Sumo – Sukan Tradisi Jepun Tak Lekang Dek Zaman

263

Sebut gusti saja, semua pasti teringat World Wrestling Entertainment (WWE). Siapa tidak kenal bintang-bintang gusti yang menghiburkan penonton dengan aksi gusti yang lasak seperti Dwayne ‘The Rock’ Johnson, Brock Lesnar, John Cena dan Stone Cold Steve Austin.

Tetapi tatkala kita teruja melihat aksi gusti di gelanggang, ada satu sukan gusti yang menjadi perhatian ramai iaitu sumo atau ozumo. Nampak seperti sukan pertarungan membabitkan pelawan yang berbadan besar tetapi hakikatnya, sukan ini kaya dengan tradisi dan sejarahnya yang tersendiri.

Sejarah sumo

Tidak diketahui asal-usul sebenar sukan sumo tetapi ia dipercayai bermula semasa era Yayoi. Sukan ini merupakan sebahagian daripada ritual Shinto di mana kami atau semangat dipanggil atau lebih tepat berlawan. Mengikut cerita tradisi Jepun, ahli sumo yang pertama ialah Nomi no Sukune yang diperintahkan oleh Maharaja Suinin (memerintah dari 29 hingga 79 Masihi) untuk melawan seorang ahli sumo lain bernama Taima no Kehaya. Pertarungan tersebut dimenangi oleh Sukune dan menurut tradisi Jepun, ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Ini berikutan Sukune berasal dari keturunan Amenohohi, putera kepada dewi matahari Amaterasu.

Pada abad kelapan Masihi dan seterusnya, perlawanan gusti membabitkan orang terkuat menjadi satu ritual penting. Perlawanan sumo ini selalunya membabitkan pahlawan samurai dan pertarungan-pertarungan sebegini digelar tsuji-zumo di mana tidak banyak peraturan ditetapkan membabitkan pertarungan.

Akibatnya, ramai samurai mati di gelanggang tatkala berusaha mendapatkan hadiah kemenangan perlawanan berupa sejumlah wang. Tatkala samurai bertarung dalam tsuji-zumo, kuil-kuil juga tidak ketinggalan menganjurkan perlawanan sumo mereka yang dikenali sebagai kanjin-zumo. Perlawanan ini selalunya diadakan di kuil-kuil di mana wang dari hasil perlawanan digunakan untuk menyelenggara kuil.

Bentuk moden sumo mula terbentuk di Kuil Tomioka Hachimangu dan Kuil Eko-in, Tokyo semasa era Edo (1600-1868). Di sini, pertarungan-pertarungan ini disertai oleh samurai termasuk kelompok ronin (samurai yang tidak bertuan). Bagi ronin, pertarungan-pertarungan sebegini dilihat peluang terbaik mendapatkan pendapatan alternatif. Peraturan-peraturan tentang sukan ini juga mula terbentuk pada tempoh berkenaan oleh bekas samurai Ikazuchi Gondayu dan peraturan itu masih lagi diamalkan sehingga hari ini.

Semasa Komodor Matthew Perry tiba di Jepun pada tahun 1853, rombongan beliau turut dihiburkan dengan persembahan sumo yang disediakan oleh pembesar-pembesar tempatan. Menurut catatannya, penggusti sumo digelar raksasa terlebih makan. Sementara penduduk tempatan pula langsung tidak tertarik dengan demonstrasi perlawanan tinju yang ditonjolkan kelasi-kelasi Amerika dan menyifatkan mereka sebagai terlalu kurus.

Tradisi dan peraturan sumo

Penggusti sumo digelar rikishi, satu perkataan Jepun yang terhasil dari dua huruf kanji yang bermaksud kekuatan dan pahlawan. Terdapat 650 rikishi dalam enam divisyen sumo iaitu jonokuchi, jonidan, sandame, makushita, juryo dan maku-uchi. Divisyen maku-uchi yang terdiri daripada 42 rikishi terbaik selalunya menerima banyak perhatian media. Penggusti terhebat digelar yokozuna atau juara antara juara.

Kedudukan ini dicapai dengan memenangi dua hon-basho (kejohanan-kejohanan utama yang menentukan kedudukan) berturut-turut. Terdapat enam hon-basho yang dianjurkan secara tahunan dengan setiap hon-basho dianjurkan pada setiap bulan ganjil setahun dan selalunya bertahan selama 15 hari.

Setakat 2015, terdapat hanya 71 penggusti sumo yang mendapat gelaran yokozuna sekaligus menjelaskan betapa sukarnya seorang penggusti sumo mendapatkan gelaran juara ini. Rikishi dari dua divisyen teratas (sekitori) akan bertarung setiap hari bila kejohanan utama sumo diadakan.

Sebelum sesebuah pertarungan dimulakan, penggusti-penggusti yang terlibat akan melibatkan diri dalam ritual pra-perlawanan yang panjang di mana setiap ritual ada kaitan dengan tradisi peperangan silam dan agama Shinto. Salah satu ritual menarik ialah bila penggusti mengangkat satu kaki dan memijak tanah dengan kuat beberapa kali.

