Sudahkah anda meminum susu pada hari ini? Jika belum, jangan lupa untuk mengambilnya selepas membaca artikel ini kerana mengambil susu merupakan diet yang sangat sihat, dengan kandungan nutrisinya seperti yang umum ketahui, kaya dengan kalsium, Vitamin D dan pelbagai mikronutrisi seperti kabrohidrat, protein dan lemak.

Bagi kalsium misalnya, pakar kesihatan mencadangkan agar setiap individu dewasa mengambil 1000 hingga 1200mg setiap hari dan dengan empat gelas susu sahaja, keperluan tersebut dapat dipenuhi (jika ukuran satu gelas bersamaan dengan 250ml).

Pengambilan susu merupakan satu diet yang tidak seharusnya dikesampingkan terutama bagi kanak-kanak, memandangkan nutrisi dan khasiatnya sangat membantu dlam proses penumbesaran. Justeru, memulakan hari dengan mengambil susu merupakan satu rutin yang sangat sihat. Bak kata pepatah di Pinterest, “Milk is a breakfast powerhouse packed with nine essential nutrients, including 8 grams of high-quality protein in an 8oz glass.”

Jika anda lapar, makan. Dan jika anda mahu membesar dengan sihat, minumlah susu

Walau bagaimanapun, pengambilan susu haiwan merupakan satu amalan yang agak baru dalam sejarah manusia – tidak lebih 10 000 tahun yang lalu. Malah lebih daripada itu, di zaman dahulu manusia mengalami alahan laktosa (intoleransi laktosa) yang membuatkan kita tak boleh minum susu. Asal minum susu sahaja, perut akan terasa kembung dan cirit-birit. Sesetengahnya sampai membawa kepada maut.

Hanya selepas berlakunya evolusi atau mutasi genetik yang memakan masa bertahun-tahun lamanya, barulah manusia perlahan-lahan beradaptasi dengan susu haiwan macam sekarang. Walaupun alahan itu mungkin masih ada lagi bagi sesetengah individu, tetapi ia tidaklah seteruk zaman dulu. Dalam erti kata lain, minum susu merupakan satu nikmat dunia yang tak sempat dirasai oleh manusia purbakala, tetapi disebabkan proses yang berlaku di zaman merekalah, kita dapat minum susu tanpa alami kesan sampingan.

Selepas ini setiap kali minum susu, bolehlah tambahkan lagi rasa kesyukuran. Selain daripada bersyukur sebab dapat minum minuman yang sedap, bersyukur juga sebab dengan evolusi yang berlaku, kita tak rasa derita masa minum minuman senikmat susu.

Sebelum memasuki perkongsian tentang sejarah pengambilan susu haiwan ternakan di zaman purba, mungkin sesuai untuk saya mengambil kesempatan berkongsikan tentang nenek moyang bagi salah satu haiwan tenusu paling utama, iaitu lembu. Jom kita sembang pasal haiwan purba sekejap.

AUROCH – NENEK-MOYANG KEPADA LEMBU MODEN

Walaupun sub-topik ini mungkin hanya sekadar satu selingan tambahan di dalam artikel ini, pada hakikatnya bidang paleontologi sebegini merupakan salah satu elemen penting dalam membantu para penyelidik memetakan lokasi komuniti terawal yang meminum susu. Nak minum susu haiwan sudah tentulah kena ternak haiwan tenusu, bukan?

Oleh kerana itu, selain meneliti tinggalan-tinggalan arkeologi dan lakukan ujian saintifik, para penyelidik juga mengenal pasti taburan haiwan-haiwan tenusu di zaman purba. Antara haiwan purba yang dikaji adalah Auroch, nenek-moyang bagi lembu moden.

