Pada suatu ketika dahulu ketika dunia diselubungi kebimbangan serangan bangsa ganas yang membunuh puluhan juta nyawa manusia, menghancurkan negara dan kota-kota, menghanguskan tanaman, menyembelih haiwan-haiwan dan segala bentuk kejahatan yang dilakukan. Dunia di ambang kehancuran oleh gerombolan bangsa yang dikenali sebagai Tatar-Mongol!!. Sesetengah sejarawan berpendapat bahawa serangan Tatar-Mongol umpama munculnya Yakjuj-Makjuj yang merosakkan dan menghancurkan tamadun dunia.

Negara Islam jatuh satu persatu dari Asia Tengah hingga kepada kehancuran Kota Baghdad pada tahun 1258. Kemaraan Mongol tersekat seketika ketika kemangkatan Mongke the Great Khan (Raja segala Mongol), kepulangan Mongol ke Mongolia di manfaatkan oleh Sultan Mesir iaitu Sultan Saifuddin Qutuz dengan menumpaskan pasukan kecil Mongol pimpinan Kitbuqa dalam Pertempuran Ain Jalut 1260.

Hulagu Khan yang mengetahui berita kekalahan memalukan Mongol dan terbunuhnya panglima perang mereka iaitu Kitbuqa menyebabkan Hulagu dan pasukannya bersemangat menggempur Mesir yang ketika itu menjadi benteng terakhir umat Islam yang masih terselamat daripada di ratah pasukan Mongol.

Mesir juga menghadapi ancaman Pasukan Salib yang terselamat daripada amukan Mongol, Pasukan Salib ketika itu yang di ketuai oleh Raja Perancis iaitu Louis IX merupakan ancaman kedua kepada Dunia Islam ketika itu. Mereka sering memberi ancaman di sekitar perairan Laut Mediterranean dan mengganggu pedagang-pedagang Islam di sekitar laut tersebut. Pasukan tentera Mesir juga berjaya menghalau Pasukan Salib dan Mongol dari bertapak di bumi Sham. Oleh itu, siapakah pemimpin agung tersebut yang berjaya menghalau kedua-duanya iaitu Mongol dan tentera Salib? Baginda ialah Sultan az-Zahir Baybars!!

LATAR BELAKANG SULTAN AZ-ZAHIR BAYBARS

Sultan al-Malik az-Zahir Ruknuddin Baybars di lahirkan di Cumania, sebuah wilayah padang rumput Eurasia yang di huni oleh bangsa Turki Cuman-Kipchak pada tahun 1223 dan berketurunan Turki Kipchak. Dengan nama asalnya Ruknuddin Baybars, beliau mempunyai kulit yang cerah, bermata sepet, bermuka bulat, dan agak tinggi, sesuai dengan ciri-ciri fizikal bangsa Turki Kipchak. Nama Baybars bermaksud Harimau Kumbang dalam bahasa Turki yang merujuk kepada sifat beliau yang gagah berani melawan musuh, serta ketangkasan dalam teknik peperangan. Mengikut sejarah, pada zaman pertengahan, bangsa Turki sangat terkenal dengan sifat kepahlawanan dan keberaniannya dalam pertempuran hingga menyebabkan banyak kerajaan-kerajaan utama dunia ketika itu mengimport ramai hamba berbangsa Turki untuk diserap menjadi tentera mereka seperti Khilafah Abbasiyyah yang membawa ramai hulubalang berbangsa Turki untuk dijadikan tentera dan memegang jawatan penting dalam tentera, mereka ini di gelar Mamluk. Akibat pengaruh yang kuat, akhirnya bangsa Turki mula membina empayar mereka sendiri menjelang kejatuhan bangsa Arab dalam mendominasi dunia Islam.

Berbalik kepada sejarah di atas,  Baybars pada asalnya merupakan seorang hamba atau Mamluk yang ditangkap ketika serangan Empayar Kedua Bulgaria ke atas orang-orang Turki yang menetap di sekitar wilayah Bulgaria. Baybars bersama seorang lagi orang Turki iaitu Badruddin Baysari di jual di pasaran hamba di dalam lingkungan Kesultanan Turki Rom Seljuk. Kemudian Baybars di beli oleh seorang pegawai atasan Kesultanan Mesir (yang ketika itu di bawah Dinasti Ayyubiyyah berketurunan Salahuddin al-Ayyubi berbangsa Kurdish) yang kemudiannya mempersembahkan beliau bersama-sama dengan beberapa orang hamba berbangsa Turki yang lain di hadapan Sultan Mesir ketika itu iaitu Sultan as-Salih Najmuddin Ayyub (juga dikenali sebagai Malik as-Salih). Semasa berada di hadapan Sultan, Baybars di uji oleh Sultan Mesir dalam menunjukkan bakat kepahlawanannya, Sultan Mesir berasa kagum dengan kehebatan Baybars yang kemudiannya di lantik sebagai komander Ayyubiyyah.

