Kehadapan menteri pendidikan negara iaitu Dr Maszlee Malik yang  ini gempar seluruh Malaysia kerana mencadangkan supaya kes 1MDB diletakkan di dalam buku teks sejarah.

Sebenarnya kami di The Patriots menentang cadangan tersebut kerana masih lagi banyak topik-topik yang lebih penting yang perlu diberi penekanan yang seharus ditumpukan oleh Dr Maszlee selaku seorang menteri pendidikan. Lagipun kami tidak mahu mata pelajaran sejarah yang merupakan senjata terbaik untuk naikkan jati diri anak bangsa pula menjadi senjata politik.

Justeru, daripada mempertaruhkan nasib anak bangsa demi nafsu politik, apa kata menteri pendidikan sendiri memberikan penekanan yang sebenar untuk menaikkan silabus buku teks negara kita? Kalau tidak ada ada idea, mari membaca fakta-fakta sejarah yang terlepas daripada silabus buku teks sebelum ini yang kami rasakan perlu dimasukkan dan diberi penekanan. Antara sejarah yang tercicir ialah:

TAHUKAH ANDA PERKARA DI BAWAH PERLU DIMASUKKAN DALAM BUKU TEKS KITA… 

1. Bahawa semasa Portugis menawan Melaka, Melaka bukannya bersenjatakan lembing, tombak dan keris tetapi senjata api dengan meriam termasuk Lela Rentaka berserta dengan kehebatan senjata api Melayu yang dikatakan setaraf kualitinya dengan yang dimiliki di Eropah?

2. Bahawa tamadun Melayu tidak bermula dengan Melaka, bahkan dapat dijejak sehingga 600 SM sezaman dengan tamadun purba yang lain seperti Yunani, Babylon dan Rom?

3. Bahawa ujian DNA yang dilakukan ke atas orang Melayu adalah berusia 60, 000 tahun lamanya menandakan bahawa Melayu bukan pendatang? Malangnya fakta ini tidak diketahui sehinggakan ada menteri dari PH seperti Kulasegaran yang begitu beriya-iya mengatakan Melayu pendatang.

4. Bahawa terdapat tiga kumpulan utama Orang Asli di Semenanjung Malaysia iaitu Semang (Negrito), Senoi dan Melayu Asli (Aborigine Malay) yang dibezakan melalui bahasa, kebudayaan, cara hidup serta ciri-ciri fizikal. Daripada tiga kumpulan utama ini terbahagi pula suku kaum yang kecil?

5. Bahawa suku Senoi merupakan suku yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Suku Senoi terdiri daripada Temiar, Semai, Che Wong, Jahut, Semoq Beri dan Mah Meri. Kumpulan Melayu Asli pula merangkumi Temuas Belandas, Semelai, Jakun, Orang Kanaq, Orang Seletar dan Orang Kuala atau Laut. Dalam kumpulan Semang (Negrito) terdapat suku Kintak, Kensiu, Jahai, Mendriq, Batek dan Lanoh dan orang Melayu adalah serumpun dengan ketiga-tiga kumpulan orang asli yang disebutkan di atas?

6. Bahawa untuk membaca sejarah silam yang berusia lebih tua dari sempadan geografi moden, kita tidak boleh memandang dengan sempadan geografi moden yang kita cakapkan hari ini?

7. Bahawa tokoh-tokoh agung Melayu bukanlah merangkumi Hang Tuah sahaja, bahkan boleh dilihat dalam lipatan sejarah? Misalnya seperti mana Hang Nadim melawan Feringgi dengan strategi perangnya yang menarik sehingga menjadi lawan setanding Portugis di Alam Melayu, atau tentang bagaimana Laksamana Tun Abdul Jamil berjaya menakluk Melaka dari Belanda, atau tentang bagaimana wujudnya tokoh saintis merangkap ulama hebat seperti Sheikh Ahmad Wan Al-Fathani?

8. Atau bercerita mengenai pengorbanan anak bumi Sabah dan Sarawak dalam mempertahankan kedaulatan negara dari zaman pra-merdeka seperti Panglima Kulow atau Apai Semaring atau Rukun 13 dan Pejuang Benteng 338 atau ketika Konfrontasi dengan Indonesia yang di mana anak Sabah dan Sarawak begitu gigih mempertahankan negara?