Auroch (sebutan: Or-ock) hidup di dataran Eurasia dan Afrika Utara di zaman Pleistocene-Moden (2 juta – 500 tahun dahulu). Walaupun bentuknya lebih hampir dengan kerbau, haiwan ini diletakkan di dalam kelas Bos primigenius, payung genus yang sama dengan lembu moden. Menurut ProCon’s Historical Timeline of Cow’s Milk, Auroch kali pertama dijinakkan pada 8000 hingga 10 000 tahun yang lalu.

Perbandingan saiz antara auroch (kiri) dan lembu moden (kanan)

Antara catatan sejarah yang pernah menyebut tentang Auroch adalah History of the Gallic War karangan Julius Caesar. Di dalam buku tersebut dituliskan, “Auroch ini sedikit kecil berbanding gajah. Warna dan bentuknya pula lebih hampir kepada kerbau. Ia memiliki kekuatan dan kepantasan yang luar biasa. Haiwan ini ditangkap dengan susah-payah oleh orang-orang Jerman. Pemuda-pemuda mereka menjadikan pemburuan dan penangkapan haiwan ini sebagai satu latihan. Mereka yang paling banyak membunuhnya akan mengambil tanduk Auroch sebagai bukti kegagahan dirinya, di samping untuk meraih pujian orang ramai.”

Selain muncul dalam sumber-sumber bertulis. Auroch juga merupakan salah satu haiwan prasejarah yang digambarkan oleh masyarakat purba pada lukisan-lukisan gua. Antara yang paling masyhur adalah lukisan di Lascaux, Perancis yang dianggarkan dilukis pada 17 000 tahun yang lalu (gambar tajuk).

Auroch terbahagi kepada tiga subspesis. Subspesis yang paling masyhur adalah bos primigenius primigenius yang berasal dan bercambah di Eurasia. Subspesis inilah yang muncul pada lukisan di Lascaux, Perancis. Subspesis kedua pula adalah bos primigenius namadicus yang kebanyakannya terdapat di India dan menurunkan spesis lembu Zebu moden. Auroch yang hidup di Afrika Utara (bos primigenius africanus) pula menurunkan lembu-lembu yang kemudiannya berkembang di Timur Tengah.

Disebabkan Auroch diburu secara berleluasa untuk dijadikan sebagai makanan di zaman purba, maka haiwan tersebut mengalami kepupusan. Mujur, populasi kecilnya sempat bertahan sehingga ke abad ke-17. Walau bagaimanapun, dicatatkan bahawa Auroch yang terakhir mati pada tahun 1627 di Poland, sekaligus melenyapkan spesis tersebut dari muka bumi. Memasuki milenia kedua ini, terdapat ura-ura bahawa para penyelidik berhasrat untuk mengembalikan atau menghidupkan semula spesis ini menerusi apa yang disebut sebagai penyahpupusan (de-extinction).

PENGAMBILAN SUSU HAIWAN TERNAKAN DI ZAMAN PURBA

Setiap kali anda menyedut straw biru pada kotak susu Dutchlady, atau meneguk susu segar dari botol Farm Fresh, atau mungkin juga membancuh susu tepung Everyday bersama serbuk kopi dan gula untuk menghirup kopi susu panas sambil membaca buku, pernahkah terlintas persoalan tentang bagaimana manusia mula meminum susu haiwan? Atau macam mana manusia mendapat ilham buat kali pertama untuk memerah kantung susu lembu dan kambing, lalu meminumnya? Persoalan-persoalan tentang perbuatan ‘kali pertama’ dalam sejarah manusia sememangnya tidak pernah luput dari menarik minat kita di zaman moden.

Saya sendiri pun tidak pernah terfikir tentang sejarah pengambilan susu di zaman purba, sehinggalah lalu di suapan berita Facebook saya laporan tentang penemuan botol susu bayi prasejarah dan juga laporan penyelidikan yang mengesahkan tentang pengambilan susu haiwan di England.

