Surat Terbuka Untuk Menteri Pertahanan Malaysia, Mat Sabu

0
5907
views

Malaysia Baharu yang cuba diusahakan oleh kerajaan PH sebagai sebuah kerajaan yang telus sangatlah saya hargai. Ketelusan untuk mendedahkan kesilapan kerajaan ssebelum ini sampaikan pelaburan hilang berbilion ringgit saya kira sebagai sebuah perjudian yang dibuat demi mengangkat nilai ketelusan. Ketelusan membongkarkan korupsi yang dilakukan oleh pemimpin sebelum kita juga sangat saya julangn. Meskipun ada ketelusan yang saya sendiri ragui sepert definisi pengukuran hutang negara.

Namun, itu semua tidak pernah memaksa saya menulis sebuah surat terbuka sehinggalah kesilapan yang dilakukan oleh Menteri Pertahanan Malaysia baru-baru ini. Namun, dalam banyak ketelusan itu, saya kira kita perlu meletakkan sebuah garis sempadan untuk berkata kepada diri kita sendiri ada perkara melibatkan kejujuran adalah sebuah perkara yang bunuh diri. Ya, ketelusan YB Mat Sabu dalam mendedahkan asset pertahanan kita itulah yang saya anggap sebagai perbuatan bunuh diri.

Jetpack Langkawi

Kiranya saya mulakan surat ini dengan hadis Rasulullah S.A.W dibawah adalah paling molek.

“Berbohong itu tidak halal (tidak dibenarkan) kecuali dalam tiga perkara (iaitu) suami pada isterinya agar mendapat redha isterinya, bohong dalam peperangan, dan bohong untuk mendamaikan di antara manusia.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Dalam hadis sama riwayat Tirmizi:

Ibnu Abdillah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda (maksudnya), “Peperangan itu adalah muslihat (tipu daya).”

YB Menhan sedang mengetuai sebuah kementerian pertahanan, di mana ia adalah asas dalam sebuah peperangan. Asas kepada peperangan seperti mana yang dikatakan dalam hadis nabi di atas adalah berdasarkan tipu muslihat malah salah satu keadaan yang membenarkan tipu muslihat dalam Islam ialah peperangan. Dan ya, YB sedang memimpin satu sektor kementerian yang berkaitan dengan peperangan.

Dalam rekod yang dilaporkan oleh media, saya dapati YB tanpa segan silu mendedahkan kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam pertananan negara kita. Contohnya pada 31 Julai lepas, YB Menhan telah melaporkan kepada dunia mengenai ketidakmampuan pesawat Sukhoi kita untuk terbang melainkan 4 buah sahaja. Kemudian, pada tarikh 7 Ogos semalam, sekali lagi YB Menhan mendedahkan bahawa kekuatan military Malaysia  adalah ditahap yang terlemah di Asia Tenggara.

Saya tidak berminat untuk mengulas mengenai kebenaran dakwaan ini. Ia boleh jadi adalah usaha YB Menhan untuk mendedahkan mengenai kepincangan kerajaan sebelum ini secara jujur, ia juga boleh jadi modal politik. Tentang analisis pertahanan negara sama ada yang paling lemah di Asia Tenggara, saya serahkan kepada sahabat-sahabat lain yang lebih berpengalaman untuk menguruskannya. Saya sendiri melihat mereka menaikkan perbahasan demi perbahasan mereka membidas kenyataan YB Menhan.

Tetapi walau sebenar mana pun tindakan ini, saya berpendapat bahawa Yb Menhan tidak seharusnya mendedahkan mengenai perkara ini, sebaliknya menyelesaikan di dalam kelambu. Mengapa? Saya akan beri beberapa contoh sejarah untuk pemahaman YB dan juga rakan-rakan lain yang membaca surat terbuka ini.

Dalam sejarah Melaka, Tun Perak tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai seorang tokoh agung tamadun Melayu memberikan teladan yang patut dicontohi. Kemenangan Tun Perak melawan serangan Siam dalam Pertempuran Batu Pahat pada 1456 Masihi antara Melaka dan Siam. Dalam pertempuran itu, Tun Perak telah melakukan tipu helah yang sehingga hari ini, masih dipuja. Tipu helah Tun Perak yang kita ketahui adalah bagaimana Tun Perak cuba memaparkan betapa armada dan bala tentera Melaka adalah mengatasi yang dimiliki oleh pasukan Siam meskipun mereka lebih kuat daripada yang disangkakan? Tun Perak telah memasang unggun-unggun api pada pokok-pokok balak. Apabila bala tentera Siam sampai, mereka kelihatan terkejut dengan apa yang terlihat depan mata. Seolah-olah tentera Melaka berganda-ganda lebih banyak daripada yang dimiliki mereka!

