Sultan Osman II: Mangsa Kekejaman Kaum Janissaries

0
1115
views

Sultan Osman II merupakan Sultan Turki Uthmaniyyah yang keenam belas yang memerintah dari tahun 1618 sehingga 1623. Sultan Osman II dinaikkan takhta Sultan selepas Sultan Mustafa I didapati tidak mempunyai kelayakan untuk memerintah disebabkan masalah kesihatan mental yang dihadapi oleh beliau. Sultan Osman II merupakan putera sulung kepada Sultan Ahmet I dan Mahfiruz Hatice Sultana. Pemerintahan Sultan Osman II banyak dipengaruhi oleh penasihat beliau, Omar Effendi dan ini telah mencetuskan rasa tidak puas hati dikalangan para ulama kerana Sultan Osman II bertindak untuk mengetepikan mereka dalam sebarang urusan pemerintahan negara.

Sultan Osman II juga bertindak untuk memecat Wazir Besar Halil Pasha disebabkan kegagalan beliau dalam kempen peperangan dengan Safawiyyah. Wazir Kedua, Mehmed Pasha dan tugasan Syeikh Al Islam, Essad Effendi telah dihadkan dan segala tanggungjawab Syeikh Al Islam dipegang oleh penasihat beliau, Omar Effendi. Sifat peribadi Sultan Osman II adalah seorang yang bijak dan aktif walaupun baru memegang takhta pada usia 14 tahun.

Pada tahun 1618, Empayar Turki Uthmaniyyah telah menandatangani satu perjanjian perdamaian di Serab dengan Empayar Safawiyyah dimana Shah Abbas I hanya menghantar kurang daripada 200 helai kain sutera sebagai pampasan wilayah – wilayah yang dirampas oleh Empayar Safawiyyah. Selepas berjaya menyelesaikan konflik di kawasan Timur Empayar, Sultan Osman II telah berniat untuk melaksanakan satu kempen ketenteraan bagi memperluaskan wilayah kekuasaan empayar walaupun pada ketika itu beliau masih lagi muda. Pada tahun 1620, peperangan diantara Empayar Turki Uthmaniyyah dan Komenwel Poland – Lithuania telah tercetus.

Pertempuran di Cecora berlaku pada tahun 18 September 1620 sehingga 6 Oktober 1620 apabila pasukan tentera Komanwel Poland – Lithuania sebanyak 9000 askar dibawah pimpinan Stanisław Żółkiewski ke Cecora untuk menyerang Khan Temir di Bunjak Horde. Beberapa penduduk disitu mula memberontak dan memberi sokongan kepada Poland. Oleh itu, Sultan Osman II telah mengarah Iskandar Pasha untuk mengetuai 20000 askar menyerang Poland di Cecora. Akhrinya, kemenangan tersebut telah memihak kepada pasukan tentera Janissaries dibawah pimpinan Iskandar Pasha dan Stanisław Żółkiewski telah terbunuh ketika pertempuran tersebut.

Pada tahun 1621, Sultan Osman II sendiri turun ke medan peperangan buat pertama kali semenjak Sultan Mehmed III untuk mengetuai tentera ke Khotyn bagi memerangi ancaman Komanwel Poland – Lithuania. Namun begitu, beliau telah menghadapi masalah logisitik dan juga masalah disiplin tentera Janissaries menyumbang kepada kegagalan Turki Uthmaniyyah untuk mengalahkan pasukan tentera komanwel Poland – Lithuania di Khotyn. Oleh itu, Sultan Osman II berpendapat tentera Janissaries adalah punca kepada segala masalah yang dihadapi atas kegagalan Empayar Turki Uthmaniyyah memperluaskan kekuasaannya.

Selepas pulang ke Istanbul, Sultan Osman II merancang untuk melakukan reformasi didalam ketenteraan Turki Uthmaniyyah bagi menggantikan tentera Janissaries yang telah terbukti ketidaksetiaan kepada Sultan. Oleh itu, Sultan Osman II merancang secara rahsia untuk pergi ke haji ke Mekah padahal tujuan sebenar beliau adalah untuk mendapatkan satu pasukan tentera yang baharu dari Anatolia bagi menggantikan tentera Janissaries. Namun begitu, recana ini berjaya dihidu oleh ketua tentera Janissaries.  Ini mencetuskan pemberontakan tentera Janissaries pada tahun 1622. Tentera Janissaries telah menuntut agar Wazir Besar, Dilaver Pasha, Omar Effendi, dan beberapa wazir untuk dihukum bunuh. Namun, tuntutan tersebut tidak dilayani oleh Sultan Osman II dan tentera Janissaries bertindak untuk menyerbu Istana Topkapi. Disitu, tentera Janissaries bertindak untuk membebaskan Sultan Mustafa untuk dikembalikan kepada takhta. Daud Pasha, adik ipar kepada Sultan Mustafa I bekerjasama dengan Halime Sultana bagi memastikan tentera Janissaries mengembalikan Sultan Mustafa kepada takhta.

Pada tahun 1622, Sultan Osman II telah diarak ke pasar dan dikurung ke kubu Yedikule. Disitu, Sultan Osman II telah dibunuh secara kejam oleh tentera Janissaries dengan menjerut tali pada leher beliau. Secara rasminya, Sultan Mustafa I yang mempunyai penyakit mental telah dikembalikan kepada takhta hasil permainan licik Daud Pasha dan ibunya, Halime Sultana.  Tidak lama kemudian, Daud Pasha telah dibunuh bagi memastikan Abaza Mehmed Pasha tidak menyerang Istanbul bagi mendapatkan keadilan bagi pihak Sultan Osman II kerana keadaan politik di Istanbul semakin tidak stabil.

Waqaf Saham

Rujukan:

Finkel, C. (2007). Osman’s Dream: The History of the Ottoman Empire. Hachette UK.

Hatamzad, Z. (2013). Foreign Policy of the Safavid Empire During Shah Abbas I. Life Science Journal, 10(SUPPL 8), 405-407.

Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016. PTS Publishing

Imber, C. (2009). The Ottoman Empire, 1300-1650: the structure of power. Macmillan International Higher Education.

Kármán, G., & Kunčević, L. (Eds.). (2013). The European Tributary States of the Ottoman Empire in the Sixteenth and Seventeenth Centuries. Brill.

Robert Firth (2013). Beat the Drum Slowly. eBookIt.com.

Tezcan, B. (2010). The second Ottoman Empire: Political and social transformation in the early modern world. Cambridge University Press.

Osman II, https://www.britannica.com/biography/Osman-II

Mikaberidze, A. (Ed.). (2011). Conflict and Conquest in the Islamic World: A Historical Encyclopedia [2 volumes]: A Historical Encyclopedia. Abc-Clio.

Woodhead, C. (2011). The Ottoman World. Routledge.