Surat Maharaja Melayu Kepada Khalifah Umar Abdul Aziz

4,801

Seorang sarjana Andalusia yang benama Ibnu Abd Rabbih (860-940 M) menulis di dalam bukunya yang bertajuk “Al Iqd Al Farid” (Kalung yang Istimewa) bahawa terdapat seorang Maharaja dari Wilayah Hind yang mengutuskan surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Kandungan surat adalah seperti berikut :-

“Dari Raja sekalian para raja (Malik al Amlak) yang juga adalah keturunan ribuan raja, yang isterinya pun adalah cucu dari ribuan raja, yang tamannya dipenuhi dengan ribuan ekor gajah, yang wilayah kekuasaannya terdiri dari dua batang sungai yang mengairi tanaman gaharu, rempah wangi, pokok pala, dan kapur barus yang bau keharumannya semerbak sehingga 12 batu jauhnya.

Kepada Raja Arab (Khalifah Umar bin Abdul Aziz) yang tidak menyembah tuhan-tuhan lain selain Tuhan yang satu. Aku telah mengirimkan kepada engkau hadiah yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan. Aku harap engkau sudi mengutuskan seseorang untuk menerangkan ajaran Islam dan segala hukum-hukumnya kepadaku”…

Prof Q.S Fatimi menjelaskan bahawa wilayah Hind yang dimaksudkan dalam surat itu bukanlah India tetapi Srivijaya. Maka Maharaja yang mengutuskan surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz itu adalah Sri Indavarman (Raja Srivijaya). Ini kerana pada zaman itu, orang-orang Arab memanggil wilayah Nusantara sebagai Aqsal Hind (India yang jauh). Wilayah Champa (Hari ini Vietnam & Kemboja) pula dipanggil Hindi Siniyyah (dari sini terbit perkataan Indo China).

Prof Fatimi juga menyatakan wilayah yang dimaksudkan oleh Sri Indavarman dalam suratnya kepada Umar Abdul Aziz itu adalah Muara Takus. Ini berdasarkan tulisan Dr Schnitger yang bertajuk “The Forgetten Kingdom in Sumatera”, bahawa Muara Takus merupakan tempat banyak gajah & direntangi oleh dua batang sungai.

Antara bukti kuat yang lain bahawa surat itu dari Srivijaya (Nusantara) bukan dari India ialah:-

1) Kapur barus merupakan hasil bumi Sumatera bukan India.

2) Tiada Raja di India yang mengutus surat kepada khalifah Bani Umayyah untuk mengajarkan Islam kerana Islam telah tersebar di India pada zaman Khalifah Al Walid melalui panglima Muhammad bin Qasim. Ketika zaman Umar Abdul Aziz, Islam telah tersebar meluas di India, tetapi tidak di Nusantara

*Surat ini dikatakan masih tersimpan di Muzium Madrid, Sepanyol.

GAMBAR: Candi Muara Takus yang merupakan kompleks agama Buddha yang dibina oleh Empayar Melayu Srivijaya.

Komen HE: Maharaja Indravarman dari Srivijaya yang mengirimkan surat agar diajarkan kepada orang Melayu akan agama Islam dipercayai oleh sebahagian sejarawan sebagai orang Melayu pertama memeluk Islam dalam sejarah.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.