Sultan Murad II: Sultan Uthmaniyah Yang Berjiwa Pahlawan

0
1015
views

Sultan Murad II merupakan Sultan Turki Uthmaniyyah yang keenam yang memerintah dari tahun 1421 sehingga 1451. Pemerintahan Sultan Murad II mempunyai dua fasa iaitu fasa pertama dari 1421 sehingga 1444 dan fasa kedua dari 1446 sehingga 1451.  Dikatakan pemerintahan Sultan Murad II penuh dengan konflik dan peperangan dengan serantau baik kerajaan Islam mahupun kerajaan Kristian di Eropah.

Sebaik sahaja Sultan Mehmed Celebi mangkat pada tahun 1421, Sultan Murad II telah ditabalkan sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang baru dan usia beliau pada ketika itu amat muda sekali iaitu 18 tahun. Sultan Murad II telah diuji dengan pemberontakan bapa saudaranya iaitu Mustafa Celebi yang disangkakan mati ketika Perang Ankara pada tahun 1402.

Pertama kali pemberontakan Mustafa Celebi berjaya dipatahkan oleh Sultan Mehmed Celebi. Sultan Murad II tidak menyangka bahawa bapa saudaranya masih hidup dan beliau telah dihasut oleh Maharaja Byzantine untuk merampas kembali takhta Sultan Turki Uthmaniyyah yang sepatutnya menjadi miliknya. Ada pendapat mengatakan beliau bukanlah putera Sultan Bayazid Yildrim kerana Mustafa Celebi yang sebenar sudah mati syahid di Ankara ketika perang menentang Timurlink.

Mustafa Celebi telah mendapat sokongan daripada penduduk Rumelia dan berjaya mengumpul beberapa pengikut termasuklah beberapa askar Janissaries yang tertipu dengan helah Mustafa. Beliau juga mendapatkan sokongan penuh daripada Maharaja Byzantine iaitu Kaiser Manuel untuk memberontak.

Mustafa Celebi juga berjaya menghapuskan beberapa pengikut Bayazid Pasha yang setia kepada Sultan Murad II. Kejayaan Mustafa Celebi dalam mengumpul beberapa orang pengikut dalam jumlah yang besar disebabkan beberapa orang rakyat Turki yang masih tidak berpuas hati dengan peristiwa hukuman mati ke atas Sheikh Bedreddin yang memberontak ketika zaman pemerintahan Sultan Mehmed Celebi. Mustafa Celebi mengambil kesempatan diatas peristiwa tersebut dengan menyatakan simpati diatas kekejaman yang berlaku keatas Sheikh Bedreddin bagi meraih sokongan daripada rakyat dan tentera.

Sultan Murad II merupakan seorang yang amat licik dalam tipu helah. Selain itu, para wazirnya menasihati agar beliau membebaskan Mihaloğlu daripada penjara kerana Mihaloğlu mempunyai pengaruh yang besar dikalangan amir – amir Rumelia. Oleh itu, Sultan Murad II menghantar Mihaloğlu untuk berpura – pura setia kepada Mustafa Celebi sambal itu mempengaruhi penguasa – penguasa Rumelia. Mihaloğlu juga dijanjikan dengan pengampunan dan akan dikembalikan pangkat dan harta yang pernah dirampas dahulu. Oleh itu, beberapa amir- amir Rumelia telah berpaling tadah kepada Sultan Murad II akibat termakan hasutan Mihaloğlu dan ini telah menimbulkan rasa panik Mustafa Celebi.

