Pada 10 March 2020, Mufti Wilayah Persekutuan YB Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd al-Bakri telah diangkat sebagai salah seorang menteri di dalam kabinet Perikatan Nasional (PN). Memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), beliau dlihat sebagai seorang individu yang cukup sesuai untuk jawatan tersebut. Keilmuan, keperibadian, zuhud dan tawaduk beliau begitu disegani.

Bukan sahaja di Malaysia, bahkan para ulama’ dari luar negara turut memberikan ucapan tahniah atas lantikan yang cukup bermakna ini. Ianya boleh disifatkan sebagai satu sinar kehidupan yang besar kepada agama Islam di Malaysia.

Namun, ramai lupa di belakang sosok manusia yang hebat ini berkuburnya seorang alim yang mengadaikan nyawanya di kanca politik yang membusuk di Syria. Seorang alim dengan lemah lembutnya berusaha menghalang Arab Spring 2011 walaupun diludah dengan gelaran pengkhianat agama. Beliau ialah Syeikh Dr Muhammad Said Ramadan al-Buti.

Nama penuh beliau ialah Muhammad Said bin Ramadan bin Umar bin Murad al-Buti. Beliau lahir pada 1929M di perkampungan Jilika yang dikenali sebagai kawasan Butan, Turki. Lahir daripada zuriat yang mulia, Syeikh al-Buti mendapat pendidikan daripada ramai ilmuan dan institusi yang terulung diperingkat dunia.

Di antara ilmuan yang mengajar beliau ialah bapa beliau sendiri, Mulla Ramadan, Syeikh Hassan Habannakah, Syeikh Kuraiyim Rojih, Syeikh Mustafa al-Bugha dan Syeikh Wahbah al-Zuhaili. Bagi institusi pendidikan pula, beliau mendapat pendidikan di Maahad al-Mardini, Universiti al-Azhar dan beberapa tempat yang lain.

Beliau juga merupakan diantara ilmuan terulung dan tersenarai di antara 200 orang Islam berpengaruh di dunia pada tahun 2009. Keunggulan beliau diiktiraf sebagai di antara ilmuan terulung pada tahun itu selari dengan beberapa ilmuan dan pemimpin dunia yang lain.

Walaupun beliau dilihat sebagai ilmuan yang disanjung tinggi, sebaliknya yang berlaku pada kehidupan beliau. Keadaan di Syria yang disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Syria yang dilihat sebagai sebuah negara ilmu dan bersejarah di mata umat Islam sebenarnya melalui zaman-zaman perit daripada zaman penjajahan Perancis sehinggalah zaman Parti Baath memerintah.

Pergolakkan politik, rampasan kuasa, revolusi rakyat dan peperangan peringkat antarabangsa terus menerus berlaku tanpa henti. Ianya tidak berhenti setakat itu sahaja, perkembangan aliran-aliran selain Ahlu Sunnah Wal Jamaah terus berkembang tanpa dijemput.

Keberadaan mereka lebih mengeruhkan keadaan apabila aliran-aliran ini yang hanya bersifat perbezaan pandangan, beralih kepada kekerasan persenjataan. Antaranya gerakan Jihadi di dalam peristiwa Hammah pada tahun 1982. Mereka bertindak memerangi kerajaan atas alasan jihad kerana kepimpinan Syria ketika itu dilihat sebagai ‘Musuh Allah’. Aliran ini kembali semula pada tahun 2006 dengan nama baharu iaitu ‘Tentera Syam’.

Seperti yang dinyatakan, kehidupan beliau sebenarnya melalui zaman-zaman perit khusunya semasa pemerintahan Parti Baath. Syeikh al-Buti disifatkan ketika itu sebagai ‘pendukung Rejim’. Akhbar-akhbar antarabangsa telah melakukan serangan secara terancang dengan menyasarkan Syeikh al-Buti.

Media ini juga bertindak menggunakan beliau sebagai alat pembakar kemarahan rakyat Syria ketika itu dan berusaha memburukkan imej Islam dalam pelbagai cara. Antara media yang bertanggungjawab melakukan jenayah ini adalah al-Jazeerah, The Washington Post, The Times of Israel dan Al-Arabiyyah.