Taktik yang sama dapat dilihat pada apa yang dilakukan oleh sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Khalid Al-Walid. Ketika betapa tentera Islam sangat ketinggalan ketumbukan tentera mereka berbanding dengan Byzantine dalam Pertempuran Mutah yang berkali-kali ganda daripada yang dimiliki oleh tentera Islam, Khalid Al-Walid merencanakan sebuah strategi untuk memberi gambaran bahawa tentera Islam memiliki ketumbukan berganda-ganda daripada yang dimilikinya.

Khalid Al-Walid telah menukarkan formasi tenteranya sekerap mungkin. Pasukan hadapan akan ditukarkan ke belakang, dan pasukan belakang ke berubah ke posisi hadapan. Begitu juga dengan sayap kanan dan kiri bertukar tempat silih berganti. Ini dilakukan demi menunjukkan gambaran kepada pasukan Byzantine kononnya terdapat bantuan ketenteraan dari Madinah. Dalam masa yang sama juga, dicatatkan bahawa Khalid Al-Walid telah mengerahkan beberapa orang tentera muslim agar berjalan dari arah kejauhan sambal menarik pelepah-pelepah pokok agar nanti dengan helah itu, akan menimbulkan efek debu yang berterbangan di maat tentera musuh, menyakinkan tentera Byzantine bahawa tentera Islam sedang menerima bantuan.

Dicatatkan selepas itu, Khalid memaksa tentera Islam berundur ke Mekah, namun ketika pengunduran itu, tentera Byzantine tidak menyertai pertempuran kerana takutkan perangkap yang akan menanti mereka, dalam masa yang sama, mereka menjadi gerun dengan helah Khalid Al-Walid yang memberikan gambaran seolah-olah tentera Islam baru sahaja menambah ketumbukan tentera dan ketumbukan tentera menambahkan kekuatan tentera?

Pada pertempuran yang lain pula, strategi yang lebih kurang sama digunakan. Pertempuran Xieting yang berlaku pada tahun sekitar 228 Masihi melibatkan kisah kebijaksanaan Zhuge Liang yang berjaya menghalau 150 ribu orang tentera yang dibawa Sima Yi dengan 2500 orang tentera sahaja tanpa sebarang pertumpahan darah. Dalam pertempuran ini, Sima Yi ditakutkan dengan strategi membiarkan kota terbuka oleh Zhuge Liang.

Ketika Sima Yi datang dengan bala tenteranya yang sangat besar ke Kota Xieting, dia melihat Zhuge Liang sedang bersemayam di atas sebuah pentas bersama kipasnya sambil bermain alat muzik tradisional, menanti penuh sabar Sima Yi untuk masuk ke kota yang dibiarkan terbuka. Seolah-olah memberi gambaran ada tentera yang sangat besar sedang berlindung disebalik kota sebagai perangkap kepada 150 ribu orang tentera Zhuge Liang. Dalam masa yang sama, Zhuge Liang mengarahkan beberapa orang tenteranya berpakaian seperti orang biasa sambil menyapu sampah. Akhirnya, selepas berfikir dalam-dalam, Sima Yi menarik ketumbukan tenteranya daripada medan perang.

Jadi, selepas membaca tiga contoh pertempuran di atas, apakah sebenarnya yang saya nak sampaikan? Baiklah, pengajarannya adalah terkandung pada ulasan dibawah. Pada pertempuran pertama, kedua dan ketiga, kita dapat melihat betapa walau selemah mana tentera Melayu Melaka, Islam dan Zhuge Liang, betapa panglima tentera tertinggi mereka berusaha sedaya upaya untuk memastikan bahawa mereka kelihatan tersangat kuat demi menakutkan musuh untuk tidak sesekali menyerang mereka. Ini sesuai dengan falsafah Sun Tzu dalam karya agungnya, Seni Peperangan.

“Tunjukkan kau kuat bila kau lemah, tunjukkan kau lemah bila kau kuat!”Sun Tzu.

