Sultan Ibrahim I: Penakluk Kota Crete Dari Venice

0
330
views

Sultan Ibrahim I merupakan Sultan Turki Uthmaniyyah yang kelapanbelas memerintah dari tahun 1640 sehingga 1648. Beliau merupakan putera kepada Sultan Ahmet I dan Kosem Sultana. Zaman kanak – kanak Sultan Ibrahim I, beliau telah menyaksikan peristiwa saudaranya Sultan Osman II dibunuh dan pemerintahan Sultan Murad IV. Semasa zaman pemerintahan Sultan Murad IV, Sultan Ibrahim I dan beberapa putera yang lain dikurung di dalam bilik kurungan.

Selepas kemangkatan Sultan Murad IV, Sultan Ibrahim dibebaskan daripada bilik kurungan menyangka bahawa beliau akan dihukum bunuh seperti Putera Bayazid dan Putera Kasim. Namun begitu, Kara Mustafa Pasha menyakinkan beliau bahawa Sultan Murad IV telah mangkat dan beliau ditabalkan sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang baharu. Sultan Ibrahim I pada mula tidak mempercayai kerana beranggapan itu sebagai umpan untuk beliau dibunuh. Selepas diyakinkan mayat Sultan Murad IV ditunjukkan, barulah Sultan Ibrahim I percaya. Hukuman kurungan didalam bilik kurungan menyebabkan masalah kesihatan mental kepada Sultan Ibrahim I.

Sultan Ibrahim I merupakan satu – satunya pewaris lelaki dinasti Sultan Osman Bin Ertugrul yang masih hidup pada ketika itu dan beliau agak bernasib baik kerana mampu mempunyai zuriat lelaki selepas menjadi Sultan. Zaman pemerintahan Sultan Ibrahim I menyaksikan kembali berkuasanya Kosem Sultana dan beberapa kaum wanita Harem didalam pemerintahan negara dimana kekuasaan para wanita Harem berjaya dibatasi semasa zaman pemerintahan Sutlan Murad IV.

Mujurnya dengan adanya Wazir Besar Kara Mustafa Pasha masih mampu mengekalkan polisi reformasi politik dan ekonomi semasa zaman Sultan Murad IV. Kara Mustafa Pasha juga berperanan dalam rundingan perjanjian Zuhab pada tahun 1639 yang dimeterai oleh Empayar Turki Uthmaniyyah dan Empayar Safawiyyah memberi kelebihan beliau untuk menumpu sepenuh perhatian kepada urusan pentadbiran negara. Kara Mustafa Pasha juga berusaha untuk menstabilkan kewangan negara dengan pembayaran dalam bentuk tunai, pengurangan jumlah tentera Janissaries dan memperkenalkan sistem cukai baru. Beberapa wazir – wazir yang dilantik semasa zaman Sultan Murad IV juga dikekalkan oleh Sultan Ibrahim I. Sheikh Al Islam Yahya Effendi juga terus berkhidmat kepada Sultan Ibrahim I sehingga kewafatan beliau pada tahun 1644.

Kara Mustafa Pasha sedar akan konspirasi yang sedang dirancang untuk menjatuhkan beliau dan Silahdar Mustafa Pasha merupakan antara musuh ketat beliau yang bekerjasama dengan Kosem Sultan untuk menjatuhkan beliau disebabkan dasar – dasar ketat yang dikenakan oleh Kara Mustafa Pasha bagi menghalang kaum wanita Harem kembali berkuasa didalam istana. Oleh itu, Kara Mustafa Pasha berusaha untuk memujuk Sultan Ibrahim I supaya menjatuhkan hukuman mati keatas Silahdar Mustafa Pasha.

Begitu juga, Nasuhpazade Huseyin Pasha, anak kepada bekas Wazir Besar Nasuh Pasha juga tidak berpuas hati dengan dasar reformasi yang dilaksanakan oleh Kara Mustafa Pasha. Oleh itu, Nasuhpazade Huseyin Pasha melancarkan pemberontakan pada tahun 1642. Namun begitu, Kara Mustafa Pasha berjaya menghapuskan api pemberontakan dan menjatuhkan hukuman mati keatas beliau. Sultanzade Mehmed Pasha juga merupakan seteru Kara Mustafa Pasha juga turut menentang dasar reformasi yang dilaksanakan oleh beliau. Oleh itu, Kara Mustafa Pasha memohon Sultan Ibrahim agar dilantik sebagai Gabenor Damasyik. Namun begitu, Wazir Besar Kara Mustafa Pasha telah dihukum bunuh pada 31 Januari 1644 akibat hasutan Kosem Sultana yang menghasut tentera Janissaries agar mendesak Sultan Ibrahim I untuk menjatuhkan hukuman mati keatas beliau. Jawatan besar Wazir Besar Kara Mustafa diganti oleh Sultanzade Mehmed Pasha setelah dipanggil pulang ke Istanbul.

