab ke dalam Bahasa Melayu ?

Jasa besar seorang ahli ilmu yang kian hari dilupakan ini ialah Muhammad Idris bin ‘Abdul Rauf Al-Marbawi yang juga dikenali sebagai Sheikh Idris Al-Marbawi yang dilahirkan di Kota Mekah pada 28 Zulkaedah 1313 H bersamaan 12 Mei 1893. Gelaran Al-Marbawi menunjukkan kampung asal keluarganya di Lubok Merbau, 10 km daripada Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak.

Pendidikan awalnya bermula di Mekah dan telah berjaya menghafal 16 juzuk pada usia 10 tahun. Pada tahun 1900 pula, keluarganya telah pulang ke tanahair. Beliau telah menyambung pendidikannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau, Perak dan juga beberapa sekolah pondok seperti Sekolah Pondok Syeikh Wan Ahmad di Bukit Chandan, Pondok Tuan Hussein Al-Mas’udi, Pondok Syeikh Ahmad Fatani serta Pondok Tok Kenali.

Melihat kemahiran beliau, ayahnya memujuk supaya beliau menyambung pendidikan di Timur Tengah. Maka pada tahun 1924 beliau telah melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir. Bukan sekadar fokus dalam pembelajaran, malah beliau cukup aktif dalam persatuan seperti Al-Jam’iyyah Al-Khariyyah Al-Talabiyyah Al-Azhariyyah. Berkat usaha beliau yang cintakan ilmu, beliau telah mendapat Ijazah ‘Aliyah dalam bidang Pengajian Islam.

Kisah bagaimana timbul kesedaran beliau untuk mengarang Kamus Terjemahan Arab-Melayu bermula apabila didesak oleh gurunya di Mesir iaitu Sheikh Abu Al-A’la Al-Falaki pada tahun 1925. Setelah siap mengarang kamus tersebut, beliau terus cetak melalui perniagaan cetakannya di Mesir bernama Al-Matba’ah Al-Marbawiyyah pada 1927. Ia bertujuan memudahkan Pelajar Tanah Melayu di Mesir untuk merujuk terjemahan yang tidak difahami dan sehingga kini kamus tersebut telah diulang cetak sebanyak 24 kali. Tiada lagi intipati kamus Arab-Melayu yang mampu tandingi Kamus karangannya.

Kitab Kamus ini bermula dengan pendahuluan yang mengandungi cara-cara dan kaedah penggunaan dengan penjelasan simbol-simbol dan diakhiri dengan hukum bergambar bagi memudahkan rujukan pembaca. Kamus ini juga sangat tersusun kerana menggunakan huruf Hija’iyyah ( ا ، ب ، ت  ) dan turut terbahagi kepada dua bahagian dimana bahagian pertama dari huruf ( ا ) hingga (  ع), manakala bahagian kedua dari huruf (  غ) hingga (  ي). Kamus Arab-Melayu ini juga megandungi 18 000 kalimat arab yang diberi makna ke dalam Bahasa Melayu dan 700 kalimat yang diterangkan dengan gambar. Kamus yang istimewa ini ditulis dalam tulisan jawi.

Sumbangan beliau dalam khazanah ilmu terutamanya di Tanah Melayu amat membanggakan negara. Oleh itu, beliau telah banyak mendapat anugerah seperti Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1980, Tokoh Ma’al Hijrah pada 1987, Anugerah Pingat Ahli Mahkota Perak daripada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 1988, serta Tokoh Anugerah Penulis Pentas Perak.

Menariknya ketika kerajaan Malaysia ingin menjemputnya ke majlis penghargaan kepada beliau, beliau telah menjawab dengan berulang kali “Saya Buat Kerana Allah”, maka dihantar rombongan kali ke dua dengan alasan mahukan memberi semangat kepada anak muda, akhirnya beliau bersetuju. Selain itu, nama beliau diabadikan di sebuah sekolah di Lubok Merbau yang bernama Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi pada 1991 bersempena beliau sebagai bekas murid di sekolah itu.

Tarikh 13 Oktober 1989 merupakan hari dimana Malaysia kehilangan seorang insan yang mulia, yang memberi jasa besar kepada umat dan para penuntut ilmu khususnya. Pemergiannya ketika berumur 96 tahun diratapi oleh semua. Ramai ahli ilmu menganggap jika Tuhan tidak takdirkan beliau mengarang kamus Al-Marbawi, sudah pasti corak ilmu ketika ini berbeza.

Artikel dikirimkan oleh Jai Melayu untuk The Patriots. 

RUJUKAN:

1. Indahnya Islam (Oktober, 2017) Penyusun Kamus Melayu Arab Pertama. Dimuat turun daripada “https://www.indahnyaislam.my/2017/10/penyusun-kamus-melayu-arab-pertama/”.

2. Ilmu Ringkas (Jun, 2020) Sheikh Idris Al-Marbawi – Ustaz Shamsuri Ahmad. Dimuat turun daripada Youtube “https://www.youtube.com/watch?v=s-s2YGupBOU“.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.