Sultana Razia Si Pemerintah Delhi

902

Pada zaman pertengahan, jarang sekali kaum wanita dapat memegang tampuk kekuasaan. Kisah hidup Raziya si pemerintah Delhi ini dianggap sangat menarik, bukan hanya kerana beliau dicalonkankan sebagai pewaris takhta sebuah kesultanan, tetapi juga kerana perjuangannya untuk mempertahankan haknya itu.

Raziya (Radiya dalam bahasa Arab) merupakan wanita pertama dan terakhir yang memerintah Kesultanan Mamluk di Delhi, bermula dari tahun 1236 hingga 1240 Masihi. Beliau tidak hanya dikagumi kerana menjadi seorang pemerintah wanita, tetapi juga kerana beliau dicalonkan oleh ayahandanya sebagai pewaris takhta sekaligus mengenepikan saudara-saudara tirinya yang lain. Pemilihan ini dilakukan kerana sejak awal lagi beliau telah mempamerkan bakat dan kebolehannya.

Hal tersebut benar-benar mencarik adat kebiasaan pada masa itu, iaitu zaman di mana dunia Islam dan dunia Kristian hanya akan dapat menyaksikan kaum wanita menaiki tampuk kekuasaan sekiranya pemerintah sebelumnya tidak mempunyai pewaris lelaki. Raziya tidak hanya dikagumi kerana berjaya mengungguli saudara-saudara tirinya sebagai calon pewaris takhta, tetapi juga kerana beliau mampu memerintah secara bebas dan sendiri tanpa menjadi boneka kepada mana-mana lelaki yang berpengaruh.

Raziya dilahirkan sekitar tahun 1205M sebagai puteri kepada Sultan Shams al-Din Iltutmish. Iltutmish merupakan seorang hamba sahaya beretnik Turki yang berasal dari wilayah padang rumput di Asia Tengah sebelum kemudiannya dibawa masuk ke India. Di India, beliau dibeli oleh Qutb al-Din Aybak yang juga beretnik Turki dan merupakan bekas hamba.
Aybak merupakan pengasas kepada dinasti, atau lebih tepat, rejim Mamluk. Disebutkan sebagai rejim kerana tidak semua pemerintah Dinasti tersebut dilantik berdasarkan keturunan (monarki) sebaliknya seringkali mereka diundi secara sebulat suara ataupun meraih kuasa menerusi jalan kekerasan.

Iltutmish merupakan ‘raja-asal-hamba’ yang paling terkemuka dan berjaya menyatukan pemerintahan Muslim di India. Kenaikan seseorang yang berstatus hamba ke kerusi sultan seperti yang dialami oleh Iltutmish dan raja-asal-hamba lain melahirkan sebuah kesan yang baik buat umat Islam di India. Hal ini kerana wilayah itu didominasi oleh sistem kasta yang sangat ketat, terutama bagi golongan bawahan.

Keadaan yang dialami oleh Iltutmish dan yang lain-lain itu berjaya memperlihatkan kepada para penganut agama Hindu berkasta rendah bahawa Islam itu adalah sebuah agama yang egalitarian (agama yang berpegang pada prinsip hak yang sama untuk semua) dan berupaya mencairkan sistem kasta tersebut.

Ia juga memberikan kesedaran kepada mereka bahawa satu-satu individu atau kumpulan masyarakat itu boleh sahaja mendaki tangga sosial sekaligus menggulingkan pemerintah dan menduduki puncak kuasa seandainya memiliki keberanian, kebijaksanaan, kemahiran dan kekuatan untuk berbuat demikian.

AYAHANDA SULTANA RAZIYA


Iltutmish mendaki tangga kuasa dengan begitu pantas tidak lama selepas beliau memasuki India. Pada waktu itu, tuannya, Qutb al-Din Aybak merupakan salah seorang panglima yang berkhidmat untuk Muhammad, sultan bagi Empayar Ghurid. Empayar tersebut berjaya mengambil-alih kedudukan Ghaznavid sebagai kuasa dominan di wilayah timur dunia Islam pada abad ke-12 Masihi.

Sultan Muhammad kemudian kembali semula ke bahagian barat empayarnya selepas berjaya menakluk Delhi pada tahun 1193M. Sebelum berangkat ke barat, beliau mengarahkan Qutb al-Din Aybak supaya kekal berada di situ untuk mewakilinya.Beliau kemudian meninggal dunia pada tahun 1206M dan kedudukannya sebagai sultan diwarisi oleh Aybak. Walaupun berstatus hamba pada asalnya, Aybak berjaya mengendalikan kepemimpinan ke atas pasukan tenteranya dengan baik dan berkahwin dengan puteri kepada salah seorang pencabar takhta yang lain. Hal tersebut berhasil memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah baru Kesultanan Mamluk di Delhi.

Iltutmish merupakan salah seorang hamba dan pegawai yang berkhidmat dalam angkatan tentera Qutb al-Din Aybak. Beliau merupakan seorang lelaki yang sangat bersemangat dan bijaksana. Aybak  memandang tinggi terhadap keberanian, kemahiran, kesungguhan dan kecemerlangan Iltutmish dalam memperkuat pemerintahannya di wilayah utara India. Lantas, beliau pun mengahwinkan Iltutmish dengan puterinya.

Kesultanan Delhi pada abad ke-13

Tidak lama kemudian pada tahun 1210M, Qutb al-Din Aybak mangkat akibat kecederaan yang dialaminya semasa terjatuh daripada kuda ketika bermain sukan polo. Kedudukannya diambil-alih oleh Iltutmish setahun kemudian. Sebelum itu, Iltutmish sememangnya merupakan gabenor bagi sejumlah kota dan diperakui sebagai komander angkatan tentera Aybak.
Beliau memiliki kemahiran diplomatik yang sangat hebat. Menerusi usulan ulama dan golongan bangsawan, Iltutmish pun menaiki takhta Kesultanan Delhi. Di bawah pemerintahan beliau, Delhi berjaya merampas sejumlah wilayah dari Ghurid.

Beberapa tahun pertama pemerintahannya diluangkan dengan polisi pengukuhan kekuasaan ke atas wilayah-wilayah naungan di samping memerangi beberapa orang pencabar takhta. Salah seorang pencabar tersebut ialah Taj al-Din Yildiz, iaitu gabenor Ghazna. Yildiz berjaya merampas Lahore selepas diusir daripada kotanya oleh Jalal al-Din dan pasukan tentera Khwarazmi-nya yang melarikan diri dari gempuran Mongol.

Berkat kemahiran diplomasi yang dimilikinya, Iltutmish berjaya mempengaruhi Jalal al-Din dan para pengikutnya agar berpindah dari Delhi dan membawa diri ke wilayah seterunya, Kabacha. Setelah keselamatan wilayahnya terjamin, Iltutmish menghantar pasukan tentera untuk meluaskan lagi jajahan dan berhasil menakluk Bengal, Ranthambor dan Mandawar.

Pada tahun 1227M, beliau berjaya menundukkan pemerintah Sind dan Daybul sehingga menjadi raja bawahannya. Dua tahun kemudian iaitu pada 1229M, sebuah perutusan daripada Khalifah di Baghdad datang untuk menyampaikan hadiah sepersalinan jubah kemuliaan untuk Sultan Iltutmish dan para puteranya. Perutusan tersebut bermaksud untuk melaporkan restu Khalifah yang memperakui kedudukan Iltutmish sebagai Sultan Delhi – buat pertama kalinya seorang pemerintah Muslim diperakui oleh Khalifah Abbasiyah.

Tahun-tahun pemerintahan berikutnya diluangkan oleh Iltutmish dengan meluaskan lagi wilayah naungannya dan menundukkan beberapa buah pemberontakan.

Beliau merupakan seorang Muslim yang warak dan sering menghormati ulama-ulama yang berada di wilayahnya. Istananya sentiasa dipenuhi dengan ulama, penyair, sejarahwan, tabib, saintis, ahli matematik dan ahli falsafah yang dinaungi oleh beliau sendiri dan beberapa orang bangsawan lain. Beliau juga melicinkan lagi pentadbirannya dengan turun sendiri ke lapangan untuk mendengar permasalahan rakyat dan menguruskan penghakiman.