Kematian Kara Mustafa Pasha merupakan satu kehilangan besar kepada Empayar Turki Uthmaniyyah kerana tiada lagi pemimpin yang mampu mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi kerana selepas kematian beliau telah berlakunya kekecohan dan ketidakstabilan politik dan ekonomi didalam negara. Selain itu, Sultan Ibrahim I juga telah menghantar ibunya, Kosem Sultana ke Istana lama kerana Kosem Sultana sering mencampuri urusan pemerintahan beliau.

Waqaf Saham

Pada tahun 1645, satu konflik telah tercetusnya antara Empayar Turki Uthmaniyyah dan Republik Venice telah tercetus apabila penasihat agama Sultan Ibrahim, Jinji Hoca I telah menasihat Sultan Ibrahim I untuk merampas Crete daripada Republik Venice atas alasan Crete pernah menjadi sebahagian wilayah daripada Empayar Byzantine. Selain itu, Sultan Ibrahim I percaya bahawa Crete akan mudah jatuh ke tangan Empayar Turki Uthmaniyyah. Pada tahun 1645, Sultan Ibrahim I telah memerintah Silahdar Yusuf Pasha untuk menyerang kubu Cania (tempat menjadi kunci kepada penaklukan Crete).

Namun begitu, serangan Silahdar Yusuf Pasha ke atas kubu tersebut selama dua bulan tidak mendatangkan hasil kerana pertahanan kubu tu terlalu kuat. Oleh itu, Silahdar Yusuf Pasha terpaksa berundur ke Istanbul dan mendapat kecaman dan kritikan daripada Wazir Besar Sultanzade Mehmed Pasha. Walaubagaimanapun, Sultan Ibrahim I mendengar pendapat kedua – dua belah pihak dan tidak terus menjatuhkan hukuman keatas Silahdar Yusuf Pasha. Oleh itu, Sultan Ibrahim memberi peluang kepada Silahdar Yusuf Pasha untuk melaksanakan kempen penaklukan ke atas Cania kembali. Namun begitu, perintah Sultan Ibrahim telah diingkari oleh Silahdar Yusuf Pasha.

Akibatnya, Silahdar Yusuf Pasha telah dijatuhkan hukuman mati akibat mengingkari perintah. Pada tahun 1647, Sultan Ibrahim telah memerintah Serdar Deli Huseyin Pasha untuk menyerang Cania. Serangan ini telah berlangsung selama dua dekad sehingga Wazir Besar Koprulu Ahmet Pasha berjaya menakluki Cania pada tahun 1669. Ini kerana pertahanan kubu tersebut amat kuat dan sukar ditembusi oleh musuh. Selain itu, senjata pertahanan di kubu tersebut mempunyai teknologi ketenteraan yang terkini dan canggih.

Pada tahun 1648, para wazir dan beberapa pegawai elit dalam kerajaan termasuk Kosem Sultana telah bersetuju untuk menggulingkan Sultan Ibrahim I atas ketidaklayakan untuk memerintah dan mereka berpendapat akan menyebabkan kehancuran kepada Empayar Turki Uthmaniyyah seandainya Sultan Ibrahim I terus memerintah. Selain itu, Wazir Besar Hezarpare Ahmad Pasha terlalu korup sehingga dikatakan bermewah – mewah dengan hasil cukai yang dikutip dan polisi cukai yang dikenakan terlalu membebankan rakyat. Ini telah menimbulkan kemarahan rakyat kepada Wazir Besar Hezarpare Ahmad Pasha.

Beliau akhirnya dibunuh oleh orang ramai yang tengah membuat rusuhan di kota Istanbul. Bagi meredakan keadaan, Sultan Ibrahim I telah diturunkan daripada takhta dan putera beliau, Sultan Mehmed IV telah ditabal menjadi Sultan Turki Uthmaniyyah yang kesembilanbelas. Beberapa hari kemudian, fatwa dikeluarkan oleh Sheikh Al Islam keatas Sultan Ibrahim I yang berada didalam tahanan mengatakan beliau dijatuhkan dihukum bunuh. Jenazah Sultan Ibrahim I dimakamkan disebelah Makam Sultan Mustafa di Ayasofya.

Rujukan:

Finkel, C. (2007). Osman’s Dream: The History of the Ottoman Empire. Hachette UK.
Hamka, Sejarah Umat Islam versi 2016. PTS Publishing

Masters, B. A. (2010). Encyclopedia of the ottoman empire. Infobase Publishing.

Tucker, E. (2012). From Rhetoric of War to Realities of Peace: The Evolution of Ottoman-Iranian Diplomacy through the Safavid Era. Iran and the World in the Safavid Age, 2, 81.

Greene, M., & Greene, M. (2000). A shared world: Christians and Muslims in the early modern Mediterranean. Princeton University Press.