Sultan Mustafa I Dari Uthmaniyah

0
730
views

Kebangkitan Sultan Mustafa I sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang kelima belas menandakan berakhirnya undang – undang membenarkan pembunuhan putera apabila salah seorang putera ditabal sebagai Sultan. Sultan Mustafa I merupakan putera kepada Sultan Mehmed III dan Halime Sultana. Beliau telah selamat daripada hukuman mati yang sepatutnya dilaksanakan keatas beliau kerana pada ketika itu Sultan Ahmet I belum lagi mempunyai sebarang pewaris.

Selain itu, Kosem Sultana juga mempengaruhi keputusan Sultan Ahmet I agar tidak menjatuhkan hukuman mati keatas Sultan Mustafa I. Ini disebabkan Kosem Sultana bimbang sekiranya pada suata masa nanti Sultan Osman II, putera Sultan Ahmet I yang paling tertua daripada isteri Sultan Ahmet I yang lain bakal akan menggantikan Sultan Ahmet I akan menjatuhkan hukuman mati keatas putera – putera Kosem Sultana. Sultan Mustafa I telah dikurung didalam sebuah bilik kurungan sehingga tahun 1617 selepas mangkatnya Sultan Ahmet I. Pengurungan tersebut telah menyebabkan gangguan kepada mental Sultan Mustafa I.

Kemangkatan Sultan Ahmet I pada tahun 1617 telah meninggalkan tanda tanya kepada rakyat pada ketika itu disebabkan undang – undang warisan sudah berubah. Oleh itu, berlakunya masalah pewarisan takhta pada ketika itu dan beberapa rundingan diadakan diantara pihak dalam istana, Mustafa Agha dan wakil para wazir, Mehmed Pasha dan Syeikh Al Islam, E’sad Effendi. Berdasarkan senioriti umur, Sultan Mustafa I lebih layak memegang takhta manakala Putera Osman masih lagi kanak – kanak yang belum akil baligh. Sultan Mustafa dipilih sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang baharu bagi mengantikan Sultan Ahmet I.

Fasa pemerintahan Sultan Mustafa I terbahagi kepada dua iaitu fasa pertama bermula daripada tahun 1617 sehingga 1618 dan fasa kedua bermula daripada tahun 1622 sehingga 1623. Pemerintahan Sultan Mustafa I tidak lebih kurang daripada boneka para elit didalam istana disebabkan keadaan gangguan mental Sultan Mustafa I. Disebabkan keadaan mental Sultan Mustafa I semakin teruk, maka berlaku penentangan di dalam Istana Topkapi yang menuntut agar Sultan Mustafa I diturunkan daripada takhta dan Sultan Osman II dinaikkan takhta sebagai Sultan. Sultan Mustafa I diturunkan daripada takhta pada tahun 1618 dan beliau dikurung kembali ke dalam sebuah bilik kurungan.

Fasa kedua pemerintahan Sultan Mustafa berlaku pada tahun 1622 sehingga 1623 menyaksikan pemberontakan kaum Janissaries dimana mereka menuntut hukuman mati keatas Wazir Besar, Dilaver Pasha dan Omar Effendi. Namun begitu, tuntutan kaum Janissaries ditolak oleh Sultan Osman II. Oleh itu, Janissaries telah menyerbu Istana Topkapi dan membebaskan Sultan Mustafa I untuk dinaikkan kembali kepada Sultan.  Pada tahun yang sama, Sultan Osman II telah dibunuh oleh Janissaries semasa pemberontakan kaum Janissaries yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan beliau. Oleh itu, Sultan Mustafa dinaikkan kembali kepada takhta. Walaubagaimanapun, para ulama tidak mengiktiraf pemerintahan Sultan Mustafa disebabkan keadaan mental yang tidak melayakkan menjadi pemimpin kaum Muslimin.

Pemerintahan Sultan Mustafa tidak lebih menjadi boneka kepada ibunya, Halime Sultana dan Kara Daud Pasha, Wazir Besar pada ketika itu. Syeikh Al Islam, Essad Efendi juga telah dipecat yang merupakan bapa mertua kepada Sultan Osman II dan juga bagi memperkukuhkan kedudukan Sultan Mustafa didalam istana. Keadaan ini telah menjadikan politik negara semakin tidak stabil dan ini menyebabkan Kara Daud Pasha telah dibunuh pada tahun 1623. Selepas itu, Ali Pasha sebagai Wazir Besar baharu, Ketua Mufti Yahya Effendi dan beberapa para ulama telah mengeluarkan arahan terbaharu supaya Sultan Mustafa I diturunkan daripada takhta atas alasan ketidakstabilan pada mental. Oleh itu, Sultan Murad IV dilantik sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang ketujuh belas yang pada ketika itu masih lagi kanak – kanak. Segala urusan pemerintahan diurus oleh ibunya, Kosem Sultana sebagai pemangku Sultan.

Waqaf Saham

emerintahan Sultan Mustafa I tidak memberi sebarang signifikan kepada Empayar Turki Uthmaniyyah selain menamatkan era undang – undang pembunuhan putera dan boneka kepada para elit didalam istana. Penggantinya, Sultan Murad IV mempunyai ketegasan didalam pemerintahan dan banyak menyelamatkan legasi – legasi keagungan Empayar Turki Uthmaniyyah semenjak zaman Sultan Muhammad Al Fateh dan Sultan Suleiman Al Qanuni.

Rujukan:

Masters, B. A. (2010). Encyclopedia of the ottoman empire. Infobase Publishing.

Hatamzad, Z. (2013). Foreign Policy of the Safavid Empire During Shah Abbas I. Life Science Journal, 10(SUPPL 8), 405-407.

Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016, PTS Publishing.

Imber, C. (2009). The Ottoman Empire, 1300-1650: the structure of power. Macmillan International Higher Education.

Tezcan, B. (2010). The second Ottoman Empire: Political and social transformation in the early modern world. Cambridge University Press.