Syed Saddiq, Berhenti Menyahjenayahkan Penagihan Dadah

6,230

Oktober 2016 merupakan antara bulan tergempar di Berlin. Bukan kerana Oktoberfest semata-mata, tetapi di Hermannstrasse, sebuah kamera berjaya merakam sebuah aksi yang agak ngeri. Semasa menurun tangga, seorang wanita Islam disepak dari belakang yang membuatkannya melayang jatuh. Perbuatan tersebut telah meninggalkan perempuan tersebut dalam keadaan terkejut, patah tangan dan pecah kepala.

Lelaki yang menendangnya pula ialah Svetoslav Stoykov. Asalnya dianggap sebuah jenayah Islamofobia, siasatan lanjut mendapati bahawa Stoykov berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol. Dan dia sebenarnya tidak ingat pun melakukannya kerana terlalu mabuk dan berkhayal. Dadah diambil pula ialah ganja, kokain dan syabu pada malam sebelumnya selepas bergaduh dnegan isteri dan abang kandungnya.

Perkara ini menunjukkan bahawa penyahjenayahan dadah di Jerman walaupun tegas tetap menyumbang ke arah keg4n4san akibat keruntuhan mental.

Pada 29 Oktober 2019, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menggunakan pentas Parlimen untuk menyatakan keazaman kerajaan Harapan dalam menyahjenayahkan penagihan dadah. Untuk pengetahuan umum, aspirasi diinginkan bukanlah untuk menghalalkan pengedaran dadah. Sebaliknya kerajaan ingin menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang membezakan penagih dan pengedar. Kata Syed Saddiq, penagih anak muda seramai 18,967 tidak seharusnya dipenjarakan kerana memusnahkan masa depan mereka.

Memang benar kemusnahan masa depan mereka hanya akan mengundang jenayah berulang. Anak muda tersebut tidak dapat bekerja kerana kehilangan kepercayaan sosial. Maka setakat ini, maklumat tentang usaha kerajaan sangatlah kurang, sekaligus membenarkan spekulasi bahawa kerajaan ingin menyahjenayahkan penagihan secara keseluruhan (outright decriminalization).

Pendekatan ini boleh dikatakan berdasarkan Portugal yang mengendalikan kes-kes dadah dibawah Kementerian Kesihatan, bukannya Kementerian Keadilan atau Pentadbiran Dalam Negeri. Sejak menyahjenayahkan dadah pada tahun 2001, Portugal menyaksikan statistik menjunam bagi pengambilan dos berlebihan, jangkitan HIV dan jenayah berkaitan dadah. Sebelum itu, satu dalam 10 rakyat Portugial terjerumus dengan gejala heroin. Polis berdepan dengan masalah samun dan rompakan.

Namun setepatnya penyahjenayahan tersebut bukanlah faktor utama di sebalik kemenangan Portugal dalam peperangan menentang dadah. Rejim Antonio Salazar yang menggenggam Portugal dari 1932 ke 1968 telah memupuk senang kata kebodohan sosial terhadap ilmu-ilmu sains. Pemerintahan 36 tahun beliau telah menyekat pendidikan dan mengeluarkan pelajar dari sekolah pada usia terlalu mentah dalam strategi untuk menjinakkan rakyat.

Tiada siapa di Portugal ketika itu tahu bahawa perkongsian jarum boleh mengundang HIV. Malah tiada siapa dibawah Salazar terdedah pun dengan kewujudan dadah. Dibawah pemerintahan susulan, Portugal terbuka kepada dunia secara mengejut. Dari sinilah ganja dan heroin membanjiri sebuah negara yang tidak bersedia pun. Dan apa yang berlaku kemudian ialah ketagihan melampau.

Untuk membendung dan menyelesaikan masalah, kerajaan pada tahun 2001 membuatkan Portugal negara pertama untuk menyahjenayahkan dadah. Dimulakan dengan amaran, sebelum denda dan pemaksaan perjumpaan doktor disusuli. Dan krisis ketagihan mula stabil dengan kadar banduan pun menurun. HIV menjunam dari 104.2 kes terbaru bagi setiap juta rakyat ke 4.2 kes sahaja.

Patutkah Dadah Dinyahjenayahkan?

Menggabungkan insiden di Berlin serta sejarah Portugal, jelas sekali bahawa kerajaan berdepan dengan dilema besar. Namun begitu, dadah sepatutnya kekal dijenayahkan kerana dasar ringan sedia ada sudah mencukupi untuk membaiki penagih dadah ke jalan elok. Permasalahan yang dikatakan Syed Saddiq iaitu bekas-bekas penagih tidak mampu untuk diserap masuk ke dunia pekerjaan sebenarnya bersifat red-herring.

Bukan hukuman penjara yang memustahilkan penyerapan mereka. Sebaliknya sejarah gelap mereka yang terlibat dengan dadah itu yang merupakan punca penyerapan dimustahilkan. Maka sekalipun dinyahjenayahkan, sejarah dadah tetap akan membuat syarikat tidak selesa.

Fokus kerajaan untuk memberikan kelonggaran kepada para penagih pun akan mencetuskan sudut yang berat sebelah. Ini kerana para pencuri yang dipenjarakan atas keterdesakan hidup turut disisihkan juga. Maka perjuangan kerajaan untuk hentikan diskriminasi kerja pun perlu melibatkan golongan ini juga, yang khususnya para penagih turut menyertai gejala-gejala kecurian. 

Seberapa ramai ibu bapa sengsara angkara anak yang tidak serik dihukum. Perkara ini juga perlu diambil kira.

RUJUKAN:

Effects of Drug Abuse – https://www.gatewayfoundation.org/faqs/effects-of-drug-abuse/

Impact Substance Abuse and Addiction on Families –

https://www.bhpalmbeach.com/recovery-articles/impact-substance-abuse-and-addiction-families/

Kerajaan Percepat Jadikan Penagihan Dadah Bukan Jenayah-

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/622641/kerajaan-percepat-jadikan-penagihan-dadah-bukan-jenayah

Portugal’s Radical Drugs Policy Is Working. Why Hasn’t the World Copied It? –

https://www.theguardian.com/news/2017/dec/05/portugals-radical-drugs-policy-is-working-why-hasnt-the-world-copied-it

Should Drugs Be Decriminalized? No. –

https://www.centeronaddiction.org/newsroom/op-eds/should-drugs-be-decriminalized-no

Should Drugs Be Legalized-

https://www.cliffsnotes.com/study-guides/criminal-justice/criminal-law/should-drugs-be-legalized

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.