Sultan Selim I: Singa Dunia Islam

0
490
views

Sultan Selim I merupakan Sultan Turki Uthmaniyyah yang kesembilan memerintah dari tahun 1512 sehingga 1520. Beliau berjaya merampas takhta Sultan daripada ayahandanya sendiri, Sultan Bayazid II selepas berjaya mengalahkan pasukan tentera yang dipimpin oleh Putera Ahmet dan Sultan Bayazid II. Ini kerana sokongan padu daripada tentera Janissaries dengan harapan Sultan Selim I dapat membuka peluang kepada jalan jihad fisabilillah yang selama ini kurang aktif semasa pemerintahan Sultan Bayazid II. Sultan Selim I sendiri mempunyai bakat dalam kepimpinan untuk mempimpin tentera dan juga mahir dalam seni politik. Ini menjadikan faktor – faktor kejayaan Sultan Selim I mendapatkan sokongan daripada tentera Janissaries dan juga berjaya menjadi pewaris seterusnya Sultan Turki Uthmaniyyah selepas Sultan Bayazid II.

Cabaran yang dihadapi oleh Sultan Selim I pada awal pemerintahan adalah ancaman puak Syiah Safawiyyah yang dipimpin oleh Shah Ismail I. Ancaman Syiah telah menjadi keresahan umat Islam terutamanya penduduk Iraq yang berbangsa Parsi sering menjadi sasaran puak Syiah Safawiyyah dengan memaksa penduduk tempatan untuk menganuti fahaman Syiah Imamiyyah. Selain itu, Shah Ismail I juga berjaya menubuhkan kerajaan Safawiyyah di Tabriz. Kerajaan Safawiyyah yang baru ditubuhkan banyak melakukan kerosakan dan pembunuhan penduduk Parsi di Iraq dan Iran yang masih berdegil dengan fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan juga menghancurkan makam – makam ahli Sufi dan tokoh ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Pada tahun 1510, Shah Ismail juga berjaya menakluki Mosul (wilayah Iraq sekarang) dimana sehingga sekarang wilayah Mosul masih menjadi pertikaian hakmilik diantara Iran dan Iraq. Ancaman Syiah Safawiyyah bukan sahaja menjadi kerisauan umat Islam malah ia juga turut mengancam kedudukan geopolitik Empayar Turki Uthmaniyyah di Timur Tengah.

Pada tahun 1514, Sultan Selim I telah mengisytiharkan peperangan keatas Shah Ismail I dan memimpin bala tentera ke Chaldiran untuk menyerang Shah Ismail I. Ketika pertempuran di Chaldiran, Sultan Selim I dan bala tentera Janissaries menyerang pasukan Qizilbash yang dipimpin oleh Shah Ismail secara bertubi – tubi ditambah lagi dengan kekuatan meriam dan kecanggihan senjata api. Berbanding pasukan Qizilbash, mereka mempunyai kekurangan dari segi alatan peperangan. Ini memberi kelebihan kepada pasukan Janissaries yang dipimpin oleh Sultan Selim I dan akhirnya kemenangan memihak kepada Sultan Selim I. Kekalahan Shah Ismail I di Chaldiran telah meninggalkan banyak harta rampasan perang setelah Shah Ismail I dan pasukan Qizilbash melarikan diri daripada medan peperangan. Kekalahan yang memalukan ini telah menyebabkan Shah Ismail I tidak berani lagi mengangkat senjata untuk melawan Empayar Turki Uthmaniyyah. Selain itu, Empayar Turki Uthmaniyyah juga diakui sebagai pelindung kepada umat Islam yang bermazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan sekaligus ia menjadi kuasa penyeimbang di Timur Tengah bagi mengekang pengaruh mazhab Syiah Imamiyyah.