Amalan ini diambil daripada amalan silam pahlawan yang melakukannya sebelum menyertai medan pertempuran dengan tujuan menakutkan pihak musuh dan melemahkan moral mereka. Amalan ini dikenali sebagai shiki dan ia ditonjolkan dalam mitos Shinto yang menyaksikan Amaterasu melakukan perkara sama sebelum berhadapan dengan adiknya Susanoo, dewa ribut dan laut dalam agama Shinto.

Selain shiki, penggusti sumo turut kerap menepuk tangan mereka semasa ritual pra-perlawanan. Tradisi ini ada kaitan dengan tradisi Shinto yang menjadikan ia sebagai petanda permulaan dan pengakhiran doa. Dan usah terkejut jika melihat penggusti membaling segenggam garam ke dalam dan luar gelanggang. Tindakan ini merupakan simbol kepada penyucian dan garam selalu digunakan untuk tujuan berkenaan di kuil-kuil Shinto. Manakala pengadil atau shinpan pula memakai pakaian jubah berdasarkan pakaian anggota istana Jepun pada masa lampau dan sama seperti pakaian yang dipakai sami Shinto hari ini.

Bila pertarungan dimulakan, dua penggusti sumo mengambil tempat masing-masing dalam gelanggang khas yang dipanggil dohyo. Dohyo ialah gelanggang bulat yang ditanda dengan tali di atas platform segi empat sama yang dibuat daripada tanah liat. Platform berukuran 5.7 meter pada setiap sisi sementara dohyo pula mempunyai diameter 4.57 meter. Di atas platform tersergam sebuah bumbung yang menutup gelanggang dan jika anda perasan, semua susunan ini mirip kepada sebuah kuil Shinto.

Bagi menentukan siapa pemenang, penggusti perlu menolak lawannya keluar dari dohyo atau menumbangkannya di atas dohyo. Jika mana-mana bahagian anggota badan penggusti terkena lantai tanah liat, maka dia dianggap kalah. Penggusti dilarang melakukan perkara-perkara ini iaitu menarik rambut, mengorek mata, menumbuk, mencekik dan menyerang alat sulit pihak lawan. Tiada kelas berat diletakkan dalam sukan sumo kerana selain saiz, kepantasan juga turut memainkan peranan dalam menjatuhkan atau mengelirukan lawan.

Penggusti mempunyai ikatan rambut yang rumit menyerupai ikatan rambut samurai silam dan mawashi (sejenis tali besar yang diikat pada pinggang). Selalunya pertarungan berakhir bila pihak lawan sudah terkeluar dari gelanggang tetapi lebih sukar jika pihak lawan bersaiz besar. Perlu diingat, kebanyakan penggusti sumo mempunyai purata berat 150 kg tetapi ada juga yang mempunyai berat 200 kg.

Bagi sesetengah rikishi terutama yang bergelar yokozuna, mereka dianggap bintang sukan terkenal di Jepun dan mudah dikenali menerusi ikatan rambut rumit dan pakaian tradisional mereka bila berada di luar. Ini memudahkan orang ramai mengenali mereka sebagai penggusti. Antara yokozuna yang terkenal ialah Futabayama (1937-1945; 69 kemenangan berturut-turut), Taiho (1961-1971; juara kejohanan utama sebanyak 32 kali dan memegang rekod 45 kemenangan berturut-turut) dan Takanohana (1993-2003; yokozuna paling muda dalam sejarah pada usia 19 tahun).

Populariti sumo

Populariti sukan ini banyak dibantu oleh minat keluarga diraja Jepun terutama semasa era Maharaja Hirohito. Baginda merupakan peminat tegar sukan berkenaan. Buktinya bermula tahun 1955, baginda menjadikan tradisi menonton satu hari perlawanan kejohanan utama sumo di bahagian tempat duduk khas individu berprofil tinggi (VIP).

Tradisi ini diteruskan sehingga hari ini dengan Maharaja Naruhito menghadiri perlawanan sumo pada tahun 2006 bersama Maharani Masako dan Puteri Aiko semasa baginda masih bergelar Putera Mahkota. Ini dibuat bagi memenuhi minat Puteri Aiko yang amat meminati sukan sumo. Dan bagi menonjolkan sukan ini sebagai sukan tradisi Jepun, ramai diplomat dan tetamu asing dibawa menonton perlawanan sumo.