Malahan, dikatakan bahawa terdapat sebuah loceng besar di gerbang istana Sultan Iltutmish. Sesiapa sahaja yang menginginkan keadilan daripada sultan dibenarkan untuk membunyikan loceng tersebut dan memanggil sultan agar mendengar aduan masalah mereka.
Sultan yang bersemangat waja dan berperibadi mulia inilah yang menamakan puterinya, Raziya sebagai pewaris menjelang kemangkatannya pada tahun 1236M.

Memandangkan beliau merupakan seorang Muslimah dan puteri kepada seorang sultan, maka Raziya dilahirkan sebagai seorang merdeka walaupun pada hakikatnya ayahanda beliau merupakan seorang hamba sahaya asalnya. Iltutmish membesarkan beliau dengan pendekatan yang sangat terbuka, jika dipertimbangkan keadaan pada masa itu – bandingan ini tidak hanya terhad pada dunia Islam, tetapi juga dunia Kristian di Eropah dan dunia Hindu di India serta mana-mana tempat lain di zaman pertengahan.

Dengan memulakan kariernya sebagai seorang hamba dan kemudian mendaki kedudukan menerusi merit kecemerlangan dan kemahiran diri sendiri membuatkan Iltutmish lebih bersifat terbuka dalam memperakui kedudukan kaum wanita.

Tambahan lagi, beliau beretnik Turki dan merupakan ahli kepada sebuah puak yang mendiami kawasan padang rumput Eurasia. Hal ini menyumbang kepada keunikan cara pandang beliau. Pada zaman dahulu, kaum wanita dalam puak nomad memiliki hak yang lebih tinggi dan memainkan peranan yang lebih besar berbanding wanita-wanita yang hidup secara tetap.

Puak-puak nomad lazimnya hidup dalam suasana yang kasar dan lasak, berbekalkan sumber yang sangat terhad. Malahan, populasi setiap puak lebih kecil berbanding masyarakat yang hidup secara tetap. Oleh kerana itu, mereka perlu memanfaatkan kudrat setiap ahli puak dalam usaha mengumpulkan sumber kelangsungan hidup. Setiap seorang daripada mereka juga dikerah untuk terlibat dalam mana-mana pertempuran yang tercetus. Makanya, mereka sama sekali tidak mengurung atau mengenepikan peranan kaum wanita.

Berdasarkan faktor-faktor tersebut, Iltutmish yang melihat potensi yang dimiliki oleh Raziya puterinya, kemudiannya mengambil keputusan untuk menamakan beliau sebagai pewaris takhta dan mengenepikan hak putera-puteranya.

Raziya sememangnya memiliki sejumlah pengalaman dalam politik memandangkan beliau pernah ditugaskan memerintah Delhi semasa ayahandanya keluar memimpin kempen ketenteraan. Ketika dipersoalkan oleh orang-orang kepercayaannya tentang penamaan Raziya, Iltutmish menyatakan bahawa beliau mendapati para puteranya tidak memiliki bakat kepemimpinan sama seperti puterinya itu.

Walaupun penamaan tersebut merupakan wasiat beliau, para pembesar dan komander tentera tidak berkongsi pandangan yang sama terhadap Raziya sekaligus keputusan Iltutmish itu diketepikan.

Saudara tiri Raziya yang bernama Rukn al-Din kemudiannya dinaikkan ke kerusi takhta tidak lama selepas kemangkatan Iltutmish. Setelah itu, Rukn al-Din membunuh saudara-saudara tirinya yang mencabar kedudukannya sebagai sultan. Tindakan itu dilakukan bagi menakut-nakutkan Raziya dan memaksanya agar kembali ke harem – tempat yang selayaknya bagi seorang wanita, menurut Rukn al-Din.

Sebagai seorang sultan, Rukn al-Din menjalani gaya hidup yang begitu buruk – bergelumang dalam kemerosotan moral. Kuasa takhta yang sebenarnya pula dipegang dari sebalik tabir oleh ibunya, Shah Turkan yang memanfaatkan hal tersebut untuk memperdajalkan musuh-musuh peribadinya.

Lukisan moden yang menggambarkan Raziya

RAZIYA MERAIH KUASA

Berbanding mundur membawa kekalahan atau bersembunyi demi menyelamatkan nyawanya, Raziya sebaliknya mengambil keputusan untuk bertemu dengan rakyat Delhi dan meminta sokongan mereka. Dalam melakukan hal tersebut, beliau menggunakan salah satu polisi yang diasaskan oleh ayahandanya.