Selesai sahaja peperangan dengan kerajaan Safawiyyah yang berjaya ditundukkan, Sultan Selim I menumpukan perhatian bagi memerangi kerajaan Mamluk di Mesir yang sentiasa memusuhi Empayar Turki Uthmaniyyah. Pada tahun 1516, Sultan Selim I telah melancarkan peperangan dengan Mamluk di Syria iaitu Pertempuran Marj Dabiq bagi memastikan penguasaan Mamluk di Syria terlepas. Pertempuran ini amat penting kerana kejatuhan Dabiq di Syria akan memudahkan Empayar Turki Uthmaniyyah untuk menguasai seluruh Syria. Sultan Selim I berjaya menumpaskan pasukan tentera Mamluk dibawah pimpinan Sultan Al-Ashraf Qansuh al-Ghawri dimana Sultan       Al-Ashraf Qansuh al-Ghawri turut terbunuh dalam pertempuran tersebut. Takhta Sultan Mamluk telah diganti oleh Sultan Tuman Bey. Kemenangan Sultan Selim I di Dabiq telah menyebabkan Syria telah jatuh secara total ke tangan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Seterusnya Sultan Selim I telah melancarkan serangan di Ridaniya, Mesir pada tahun 1517 dimana ia menentukan hayat kerajaan Mamluk di Mesir. Sultan Tuman Bey telah mempertahankan Mesir dengan kekuatan 40 ribu orang tentera Mamluk. Namun begitu, tentera Janissaries dibawah pimpinan Sultan Selim I telah memperhebatkan serangan keatas Mamluk sehingga tentera Mamluk telah menyerah kalah kepada Empayar Turki Uthmaniyyah. Sultan Tuman Bey telah ditawan dan dijatuhkan hukuman mati. Kemangkatan Sultan Tuman Bey menandakan berakhirnya Dinasti Mamluk iaitu Dinasti Para Hamba Abdi di Mesir.

Khalifah Al Mutawakkil Alallah dan ahli keluargan beliau yang ketika itu merupakan Khalifah Islam yang hanyalah boneka ketika pemerintahan Dinasti Mamluk di Mesir telah dibawa ke Istanbul dan beliau telah menyerah segala lambang – lambang kebesaran Khalifah Islam seperti Pedang dan relik – relik yang dipercayai milik Nabi Muhammad s.a.w kepada Sultan Selim. Secara rasminya, Sultan Selim I telah diisytiharkan sebagai Khalifah Islam bagi menggantikan Khalifah Al Mutawakkil Alallah. Semenjak itu, berakhirnya Dinasti Abbasiyyah di Kaherah yang memegang jawatan Khalifah dan tanggungjawab Khalifah Islam dipikul oleh Dinasti Osmaniyyah.

Selepas berjaya menundukkan Mesir, Sultan Selim I telah diiktiraf sebagai pemerintah di negeri Hijaz dimana sebelum ini negeri Hijaz dibawah pemerintahan Sultan Mamluk dan Sharif Mekah telah mengiktiraf Sultan Selim I sebagai Khadimul Al – Haramain (Penjaga dua kota suci Mekah dan Madinah). Penguasaan Empayar Turki Uthmaniyyah di Mesir, Syria dan Hijaz memberikan kestabilan politik dan keamanan dalam jangka yang panjang di Timur Tengah. Selain itu, Sultan Selim I juga terkenal dengan sifat yang keras dan bengis kepada para wazirnya dan juga ahli kerabat Dinasti Osmaniyyah.

Waqaf Saham

Pada tahun 1520, Sultan Selim I telah jatuh sakit ketika dalam perjalanan pulang ke Erdine. Pada masa yang sama, Sultan Selim I ketika itu merancang untuk menyerang Hungary dan terpaksa dibatalkan niat untuk menyerang Hungary. Pada bulan September 1520, Sultan Selim I telah wafat dan takhta tersebut telah diwarisi kepada Sultan Suleiman I.

Rujukan:

Abdulghani, J. M. (2011). Iraq and Iran (Vol. 1). Routledge.

Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016

Hawting, G. (2004). Muslims, Mongols and Crusaders. Routledge.

The Sultans – Selim I (1512 – 1520) – Fethiye Times, http://www.fethiyetimes.com/just-visting/history/4984-selim-i-1512-1520.html

Nicolle, D. (1993). The Mamluks 1250-1517 (Vol. 259). Osprey Publishing.