Sultan Si Pencerap Bintang Dan Balai Pencerap Ulugh Beg

198

Balai Cerap Ulugh Beg merupakan sebuah balai cerap yang terletak di sebuah bukit berhampiran Samarkand, Uzbekistan moden. Balai cerap yang sering dianggap sebagai salah sebuah balai cerap paling maju di zaman pertengahan Islam ini dibina pada kurun ke-15, ketika Samarkand merupakan salah sebuah daripada dua buah kota paling penting bagi Empayar Timurid (kota lain ialah Herat, di Afghanistan moden).

Balai cerap ini dibina oleh Ulugh Beg, sultan Empayar Timurid. Balai Cerap Ulugh Beg dipercayai dibina pada lewat 1420an, walaupun kajian-kajian serius dalam bidang astronomi mungkin telah pun bermula di Samarkand dua dekad lebih awal. Hal ini sememangnya wajar, lanatran Ulugh Beg bertugas sebagai gabenor Samarkand pada waktu itu.

ULUGH BEG: AHLI ASTRONOMI

Pada usia awal, Ulugh Beg meminati bidang astronomi. Ketika menjadi sultan, beliau lebih cenderung menceburi bidang kesenian, kebudayaan dan pendidikan berbanding mentadbir empayar. Bahkan, nama Ulugh Beg paling dikenang sebagai seorang ahli astronomi dan matematik hinggakan namanya sebagai seorang raja kebiasaannya hanya diletakkan sebagai nota kaki sahaja di dalam buku sejarah.

Tugu Ulugh Beg

Ulugh Beg dilahirkan pada tahun 1394 di Sultaniyah, barat laut Iran. Beliau merupakan putera sulung Shah Rukh dan cucu kepada Timur (atau dikenali sebagai Tamerlane), pengasas Empayar Timurid. Ulugh Beg dilahirkan semasa datuknya sedang menjalankan kempen ketenteraan ke atas Parsi. Beliau diberi nama Muhammad Taraghay ibn Shahrukh ibn Timur. ‘Ulugh Beg’ secara harfiah boleh dimengertikan sebagai ‘Pemerintah Agung’. Nama itu bukanlah nama sebenar beliau, sebaliknya sekadar nama timangannya.

Ketika masih kecil, Ulugh Beg lazim menemani datuknya dalam pelbagai kempen ketenteraan sekaligus membolehkannya untuk mengembara ke sejumlah tempat. Misalnya pada tahun 1398, Timur sedang melancarkan ekspedisi di India utara bagi menakluk kota Delhi. Pada tahun 1402 pula, beliau berada di Anatolia bagi menewaskan sultan Utmaniyah, Beyazid I dalam Pertempuran Ankara.

Ulugbek Medressa


Sejak kanak-kanak, Ulugh Beg lebih meminati bidang kesenian dan kebudayaan berbanding peper4ngan dan penaklukan. Beliau secara khusus menggemari bidang astronomi, suatu minat yang mungkin berputik setelah mengunjungi runtuhan Balai Cerap Maragheh.

Balai cerap yang bertarikh pada kurun ke-13 ini terletak di barat laut Iran, tidak jauh dari tempat lahir Ulugh Beg. Balai Cerap Maragheh dibina di bawah naungan Hulagu Khan, pengasas Ilkhanate merangkap cucu Genghis Khan. Ketua ahli astronomi yang bertugas di balai cerap itu pula ialah seorang polimat (polymath) dari Parsi, Nasir al-Din Tusi.

Menjelang awal kurun ke-14, Balai Cerap Maragheh tidak lagi berfungsi lantaran kehilangan naungan kerajaan. Namun, ia tetap mengekalkan kemasyhurannya pada kurun-kurun mendatang. Legasinya terbukti menerusi pelan binaan dan susunan instrumennya yang mempengaruhi rekaan balai-balai cerap lain, antaranya seperti Balai Cerap Ulugh Beg.

Lukisan yang menggambarkan Al-Tusi dan rakan-rakan sejawatnya berusaha menyiapkan Zij-I Ilkhani di Balai Cerap Maragheh

PEREBUTAN TAKHTA: BAGAIMANA ULUGH BEG MENJADI SULTAN

Impian Timur adalah untuk mengembalikan kegemilangan Empayar Monggol, di mana impian ini melibatkan penyerangan dan penaklukan China. Monggol, di bawah Dinasti Yuan, pernah memerintah China sehingga tahun 1368. Pada tahun tersebut, mereka kehilangan cengkam ke atas China sekaligus digulingkan oleh Dinasti Ming. Oleh hal yang demikian, pada lewat 1404, Timur bersiap sedia untuk menyerang China. Namun, impian beliau untuk menghidupkan kembali Empayar Monggol tidak dapat dilaksana dan beliau mangkat pada tahun berikutnya.