Mereka menggambarkan Syeikh al-Buti sebagai seorang manusia yang menggunakan agama dan ilmu untuk menghalalkan darahnya untuk ditumpahkan. Sekiranya dilihat semula kepada fatwa-fatwa beliau, Syeikh al-Buti dilihat menyokong kerajaan Rejim Basyar al-Assad. Namun, ramai yang tidak dapat melihat tindakan sebenar yang cuba dilakukan oleh beliau demi kebaikan bersama.

YB Dr Zulkifli Mohd al-Bakri yang merupakan antara murid Syeikh al-Buti dapat melihat usaha tersembunyi Syeikh al-Buti. Beliau menyatakan bahawa Syeikh al-Buti kemungkinan tersilap dalam mengeluarkan fatwa. Hal ini dapat dilihat apabila Syeikh al-Buti meminta agar sebuah negara Islam dapat dibina semula.

Isu Khuruj Minal Imam (Keluar Dari Kepimpinan) merupakan satu bencana kepada masyarakat. Selagi mana kalimah Syahadah terus menetap dibibir, ummat Islam perlulah berlapang dada dan menumpukan memerangan musuh Islam yang sebenar. Ini membuktikan bahawa Syeikh al-Buti hanya mahu keamanan sahaja di dalam negara Islam.

Sepanjang penghujung hayatnya, beliau terus menerus meminta ummat Islam di Syria untuk tertaubat dan minta keampunan kepada Allah atas kesalahan mereka. Beliau juga pernah menyampaikan kepada masyarakat berkenaan mimpi dan firasat beliau berkenaan peristiwa berdarah ini. Namun, apakan daya suaranya bagai air sungai yang mengalir. Saat ada dibiarkan, saat hilang dicari.

Selepas kematian beliau, penulis melihat segelintir masyarakat mula memahami erti perjuangan beliau. Perjuangan yang terpaksa memakan diri sendiri dan sebuah hasil yang tidak menjadi. Namun, usaha penyatuan itu yang menjadi tunjang kepada perjuangan Syeikh al-Buti.

Walaupun begitu, masih lagi terdapat beberapa inividu yang pihak tertentu yang terus menerus menyatakan bahawa beliau sebagai seorang pengkhianat agama. Nama beliau juga masih lagi dianggap busuk dan tidak sesuai dijadikan sebagai seorang idola.

Disebabkan itulah nama beliau dipandang sepi dan tidak dikenali majoriti masyarakat hari ini. Seharusnya kita perlu berlapang dada dalam pelbagai keadaan. Cuba untuk menerima persamaan di antara kita dan duduk di atas satu lantai yang sama. Semoga Allah mengampuni dan merahmati pemergian Syeikh al-Buti.

RUJUKAN:

Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri, 2013, Syeikh Muhammad Said Ramadan al-Buti yang kukenali, Pustaka Cahaya Kasturi, Negeri Sembilan.

Bernama, 2020, Imam Besar Al-Azhar ucap tahniah kepada Zulkifli, Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/597065/imam-besar-al-azhar-ucap-tahniah-kepada-zulkifli [14 Julai 2020]

Mohd Rumaizuddin Ghazali, 2015, Ketokohan Muhammad Said Ramadan al-Buti Dalam Bidang Akidah dan Ketamadunan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Prof John Esposito & Prof Ibrahim Kalin, 2009, The 500 Most Influential Muslims, The Royal Islamic Strategic Studies Centre.

Rohaniza Idris dan Muhammad Yusri Muzamir, 2020, Menteri, timbalan menteri angkat sumpah Senator, Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/663786/menteri-timbalan-menteri-angkat-sumpah-senator [14 Julai 2020]

File ini merupakan hasil penulisan artikel saya kepada pihak Patriots. Saya mengharapkan agara pihak Patriots sudi untuk menerbitkan artikel ini sebagai satu rujukan dan bacaan kepada masyarakat sekeliling.

Ini merupakan tulisan Shaikh Muhammad Afiq Bin Shaikh Sukor untuk The Patriots. Beliau merupakan pelajar Jurusan Sejarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM sesi 2019/2020.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.