Sultan Nazrin Shah – Ikon Raja-Raja Melayu

1,449

https://bit.ky/kombowww

Almarhum Sultan Azlan Shah, Sultan Perak ke-34 sudah dibuktikan betapa besarnya jasa baginda terhadap negeri Perak dan juga Malaysia. Baginda juga merupakan seorang individu yang terpelajar membuatkan baginda begitu disanjungi ramai.

Baginda diangkat bukan sahaja oleh masyarakat di Malaysia sahaja malahan juga di dunia kerana ketokohan yang terdapat dalam personaliti baginda yang membuatkan dirinya amat disanjungi ramai.

Tidak terhenti di situ, anakanda-anakanda Almarhum Sultan Azlan Shah juga merupakan individu-individu yang terpelajar di mana mereka sama seperti baginda, mementingkan pendidikan dalam hidup.

Prinsip inilah yang wajar kita contohi kerana hanya dengan ilmu menerusi pendidikanlah, kita mampu untuk menjadi manusia yang berguna kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat amnya.

Sultan Nazrin Shah – Lambang Kebijaksanaan Raja-Raja Melayu

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah pertama kali melihat dunia pada tanggal 27 November 1956 di George Town, Pulau Pinang. Baginda merupakan anakanda sulung kepada Almarhum Sultan Azlan Shah dan Tuanku Raja Permaisuri Bainun.

Setelah mencapai umur yang sepatutnya, baginda pun mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Sekolah St. John, Kuala Lumpur ketika berada di darjah 6.

Baginda meneruskan persekolahan di Sekolah St. John sehingga tamatnya zaman persekolahannya. Tahun berikutnya pula, baginda telah terbang ke England untuk menyambung pengajian ke peringkat Tingkatan 6 di The Leys School di Cambridge, England sehingga tamat pengajiannya pada tahun 1975.

Seusai tamatnya pengajian baginda di The Leys School, baginda telah menyambung pula pengajiannya di Universiti Oxford pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Falsafah, Ekonomi dan Politik di mana baginda berjaya menamatkan pengajiannya di sana dengan cemerlang.

Tidak terhenti di situ, baginda menyambung lagi pengajiannya di peringkat Sarjana dalam bidang pentadbiran awam tetapi kali ini di Universiti Harvard di Amerika Syarikat pula. Hal ini bukanlah sesuatu perkara yang biasa kerana baginda telah belajar di antara dua buah Institut Pengajian Tinggi paling berprestij di dunia.

Jelas dan nyata bahawa baginda mempunyai personaliti seseorang yang amat mencintai ilmu selepas baginda telah menyambung lagi pengajiannya tetapi kali ini di peringkat tertinggi yakni Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan.

Sultan Nazrin Shah & Institusi Diraja

Tanggal 16 Februari 1984, iaitu pada usia Tuanku Sultan Nazrin Shah hampir menginjak 28 tahun, baginda telah dilantik oleh Dewan Negara Perak pada ketika itu sebagai Raja Kechil Besar Perak yang baru. Baginda telah memegang jawatan tersebut sehingga ke tarikh 15 April 1987, kira-kira 3 tahun kemudian.

Hal ini kerana pada tarikh tersebut, baginda telah dilantik sebagai Raja Muda Perak yang baru selepas ayahandanya, Almarhum Sultan Azlan Shah dipilih oleh Dewan Negara Perak sebagai Sultan Perak menggantikan Almarhum Sultan Idris Shah yang telah mangkat pada hari tersebut.

Sultan Nazrin Shah kemudian telah selamat mendirikan rumah tangga bersama Tuanku Zara Salim pada tanggal 17 Mei 2007. Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim dikatakan telah berkenalan sejak beberapa tahun sebelum baginda berdua mendirikan rumah tangga bersama.

Hasil daripada perkahwinan tersebut, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim telah dikurniakan dengan sepasang cahaya mata. Anakanda sulung baginda berdua, Raja Azlan Muzaffar Shah yang telah diputerakan pada 14 Mac 2008 manakala anakanda kedua, Raja Nazira Safya yang telah diputerakan pada 2 Ogos 2011.

Sultan Nazrin Shah telah memegang jawatan Raja Muda Perak itu selama lebih 2 dekad sebelum negara kita digemparkan dengan kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah pada tarikh 28 Mei 2014.

Seiring dengan kemangkatan ayahanda baginda, Dewan Negara Perak telah bersidang dan telah sebulat suara bersetuju untuk memilih dan melantik Sultan Nazrin Shah yang pada ketika itu masih lagi memegang jawatan Raja Muda Perak sebagai Sultan Perak yang baru. Baginda kemudian telah dimasyhurkan sebagai Sultan Perak yang ke-35 pada hari berikutnya.