Menurut sejumlah sumber, kebanyakan rakyat umum India memakai jubah putih pada waktu itu. Makanya, selain meletakkan loceng di gerbang istana, Iltutmish juga mengasaskan sebuah polisi yang mengarahkan sesiapa sahaja yang mahu mendapatkan keadilan daripada Sultan agar memakai pakaian berwarna.

Dengan demikian, jika Sultan berangkat keluar ke lapangan dan melihat ada rakyatnya yang memakai pakaian berwarna, maka beliau dengan segera dapat tahu bahawa orang tersebut telah ditindas dan memerlukan pengadilan daripadanya. Lantas, beliau pun akan mendengar sendiri aduan masalah orang tersebut.

Pada detik-detik sukar yang sedang dialaminya ini, Raziya mengenakan jubah berwarna merah dan berjalan di celah-celah rakyatnya untuk meminta sokongan mereka dalam menentang saudara tirinya, Rukn al-Din. Beliau memaklumkan kepada mereka betapa beliau telah diturunkan secara zalim dari takhta yang telah pun diserahkan oleh bapanya.
Beliau secara terbuka menyatakan bahawa dirinya adalah mangsa kezaliman dan mengisytiharkan pendakwaan ke atas Rukn al-Din, tidak hanya kerana telah menggulingkannya, tetapi juga kerana telah membunuh saudara-saudara tirinya yang lain.

Dalam kesempatan itu, Raziya meminta orang ramai agar melindunginya dari ancaman Rukn al-Din. Beliau sering melakukan hal tersebut pada hari Jumaat, hari di mana kebanyakan umat Islam keluar berkumpul di masjid dan tempat-tempat awam lain.

Rancangan Raziya membuahkan hasil dan ramai yang mendengar ucapannya itu. Kebanyakan daripada mereka bertugas sebagai tentera dan mereka pun menyokong Raziya dengan menggulingkan dan membunuh Rukn al-Din. Raziya lantas naik takhta.

Pemerintahan Raziya berlangsung selama empat tahun. Kebanyakan sumber merincikannya sebagai seorang pemerintah yang berdaya saing dan efisien dalam menjalankan tugas.

Turut dinyatakan bahawa beliau sering muncul di khalayak ramai tanpa memakai hijab sambil mengenakan pakaian lelaki. Rambutnya dipotong pendek, wajahnya tidak dihijab dan beliau sendiri keluar menunggang kuda secara bebas seperti seorang lelaki dengan lengkap membawa busur, bekas anak panah dan pedang.

Pemakaian tersebut tidak hanya dikenakan semasa memimpin kempen ketenteraan, tetapi juga semasa bergaul dengan rakyatnya sekaligus mendengar aduan masalah mereka secara terbuka. Semasa pemerintahannya, Raziya sempat mengarahkan agar syiling dicetakkan bersama tulisan berikut:

Tiang Kaum Wanita
Ratu Pada Eranya
Sultana Raziya bint Shams al-Din Iltutmish

Begitu juga dengan tulisan ini:

Pada era (pemerintahan) Imam al-Muntasir
Amirul Mukminin Sultan yang Gagah
Keindahan Dunia dan Iman
Malika Iltutmish, puteri Sultan Iltutmish
Sang pembawa kegemilangan buat Amirul Mukminin

Syiling pada masa pemerintahan Raziya

Pencetakan syiling sebegini sangat penting memandangkan ia merupakan salah satu tanda kebesaran dan kepenguasaan seseorang pemerintah. Inskripsi pertama itu menekankan kedudukan Raziya sebagai seorang wanita yang berkuasa. Sementara pada inskripsi kedua pula, beliau memperakui bahawa kerajaan yang diperintahnya itu bernaung di bawah kekhalifahan Abbasiyah sebagai pendokong yang setia.

SEKALI LAGI MEREBUT TAKHTA


Setelah memerintah selama empat tahun, beberapa orang pegawai tentera memberontak menentang Raziya dan menurunkannya dari takhta. Kemudian, mereka menaikkan seorang lagi saudara tiri Raziya yang bernama Bahram Shah.

