Surat Cinta Yang Menyayat Hati Dari Tamadun Purba Korea

1,979

Luahan cinta terhadap seseorang yang dikasihi biasanya diungkap dengan kepelbagaian gaya bahasa yang bertujuan untuk menyentuh hatinya. Surat cinta itu berbaur rasa cinta, rindu, resah, dan segala macam perasaan yang terlalu sukar diungkap dengan apa-apa juga perkataan. Anehnya, mereka yang mengilhamkan ungkapan-ungkapan puitis itu terlalu kreatif. Terlalu estetik.

Kalau zaman Melayu lama, perasaan cinta itu diungkapkan melalui pantun. Pemilihan diksi untuk pantun-pantun cinta itu terlalu indah. Misalnya,

Kalau roboh kota Melaka,
Sayang selasih di dalam puan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Rasa nak mati dipangku Tuan.

Bunga melati terapung-apung
Bunga ramapi di dalam puan,
Rindu hati tidak tertanggung,
Bilakah dapat berjumpa tuan?

Perasaan cinta itu juga diungkapkan dalam lagu. Antara lagu yang diklasifikasikan diksi dan metaforanya indah ialah lagu Gurindam Jiwa.

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Anak cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati

Batang selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga


Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan


Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga

Ungkapan cinta itu bukan sahaja diungkapkan melalui pantun dan lagu tetapi juga melalui surat. Zaman sebelum adanya emel dan telefon bimbit, luahan-luahan rasa itu dikirim melalui surat yang dikarang dengan penuh jiwa dan raga. Kadang-kadang surat itu tiba disertai bunga dan adakalanya berbau harum dek semburan minyak wangi atau bedak.

Malah, ada yang juga yang lebih berani menghantar surat bertandatangankan kucupan bergincu. Mereka yang melalui zaman percintaan ini pasti pernah menggunakan kaedah-kaedah tersebut.

Kemudian, ada pula khidmat pesanan ringkas (SMS) dan bermula SMS inilah kepuitisan ungkapan cinta itu sudah mula berkurangan. Kini, ayat-ayat WeChat dan WhatsApp atau apa-apa aplikasi yang sepertinya sudah menggantikan sepenuhnya cara penyampaian rasa cinta itu. Langsung hilang seni dan kreativitinya.

Begitulah “indahnya” ayat cinta WeChat yang adakalanya memperlihatkan kurang adabnya. Hilang nilai kesantunan bahasanya. Begitupun, banyak juga yang cair membacanya.

Begitulah evolusi ayat-ayat cinta secara ringkasnya. Namun begitu, tahukah anda bahawa ada sepucuk surat cinta yang berusia beratus-ratus masih elok pada waktu ditemukan oleh para arkeologis di Kota Adong, Korea Selatan?

Terjemahannya:

Kepada ayah Won,
1 Julai, 1586.

Kau selalu mengungkapkan, “sayang, ayuh hidup bersama sampai rambut jadi uban”, lalu kita pun mati pada detik itu. Tapi kenapa kau sanggup pergi tanpa aku? Siapa yang patut aku dan anak aku bergantung untuk hidup? Sampai hati kau pergi dulu sebelum aku…

Bagaimana kau memberikan hati kau kepada aku dan bagaimana aku memberikan hati aku kepada kau? Bilamana kita berbaring bersama, kau sentiasa beritahu, “sayang… apakah setiap orang meraihkan cinta seperti mana kita? Apakah mereka seperti kita?” Dan kemudian, sampainya hati kau tinggalkan aku.

Aku tak mampu hidup tanpa kau. Aku nak pergi ke kau. Tolong bawa aku ke tempat kau berada. Perasaan aku di dunia ini tidak mampu aku buang dan sayang aku untuk kau tak ada hadnya.

Tolonglah baca surat ini dan ceritakan perincinya dalam mimpi aku nanti. Hanya semata-mata aku nak dengar butir kata kau dalam mimpi, maka aku tuliskan surat ini. Teliti surat ini dan bercakaplah dengan aku.

Bila aku melahirkan anak kita nanti, pada siapa dia patut panggil ayah? Bolehkah seseorang memahami apa yang sedang aku hadapi? Sungguh, tiadalah tragedi seperti ini beraku dibawah langit melainkan pada aku.

Kau sekarang sedang berada di tempat lain, dan tak mungkin dalam kesedihan seperti yang aku rasa. Tiada penghujungnya kehilangan ini ketika aku menulis surat ini. Tolonglah baca surat ini dan datanglah kepada aku dalam mimpi nanti. Aku percaya yang aku dapat melihat kau dalam mimpi. Datanglah dalam mimpi aku secara rahsia dan tunjukkanlah diri kau kepada aku. Tiadalah batasnya apa yang aku mahu bataskan dan aku noktahkan surat ini sampai sini.

Pada tahun 1998, para arkeologis di Korea Selatan menemukan sebuah makam yang berisi sosok seorang pemuda yang sudah diawetkan ketika melakukan penggalian makam kuno di Kota Adong, Korea Selatan. Mereka percaya bahawa mayat tersebut bernama Eung Tae Lee yang hidup pada abad ke-16.

Para arkelogi menganggarkan bahawa pemuda ini meninggal dunia pada usia 30 tahun.  Mendiang adalah sebahagian daripada klan Goseong Yi. Kisah kematian mendiang Eung Tae Lee begitu dramatis kerana pada saat ditemukan, mayat Eung Tae Lee mendakap sepucuk surat dengan isi yang sangat menyentuh beberapa orang arkeologis sehingga ada yang menitiskan air mata saat membaca isi surat tersebut.

Surat itu ditulis oleh isterinya yang sedang hamil. Surat yang ditulis dengan bait-bait yang penuh kesedihan itu dialamatkan kepada ayah dari anak yang sedang dalam kandungannya. Di sisi kepala mayat itu, para arkeologis juga menemukan sepasang sandal yang diperbuat daripada anyaman jerami dan rambut isterinya sendiri. Pada masa duka itu, dia memotong rambutnya, menjalinnya dan merajut rambutnya bersama helaian jerami untuk dijadikan sepasang sandal untuk suaminya. Sandal itu dikuburkan bersama dengan jenazah suaminya.

Iktibar daripada kisah ini, bagi pembaca yang sudah ada pasangan hidup, hargailah setiap saat itu bersama pasangan yang sangat mencintai anda. Jangan sesekali mensia-siakan cinta yang menjadi anugerah terindah dalam kehidupan kita kerana tidak semua manusia dianugerahkan rasa cinta.

Walau sesibuk mana sekalipun anda, siramilah hubungan anda dengan pasangan dengan kata-kata cinta yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Tidak perlu malu. Tidak perlu berasa anda ketinggalan zaman. Cinta dianugerahkan kepada mereka yang menjadi pilihan Allah. Jangan juga menjadikan cinta sebahagian daripada permainan untuk mempersendakan atau bertujuan hanya untuk mempermainkan seseorang.

RUJUKAN:

  1. Last Words of Love Were Sealed for 500 Years in a Korean Tomb. https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/last-words-love-were-sealed-500-years-korean-tomb-009202
  2. Korean Love Affair. https://archive.archaeology.org/1003/abstracts/korea.html 

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.