PENGLIBATAN DALAM PEPERANGAN

1. SEBELUM MENJADI SULTAN

Semasa menjadi komander Kesultanan Ayyubiyyah, Baybars telah mencapai beberapa kemenangan menakjubkan dalam beberapa pertempuran menentang Pasukan Salib seperti dalam Pertempuran La Forbie, dan Pertempuran al-Mansurah. Baybars berjaya menghancurkan pasukan Salib dan hanya tingga 5 orang sahaja pasukan Knight Templar yang berjaya selamat dan melarikan diri.

Kemudian berlaku peralihan kuasa dalam Kesultanan Mesir iaitu antara Dinasti Ayyubiyyah berbangsa Kurdish kepada Dinasti Bahri berbangsa Turki Kipchak atau lebih dikenali sebagai Mamluk, peralihan kuasa sebenarnya bermula sejak Sultan Malik as-Salih (as-Salih Najmuddin Ayyub) berkahwin dengan wanita Turki iaitu Shajar ad-Dur. Selepas kemangkatan Sultan Malik as-Salih, tempatnya di gantikan oleh anaknya iaitu al-Muazzam Turanshah tetapi baginda tidak mempunyai kekuatan kerana kuasa sebenar berada di tangan Shajar ad-Dur yang berbangsa Turki, dan sudah semestinya memberikan ruang kepada pegawai-pegawai berbangsa Turki yang lain seperti Izzudin Aybak, Saifuddin Qutuz, dan Ruknuddin Baybars dalam menguasai tampuk pemerintahan negara.

Mereka mengadakan komplot membunuh Turanshah, dan akhirnya Turanshah berjaya di bunuh oleh mereka. Shajar ad-Dur menjadi Sultanah kedua dalam dunia Islam selepas Razia Sultan, dan berkahwin dengan Izzuddin Aybak, secara tidak langsung, Aybak yang berbangsa Turki di tabal menjadi Sultan Mesir. Dengan itu, bermulanya Kesultanan Mesir era Dinasti Bahri yang juga dikenali sebagai Kesultanan Turki Mamluk Mesir.

Semasa era Kesultanan Mamluk Mesir, Baybars menjadi komander perang utama dalam peperangan menentang Mongol dalam Pertempuran Ain Jalut. Ketika itu, Mesir di bawah pimpinan Sultan Saifuddin Qutuz. Pasukan Mamluk berjaya mengalahkan pasukan Mongol dalam pertempuran tersebut, yang juga merupakan kekalahan pertama Mongol di Timur Tengah. Selepas kejayaan mengalahkan Mongol, Saifuddin Qutuz telah menjadi mangsa “assassination”, sejarawan berpendapat, komplot tersebut didalangi oleh Baybars tetapi ada juga yang menolak dakwaan tersebut. Selepas kemangkatan Sultan Saifuddin Qutuz, Baybars pula diisytiharkan sebagai Sultan Mamluk yang ke-4 dengan nama penuhnya Sultan az-Zahir Ruknuddin Baybars al-Bunduqdari.

2. SELEPAS MENJADI SULTAN

Sultan Baybars memerintah Mesir selama 17 tahun dari tahun 1260 hingga 1277. Sepanjang 17 tahun pemerintahan baginda, Mesir menjadi satu-satunya kerajaan Islam yang di segani di rantau Timur Tengah dan mencapai kejayaan gemilang apabila berjaya menyelamatkan Mesir daripada jatuh ke tangan tentera Salib dan pasukan Mongol.