Mustafa Celebi juga secara terburu – buru untuk menyerang Sultan Murad II. Sultan Murad II dapat meramal Mustafa Celebi pasti akan menyerang Bursa. Oleh itu, Sultan Murad II telah mengarah beberapa askar untuk memusnahkan jambatan di Sungai Nilufer. Mustafa Celebi menyangka Sultan Murad II bertindak dengan bodoh dan beliau telah membawa askarnya ke sekitar tasik. Tanpa disangkanya, Sultan Murad II telah memerangkap Mustafa Celebi dengan membina kembali jambatan (mungkin pembinaan jambatan kayu dengan kadar segera) dan Mustafa Celebi telah tertipu dengan helah Sultan Murad II. Akhirnya Sultan Murad II berjaya mengalahkan Mustafa Celebi dan para pengikutnya. Namun, beliau melarikan diri ke Wallachia dan berjaya ditangkap oleh askar Janissaries. Mustafa Celebi akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan menerima nasib seperti Sheikh Bedreddin. Muslihat pihak Byzantine berjaya dipatahkan oleh Sultan Murad II dan akhirnya terpaksa menanggung malu dan akibatnya berdepan dengan ancaman perang daripada Sultan Murad II.

Selepas Mustafa Celebi berjaya dijatuhkan hukuman gantung mati oleh Sultan Murad II, beliau telah membentuk sebuah pasukan tentera yang baharu yang dinamakan “Azap” bagi melaksanakan satu kempen penaklukan ke atas kota Konstantinopel. Menurut Ágoston, G., & Masters, B. A. (2010), tentera Azap adalah tentera daripada golongan petani yang masih bujang dan biasanya mereka digunakan sebagai infantri dalam peperangan. Sultan Murad II telah membawa sebanyak 20,000 orang tentera untuk mengepung kota Konstantinopel. Walaubagaimanapun, Sultan Murad II terpaksa membatalkan niat beliau untuk menakluki kota Konstantinopel kerana berdepan dengan ancaman pemberontakan daripada saudara kandungnya sendiri iaitu Sehzade Mustafa atau dikenali sebagai Küçük Mustafa. Küçük Mustafa pada ketika itu usia yang terlalu muda dan remaja telah termakan hasutan daripada Kaiser Manuel dan melaksanakan pemberontakan ke atas saudaranya sendiri, Sultan Murad II. Kaiser Manuel telah menghantar mesej melalui mentor Küçük Mustafa iaitu Ilyas dan di dalam mesej tersebut menyatakan sokongan penuh ke atas Küçük Mustafa untuk merampas takhta daripada Sultan Murad II. Namun begitu, Kaiser Manuel telah meninggal dunia secara mengejut dan digantikan dengan Maharaja Byzantine yang agak kurang cerdik dalam permainan politik iaitu Ioannes VIII.

Ioannes VIII telah menawarkan puteri beliau yang amat cantik untuk dikahwinkan dengan Küçük Mustafa dan beliau telah menghantar Mustafa ke Anatolia dengan bantuan tentera Rom bagi memerangi Sultan Murad II untuk merampas takhta. Dikatakan amir -amir Anatolia telah bersuhabat dan menghasut Küçük Mustafa untuk memberontak. Amir di Karaman yang merupakan negeri dibawah naungan Empayar Turki Uthmaniyyah juga turut menyokong Küçük Mustafa dalam pemberontakan.

Pada bulan Ogos 1422, Küçük Mustafa dan amir daripada Karaman, Germiyan dan Hamit telah merancang untuk menyerang Bursa. Oleh itu, utusan daripada telah menyampaikan mesej ke Sultan Murad II yang pada ketika itu sedang dalam kempen penaklukan kota Konstantinopel dan menyatakan penduduk di Bursa telah mengiktiraf Küçük Mustafa sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah. Ini menyebabkan Sultan Murad II terpaksa berundur daripada medan peperangan.