Bahkan, pada Pertempuran Ketiga itu sendiri, kita juga dapat melihat betapa elemen ketidakpastian, keraguan dan syak wasangka juga memainkan peranan dalam menang dalam pertempuran. Betapa elemen itu telah membuatkan Sima Yi menarik tenteranya. Janganlah ditarik elemen ini pada aset pertahanan kita apabila YB Menhan mendedahkan satu demi satu kelemahan aset pertahanan kita. Saya masih lagi ingat sebuah drama Hong Kong yang memaparkan babak bermakna dalam sejarah ini. Watak Sima Yi ditayangkan bertutur sedemikian:

“Aku kenal siapa Zhuge Liang daripada kalian. Dia bukanlah seorang ahli taktik perang yang mengambil risiko seperti ini. Dia ialah seorang ahli taktikal yang sangat cermat dan teliti dan suka menggunakan keadaan alam di sekelilingnya. Ya, kota yang kita akan serang ini mungkin terlalu kecil untuk menempatkan askar yang banyak untuk serangan mengejut. Tapi lihat bukit dan gunung-gunung yang mengapit kota ini. Mungkin tentera-tentera Zhuge Liang berselindung di balik sana!”

Kalau ada yang berhujah mungkin YB Menhan bertindak berdasarkan saranan kedua Sun Tzu, saya ingin berbeza pendapat. Pada waktu keamanan, bertindak sedemikian hanya akan memancing serangan ke atas negara kita.

Pada waktu peperangan, saranan nombor dua adalah sangat perlu kerana ia memerlukan elemen kejutan bagi menenangi pertempuran. Saranan kedua Sun Tzu adalah bertujuan untuk menarik tentera yang lebih lemah menyerang atau memasuki perangkap yang disediakan. Jadi, ia tak berfungsi pada saat sebuah negara cuba sedaya upaya untuk mengelakkan sebarang bentuk peperangan. Sebab itu, pada waktu keamanan diplomasi bersifat mempamerkan kekuatan ketenteraan demi memujuk atau menundukkan negara lain seperti Gunboat Diplomacy adalah selalu kelihatan dalam sepanjang sejarah dunia.

Berbalik kepada topik perbahasan, sebenarnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Menhan secara tidak langsung langsung telah mendedahkan kepada dunia dua perkara:

  1. Malaysia sedang berada pada tahap terendah berkait dengan aset pertahanan negara.
  2. YB Menhan telah membuang unsur ragu-ragu, suspicious, keliru pada di mana kekuatan aset pertahanan negara kita. dengan melondehkan segala-galanya.

Apa yang saya nak paparkan jangan buka pintu negara kita seluas-luasnya pada ancaman asing. Ancaman tersebut bukan sahaja melibatkan negara jiran atau kuasa besar, malah ancaman pengganas seperti ISIS dan Daesh. Bayangkan kalau mereka mampu meletupkan bom di negara yang dijolok aset pertahanan nombor satu di Asia Tenggara, kenapa tidak negara terlemah di Asia Tenggara seperti kita?

Sebelum ini selain daripada kehebatan unit risikan dan unit pertahanan kita membuat kerja sehingga negara kita aman daripada segala ancaman ini, aspek curiga dan takut dengan pertahanan negara kita yang ampuh bakal terlucut, lalu membuka jemputan untuk segala tragedy yang bakal berlaku. Tidak hairan kalau selepas ini, ada kejadian bom bunuh diri di tempat awam sehingga meragut ribuan nyawa! Nauzubilihiminzalik!

YB Menhan, saya ingin mengingatkan Baghdad mampu dilanggar oleh Hulagu Khan adalah apabila kerana Khalifah Mutashim Billah memaklumkan Hulagu Khan bahawa pasukan tentera utama diberikan cuti selama sebulan dan hanya tinggal pengawal istana sahaja yang mmpertahankan kota. Jangan diulangi kesilapan-kesilapan yang melibatkan pemimpin yang lepas. Juga, ambil pengajaran daripada pemimpin yang berjaya melindungi negara, kerajaan dan tentera mereka.

Kalau ada apa-apa info mengenai kelemahan aset pertahanan, saranan saya adalah semoga ia diselesaikan dalam kelambu. Janganlah dibocorkan segala-galanya, ditakuti ia akan menjadi senjata makan diri. Berhenti berpolitik dan berkhidmatlah seperti mana Menteri Pertahanan sewajarnya berkhidmat. Seperti mana dalam hadis nabi, peperangan adalah mengenai tipu daya. Terlalu jujur bakal memakan kita semua. Teruskan berhelah bila merangkumi soal keselamatan.

Akhir kata, pasakkan pesanan Sun Tzu ini pada dada kita semua:

“Kalau anda berpengetahuan tentang musuh dan diri anda, tidak perlu khuatir tentang 100 pertempuran yang mendatang.” Sun Tzu. 

Jangan sesekali memberikan peluang kepada musuh untuk mengenali kita atau kita akan tempang seratus langkah ke hadapan!

 

Previous articleMenjual Sarawak Kepada Raja Belgium
Next articlePerjalanan Panjang Bahasa Inggeris
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE