Surat Rasullulah S.A.W Kepada Raja Habsyah

1,199

Menurut riwayat daripada al-Baihaqi, Nabi Muhammad SAW telah menyusuli rombongan Muhajirin ke Habsyah dan mengutuskan surat kepada Raja Najasyi. Surat Baginda mengatakan sedemikian,

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Daripada Muhammad kepada Raja Najasyi (raja Habsyah). Salamu ‘alaika. Sesungguhnya aku tujukan kepadamu dengan memuji kepada Allah, Raja Yang Maha Suci lagi Memberi Keamanan lagi Maha Memelihara. Aku bersaksi bahawa Isa itu roh Allah dan kalimah yang dikurniakan kepada Maryam yang bersih dan suci daripada sebarang kejahatan. Lalu dia mengandungkan Isa.

Maka, Allah menciptanya daripada roh yang dicipta-Nya dan tiupan-Nya (yang layak dengan sifat ketuhanan-Nya). Sesungguhnya, aku menyeru kamu kepada Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Mengajak kamu setia memberi ketaatan mutlak kepada-Nya. Bahawa kamu mengikuti-Nya, beriman kepadaku dan kepada ajaran yang didatangkan kepadaku.

Sesungguhnya, aku ialah Rasulullah. Aku utuskan kepadamu sepupuku Ja’far dan bersamanya beberapa orang-orang Islam. Tinggalkanlah sifat sombong, dan sesungguhnya aku mengajak kamu dan bala tentera kamu kepada Allah Azzawajalla. Sesungguhnya, aku telah menyampaikan dan memberikan nasihat, terimalah nasihatku. Selamat sejahteralah kepada sesiapa yang mengikuti petunjuk yang sebenar.”

Lalu, ini pula surat balasan daripada Raja Najasyi yang mengatakan,

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Kepada Muhammad Rasulullah, selamat sejahtera ke atasmu wahai Nabi Allah, daripada Allah dan ke atasmu jua rahmat dan berkat-Nya. Tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Dia, yang telah memberikan petunjuk kepada daku untuk menerima Islam. Sesungguhnya, telah sampai kepadaku surat daripadamu wahai Rasulullah.

Di dalamnya telah engkau sebutkan berkenaan Nabi Isa. Demi Tuhan yang memiliki langit dan bumi, bahawa Isa AS tidak lebih daripada perkara yang kau sebutkan. Sesungguhnya, kami telah mengetahui perkara yang engkau utuskan kepada kami. Kami mendekatkan diri dengan sepupumu dan para sahabatnya.

Maka, aku naik saksi bahawa sesungguhnya aku berbaiah kepadamu, berbaiah kepada sepupumu dan aku masuk Islam di hadapannya kerana Allah, Tuhan sekalian alam. Aku utuskan kepadamu, Ariha bin Asham bin Abhar. Sesungguhnya, aku tidak memiliki apa-apa melainkan diriku. Jika engkau mahu aku datang sendiri menemuimu ya Rasulullah, nescaya aku akan melakukannya. Sesungguhnya, aku bersaksi bahawa perkara yang kamu sabdakan adalah benar.”

Anda sedang membaca sebahagian daripada buku Muhammad: Diplomasi Dan Dakwah yang diterbitkan oleh kami. Berminat nak dapatkan buku ini? Mohon segera wassap pada nombor www.wasap.my/60195812791.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.