Moving Forward As One

Sungai Legenda Yang Hilang Di Padang Pasir Terbesar Dunia – Rub al-Khali

1,101

Masyarakat Badwi yang hidup di selatan Tanah Arab mempunyai legenda yang menceritakan tentang kewujudan sungai besar di sebelah barat semenanjung. Begitu juga dengan sebuah syair Arab kurun ke-8 Masehi yang mengisahkan tentang lembu-lembu liar yang hidup Rub al-Khali. Hal ini membangkitkan satu persoalan dalam benak fikiran kita, “Apakah benar dahulu wujud sungai di tanah gersang Arab?”

Sebagai makluman, Rub al-Khali adalah padang pasir terbesar di dunia, merangkumi kawasan seluas 650,000 km persegi (250,966 batu persegi) atau sekitar satu pertiga dari luas keseluruhan selatan Tanah Arab. Ia juga merupakan kawasan paling kering dan paling panas di muka bumi, dengan suhu puratanya melebihi 50 darjah Celsius dan purata hujan tahunan pula kurang 3 cm.

Rupa bumi di Rub al-Khali

Selain sumber legenda dan sastera, bukti-bukti saintifik yang menyokong teori kewujudan sungai purba di gurun Arab juga dilihat cukup meyakinkan. Pertama, peta-peta terawal Semenanjung Tanah Arab dengan jelas menunjukkan kewujudan dua batang sungai yang besar yang mengalir di sepanjang Rub al-Khali; satunya mengalir ke utara memasuki Teluk Parsi, sambil satu lagi mengalir ke selatan memasuki Laut Arab. Walaupun peta ini dilukis pada kurun ke-15 Masehi, ia pada hakikatnya mengambil sumber daripada peta Ptolemy yang dihasilkan sekitar tahun 150 M. Dalam erti kata lain, peta tersebut menggambarkan keadaan di Rub al-Khali pada 2000 tahun yang lampau.

Peta Semenanjung Tanah Arab yang dihasilkan pada 1467, dengan bersumberkan peta Ptolemy yang dihasilkan pada 150 M

Kedua, ramai peneroka bermula dengan St. John Philby (tahun 1932) serta tinjauan-tinjauan geologi yang dilakukan lebih kebelakangan telah berjaya menemukan sejumlah tasik kering pra-sejarah yang tertimbus jauh di dalam pasir. Ia dianggarkan berusia dari 13,000 dan 7,000 tahun dahulu, dengan setiap satunya mengandungi tulang-temulang gazel, lembu bertanduk panjang, dan kambing liar. Hal ini membuktikan betapa pada ribuan tahun dahulu, padang pasir di Tanah Arab merupakan tempat yang lebih lembab dan mesra hidupan liar.

Mungkin, bukti yang paling meyakinkan adalah saki-baki kewujudan sungai yang masih boleh dilihat menerusi imej-imej satelit dan permukaan tanah di Sabkha Matti, iaitu dataran garam yang terbentang kira-kira ratusan kilometer di sepanjang Rub al-Khali.

Permukaan tanah di Sabkha Matti agak sukar untuk dilalui lantaran ia dilitupi dengan kerak-kerak garam yang membuatkan manusia mahupun unta mudah terjelapak jatuh. Dipercayai, jalur laluan Sabkha Matti pada asalnya mengikuti haluan sungai purba namun kini, kelembapan permukaan tanahnya banyak bersumber daripada lautan memandangkan ia berada 40 meter (131 kaki) di atas paras laut.

Permukaan tanah di Sabkha Mati berbeza dengan permukaan padang pasir lain, di mana ia berpemukaan lembab dengan campuran pasir dan garam

Penyelidikan-penyelidikan paleocuaca serantau turut mendokong dakwaan kewujudan sungai purba di Rub al-Khali. Sejarah menyaksikan cuaca di Semenanjung Tanah Arab berubah-ubah daripada cuaca lembab kepada cuaca kering, di mana kita pada zaman ini mengharungi fasa ianya kering.

Bagaimanapun, pada 5000 tahun yang lalu, cuaca di Sememanjung Tanah Arab jauh lebih sederhana – mungkin hampir sama seperti cuaca di Afrika Timur pada hari ini, dengan taburan hujannya cukup untuk menampung tasik-tasik bermusim dan memberi kehidupan kepada rumput-rumput yang kemudiannya membentuk oasis padang pasir.

Oasis-oasis ini seterusnya menampung hidupan-hidupan liar, dan seiring rantaian makanan, ia turut membekalkan sumber makanan buat pemburu-pemburu nomad (yang merupakan nenek-moyang masyarakat Arab-Badwi). Keadaan ini selaras penemuan ahli-ahli arkeologi yang menjumpai unggun-unggun api dari zaman dahulu kala, termasuklah mata panah yang diperbuat daripada batu api dan tulang-temulang haiwan di kawasan berhampiran tasik-tasik kering.

Justeru, boleh dikatakan bahawa legenda dan syair Arab Badwi yang memerihalkan tentang sungai besar dari zaman purba pada hakikatnya menceritakan suasana sekitar 5000 tahun dahulu, sewaktu Sabkha Matti masih mengalirkan sungai dan cuaca pula cukup lembab untuk menampung kehidupan haiwan-haiwan liar.

TERJEMAHAN:

David Millar. (11 September 2015). Is there truth to the Bedouin Legend of the Great River in the Desert? Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/news-ancient-places-asia/there-truth-bedouin-legend-great-river-desert-003810

Ruangan komen telah ditutup.