Salah seorang yang berpeluang menonton perlawanan sumo ialah Presiden Donald Trump. Semasa lawatannya ke Jepun baru-baru ini, beliau bersama isteri Melania menghadiri hari terakhir kejohanan utama sumo di Tokyo sebagai sebahagian daripada taktik diplomasi Perdana Menteri Shinzo Abe. Memandangkan kehadiran Trump menarik tumpuan ramai, beberapa tradisi sumo sedia ada terpaksa diubah:

1. Trump memecah tradisi sebagai pemimpin asing pertama yang menganugerahkan trofi Piala Presiden kepada pemenang.

2. Tatkala penonton duduk di atas kusyen dan berlunjur di lantai, Trump memilih duduk di atas kerusi rendah.

3. Penonton tidak dibenarkan membaling bantal atau kusyen ke gelanggang sebagai reaksi kepada perlawanan menarik atau kejutan semasa perlawanan berlawanan dengan tradisi perlawanan sumo biasa. Larangan ini berkemungkinan dicadangkan Perkhidmatan Rahsia yang bimbang objek-objek ini membahayakan Trump.

4. Penonton tidak dibenarkan memakai kasut semasa di gelanggang tetapi Abe dan Trump memakai selipar khas bila menyampaikan trofi kemenangan.

5. Tiket agak sukar didapati berbanding hari perlawanan biasa dengan separuh sahaja tiket dijual atas alasan keselamatan.

Yang pasti, taktik diplomasi Abe yang digunakan untuk Trump nyata tidak menggembirakan sesetengah penonton sumo. Bagi mereka, lebih elok bagi Presiden Amerika Syarikat itu mengikut tradisi sesebuah negara berbanding melakukan apa yang disukainya. Namun, itu sama sekali tidak menghalang Asanoyama atau nama sebenarnya Hiroki Ishibashi menikmati kemenangan itu dan menyifatkan hadiah kemenangan yang diterimanya hari itu terlalu istimewa. Minat Trump terhadap sukan gusti bukan sesuatu yang baru kerana beliau mempunyai hubungan yang panjang dengan WWE termasuk pernah menyertai pertarungan yang digelar ‘Pertarungan Jutawan’ pada tahun 2007.

Pasang surut sumo

Di sebalik semua ini, tidak ramai tahu populariti sukan ini juga semakin merosot saban tahun. Salah satu sebabnya ialah dominasi penggusti sumo yang bukan berasal dari Jepun di mana sesetengah daripada mereka bergelar yokozuna. Walaupun mereka berjaya meraih sokongan peminat selepas mengatasi halangan budaya dan bahasa, warga Jepun masih dahagakan kelibat penggusti Jepun yang selayaknya bergelar yokozuna yang dibanggakan mereka. Malangnya, generasi muda Jepun tidak menunjukkan minat terhadap sukan ini dan jika ada pun, tidak mempunyai keazaman dan ketahanan untuk berjaya sebagai ahli sumo.

Keadaan ini juga tidak dibantu apabila sukan ini dilanda skandal penyalahgunaan dadah, buli, pengaturan perlawanan dan kaitan dengan yakuza pada tahun 2009, 2010 dan 2011. Tidak ramai tahu yakuza dan sumo tidak dapat dipisahkan bak irama dan lagu. Kaitan sebegini dipandang sepi oleh pihak berkuasa dan Persatuan Sumo Jepun (JSA) sejak sekian lama sebelum ia mula diperangi pihak berkuasa pada tahun 2010.

Menurut penulis Tokyo Vice, Jake Adelstein, dua dunia ini saling berkait dengan bekas penggiat sumo yang gagal bukan saja menjadi penguatkuasa sindiket jenayah itu bahkan ada juga yang menjadi ketua yakuza. Isu ini mendorong ramai mendesak reformasi dilaksanakan bukan saja terhadap JSA bahkan terhadap sukan sumo itu sendiri agar ia bebas sepenuhnya dari pengaruh yakuza.

Melihat kepada perkembangan yang berlaku selepas tahun-tahun berkenaan, sumo dilihat perlahan-lahan membuat kemunculan semula. Buktinya pada tahun 2017, Jepun berjaya mendapat yokozuna pertamanya dalam tempoh 18 tahun menerusi Kisenosato selepas kali terakhir dipegang oleh Wakanohana pada tahun 1998. Dan bila melihat semula kehadiran Trump dalam perlawanan sumo beberapa minggu lepas, walaupun ia sedikit terganggu dengan perubahan tradisi bagi memberi keselesaan kepada Presiden Amerika Syarikat itu, ia secara tidak langsung menambah minat orang ramai terutama penduduk Amerika terhadap sukan sumo. Namun, selagi mana JSA tidak menyatakan hala tuju sumo termasuk penolakan terhadap amalan-amalan yang bertentangan dengan undang-undang, usah terkejut jika lebih ramai penggusti berbakat memilih tidak menyertai sumo.

RUJUKAN:

1. BBC. (2017). Japan gets first sumo champion in 19 years. https://www.bbc.com/news/world-asia-38721106

2. Japanistry.com. Sumo: The History & Rules of Japan’s National Sport. https://www.japanistry.com/sumo/

3. Hays, Jeffrey. (2009). SUMO HISTORY: RELIGION, TRADITIONS AND RECENT DECLINE. FACTS AND DETAILS. http://factsanddetails.com/japan/cat21/sub138/item756.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.