Sultan Murad II telah menghantar utusan kepada mentor Küçük Mustafa iaitu Illyas dan menjanjikan habuan yang besar dan beliau akan dilantik sebagai Gabenor Rumelia jika membelot. Oleh itu, Ilyas telah bersetuju dengan tawaran tersebut. Küçük Mustafa telah berniat untuk menyerang Iznik dan mentornya, Illyas telah meminta Küçük Mustafa untuk bersabar dengan alasan masa yang tidak sesuai. Beliau telah mendapat arahan daripada Sultan Murad II agak melambat – lambatkan serangan Küçük Mustafa ke atas Iznik sehingga beliau tiba ke Iznik. Namun, Amir Karaman dan Amir Kutahya yang merupakan penyokong kuat Küçük Mustafa telah dapat menghidu pengkhianatan dan niat udang disebalik batu Ilyas. Mereka menasihati Küçük Mustafa agar menyegerakan serangan ke atas Iznik namun beliau menolak secara mentah kerana percaya dengan nasihat mentornya. Selepas itu, mentornya menasihat Küçük Mustafa agar berada di istana Ibrahim Pasha di Iznik dan Ilyas telah mengumpul ahli Majlis Menteri agar putera yang naif dan lurus bendul semakin percaya dengannya.

Sultan Murad II telah tiba di Iznik dan mengarah Evrenosoğlu Ali Beg berada di penjuru kota arah Barat dan Firuz Beg di penjuru kota arah utara. Apabila Sultan Murad II telah tiba di Iznik, tentera – tentera Küçük Mustafa telah berlari secara kucar – kacir dan berjaya dikalahkan. Mentornya, Ilyas telah menghantar Küçük Mustafa kepada Sultan Murad II dan dihukum pancung oleh Mezid Beg İmrahor atas arahan Sultan Murad II. Kekalahan Küçük Mustafa menandakan usaha dan muslihat yang terakhir dilakukan oleh Empayar Byzantine bagi memastikan Empayar Turki Uthmaniyyah sentiasa diancam konflik perang saudara.

Sultan Murad II juga berjaya memadam api pemberontakan di dalam wilayah Empayar Turki Uthmaniyyah. Negeri Karaman, Germiyan, Hamit dan Kutahya telah yang merupakan negeri naungan Turki Uthmaniyyah juga berjaya dikuasai dengan sepenuhnya dan pemerintahan amir di negeri tersebut dimansuhkan dan dijadikan sebahagian wilayah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah. Sultan Murad II juga telah melancarkan kembali serangan ke atas kota Konstantinopel sehingga kota – kota yang berada disekeliling kota tersebut termasuklah Saloniki berjaya ditaklukinya. Akhirnya, Empayar Rom Byzantine semakin mengecil sehingga wilayah kekuasaan hanya tertakluk keatas kota Konstantinopel.

Albania berjaya ditawan kembali oleh Sultan Murad II. Pada ketika itu, Albania telah berpecah kepada dua bahagian iaitu Utara dan Selatan. Di bahagian utara, Albania telah diperintah oleh keluarga Kastrioti yang mengaku kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah dan membayar jiyzah setiap tahun. Pemerintah Kastrioti juga telah menghantar puteranya yang tertua ke istana Turki Uthmaniyyah di Bursa sebagai tebusan. Puteranya tertua iaitu George Kastrioti telah memeluk Islam dan memakai gelaran Iskander Bey atau Skanderbeg. Namun begitu, beliau telah murtad dan berpaling tadah kepada Pope di Vatikan untuk memerangi Empayar Turki Uthmaniyyah.

Sultan Murad II juga berjaya menundukan kerajaan Wallachia yang ketika itu diperintah oleh Vlad II Dracul. Beliau bersetuju untuk membayar jizyah kepada Sultan Murad II setiap tahun, memberi sumbangan ketenteraan kepada Sultan dan menghantar dua orang puteranya iaitu Vlad The Impaler (Dracula) dan Radu sebagai tebusan di istana Turki Uthmaniyyah.

Pada 29 March 1430, Sultan Murad II berjaya menawan kota Thessalonica dan sehingga Maharaja Byzantine ketika itu, John VIII telah merayu kepada pihak Kristian di Barat dan Paus Martin V bagi bersatu melawan Empayar Turki Uthmaniyyah. Beliau bersetuju untuk menyatukan Gereja Katolik dan Gereja Ortodoks yang berpecah akibat perbezaan fahaman agama. Oleh itu, beliau menghantar Patriarch Konstantinopel sebagai ketua rombongan delegasi ke Vatikan bagi penyatuan Gereja. Namun, tindakan Maharaja John VIII telah mendapat tentangan penduduk Kristian Ortodoks di Konstantinopel dengan alasan Gereja Katolik telah mengambil kesempatan untuk menghancurkan Gereja Ortodoks.

