Sultan Murad IV: Sang Pembebas Kota Baghdad

0
1541
views

Perseteruan antara Empayar Turki Uthmaniyyah dan Empayar Safawiyyah sudah lama semenjak zaman Sultan Salim I dan Shah Ismail I akibat perbezaan fahaman dan mazhab yang dianuti. Empayar Turki Uthmaniyyah berakidahkan Maturidiah sudah lama menjadi peneraju dan pelindung kepada mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah manakala Empayar Safawiyyah mempunyai keinginan untuk menyebar mazhab Syiah Imamiyyah dan seterusnya mencabar hegemoni Ahlus Sunnah Wal Jamaah dalam dunia Islam. Penaklukan ke atas kota Baghdad oleh Empayar Turki Uthmaniyyah dibawah pimpinan Sultan Sulaiman Al Qanuni menjadikan dendam kesumat pihak Safawiyyah kian membarah.

Walaubagaimanapun, Empayar Turki Uthmaniyyah semakin merosot selepas kemangkatan Sultan Sulaiman Al Qanuni dan ditambah lagi gelaran Padishah iaitu “Pemerintah Dunia” yang selama ini dipegang oleh para Sultan Turki Uthmaniyyah telah diberikan kepada Maharaja Empayar Rom Suci semasa zaman pemerintahan Sultan Ahmet I telah menunjukkan pengaruh dan kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah semakin malap. Ketika itu, Empayar Safawiyyah dibawah Shah Abbas semakin kuat dan berjaya menakluki beberapa wilayah dibawah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah seperti Tibriz, Wina dan beberapa lagi wilayah dibawah pengaruh Turki. Kota Baghdad yang selama ini dibawah penguasaan Empayar Turki Uthmaniyyah juga ditakluki oleh Shah Abbas.

Sultan Murad IV merupakan putera kepada Sultan Ahmet I dan Sultana Kosem menaiki takhta selepas bapa saudaranya, Sultan Mustafa I digulingkan pada tahun 1623. Sebelum itu, abangnya, Sultan Osman II juga dibunuh oleh tentera elit Janissaries akibat keengganan mereka untuk menerima pembaharuan dalam polisi ketenteraan yang diperkenalan oleh Sultan Osman II. Sultan Mustafa I yang sebelum ini pernah digulingkan dinaikkan semula ke takhta sebelum dimakzulkan kembali melalui konspirasi yang dirancangkan oleh Sultana Kosem. Ketika Sultan Murad IV ditabal sebaga Sultan Turki Uthmaniyyah yang baharu, usia beliau amatlah muda dan belum mengerti selok – belok pemerintahan. Disebabkan Sultan Murad IV ketika itu masih kecil, golongan wazir dan pihak istana mengambil kesempatan untuk berbuat sesuka hati dan meluaskan pengaruh masing – masing.

Ketika umur Sultan Murad IV semakin meningkat usia dan menunjuk kematangannya, Sultan Murad IV sedar perkara tersebut tidak boleh dibiarkan dan semakin sehari tentera Janissaries menunjukkan keras kepala dan sukar untuk dikawal. Pemberontakan tentera Janissaries pada tahun 1631 sehingga menyebabkan Wazir Besar terbunuh sehingga Sultan Murad IV melantik Wazir Besar yang baharu untuk memenuhi kemahuan tentera Janissaries.

Peristiwa tersebut telah membuka mata Sultan Murad IV dan mengambil langkah untuk mengawal kerajaan secara mutlak. Pada tahun 1632, Sultan Murad IV mengumumkan pemerintahan mutlak ke atas Empayar Turki Uthmaniyyah dan menjatuhkan hukuman mati ke atas Wazir Besar Kara Mustafa Pasha kerana melakukan kesalahan yang bertentangan dengan undang – undang Islam. Bayram Pasha dilantik sebagai Wazir Besar Empayar Turki Uthmaniyyah bagi menggantikan Kara Mustafa Pasha.