9. Atau tentang bagaimana wujudnya taburan kerajaan Melayu di Borneo, atau bagaimana pulau ini dikatakan tempat datang dan berasalnya Bahasa Melayu bagi membetulkan tanggapan segelintir golongan di Sabah dan Sarawak yang mengatakan orang Melayu ialah pendatang dari Semenanjung semata-mata yang hari ini masih lagi dipinggirkan pembangunan mereka oleh kerajaan pusat.

10. Atau bahawa memberikan penjelasan mengenai kedudukan 153, 152 atau hak-hak Bumiputera yang lain sehingga tidak ada menteri atau YB dari kerajaan atau pembangkang yang begitu galak mempertikaikan perkara ini sehingga mahu meratifikasikan ICERD.

11.  Terus bercerita keagungan kerajaan Melayu Purba selain Melaka seperti Srivijaya, Kedah Tua, Sri Dharmaraja, Johor, Pahang Tua dan sebagainya agar nanti tidaklah ada lagi seorang Menteri Perpaduan berucap mengatakan bahawa orang Melayu sebagai tidak bertamadun? Keagungan yang diceritakan selalu diiringi sikap segan untuk meletakkan nama Melayu padanya.

12. Bahawa orang pertama mengelilingi dunia ialah orang Melayu, bukannya orang putih seperti mana yang kita jangkakan?

13. Bahawa penceritaan sejarah yang “setengah masak” dalam buku teks mengenai Perjanjian Malaysia 1963, Suruhanjaya Cobbold, IGC report membuatkan banyak anak Sabah dan Sarawak yang lain tidak mengetahui mengenai hak-hak yang dimiliki oleh mereka apabila bersama dalam Persekutuan Malaysia?

14. Bahawa daerah Dinding, Perak merupakan sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat?

15. Bahawa penjajahan efektif British cuma di Negeri-Negeri Selat?

16. Bahawa 1 Februari 1948 merupakan tarikh penubuhan Persekutuan Tanah Melayu?

17. Bahawa yang menyerahkan Sarawak kepada British adalah Anthony Brooke?
Bahawa di sebalik tabir menentang penjajahan Jepun, PKM pernah cuba bergabung tenaga dengan Ibrahim Yaacob dan Jepun untuk menghalang kembalinya British ke Tanah Melayu?

18. Bahawa yang menentang penjajahan Jepun bukan sahaja MPAJA, tetapi juga OCAJA, Askar Wataniah Pahang, Askar Wataniah Perak, Gerila Kinabalu dan Tentera Semut?

19. Bahawa Tentera Merah Jepun pernah menawan Bangunan AIA yang menempatkan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur?

20. Bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahman mati ditembak pengganas di celah-celah kota KL?

21. Bahawa sebutir bom pernah meletup di bangunan Bank Muamalat hari ini di tahun 1980-an?

22. Bahawa Tugu Negara pernah diletupkan pengganas?

23. Bahawa seorang juruaudit Bank Bumiputera mati dibunuh sehari sebelum wang dilesapkan dalam skandal Carrian Group/BMF yang turut menyaksikan pengaplikasian injuksi Mareva?

24. Bahawa seorang Prebet askar tengah mengamuk di tengah kota Chow Kit bersenjatakan rifle M16A1 dan kisahnya kemudiannya diputarbelit untuk menggerakkan rakyat menyokong pemansuhan imuniti bagi kerabat diraja?

25. Bagaimana kumpulan Gerila Kinabalu di bawah Capt Albert Kwok menggerakkan 200 gerila menawan Api-Api dan Jesselton pada 10 Okt 1943 sehinggakan melumpuhkan pergerakan Tentera Jepun?

26. Bagaimana tragedi runtuhnya pengkalan Feri di Pulau Pinang mengubah pandangan warga Pulau Pinang terhadap pembinaan Jambatan Pulau Pinang?

Dan banyak lagi fakta-fakta yang penting dalam pembinaan negara kita yang masih belum dimasukkan, namun menteri pendidikan kita hanya tahu meratip 1MDB… 1MDB sepanjang masa. Biarlah kes tersebut diselesaikan di mahkamah, sambil itu kita sama-sama membangunkan anak bangsa ke tahap yang lebih baik daripada hari ini!

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.