Syeikh Ahmad Al-Linggi: Doa Kemerdekaan Malaysia

1,567

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Dato Syeikh Ahmad al-Linggi ialah anak kepada salah seorang dari 7 Waliyullah Melayu yang banyak karamah iaitu Syeikh Muhammad Said al-Linggi, Mursyid Tarekat Ahmadiyyah. Syeikh Ahmad al-Linggi dilahirkan di Kampung Bukit Ampangan, Seremban.

Syeikh Ahmad al-Linggi ini juga ialah abang kepada Haji Mahadi iaitu seorang seniman yang popular menerusi filem 3 Abdul sebagai pemegang watak Abdul Wahab. Selain berkarya, Haji Mahadi ini juga mempunyai misi dakwah kepada rakan-rakan senimannya yang lain.

Sebenarnya, Syeikh Ahmad al-Linggi memiliki ramai lagi adik-beradik. Mereka mendapat pendidikan awal terutama dalam ilmu Akidah, Syariat dan Tasawwuf daripada bapa mereka yang alim lagi soleh itu. Antara yang paling masyhur keilmuannya dalam kalangan adik beradik itu ialah Syeikh Abdullah al-Linggi iaitu saudara sulung mereka. Beliaulah yang mewarisi kekhalifahan Tarekat Ahmadiyyah setelah bapa mereka, Syeikh Muhammad Said al-Linggi meninggal dunia.

Selepas Syeikh Muhammad Said al-Linggi meninggal dunia, Syeikh Ahmad al-Linggi pergi menunaikan Haji di Mekah dan belajar ilmu agama di sana selama beberapa tahun. Setelah pulang dari Mekah, Syeikh Ahmad al-Linggi berkhidmat sebagai pembantu kanan kepada abangnya Syeikh Abdullah al-Linggi untuk mengembangkan dakwah dan ilmu Islami seperti Tauhid, Fiqh dan Tasawwuf di serata masjid serta surau. Sambutan dari masyarakat amat menggalakkan.

Mereka dua beradik membimbing masyarakat khususnya dalam perjalanan Tarekat Ahmadiyyah tentang cara-cara beramal dengan amalan-amalan zikirnya serta memahamkan kepada mereka tentang ajaran-ajaran Tariqah ini yang ketika itu berpusat di Ampangan.

Syeikh Ahmad al-Linggi juga kemudiannya mendirikan pondok di Rasah yang akhirnya diberi nama Madrasah as-Saidiyyah bersempena nama bapa mereka, Syeikh Muhammad Said al-Linggi. Walaupun Syeikh Abdullah al-Linggi berpusat di Ampangan dan Syeikh Ahmad al-Linggi berpusat di Rasah, namun mereka saling bekerjasama dan berhubungan bagi menyemarakkan perkembangan Tarekat Ahmadiyyah.

Selepas Syeikh Abdullah al-Linggi meninggal dunia, Syeikh Ahmad mengambil alih kekhalifahan Tarekat Ahmadiyyah. Pusat tarekat ini juga beralih dari Ampangan ke Rasah. Selain majlis haul, Syeikh Ahmad al-Linggi juga mengadakan majlis zikir di surau rumahnya pada setiap malam Jumaat.

Bagi murid yang telah lama belajar dan layak untuk mempelajari ilmu Tasawwuf dengan lebih mendalam, maka kitab-kitab Tasawwuf seumpama Kitab al-Hikam karya Ibn Athaillah as-Sakandari akan diajarkan. Sebahagian murid pula akan dibawa bermuqarabah iaitu antara disiplin yang penting dalam Tarekat Ahmadiyyah. Antara tempat yang pernah dijadikan tempat bermuqarabah adalah Masjid Rasah yang masih wujud hingga kini.

Syeikh Ahmad al-Linggi dilantik secara sepakat untuk menjadi Mufti Negeri Sembilan yang pertama pada tahun 1950 atas pilihan dan persetujuan muzakarah para alim ulama Negeri Sembilan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar.

Oleh kerana Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman menjadi Yang Di Pertuan Agong Pertama Tanah Melayu setelah mencapai kemerdekaan, maka Syeikh Ahmad al-Linggi juga secara automatik perlu menjalankan urusan pada peringkat pusat Kerajaan Persekutuan. Ini kerana ketika itu belum wujud jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Oleh itu, Dato Syeikh Ahmad bin Syeikh Muhammad Said al-Linggi, Mursyid Tarekat Ahmadiyyah merangkap Mufti pertama Negeri Sembilan diberi penghormatan tertinggi apabila diminta untuk membacakan doa kesejahteraan buat agama, bangsa dan tanah air sempena pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka. Kandungan doa tersebut adalah seperti berikut :-

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سَائِرَ العُمَّالِ وَالوُزَرَاءِ وَالسَّلاَطِينَ وَالمُلُوكِ وَالأُمَرَاءِ لِرِعَايَةِ أُمُورِ الدِّينِ وَالمُحَافَظَةِ عَلَى حُقُوقِ المُسْلِمِينَ وَإِقَامَةِ العَدْلِ فِى الأَحْكَامِ وَالتَّمَسُّـكِ بِفَضَائِلِ الإِسْلاَمِ،

Ya Allah! 
Anugerahkanlah taufiq kepada sekelian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

اَللَّهُمَّ وَأَصْلِحْ بِهِمْ شُئُونَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ حَتَّى تَتَرَقَّى وَتَتَقَدَّمَ إِلَى أَعْلَى مَا يَتَحَقَّقُ بِهِ بُلُوغُ الأُمْنِيَّةِ ،

Ya Allah! 
Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan.

اَللَّهُمَّ وَانْصُرْنَا مَعَاشِرَةَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ وَاهْدِنَا وَسَدِّدْنَا خَيْرَ البَرِيَّةِ وَاهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْـتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّآلِينَ،

Ya Allah! 
Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

اَللَّهُمَّ اكْشِفْ عَنَّا الكُرُبَاتِ وَسَـلِّمْنَا نَحْنُ مِمَّا فِيهِ مِنَ الآفَاتِ وَاحْفَظْنَا مِنْ كُلِّ سُوءٍ وَمَلاَمٍ وَبَـلِّغْنَا كُلَّ مَقْصُودٍ وَمُرَامٍ وَأَصْلِحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ غَيْرِنَا حَتَّى تَكُونَ فِى أَمَانٍ وَسَلاَمٍ. وَفَرِّجْ عَنَّا كُرُبَاتِنَا فَرْجًا عَاجِلاً بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ،

Ya Allah! 
Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.

اَللَّهُمَّ كُنْ لَنَا وَلَهُمْ وَلِهَذَهِ البِلاَدِ حَافِظًا مِنْ جَمِيعِ البَلاَيَا وَدَافِعًا عَنَّا وَعَنْهُمْ جَمِيعَ الرَّزَايَا، وَانْصُرْنَا عَلَى الأَعْدَاءِ وَالحُسَّادِ وَاحْلُلْ غَضَبَكَ وَنِقْمَتَكَ عَلَى البَغْيِ وَالفَسَادِ ،

Ya Allah! 
Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan.

اَللَّهُمَّ وَاحْرُسْ بِعَيْنِكَ الَّتِي لاَ تَنَامُ وَاكْـنُفْ بِكَنَفِكَ وَرُكْنِكَ الَّذِي لاَ يُرَام. اَللَّهُمَّ اِرْمِ رَايَةَ الإِسْلاَمِ مَنْشُورَةً وَمَوَاطِنَ الدِّينِ وَالحَـقِّ مَعْمُورَةً

Ya Allah! 
Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.

* Jemput follow : https://instagram.com/khairiasyraf_17

RUJUKAN:

Allahyarham Tuan Haji Ahmad bin Mohd Said (1912-1964). http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tarekat-tassawuf/165-tokoh-ulamak-tarekat/664-allahyarham-tuan-haji-ahmad-bin-mohd-said-1912-1964

Doa Syeikh Ahmad bin Mohd Said (Mufti Pertama) Pada Hari Kemerdekaan 1957. http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tarekat-tassawuf/163-himpunan-doa-dan-zikir/562-doa-syeikh-ahmad-bin-mohd-said-mufti-pertama-pada-hari-kemerdekaan-1957

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.