Pemimpin berbangsa Melayu sudah seakan biasa dilihat oleh rakyat di negara kita. Manakan tidaknya, negara kita didiami oleh rakyat yang majoritinya berbangsa Melayu dan sudah tentu  ramai pemimpin negara kita juga berbangsa Melayu. Namun, bagi negara di mana penduduk berbangsa Melayu merupakan golongan minoriti, sukar untuk melihat pemimpin Melayu di negara tersebut.

Di Thailand, jumlah penduduk Melayu di sana berada pada jumlah kurang 2% daripada keseluruhan penduduk Thailand. Namun begitu, kita masih boleh lihat pemimpin Melayu di negara tersebut. Allahyarham Surin Pitsuwan merupakan seorang pemimpin Melayu Islam yang agak terkenal bukan sahaja di Thailand malahan di dunia.

Latar Belakang Surin Pitsuwan

Allahyarham Surin Pitsuwan atau nama sebenarnya Surin Abdul Halim bin Ismail Pitsuwan dilahirkan pada tanggal 28 Oktober 1949 dan dibesarkan dalam sebuah keluarga Melayu Islam di Daerah Selatan Thailand, Nakhon Si Thammarat.

Beliau mendapatkan pendidikan agama Islam daripada datuknya sendiri, Haji Yaakob bin Abdul Rauf yang juga merupakan seorang ulama terkenal. Allahyarham juga telah mendapatkan pendidikan peringkat rendah dan menengah di daerah kelahiran beliau sebelum melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej di Minnesota, Amerika Syarikat setelah berjaya mendapatkan biasiswa daripada American Field Service (AFS).

Sekembalinya Allahyarham dari Amerika Syarikat, beliau terus menyambung lagi pelajarannya di Universiti Thammasat di Bangkok sebelum menyambung lagi pelajarannya di Kolej Claremont McKenna di California, Amerika Syarikat dan seterusnya berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Muda dalam kursus Sains Politik pada tahun 1972.

Allahyarham Surin Pitsuwan dapat dilihat sebagai seorang yang sangat mementingkan pendidikan setelah beliau sekali lagi menyambung pengajiannya dalam peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran di sebuah universiti terkemuka iaitu di Universiti Harvard di Amerika Syarikat. Sebagai tambahan, Allahyarham Surin juga pernah menjadi penulis di dua buah syarikat akhbar Inggeris berbeza di Bangkok.

Selain daripada itu, Allahyarham Surin Pitsuwan juga pernah bekerja sebagai penyelidik di Universiti Thammasat, Bangkok dari tahun 1977 hingga tahun 1983 sebelum menjadi salah seorang tenaga pendidik di universiti yang sama dari tahun 1984 hingga tahun 1986.

Dalam masa yang sama, beliau juga merupakan sebahagian daripada Persatuan Sains Politik Amerika atau American Political Science Association (APSA) sebagai seorang penyelidik dari tahun 1983 hingga tahun 1984 sebelum beliau kembali ke Bangkok untuk menjadi pensyarah di Universiti Thammasat.

Kerjaya Politik Surin Pitsuwan

Allahyarham Surin Pitsuwan meninggalkan kerjayanya sebagai seorang ahli akademik setelah melibatkan diri ke dalam kancah politik Thailand dengan menyertai Parti Demokrat Thailand dan seterusnya berjaya menjadi seorang ahli parlimen mewakili rakyat di daerah kelahiran beliau, Nakhon Si Thammarat pada tahun 1986.

Sebagai tambahan, beliau juga telah dilantik menjadi Setiausaha kepada Speaker Parlimen Thailand pada tahun yang sama beliau dilantik menjadi seorang ahli parlimen. Beliau memegang jawatan tersebut selama hampir 3 tahun dari tahun 1986 sehingga tahun 1988 sebelum dilantik sebagai Pembantu Setiausaha kepada Menteri Dalam Negeri Thailand juga selama hampir 3 tahun dari tahun 1988 hingga tahun 1991.

Pada tahun berikutnya, Allahyarham Surin telah dilantik pula sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri Thailand dan beliau memegang jawatan tersebut selama kurang lebih 3 tahun dari tahun 1992 hingga tahun 1995. Beliau kemudian sekali lagi dilantik untuk memegang sebuah portfolio dalam Jemaah Kabinet Thailand sebagai Menteri Luar Negeri dari tahun 1997 hingga tahun 2001 sebelum Parti Demokrat Thailand tewas dalam Pilihanraya Umum berikutnya kepada Parti Thai Rak Thai seterusnya menjadikan Parti Demokrat Thailand sebagai pihak pembangkang dalam Parlimen Thailand.