Ketika berkem di sisi Syr Darya (juga dikenali sebagai Sungai Jaxartes), pasukan Timur diserang wabak penyakit. Timur sendiri jatuh sakit dan mangkat pada pertengahan Februari di Otrar (di Kazakhstan moden), perjalanan yang masih jauh sebelum sampai di perbatasan barat China. Rentetan kemangkatan Timur, empayarnya berpecah-belah akibat perebutan takhta. Antara calon utama yang terlibat adalah Miran Shah dan Shah Rukh (dua orang putera Timur yang masih hidup), Pir Muhammad (putera kepada Jahangir, putera kesayangan Timur merangkap calon pewaris) dan Khalil Sultan (putera Miran Shah).

Kesemua calon penyandang takhta Timurid ini mangkat menjelang tahun 1410, kecuali Shah Rukh. Walaupun Shah Rukh tidak dianggap sebagai calon yang terkuat, beliau muncul sebagai pengganti takhta Timur.

Pada tempoh antara tahun 1406 dan 1417, Shah Rukh menyerap sejumlah wilayah seteru-seterunya dan berjaya menyatukan semula Empayar Timurid, kecuali wilayah Syria dan Khuzistan. Shah Rukh memerintah Empayar Timurid sehingga detik kemangkatannya pada tahun 1447.

Pemerintahannya yang panjang itu berupaya membawa kepesatan pada ekonomi empayar sekaligus memulihkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung akibat kempen ketenteraan ayahandanya.

SAMARKAND: PUSAT KEILMUAN BAGI DUNIA MUSLIM ZAMAN PERTENGAHAN

Shah Rukh memindahkan ibu kota Empayar Timurid dari Samarkand ke Herat. Ibu kota lama, yang beliau rebut daripada salah seorang seterunya, diserahkan kepada Ulugh Beg untuk ditadbir. Di bawah pentadbiran Ulugh Beg, Samarkand berubah menjadi salah sebuah pusat pendidikan yang paling penting dalam dunia Islam. Madrasa Ulugh Beg yang terletak di tengah-tengah kota (dikenali sebagai Registan, bermaksud ‘tempat berpasir’) dibina pada tahun 1417 hingga 1420.

Dataran awam di Registen, di tengah-tengah kota purba Samarkand, dikelilingi oleh tiga buah madrasah, di mana salah sebuahnya adalah Madrasah Ulugh Beg yang dibina oleh Ulugh Beg semasa era dinasti Timurid

Madrasa adalah sebuah pusat pendidikan yang menanam pengetahuan agama dan sekular pada para pelajarnya. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai tempat pertemuan para ilmuwan. Menurut Ghiyath al-Din Jamshid al-Kashi, ahli astronomi Parsi kurun ke-14 hingga kurun ke-15, terdapat kira-kira 60 atau 70 orang ilmuwan di madrasa tersebut yang mempunyai pengetahuan matematik yang cukup untuk terlibat dalam usaha cerapan dan seminar astronomi. Ulugh Beg menubuhkan dua buah madrasa semasa pemerintahannya – sebuah di Bukhara dan sebuah lagi di Ghujdivan.

Dataran awam di Registen, di tengah-tengah kota purba Samarkand, dikelilingi oleh tiga buah madrasah, di mana salah sebuahnya adalah Madrasah Ulugh Beg yang dibina oleh Ulugh Beg semasa era dinasti Timurid

Pembinaan Balai Cerap Ulugh Beg dipercayai telah pun dimulakan pada tahun 1428, dengan mengikut rekaan Balai Cerap Maragheh. Walaupun kebanyakan bahagian Balai Cerap Ulugh Beg sudah runtuh, monumen ini dibina semula mengikut perincian-perincian yang diberikan oleh individu yang pernah menyaksikan sendiri balai cerap tersebut. Antara lain termasuklah karya Ghiyath al-Din Jamshid al-Kashi, Babur si pengasas Empayar Mughal, dan Abd al-Razzak Samarkandi si sejarahwan kurun ke-15.

Balai Cerap Maragheh tidak hanya mempengaruhi rekaan Balai Cerap Ulugh Beg, tetapi kesannya turut dilihat pada balai-balai cerap lain dalam dunia Islam. Rekaan balai-balai cerap ini seterusnya dijadikan sebagai rujukan tambahan berkenaan rekaan Balai Cerap Ulugh Beg. Lebih daripada itu, usaha pembinaan semula Balai Cerap Ulugh Beg turut dipacu oleh ekskavasi-ekskavasi arkeologi yang dilakukan di tapak berkenaan.