Tidak lama kemudian, putera kesayangannya iaitu Sehzade Alauddin telah meninggal dunia termasuk beberapa puteranya yang masih lagi bayi turut dibunuh oleh wazirnya sendiri iaitu Kara Hizir Pasha. Motif pembunuhan Kara Hizir Pasha masih tidak diketahui dan beliau dijatuhkan hukuman mati atas arahan Sultan Murad II. Kematian puteranya yang diharapkan untuk menjadi penggantinya nanti telah meninggalkan kesan kesedihan yang begitu mendalam kepada Sultan Murad II. Sehzade Alauddin telah dikebumikan di Bursa dimana makam nenek moyangnya disemadikan. Selain itu, putera sulungnya, Sehzade Ahmet turut meninggal dunia. Oleh itu, satu – satunya putera yang masih hidup adalah Sultan Mehmed Al –  Fateh.

Selepas itu, Sultan Murad II telah mengarah Sultan Mehmed Al Fateh yang pada ketika itu berada di Manisa untuk menyertai beliau selepas dapat mengetahui rancangan serangan yang dilakukan oleh John Hunaydi dan Raja Ladislas untuk memerangi Empayar Turki Uthmaniyyah.

Sultan Murad II telah menghantar Mezid Beg meneruskan untuk menyerang Transylvania. Namun begitu, serangan Sultan Murad II telah berjaya dipatahkan oleh sekumpulan tentera Kristian yang dketuai John Hunaydi yang merupakan putera Transylvania. Mezid Beg telah terkorban dalam peperangan jihad fisabilillah menentang Transylvania.

Pada masa yang sama, Iskander Bey telah berpaling tadah kepada tentera pakatan Kristian selepas berjaya memperdayakan Hassan Pasha untuk menyerahkan kubu di Nice dimana Iskander Bey dan Hassan Pasha dihantar untuk berperang dengan John Hunaydi dan Raja Ledislas. Pada bulan Mac 1444, Iskander Bey telah melakukan pakatan dengan John Hunaydi dan Raja Ladelase untuk membebaskan Albania dan benua Eropah daripada kekuasaan Turki dan Islam buat selama – lamanya. Pada bulan Jun 1444, Sultan Murad II telah menghantar bala tentera Janissaries untuk menghapuskan pemberontakan. Namun, Iskander Bey dan sekutunya berjaya menghapuskan ancaman Sultan Murad II.

Kejayaan John Hunaydi menjadikan beliau semakin bongkak dan takbur apabila beliau berjaya menakluki Sophia dan berjaya mengalahkan tentera Turki di pergunungan Balkan. Kerajaan – kerajaan Kristian di Eropah semakin bersemangat dan bersetuju membentuk pakatan anti – Ottoman dan berjaya menghasut putera Karman iaitu Ibrahim Beg. Namun, Hunaydi telah secara tiba – tiba membatalkan serang ke atas Sultan Murad II. Sultan Murad II telah menawarkan perdamaian dan gencatan senjata selama 10 tahun. John Hunaydi pun bersetuju untuk menerima tawaran pendamaian tersebut. Pada tahun 1444, Raja Ladislas dan Sultan Murad telah mengikat perjanjian tesebut dengan mengangkat kitab suci masing – masing iaitu Injil dan Al Qur’an. Perjanjian pendamaian itu telah

Sultan Murad II telah melantik Sultan Mehmed Al Fateh sebagai pemerintah bersama dibawah bimbingan Wazir Besar, Halil Pasha. Sultan Murad II telah memimpin pasukan tentera Janissaries dan Ibrahim Bey telah berjaya dikalahkan dan dipaksa dihilangkan status sebagai Amir di Karaman.