Setakat penyelidikan yang telah dijalankan sehingga kini, ilmuwan meyakini bahawa antara manusia terawal yang meminum susu haiwan ternakan (lembu misalnya) adalah komuniti penternak di Eropah Utara dan Eropah Barat, sebelum amalan tersebut tersebar ke Eropah Selatan kira-kira 6000 hingga 8000 tahun dahulu. Misalnya di Rom dan Hungary, ahli-ahli arkeologi berjaya menemukan bekas yang mengandungi kesan susu yang dianggarkan berusia 7900-7450 tahun.

Ada juga yang mengutarakan bahawa komuniti manusia di Mediterranean telah meminum susu sejak 9000 tahun dahulu, sebagaimana yang dilaporkan oleh kertas kajian tahun 2016 yang disiarkan di dalam Proceedings the National Academy of Science. Namun pada bulan lepas, terdapat satu hasil kajian yang memberikan pengesahan yang lebih jitu berkenaan pengambilan susu di England.

Lukisan dinding Mesir yang menggambarkan pemerahan susu lembu

KAJIAN TERKINI TENTANG SEJARAH AWAL PENGAMBILAN SUSU TERNAK DI ENGLAND

Sekitar minggu kedua bagi bulan September yang lalu, satu laporan kajian berkenaan pengambilan susu oleh masyarakat England purba menghiasi dada media-media antarabangsa seperti Ancient Origins, Science Daily dan Eurekalert.

Dalam kertas kajian yang disiarkan pada jurnal Archaeological and Anthropological Sciences itu, Dr. Sophy Charlton dan rakan sepasukannya membentangkan bukti langsung tentang kehadiran protein susu haiwan ternakan, dikenali sebagai beta-lactoglobulin (BLG) yang terdapat pada plak gigi milik tiga rangka manusia yang hidup di England pada Zaman Neolitik, atau tepatnya kira-kira 6000 tahun yang lalu.

Sebagai nota lanjut, Zaman Neolitik British berlangsung dari tahun 4000SM sehingga 2400SM. Sepanjang zaman tersebut, manusia yang hidup di kepulauan itu giat mengamalkan aktiviti pertanian dan penternakan meliputi haiwan seperti lembu, kambing, biri-biri dan ‘beliau’ di samping hasil tanaman seperti gandum dan barli.

Walaupun usia rangka tersebut bukanlah yang tertua, malah jauh lebih lewat berbanding usia anggaran pengambilan susu haiwan di zaman purba (6000-9000 tahun), hasil penyelidikan ini berjaya menarik perhatian antarabangsa kerana penemuan-penemuan berkenaan peminuman susu sebelum ini hanya terhad pada bekas-bekas yang digunakan untuk menyimpan susu.

Akan tetapi bagi kajian yang dilakukan oleh pasukan yang berlatar-berlakang dari Jabatan Arkeologi Universiti York ini, mereka menampilkan kelainan apabila bukti fizikal tersebut diperoleh daripada plak gigi manusia prasejarah sendiri. Justeru ia disebut sebagai ‘bukti langsung’.

Penyelidilkan ini melibatkan sepuluh rangka manusia yang diambil dari tiga tapak Neolitik British yang berbeza, iaitu di Hambledon Hill, Hazleton North dan Banbury Line. Lokasi yang berbeza-beza ini menghadirkan kemungkinan bahawa amalan meminum susu pada waktu itu (4000SM) bukanlah satu amalan setempat. Sebaliknya, ia merupakan satu diet pemakanan yang dilazimi secara meluas.

Kajian ini menemukan protein susu pada plak gigi berusia 6000 tahun

Walau bagaimanapun, meminum susu haiwan ternakan di zaman dahulu tidaklah senikmat sekarang. Bukan setakat tiada kepelbagaian perisa seperti coklat atau strawberi, malah mereka yang mengambil susu lazimnya tidak terlepas dari mengalami kesan-kesan sampingan yang amat menderitakan seperti kembung perut, kejang tubuh badan dan cirit-birit. Sebahagiannya sampaikan membawa kepada maut.