BALAI CERAP ULUGH BEG DAN SUMBANGANNYA KEPADA ASTRONOMI ISLAM

Pada masa kemuncaknya, binaan ini terdiri daripada tiga buah instrumen astronomi gergasi. Instrumen yang paling penting antara ketiga-tiganya itu ialah suds-i-fakhri, iaitu sebuah lengkungan meridian bersaiz besar, atau sekstan (sextant) yang memanjang di bahagian pusat balai cerap. Instrumen ini diletakkan pada paksi utara-selatan dan ketinggiannya mencecah 40 meter (131 kaki).

Instrumen kedua pula ialah I’tidal, atau jam matahari, yang diperbuat daripada dinding cekung. Instrumen ini dibina pada paksi timur-barat dan menghadap tegak suds-i Fakhri. Dalam kata-kata lain, sekstan ini berfungsi sebagai jarum jam (gnomon). Instrumen ketiga ialah ustuvan, iaitu sektor kuadran yang berputar.

Gerbang Balai Cerap Ulugh Beg di Samarkand, Uzbekistan yang masyhur sebagai salah sebuah balai cerap terunggul dalam dunia Islam

Peletakan instrumen-instrumen ini secara efektif menentukan struktur dan reka letak Balai Cerap Ulugh Beg. Misalnya, suds-i fakhri membahagikan balai cerap kepada dua – iaitu bahagian utara dan bahagian selatan. Bilik-bilik yang terletak di separa utara berbentuk silang, manakala bilik-bilik di separuh selatan pula berbentuk segi empat tepat.

Melalui perincian-perincian berkenaan Balai Cerap Ulugh Beg, para penyelidik dapat mengetahui bahawa binaan ini didekorasi oleh mozek-mozek kaca. Bahagian luar dan dalam struktur pula dilitupi dengan lukisan-lukisan yang menggambarkan kedudukan, orbit, dan ciri fizikal jasad-jasad samawi.

Tanpa dapat dinafikan, karya paling penting yang dihasilkan oleh Balai Cerap Ulugh Beg ialah Zij-I Sultani yang diterbitkan pada tahun 1437. Menurut Encyclopaedia Britannica, sebuah zij secara esensinya adalah sebuah “buku panduan jadual astronomi, yang merangkumi jadual bagi menentukan kedudukan matahari, bulan dan planet, serta arahan-arahan untuk menggunakan jadual berkenaan.”

Pada waktu penerbitannya, zij hasilan Ulugh Beg merupakan zij yang paling tepat. Selain itu, karya ini juga berharga lantaran “nilai-nilai terkini bagi menentukan parameter astronomi dan prosedur pengiraan yang baru,” jelas UNESCO Portal to the Heritage of Astronomy. Tambahan lagi, karya ini merekodkan kedudukan kira-kira 1018 buah bintang, di mana sebahagiannya adalah rekod asli memandangkan ia ditentukan daripada cerapan yang dilakukan di Balai Cerap Ulugh Beg.


Malang buat Ulugh Beg dan ahli-ahli astronomi di bawah naungannya, usaha mereka tidak memberi impak astronomi ‘moden’ sebagaimana seharusnya. Data yang dihasulkan di Balai Cerap Ulugh Beg hanya sampai ke Eropah beberapa kurun selepas kemangkatan sultan. Menjelang waktu itu, ahli-ahli astronomi lain telah pun menemukan hasil yang sama.

TAKDIR TRAGIK ULUGH BEG

Ulugh Beg sendiri menanggung nasib yang tragik. Ketika Shah Rukh mangkat pada tahun 1447, Ulugh Beg menjadi pemerintah Empayar Timurid yang baru. Walaupun beliau merupakan seorang ilmuwan yang berpengetahuan tinggi, Ulugh Beg kekurangan pengalaman dan ketrampilan bagi mentadbir sebuah empayar. Malahan, terdapat ahli kerabat Timurid lain yang menginginkan takhta walaupun pada hakikatnya beliau merupakan satu-satunya putera Shah Rukh yang masih hidup.

Justeru, tugas pertama Ulugh Beg sebagai sultan adalah memperteguhkan kedudukannya. Mungkin lantaran kekurangan ketrampilan dan bakat kepimpinan, beliau gagal berbuat demikian. Ulugh Beg memerangi seteru-seterunya untuk meraih kekuasaan penuh ke atas Empayar Timurid, namun tidak berjaya dalam usahanya itu.