Pada masa yang sama, Sultan Mehmed Al – Fateh pada ketika itu telah diberi kepercayaan penuh oleh Sultan Murad II untuk mentadbir negara ketika ketiadaan beliau. Sultan Mehmed Al – Fateh terpaksa berhadapan dengan isu agama dimana munculnya golongan sufi Bektashi dari Parsi. Sultan Mehmed Al – Fateh begitu tertarik dengan ajaran sufi Bektashi dan bersetuju melindungi Syeikh Bektashi dan pengikutnya daripada pihak ulama. Namun begitu, Mufti Fahrettin, seorang ulama besar dalam kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mengeluarkan fatwa sesat ke atas golongan sufi sehingga Sultan Mehmed Al Fateh terpaksa tunduk dan akhirnya golongan sufi tersebut dijatuhkan hukuman mati.

Sementara itu, Sultan Murad II telah singgah di pusara makam nenek moyang di Bursa dan juga pusara makam puteranya, Sehzade Alauddin. Oleh itu, timbul perasaan benci keatas duniawi dan timbul pula perasaan zuhud yang mendalam. Pada 1 September 1444, Sultan Murad II telah membuat pengumuman di hadapan para wazir dan memberi ruang kepada Sultan Mehmed Al – Fateh untuk menaiki takhta. Para wazir terutama Wazir Besar Halil Pasha menentang keputusan tersebut dengan alasan Sultan Mehmed Al – Fateh kurang matang dalam urusan pemerintahan negara. Namun, Sultan Murad II telah berkeras dengan keputusan tersebut dan akhirnya beliau berundur di Manisa untuk menjadi ahli Sufi dan mengerjakan suluk atau ibadah kerohanian tasawuf. Sultan Mehmed Al – Fateh secara rasminya menjadi Sultan Turki Uthmaniyyah yang ketujuh dimana beliau pada ketika itu berusia 14 tahun.

Namun begitu, tidak sampai 3 minggu Sultan Mehmed Al Fateh ditabalkan sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang baharu, Raja Ladislas, John Hunaydi dan Karidnal Cesarani telah melanggar perjanjian damai dengan menyerang Danube sehingga Sultan Murad II kembali sebentar dengan mengumpul beberapa tentera untuk melawan kembali serangan tentera Salib. Sultan Murad II dan beberapa orang askarnya telah berjaya mengalahkan tentera Salib dibawah Raja Ladislas dan John Hunaydi. Raja Ladislas telah terkorban dalam pertempuran tersebut dan John Hunaydi pula terpaksa melarikan diri ke Hungary dan beliau telah dilantik menjadi pemerintah di Hungary. Raja Ladislas telah ditikam dengan lembing oleh askar Janissary lalu dipancung kepala beliau. Kematian Raja Ladislas telah melemahkan semangat tentera Salib sehingga melarikan diri. Karinal Ceserani pula dibunuh oleh askarnya sendiri.

Sultan Murad II telah kembali ke Manisa dan menyambung persaraan di Manisa untuk beribadat sepenuh masa kepada Allah s.w.t dan takhta tersebut dikembalikan kepada Sultan Mehmed II kembali. Semasa pemerintahan fasa pertama Sultan Mehmed Al Fateh, banyak dasar – dasar yang beliau lakukan tidak dipersetujui oleh Wazir Besar Halil Pasha. Antaranya adalah rancangan Sultan Mehmed Al Fateh untuk menyerang kota Konstantionpel. Oleh itu, Wazir Besar Halil Pasha meminta Sultan Murad II untuk kembali ke menaiki takhta kerana beliau berpendapat Sultan Mehmed Al Fateh terlalu muda untuk memikul tanggungjawab dan mengurus urusan negara. Ditambah lagi, pemberontakan Janissary yang berlaku pada tahun 1446 disebabkan Sultan Mehmed Al Fateh enggan menaikkan gaji Janissary. Disebabkan marah dengan keengganan Sultan Mehmed Al Fateh menaikkan gaji, Janissary telah membakar beberapa buah bazaar di Erdine. Ini menyebabkan Sultan Murad II terpaksa kembali memimpin Empayar kembali pada tahun 1446.