Terdapat sejumlah faktor yang diandaikan sebagai faktor berlakunya pemberontakan tersebut. Fatima Mernissi menghujahkan di dalam bukunya, The Forgotten Queens of Islam bahawa Raziya digulingkan kerana beliau jatuh cinta dengan seorang lelaki Habsyah yang berstatus hamba. Lelaki tersebut dinaikkan ke jawatan yang penting dalam tempoh masa yang begitu singkat.

Musuh-musuh yang sentiasa memerhati gerak-geri Raziya pula sempat menyaksikan bagaimana hamba tersebut membantu Raziya menaiki kuda tunggangan beliau dengan meletakkan tangannya di bawah ketiak Raziya. Hal ini dianggap sebagai suatu tindakan yang tidak beretika antara seorang Sultana dengan seorang hamba bawahan. Sebaik sahaja khabar angin tentang kejadian itu tersebar, nama Raziya pun tercemar.

Pendapat lain pula menyatakan bahawa sejak awal pemerintahan Raziya lagi beliau sudah ditentang oleh para ulama dan pihak-pihak yang masih berpegang dengan tradisi konservatif yang menolak idea berpemimpinkan seorang wanita. Oleh kerana itu, mereka pun mengumpulkan penyokong sepanjang empat tahun pemerintahan Raziya lalu bertindak menggulingkannya.

Setelah digulingkan, Raziya kemudiannya melarikan diri dari Delhi bersama sejumlah tentera yang masih menyokongnya. Beliau dikejar oleh pasukan pemberontak yang dipimpin oleh salah seorang amir yang bernama Ikhtiyar al-Din Altuniya.

Altuniya berjaya menghambat Raziya lantas sebuah pertempuran pun berlangsung, memihak pasukan pemberontak. Raziya ditangkap dan dijadikan tawanan. Tidak lama kemudian, Altuniya sendiri jatuh cinta dengan Raziya dan sebelum mereka berdua menghimpunkan kekuatan dan mara ke Delhi, Altuniya dan Raziya menjalinkan perkahwinan. Namun, bala tentera yang kemudiannya dihantar oleh Delhi berjaya menewaskan mereka.

Makam Sultana Raziya di Delhi Lama

Perihal kemangkatan Raziya juga mempunyai dua versi penceritaan. Bagi versi yang pertama, beliau dikatakan telah melarikan diri selepas mengalami kekalahan di tangan pasukan Delhi itu. Dalam keadaan kelaparan dan kehausan yang begitu menyesakkan, Raziya singgah di sebuah kebun milik seorang petani dan meminta bantuannya. Petani itu pun kemudian memberikan roti dan minuman kepada Raziya.

Setelah itu, Raziya terlelap di kebun itu dan gaun bertatah batu permata yang mahal yang terselindung di sebalik baju besinya tersingkap sekaligus membuatkan petani itu menyedari bahawa insan yang dibantunya itu adalah seorang wanita. Lantas, petani itu pun membunuh Raziya semasa beliau sedang tidur. Kudanya dihalau, barangan berharga pada tubuhnya dirampas, dan jasadnya dikebumikan di kebun itu juga.

Tidak lama kemudian, petani itu diberkas oleh majistret tempatan dan mengakui kesalahan jenayah yang dilakukannya. Jasad Raziya kemudiannya digali semula untuk dimandikan dan dikebumikan dengan sewajarnya.

Naratif kedua juga tidak kurang dramatik. Setelah mengalami kekalahan, Raziya dan Altuniya ditangkap dan dihukum bunuh oleh Bahram Shah.
Ibnu Battuta yang melawat makamnya di Sungai Yumuna melaporkan bahawa masyarakat setempat telah mengangkatnya sebagai seorang wali dan mendirikan sebuah kubah di atas makam itu. Makam Raziya diziarahi oleh orang ramai dan mereka lazim berdoa di sana bagi menumpang keberkatan yang dimiliki oleh beliau.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Adam Ali. (n.d.). Sultana Raziya of Delhi: Pillar of Women and Queen of the Eras. Medievalist.http://www.medievalists.net/2018/11/sultana-raziya-delhi/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.