  • Kempen Menentang Mongol di Shams

Selepas kekalahan Mongol dalam Pertempuran Ain Jalut, Hulagu Khan berasa sangat murka dan ingin membalas dendam ke atas kekalahan tersebut dan menuntut bela di atas kematian Kitbuqa. Kemaraan Mongol di sekat oleh Raja Mongol beragama Islam dari Negeri Altan Ord (Golden Horde) iaitu Berke Khan yang juga ingin membalas dendam ke atas kekejaman Hulagu ke atas umat Islam di Baghdad. Maka bermulanya Perang Saudara antara Hulagu dengan Berke, peluang ini sekali lagi di manfaatkan oleh Sultan Baybars apabila berjaya menghancurkan pasukan Mongol pimpinan Baidu dalam Pertempuran Pertama Homs pada bulan December 1260.

Kemudian baginda melantik waris keturunan Abbasiyyah iaitu Abu al-Qasim Ahmad yang melarikan diri daripada amukan Mongol di Baghdad sebagai khalifah yang baru dengan memakai gelaran al-Mustansir. Dengan itu, bermulanya Khilafah Abbasiyyah yang baru di bumi Mesir yang sebenarnya hanyalah boneka kepada Kesultanan Mesir yang lebih berkuasa berbanding khalifah yang hanya sebagai simbol sahaja.

Baginda juga telah mengadakan hubungan diplomatik dengan mengutuskan surat kepada raja Mongol-Altan Ord iaitu Mongke Timur bagi sama-sama menghadapi raja Mongol-Ilkhan iaitu Abaqa yang merupakan musuh kepada Mamluk dan Altan Ord.

  • Kempen Menentang Tentera Salib

Kemudian baginda menjalankan kempen ketenteraan melawan pasukan Salib dengan memberi ancaman kepada negeri-negeri Crusader di sekitar wilayah Syams. Baginda berjaya menakluk satu persatu kota milik negeri Crusader di pesisir pantai seperti Caesarea, Haifa, Arsuf, Soron dan akhirnya berjaya menakluk sepenuhnya negeri Prinsipaliti Antiokia (negeri Crusader) pada tahun 1268 yang mendapat sokongan daripada Mongol. Kemudian pasukan baginda meneruskan lagi menakluk kota-kota kecil milik Crusader hingga pada tahun 1277 apabila baginda bertembung sekali lagi dengan pasukan Mongol-Ilkhan di Anatolia.

  • Kempen Menentang Kerajaan Makuria

Kerajaan Makuria atau Dotawa (Nubia) atau al-Maqurra (Arab) merupakan sebuah kerajaan Kristian dari bangsa Nubia yang mendiami wilayah delta Sungai Nil dari Luxor hingga ke Soba (Sudan sekarang). Ketika zaman Sultan Baybars, Kerajaan Makuria di pimpin oleh Raja Daud I. Pasukan Baybar menggempur Makuria di sebabkan Raja Daud I berindak menyerang kota milik Mamluk akibat tindak balas daripada campur tangan Mamluk dalam kerajaan Makuria. Pada tahun 1272, Baybars mula menakluk Makuria dan berjaya menakluk sepenuhnya pada tahun 1276 dan menjadikan Makuria sebagai negeri naungan kepada Mamluk.

  • Kempen Menentang Mongol di Anatolia

Pada tahun 1277, baginda menjalankan kempen ke atas Kesultanan Turki Rom Seljuk yang mendominasi wilayah Anatolia. Ketika itu, Rom Seljuk merupakan negeri naungan kepada Empayar Mongol-Ilkhan. Pertempuran meletus di Elbistan dalam wilayah Rom Seljuk antara pasukan Mamluk dengan pasukan gabungan Mongol Ilkhan-Georgia-Rom Seljuk yang memihak kepada pasukan pimpinan Sultan Baybars. Beberapa bulan selepas kemenangan tersebut, baginda pulang ke Shams dan meninggal di Damsyik.

  • Kisah Imam Nawawi dengan Sultan Baybars

Imam Nawawi hidup pada zaman pemerintahan Sultan Baybars. Beliau di lahirkan di Shams, Kesultanan Ayyubiyyah pada tahun 1233. Ketika pemerintahan Sultan Baybars, baginda bertindak menyuruh ulama-ulama dalam wilayah Kesultanan Mamluk untuk menandatangani persetujuan untuk menaikkan kadar cukai bagi menghadapi ancaman Mongol dan tentera Salib. Menurut sejarah, hampir semua ulama bersetuju menandatangani perjanjian tersebut kecuali Imam Nawawi. Sultan Baybars sangat berharap Imam Nawawi turut bersetuju kerana Sultan Baybars merupakan seorang ulama yang sangat berpengaruh di Timur Tengah ketika itu.