Pada tahun 1448, Perang Kosovo yang kedua telah tercetus apabila John Hunaydi dan sekutunya daripada Jerman, Czech, dan Wallachia telah menyemberang Sungai Danube dan menyerang wilayah Turki Uthmaniyyah di Serbia. Namun begitu, Sultan Murad II dengan mudahnya mengalahkan tentera Salib di Kosovo dan John Hunaydi telah melarikan diri sekali lagi dengan meninggalkan askar – askar yang masih berada disitu. Sultan Murad II telah merancang menyerang Albania yang ketika itu diperintah oleh Iskander Bey yang murtad bagi menghukum pengkhianatan beliau. Namun, Iskander Bey telah mempelajari daripada kesilapan John Hunaydi dan beliau tidak sesekali akan memerangi Sultan Murad II secara berhadapan melainkan dengan taktik gerila.

Oleh itu, Sultan Murad II berpendapat Iskander Bey tidak mudah dikalahkan dan membiarkan beliau berkuasa di Albania kerana peperangan dengan Iskander Bey amat merugikan. Kejayaan Iskander Bey telah mengharumkan nama beliau di Eropah dan Dunia Kristian. Oleh itu, beliau telah diangkat sebagai Pahlawan Nasional di Albania sekarang sebagai memperingati jasa beliau dalam mempertahankan tanah air daripada ancaman Empayar Turki Uthmaniyyah.

Pada 31 Oktober 1448, John VIII telah meninggal dunia dan takhta Maharaja Rom Byzantine telah diserahkan kepada Maharaja Constantine XI Palaiologos yang merupakan Maharaja Rom Byzantine yang terakhir. Constantine XI telah ditabalkan secara rasmi sebagai 6 Januari 1449. Beliau merupakan saudara kandung kepada John VIII. Pada masa yang sama, Sultan Murad II telah menyambut kelahiran Sehzade Bayazid atau Sultan Bayazid II, putera kepada Sultan Mehmed Al Fateh pada Januari 1448.

Sultan Murad II telah mengahwinkan Sultan Mehmed Al Fateh dengan puteri Amir Ibrahim iaitu Puteri Siti Hatun sebagai tanda bersekutu antara dua puak Turki yang paling berkuasa iaitu puak Turki Kayilar dan puak Turki Dulkadirli bagi memerangi puak Turki Karaman yang sentiasa memusuhi Empayar Turki Uthmaniyyah.

Pada tahun 1451, Sultan Murad II telah kembali ke rahmatullah dan Sultan Mehmed Al Fateh kembali memegang kuasa sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang ditakdirkan sebagai penakluk kota Konstantinopel pada tahun 1453.

Rujukan:

  1. Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016.
  2. McCarthy, J. (2014). The Ottoman Turks: an introductory history to 1923. Routledge.
  3. Finkel, C. (2007). Osman’s Dream: The History of the Ottoman Empire. Hachette UK.
  4. Ágoston, G., & Masters, B. A. (2010). Encyclopedia of the ottoman empire. Infobase Publishing.
  5. Nilgün, E. L. A. M. BYZANTINE EYE-WITNESSES OF ANATOLIAN POWER-BREAKERS DURING THE YEARS OF 1421-1423.
  6. Leblanc, B. H. (1997). Vlad Dracula An intriguing figure in the fifteenth century. Journal of the Dark, 5.
  7. Freely, J. (2009). The Grand Turk: Sultan Mehmet II-Conqueror of Constantinople and Master of an Empire. The Overlook Press.
  8. Imber, C. (2009). The Ottoman Empire, 1300-1650: the structure of power. Palgrave Macmillan.