Keadaan sebegini berlaku disebabkan oleh apa yang disebut sebagai intoleransi laktosa atau alahan laktosa. Dalam penerangannya, Dr. Sophy Charlton menyebutkan bahawa tubuh manusia ketika masih bayi menghasilkan suatu enzim khusus yang dipanggil sebagai laktase, dengan amaun yang cukup optimum untuk mencerna laktosa yang terkandung di dalam susu.

Memasuki usia sekitar 5 tahun, penghasilan laktase mula berkurangan. Berkemungkinan ia disebabkan atau menyebabkan seseorang bayi itu berhenti meminum susu badan. Lantaran itu, apabila individu dewasa meminum susu, maka mereka akan mengalami kesan-kesan sampingan yang telah disebutkan di atas. Hal ini kerana laktosa tidak dapat dicerna dengan baik. Berbeza dengan situasi pada hari ini, kadar intoleransi laktosa dalam kalangan manusia prasejarah sangat tinggi.

MUTASI GENETIK DAN ADAPTASI MANUSIA PURBA DALAM MENANGANI INTOLERANSI LAKTOSA

Selain memiliki daya ketahanan tinggi yang terhasil dari tekad yang kuat, manusia juga mempunyai keupayaan untuk beradaptasi dengan situasi-situasi sukar menerusi penyesuaian. Bak kata pepatah Melayu, “Alah bisa, tegal biasa.” Tidak terkesan dengan bisa yang berbahaya kerana sudah terbiasa dengannya. Keadaan sebegini ini juga berlaku ketika manusia menyesuaikan diri semasa mengalami kesan-kesan sampingan dari meminum susu.

Walaupun penjelasan di sebalik ketahanan manusia terhadap laktosa masih belum mempunyai jawapan yang benar-benar memuaskan, para penyelidik meyakini bahawa sekitar 7500 tahun yang lalu (5000-4000SM), komuniti penternak di Eropah Tengah dan Balkan mengalami evolusi atau mutasi genetik di mana hal ini membolehkan mereka menghasilkan enzim laktase walaupun sesudah dewasa. Hal ini sebagaimana yang dilaporkan dalam kertas kajian yang dibentangkan oleh Profesor Mark Thomas dari Universiti Kolej London.

Gambaran kehidupan komuniti petani-penternak

Terdapat sejumlah teori yang dikemukakan bagi menerangkan tentang bagaimana mutasi genetik ini boleh berlaku. Antara teori yang paling mendapat perhatian adalah ia berlaku dalam kalangan komuniti petani-penternak yang bermigrasi dari kampung halaman dengan membawa tanaman tempatan. Lantaran cuaca baru yang tidak sesuai dengan tanaman tersebut, maka mereka terpaksa bergantung kepada susu haiwan ternakan, di samping daging itu sendiri bagi melangsungkan hidup.

Disebabkan sudah terbiasa mengalami kesan-kesan sampingan akibat intoleransi laktosa selama bertahun-tahun, tubuh mereka menjadi semakin lali. Perubahan tersebut terus berlaku generasi demi generasi di mana penghasilan enzim laktase terus berlaku sehingga ke usia dewasa.

Di samping itu, sebahagian penyelidik juga berpendapat bahawa mutasi genetik ini berlaku disebabkan oleh nutrisi pada susu itu sendiri. Sama seperti keadaan sebelumnya, meminum susu dari generasi ke generasi membuatkan nutrisi tersebut menjadi sebati pada genetik mereka. Kemudian, ketahanan terhadap laktosa atau lebih tepat, keaktifan laktase semakin tersebar apabila komuniti-komuniti petani-penternak tersebut berkahwin kacuk dengan kebudayaan lain. Misalnya di Coquimbo, Chile, komuniti di sana meraih keaktifan laktase secara meluas setelah bergaul dengan komuniti Eropah yang tiba di sana 500 tahun dahulu.