Tugu Ulugh Beg di Samarkand, Uzbekistan

Pemerintahan Ulugh Beg berakhir sesudah berlalu tempoh singkat, dua tahun. Menjelang tahun 1449, beliau ditewaskan dalam beberapa buah pertempuran. Tambahan pula pada tahun itu, beliau perlu menangani sebuah pemberontakan baru. ‘Abd al-Latif, putera sulung Ulugh Beg diberikan autoriti untuk mentadbir Balkh.

Namun, hubungan antara mereka berdua merenggang. Akibatnya, ‘Abd al-Latif melancarkan pemberontakan pada tahun 1449. Ulugh Beg ditewaskan oleh puteranya, dan terpaksa menyerah diri. ‘Abd al-Latif menjatuhkan pendakwaan ke atas bapanya yang kononnya tidak cekap memerintah.

Sebagai hukuman, Ulugh Beg dipaksa menunaikan haji ke Mekah. Namun, sebaik sahaja berada di luar Samarkand, beliau dipancung oleh sepasukan pembvnuh. Lantaran tinggi kecenderungan bahawa pasukan pembvnuh ini diupah oleh putera Ulugh Beg, maka ‘Abd al-Latif digelari ‘Padarkush’ yang bermaksud ‘pembvnuh bapa sendiri’. Berikutan kemangkatan Ulugh Beg, Empayar Timurid terbahagi kepada dua.

Sama seperti nasib yang menimpa Balai Cerap Maragheh, ketiadaan naungan diraja mengakibatkan kefungsian Balai Cerap Ulugh Beg terhenti. Ia lantas dihancurkan dan ahli-ahli astronomi yang bertugas di sana dihalau. Balai Cerap Ulugh Beg secara bertahap tetapi pasti dilupakan dan seiring peredaran waktu, lokasi tepatnya tidak lagi diketahui. Pada tahun 1908, tapak Balai Cerap Ulugh Beg ditemukan semula oleh ahli arkeologi Russia yang bernama Vassily Vyatkin.

Menjelang waktu itu, runtuhan yang ditemui hanyalah tapak asas dan serpihan suds-i Fakhri (lebih spesifik, bahagian bawah tanah instrumen berkenaan). Menambahkan lagi tarikan pada kisah ini, Vyatkin dikatakan disemadikan di tapak berkenaan, sesuai dengan wasiatnya. Satu lagi ekskavasi berskala besar yang diketuai oleh ahli arkeologi Soviet yang bernama Boris Zasypkin dilakukan di tapak berkenaan apda tahun 1941. Ekskavasi ini membolehkan pembinaan semula balai cerap itu dilakukan.


Ahli astronomi Islam merangkap sultan Ulugh Beg pada stem USSR tahun 1987

LEGASI ULUGH BEG

Ulugh Beg mungkin tidak berhasil menghidupi maksud nama timangan yang diberikan kepadanya. Namun, beliau tetap dipandang sebagai tokoh bangsa di Uzbekistan. Tentunya, hal ini berikutan sumbangan dan pencapaian beliau dalam lapangan astronomi dan matematik. Pada tahun 1970, sebuah muzium kecil dibina di tapak Muzium Ulugh Beg bagi memperingati jasa pengasasnya. Antara barangan yang dipamerkan di dalam muzium ini adalah salinan carta-carta bintang Ulugh Beg dan Zij-I Sultani, sebuah miniature Balai Cerap Ulugh Beg, dan instrumen-instrumen astronomi.

Pengiktirafan terhadap Ulugh Beg sebagai seorang ahli astronomi dapat dilihat menerusi penamaan objek-objek dan ciri-ciri astronomi. Misalnya, ahli astronomi Jerman yang bernama Johann Heinrich von Madler menamakan kawah pada bulan bersempena nama beliau, iaitu Kawah Ulugh Beigh.

Nama ini dimasukkan ke dalam peta bulan tahun 1830 miliknya. Pada tarikh yang lebih terkini, nama Ulugh Beg turut diletakkan pada sebuah asteroid. Pada 21 Ogos 1977, ahli astronomi Soviet yang bernama Nikolai Chernykh menemukan sebuah lingkaran-utama asteroid dan menamakannya 2439 Ulugbek. Menerusi keadaan ini, kita dapat menyimpulkan bahawa legasi Ulugh Beg masih hidup sehingga ke hari ini walaupun balai cerapnya sudah pun hancur.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (20 Jun 2020). The Star-Gazing Sultan and His Ulugh Beg Observatory. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ulugh-beg-observatory-0013880

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.