Imam Nawawi tetap dengan pendiriannya untuk tidak bersetuju kerana menurut Imam Nawawi, baginda sultan mempunyai harta yang banyak di istana dan sepatutnya sultan menggunakan harta tersebut untuk menampung perbelanjaan perang bukannya dengan menaikkan cukai yang membebankan rakyat jelata. Mendengar penjelasan tersebut, Sultan Baybars murka dan menghalau Imam Nawawi keluar dari kerajaannya. Selepas ketiadaan Imam Nawawi, ulama-ulama dalam Empayar Mamluk mula resah kerana mereka sudah tidak dapat menuntut ilmu dengan Imam Nawawi yang sangat kaya dengan ilmu pengetahuan.

Mereka merayu kepada Sultan Baybars supaya memanggil kembali Imam Nawawi ke pangkuan kerajaan, dan sultan bersetuju, tetapi Imam Nawawi tetap dengan pendiriannya selagi cukai yang membebankan rakyat dan Sultan Baybars masih lagi menjadi sultan selagi itu beliau tidak mahu pulang. Dan akhirnya pada Julai 1277, Sultan Baybars mangkat, dan Imam Nawawi sempat pulang ke kampung halamannya dan meninggal dunia pada bulan December 1277 iaitu hanya 5 bulan selepas kemangkatan Sultan Baybars.

Isu antara Imam Nawawi dengan Sultan Baybars menjadi pendebatan hangat antara netizen Arab yang berpihak Imam Nawawi dengan netizen Turki yang berpihak Sultan Baybars. Bagi penulis pula, kita tidak seharusnya menyalahkan kedua-dua belah pihak. Dalam perspektif sosial memang betul tindakan Imam Nawawi yang tidak mahukan rakyat terbeban dengan cukai yang tinggi, tetapi dari perspektif ekonomi dan ketenteraan, kita tidak boleh menyalahkan Sultan Baybar 100% kerana ketika itu Mesir berhadapan dengan ancaman tentera Salib dan Mongol.

Mungkin ada alasannya kenapa Sultan Baybars tidak mahu menggunakan harta istana (maklumat yang tiada dalam mana-mana rekod). Namun, apa akan terjadi sekiranya Mesir tewas kepada Mongol dan pasukan Salib?, sudah pasti Kota Kaherah menerima nasib yang sama dengan Baghdad dan lain-lain kota yang hancur di ratah pasukan Mongol. Ini hanyalah pandangan penulis, dan sesiapa bebas untuk membuat pandangan dalam isu ini.

KESIMPULAN

Selepas kemangkatan baginda pada 1277, hampir semua negeri-negeri Crusader berjaya di takluk oleh baginda dan menandakan berakhirnya kekuasaan Mongol di Timur Tengah. Mongol bukan lagi sebuah empayar yang di segani dan digeruni seperti ketika pertengahan abad ke-13. Baginda berjaya menyatukan wilayah-wilayah Islam yang lemah dan membentuk kerajaan Islam yang kuat di Timur Tengah, dan sebagai benteng terakhir umat Islam dalam menghadapi ancaman Mongol dan pasukan Salib. Semasa pemerintahan baginda juga, ramai orang-orang Mongol dari Altan Ord yang memeluk Islam selepas baginda menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN

 

Dimitri Korobeinikov (2008), “A Broken Mirror: The Kıpçak World in the Thirteenth Century”, in Florin Curta; Roman Kovalev, The Other Europe in the Middle Ages: Avars, Bulgars, Khazars, and Cumans, Leiden: Brill, pp.

 

Runciman, Steven (1987). A History of the Crusades: The Kingdom of Acre and the Later Crusades

 

Howard, Jonathan (2011). The Crusades: A History of One of the Most Epic Military Campaigns of All Time.

 

MacHenry, Robert. The New Encyclopædia Britannica. Encyclopædia Britannica Inc., 1993. Baibars

 

Abdul Razak Mutthalib (2015), Imam, cukai dan raja, Sinar Harian, http://www.sinarharian.com.my/rencana/imam-cukai-dan-raja-1.383103

 

Mohd Faiz Othman (2017), Sifat Imam An-nawawi dikagumi ulama, Berita Harian, https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian5831/20171120/282286730565103

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.