Sikap kepimpinan Allahyarham Surin Pitsuwan yang baik telah membuatkan banyak negara lain mencalonkan beliau sebagai calon Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2004. Malang sekali, parti pemerintah Thailand pada ketika itu, Parti Thai Rak Thai tidak menamakan beliau sebagai calon untuk jawatan tersebut dan ramai menganggap tindakan itu adalah akibat daripada perbezaan ideologi politik antara Surin dengan pemimpin parti pemerintah pada ketika itu, Takhsin Shinawatra.

Pada tahun 2006, kuasa pemerintahan kerajaan Thailand dirampas oleh Angkatan Tentera Thailand daripada parti pemerintah, Parti Thai Rak Thai yang pada ketika itu dipimpin oleh Yingluck Shinawatra. Kemudian pada tahun 2007, kabinet sementara Thailand telah menyokong pencalonan Allahyarham Surin Pitsuwan untuk jawatan Setiausaha Agung ASEAN.

Beliau kemudiannya dilantik untuk jawatan tersebut pada tahun berikutnya dan memegang jawatan tersebut selama 5 tahun sehingga awal tahun 2013. Kepakaran dan pengalaman beliau semasa menjadi Menteri Luar Negeri Thailand telah diterapkan beliau semasa memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung ASEAN tersebut untuk membangunkan komuniti dalam negara-negara anggota ASEAN.

Ini telah membuatkan beliau masih diperlukan selepas tidak lagi memegang jawatan tersebut lebih-lebih lagi dalam hal ehwal dalam negara-negara ASEAN. Allahyarham telah dipanggil untuk memberi syarahan kepada kumpulan dalam pelbagai peringkat umur daripada golongan para pelajar sehinggalah ke golongan para penyelidik di serata negara ASEAN.

Setelah tidak lagi memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung ASEAN, beliau kembali ke kancah politik tempatan sekali lagi bersama dengan Parti Demokrat Thailand. Namun begitu, pilihanraya umum Thailand pada tahun 2011 sekali lagi menyaksikan Parti Demokrat Thailand tewas di tangan Parti Thai Rak Thai yang juga dipimpin oleh individu yang sama sebelum Angkatan Tentera Thailand merampas kuasa pemerintahan pada tahun 2006.

Kekalahan Parti Demokrat ini telah sekali lagi menutup peluang Allahyarham untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan Thailand. Walaupun demikian, Angkatan Tentera Thailand sekali lagi merampas kuasa pemerintahan daripada kerajaan sementara di bawah kepimpinan Yingluck Shinawatra pada tahun 2014.

Rampasan kuasa tersebut merupakan rampasan kuasa yang ke-12 dalam sejarah Thailand sejak rampasan kuasa pertama pada tahun 1932. Rampasan kuasa ini juga telah menjejaskan peluang Allahyarham Surin dalam memegang sebarang jawatan penting dalam kerajaan lebih-lebih lagi dalam hal ehwal luar negeri.

Pemergian Mengejut Allahyarham

Pada tanggal 30 November 2014, Allahyarham Surin Abdul Halim bin Ismail Pitsuwan menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 68 tahun. Beliau meninggal dunia atas kegagalan jantung untuk berfungsi semasa beliau sedang bersiap untuk ke Perhimpunan Halal Thailand di Bangkok. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang yang beriman serta dicucuri rahmatNya. Al-fatihah.

Artikel dikirimkan oleh Sang Taming Marhaen untuk The Patriots.

RUJUKAN :

1. Universiti Kebangsaan Malaysia (2018). In Memoriam of Surin Pitsuwan (1949-2017). http://www.ukm.my/ijit/wp-content/uploads/2018/06/IJIT-Vol-13-June-2018_13_135-137.pdf

2. The Jakarta Post (2012). Editorial: Thank you Khun Surin. https://www.thejakartapost.com/news/2012/12/28/editorial-thank-you-khun-surin.html

3. Bangkok Post (2017). The tragedy of Thailand’s Surin Pitsuwan. https://www.bangkokpost.com/opinion/opinion/1378855/the-tragedy-of-thailands-surin-pitsuwan


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.