Sultan Murad IV telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengatasi masalah dalam pentadbiran dalam istana dan juga untuk mengawal tentera elit Janissaries yang semakin menunjukkan kekuasaan yang mengatasi Sultan itu sendiri. Antaranya adalah melucutkan bondanya sendiri, Sultana Kosem sebagai pemerintah bersama, menjatuhkan hukuman mati ke atas ketua – ketua Janissaries yang terlibat dalam pemberontakan, menghantar pengintip untuk mengesan kedudukan ketua pemberontakan dan mengupah pembunuh upahan untuk membunuh mana – mana ketua – ketua Janissaries yang berniat untuk memberontak dan menggulingkan Sultan.

Sultan Murad IV juga ingin memperkukuhkan kekuasaan ke atas wilayah – wilayah dibawah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah. Namun beberapa wilayah – wilayah Turki Uthmaniyyah yang ingin memisah diri daripada kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah. Antaranya adalah Amir Fakhruddin yang ingin memisahkan wilayah Lubnan daripada penguasaan Empayar Turki Uthmaniyyah. Amir Fakhruddin bukanlah orang Islam dan penganut agama Druze (pecahan mazhab Syiah Ismailiyyah dan akhirnya membentuk agama sendiri). Walaubagaimanapun, Amir Fakhruddin telah diberi kebebasan untuk memerintah dan mentadbir wilayah Lubnan tanpa gangguan kerajaan pusat di Istanbul dengan syarat membayar cukai jizyah. Nenek moyang Amir Fakhruddin merupakan Sanjak di wilayah Lubnan. Sanjak adalah ketua daerah yang bertanggungjawab kepada Gabenor Wilayah. Amir Fakhruddin dikatakan memeluk dan mengamalkan agama Kristian secara rahsia kerana bimbang kaumnya Oruz akan menentangnya jika mendapati beliau meninggalkan agama Druze yang menjadi anutan kaum Oruz.

Amir Fakhruddin

Keakraban Amir Fakhruddin dengan keluarga De Medici yang merupakan penguasa Republik Florence dan pemilik Bank Medici, salah satu bank yang paling berkuasa di Eropah ketika Renaissance telah menyebabkan Gabenor di Wilayah Syria, Hafiz Pasha mengesyaki hubungan yang begitu erat diantara Amir Fakhruddin dan keluarg De Medici. Pada ketika itu Sultan Murad IV belum lagi menaiki takhta.

Hasil siasatan Hafiz Pasha mendapati Amir Fakhruddin telah meminta Raja Sepanyol dan Duke of Florence dengan sokongan Paus di Vatikan untuk melancarkan perang salib keatas Empayar Turki Uthmaniyyah. Amir Fakhruddin dan bala tenteranya telah hampir mengancam pertahanan kota Damsyik disebabkan bantuan angkatan tentera laut dari Istanbul tiba pada masa yang tepat. Akhirnya, Amir Fakhruddin terpaksa melarikan diri kepada Florence dan menerima layanan yang baik oleh Duke Cosimo II. Ahmad Ali yang merupakan putera kepada Amir Fakhruddin dilantik sebagai ketua kaum Oruz dan masih lagi meneruskan perjuangan untuk menentang kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Istana Amir Fakhruddin

Setelahnya berlakunya kekacauan dalam pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah, Amir Fakhruddin mengambil kesempatan untuk kembali ke tanah air dan bergabung dengan puteranya, Amir Ahmad Ali untuk menentang Empayar Turki Uthmaniyyah. Pada tahun 1632, Kuchuk Mustafa Pasha yang merupakan penguasa yang dilantik oleh Empayar Turki di kota Damsyik telah mengerahkan pasukan tentera Turki untuk memerangi Amir Fakhruddin dan puteranya Amir Ahmad Ali. Pertempuran yang dahsyat itu telah menyebabkan Amir Fakhruddin telah melarikan diri dan bersembunyi di puncak bukit. Amir Ahmad Ali juga terbunuh dalam peperangan tersebut.