2 tahun setelah menjadi Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Shah pun telah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong seiring dengan pelantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-15.

Hal ini juga berikutan dengan hasil daripada Mesyuarat Khas Raja-Raja yang telah bersidang di Istana Negara pada tanggal 14 Oktober 2016. Pelantikan Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong ini telah berkuatkuasa dua bulan kemudian pada 13 Disember 2016.

Perihal Lain Berkenaan Sultan Nazrin Shah

Umum mengetahui latar belakang pendidikan Sultan Nazrin Shah yang begitu menakjubkan. Oleh itu, baginda juga telah menerima pelbagai jemputan dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi yang menawarkan baginda untuk menjadi Felo di Institut Pengajian Tinggi masing-masing.

Baginda merupakan Felo Kehormat bagi Worcester College, Universiti Oxford dan Magdalene College berserta dengan St Edmund’s College yang berpusat di kampus Universiti Cambridge. Betapa baginda dihormati oleh Institut Pengajian Tinggi di luar negara.

Sebagai tambahan kepada jawatan yang dipegang baginda di luar negara, baginda juga memegang jawatan sedemikian di dalam negara. Baginda merupakan Felo Diraja bagi Institut Kajian Strategi & Hubungan Antarabangsa Malaysia dan juga Institut Keselamatan Awam Malaysia. Selain itu, baginda juga adalah merupakan Canselor kepada Universiti tertua di Malaysia, Universiti Malaya.

Tidak terhenti dalam bidang pendidikan sahaja, Tuanku Sultan Nazrin Shah juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Bersama dalam Panel Kewangan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selama kira-kira 2 tahun dari tahun 2015 sehingga tahun 2016.

Seiring dengan itu, baginda juga pernah berkenan menerima tugas sebagai Duta Khas Malaysia ke Dialog Antara Agama dan Kebudayaan di Persidangan Perikatan Peradaban yang telah dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selain daripada pernah memikul tugas mewakili negara ke peringkat antarabangsa, baginda, seperti Raja-Raja Melayu yang lain, juga tidak lari daripada memikul tugas dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Hal ini berikutan dengan perkenan baginda untuk menerima penyerahan tugas kepada baginda sebagai Kolonel Yang DiPertua Rejimen Jurutera Diraja Tentera Darat dan Kolonel Yang DiPertua Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia.

Selain daripada jawatan-jawatan ini, banyak lagi jawatan lain yang pernah dipikul oleh Tuanku Sultan Nazrin Shah. Hal ini menunjukkan yang baginda merupakan seorang yang bertanggungjawab sama seperti ayahandanya, Almarhum Sultan Azlan Shah.

Baginda juga merupakan seorang Raja yang amat dekat dengan rakyat di mana baginda selalu memberi pandangan ikhlasnya terhadap sebarang situasi yang melanda negara. Sebagai contohnya, baginda pernah menyentuh soal perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini. Hal ini menunjukkan yang bahawa baginda amat prihatin dengan keadaan yang berlaku dalam masyarakat marhaen di negara ini.

Catatan Penulis

Tuanku Sultan Nazrin Shah merupakan seorang individu yang personalitinya wajar dicontohi oleh kita semua. Sama seperti ayahandanya, baginda amat mementingkan ilmu dan hal ini sememangnya wajib dicontohi oleh sesiapapun kerana hanya dengan ilmulah, kita mampu untuk berjaya.

Selain itu, baginda juga merupakan seorang Sultan yang amat dekat dengan rakyat jelata. Baginda tidak pernah sekalipun bersikap sombong dan angkuh dengan pangkat dan darjat yang dimiliki baginda.

Hatta saya sendiri pun pernah terserempak dan bergambar dengan baginda semasa sedang membelek buku-buku di rak buku di Kinokuniya, Suria KLCC. Baginda sememangnya seorang yang amat mesra dengan rakyat jelatanya.

Harapan saya adalah semoga baginda sentiasa berada di bawah lindungan dan limpah rahmatNya. Semoga Allah sentiasa memelihara Raja-Raja Melayu agar baginda-baginda sekalian dapat terus melindungi bangsa dan agama kita.

Daulat Tuanku!

RUJUKAN :

  1. Laman Rasmi Sultan Nazrin Shah (n.d.). HIS ROYAL HIGHNESS SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH. https://sultannazrinshah.com/about/
  2. Astro Awani (7 Januari 2019). Pemegang PhD Harvard, ini biodata Sultan Nazrin. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pemegang-phd-harvard-ini-biodata-sultan-nazrin-195320
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.