Selain kaedah penyesuaian terhadap pengambilan susu yang memakan masa panjang sebegini (mutasi genetik), komuniti petani-penternak purba juga beradaptasi dengan laktosa menerusi kaedah-kaedah yang lebih kreatif. Untuk mengurangkan penderitaan dari kesan-kesan sampingan meminum susu, mereka mengambilnya dengan jumlah yang sedikit – sekadar untuk mengalas perut. Malah, mereka juga memproses susu menjadi pelbagai produk tenusu yang ternyata, berupaya mengurangkan kandungan laktosa di dalam susu. Antaranya seperti mentega dan keju.

Di Kujawy, Poland, pasukan arkeologis pernah menemukan molekul lemak susu yang diyakini tinggalan dari proses penghasilan keju pada kira-kira tahun 5500SM. Bulan September 2018 pula, arkeolois menjumpai serpihan tembikar di Croatia moden yang mengandungi asid lemak, berusia sekitar 5200SM. Menurut laporan penyelidikan, tembikar tersebut dipercayai digunakan untuk menghasilkan keju.

Sementara itu, satu lagi produk tenusu iaitu mentega pula muncul sedikit lewat dalam sejarah manusia – sekitar 2500SM. Antara bukti yang mengesahkan kewujudan mentega di zaman purba adalah ukiran mentega pada tablet tanah liat Sumeria.

Keju purba berusia 2000 tahun

KESIMPULAN

Menerusi sub-topik di atas, dapatlah kita ketahui bahawa peminuman susu merupakan satu amalan yang agak baru baru dalam sejarah manusia. Malah, sejarah awalnya dipenuhi dengan bermacam-macam penderitaan akibat kesan sampingan yang dialami oleh komuniti purba. Menerusi adaptasi dan penyesuaian yang dilakukan selama bertahun-tahun, manusia pada akhirnya dapat menikmati susu haiwan sepenuhnya.

Kadar intoleransi laktosa di zaman purba sama sekali berbeza dengan sekarang. Kini, lebih 90% penduduk Eropah Utara tidak mengalami intoleransi laktosa. Keadaan yang sama juga bagi sebilangan penduduk Afrika dan Timur Tengah.

Laporan tahun 2018 dari IFCN Dairy Research Network melampirkan bahawa penghasilan susu sedunia meningkat pada setiap tahun sejak 1998. Pada tahun 2017, sebanyak 864 juta tan susu dihasilkan di seluruh dunia. IFCN menjangkakan bahawa permintaan susu terus meningkat sehingga 35% menjelang 2030, dengan capaian penghasilan mencecah 1.168 juta tan. Di Malaysia pula, Department of Statistics Malaysia melampirkan bahawa penghasilan susu lembu pada tahun 2014 adalah sebanyak 75.3 juta liter dan 76. Juta liter pada 2015.

RUJUKAN

Ancient Origins. (11 September 2019). Humans Have Been Drinking Animal Milk for At Least 6000 Years.
https://www.ancient-origins.net/news-general/milk-0012568

University of York. (10 September 2019). Earliest evidence of milk consumption found in teeth of prehistoric British farmers. Science Daily.
https://www.sciencedaily.com/releases/2019/09/190910105353.htm

Meilan Solly. (11 September 2019). Prehistoric Farmers’ Teeth Show Humans Were Drinking Animal Milk 6000 Years Ago. Smithsonian.
https://www.smithsonianmag.com/smart-news/prehistoric-farmers-teeth-show-humans-were-drinking-animal-milk-6000-years-ago-180973101/

Joseph Castro. (21 Jun 2013). Why Do People Drink Milk. Live Science.
https://www.livescience.com/37649-why-people-drink-milk-benefits.html

Michael Marshall. (20 Februari 2019). Humans didn’t start out being able to diest animal milk – but now many populations do. Why has evolution favoured tolerating dairy? BBC.
https://www.bbc.com/future/article/20190218-when-did-humans-start-drinking-cows-milk

Bob Strauss. (22 Julai 2018). Auroch: Facts and Figures. ThouhtCo.
https://www.thoughtco.com/auroch-1093172


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.