Amir Fakhruddin telah menyerah diri kepada pihak Turki Uthmaniyyah pada tahun 1635 dan dibawa ke Istana Topkapi, Istanbul. Beliau dijatuhkan hukuman penggal kepala pada 13 April 1635. Sultan Murad IV akhirnya berjaya menyelesaikan masalah – masalah dalaman yang melemahkan kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah dan beliau mula menumpu perhatian kepada musuh Empayar Turki Uthmaniyyah yang paling utama iaitu Empayar Safawiyyah.

Pada tahun 1635, Sultan Murad IV sendiri memimpin bala tentera Janissaries untuk memerangi Empayar Safawiyyah dan berjaya mengusir tentera – tentera Safawiyyah daripada sebahagian wilayah Iraq. Walaubagaimanapun, Shah Safi berjaya menakluki sebahagian wilayah Iraq yang dirampas oleh Sultan Murad IV. Oleh itu, Sultan Murad IV kembali untuk memimpin bala tentera Janissaries pada 1638 untuk menakluki kota Baghdad.

Sultan Murad IV dengan kekuatan lebih daripada 100 ribu bala tentera manakala bala tentera Empayar Safawiyyah yang dipimpin oleh Bektash Khan Gorgi mempunyai lebih daripada 200 ribu bala tentera untuk mempertahankan kota Baghdad daripada serangan tentera Janissaries. Pertempuran yang dashyat ini telah mengorbankan ribuan nyawa kedua – dua pihak. Wazir Besar, Tayyar Mustafa Mehmet Pasha yang menggantikan Wazir Besar Bayram Pasha yang mati dalam perjalanan ke kota Baghdad. Walaubagaimanapun, Mustafa Mehmet Pasha juga mati syahid ketika bertempur dengan tentera – tentera Safawiyyah dalam kempen penaklukan kota Baghdad. Bektash Khan Gorji, gabenor Safawiyyah di kota Baghdad telah melarikan diri dan beliau merupakan gabenor Safawiyyah yang terakhir di kota Baghdad. Walaubagaimanapun, beliau sebelum ini telah banyak memperbaiki kelemahan sistem pertahanan di kota Baghdad sehingga menyebabkan Sultan Murad IV dan bala tenteranya agak sukar untuk membuat serang walaupun pada akhirnya kota Baghdad berjaya ditakluki oleh Sultan Murad IV.

Sultan Murad IV amat tegas dan berlaku keras ke atas penentang – penentangnya bagi memastikan kestabilan pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah. Ketegasan Sultan Murad IV dalam pemerintahan menyebabkan golongan wazir dan tentera Janissaries tidak berani untuk mempersoalkan kepimpinan beliau. Sultan Murad IV juga bercita – cita untuk mengembalikan kegemilangan Empayar Turki Uthmaniyyah seperti zaman Sultan Muhammad Al Fateh dan Sultan Sulaiman Al Qanuni. Walaubagaimanapun, belum sempat untuk melaksanakan cita – citanya, Sultan Murad IV telah kembali kepada rahmatullah pada tahun 1640 pada usia yang agak muda.

Rujukan:
1. Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016
2. Kafadar, C. (2007). Janissaries and other riffraff of Ottoman Istanbul: rebels without a cause?. Int. J. Turkish Studies Vol, 13(1&2).
3. Alexander Mikaberidze (2011), Conflict and Conquest in the Islamic World: A Historical Encyclopedia [2 volumes]: A Historical Encyclopedia
4. Cathal J. Nolan (2006), The Age of Wars of Religion, 1000-1650: An Encyclopedia of Global Warfare and Civilization, Volume 1, Greenwood Publishing Group
5. Murad IV of Turkey, http://madmonarchs.guusbeltman.nl/madmonarchs/murad4/murad4_bio.htm
6. Kenneth Meyer Setton (1976), The Papacy and the Levant, 1204-1571, American Philosophical Society
7. O. Bengio, Meir Litvak (2014), The Sunna and Shi’a in History: Division and Ecumenism in the Muslim Middle East, Springer
8. R. Faulder (1789) Accounts and Extracts of the Manuscripts in the Library of the King of France, Volume 2

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here