Kesultanan Melayu Melaka merupakan sebuah empayar yang menjadi kebanggaan pada setiap jiwa anak Melayu. Kekayaan, keagungan dan kehebatannya masih lagi dikenang selepas 500 tahun kejatuhannya pada helaian sejarah. Dalam berbicara mengenai keagungan empayar ini, kita tidak akan terlepas bercakap mengenai seorang sultan, yang dikenang dalam sejarah kerana kewarakan dan kehebatannya mentadbir sebuah empayar.

Nama sebenar baginda ialah Raja Hussien.  Bondanya bernama Raden Galoh Cendera Kirana. Asalnya baginda bukanlah pewaris utama kepada kerajaan Melaka yang gemilang dibawah pentadbiran ayahandanya, Sultan Mansur Shah. Namun, akibat peristiwa popular yang melibatkan anak sulung Raja Hussien iaitu Raja Ahmad membunuh anak Tun Perak ketika bermain Sepak Raga, sehingga dirajakan di Pahang, maka baginda dipilih sebagai pewaris sebenar takhta ini.

Pemerintahan baginda dikenali sebagai seorang yang sangat mempunyai pengetahuan agama. Kebanyakan waktu pemerintahannya, baginda banyak menumpukan pada urusan hal ehwal keagamaan terutama yang berkaitan dengan masjid-masjid di bawah Empayar Melaka. Diceritakan juga baginda juga selalu mengajarkan agama kepada raja-raja negeri-negeri taklukan Melaka seperti daripada Pahang, Kampar dan Inderagiri.

Keperibadian dan kehebatan baginda sebagai raja yang tinggi ilmu agama dan warak ini membawa kita kepada sebuah kisah yang sangat popular yang dikaitkan dengan baginda. Pada suatu hari, baginda dikatakan telah mendengar bahawa kadar kes jenayah melibatkan pencurian dan rompakan semakin bermaharajalela. Maka bersama dengan dua orang kepercayaan baginda iaitu Hang Isap dan Hang Siak, baginda menyamar menjadi rakyat biasa lalu membuat rondaan pada malam hari.

Maka tersebutlah kisah di mana dalam rondaan itu, baginda bersama dengan dua orang kepercayaannya tersempak dengan pencuri yang membuat onar. Dalam Sulalatus Salatin mencatatkan pertempuran dan kejar mengejar yang sangat epik yang melibatkan baginda sultan bersama dua orang kepercayaan dengan sang pencuri. Pergelutan dan kejar-mengejar itu berakhir dengan kematian si pencuri. Perbuatan baginda ini mengingatkan penulis mengenai tabiat biasa Khalifah Umar (Rashidun dan Umaiyyah) yang seringkali keluar malam, menyamar menjadi rakyat biasa demi melihat keadaan rakyatnya.

Lantas keesokan harinya, baginda memanggil semua para pembesar termasuklah Temenggung yang ketika itu, peranannya seperti polis hari ini. Dalam pertemuan itu, baginda bertanyakan kepada Temenggung kiranya dia ada melakukan pekerjaan biasanya pada waktu malam, namun diiyakan oleh Temenggung sebelum baginda mendedahkan bahawa tiada rondaan malam yang berlaku, dan kisah bagaimana baginda tersempak dengan kes pencurian semalam. Malu dengan teguran sultannya, maka Temenggung sejak hari itu dikatakan sangat tekun menjalankan rondaan. Betapa banyak pencuri yang ditangkap dan dibunuhnya sehinggakan kadar jenayah pun turun mendadak di Melaka.

Selain itu, pemerintahan baginda turut dikenali dengan kehebatan Melaka menundukkan serangan Aru yang beberapa kali. Dalam pertempuran pertama, angkatan Melaka hanya memiliki 100 perahu namun Aru membawa 300 buah perahu. Pertempuran ini berakhir dengan kekalahan Aru. Tidak puas hati dengan kekalahan tersebut, maka sekali lagi Melaka bertempur dengan Aru, dan ia berakhir dengan kekalahan Aru yang memalukan. Kejayaan ini diraih baginda dengan memberi pelbagai ganjaran kepada panglima-panglima perang yang berkhidmat untuk Melaka.

Dek kebaikan dan jiwanya yang besar, maka banyaklah pemimpin yang lari ke baginda, meminta perlindungan dan bantuan selepas terusir di negeri sendiri seperti kalah perang dan sebagainya. Contohnya Raja Maluku yang kalah perang dengan Sepanyol, seorang pemimpin dari Rokan dan juga seorang pemimpin dari Terengganu yang bernama Telanai. Semuanya disambut tanpa rasa prejudis sekalipun. Selain itu, ini juga menunjukkan kebesaran Melaka apabila dicari oleh pembesar mahupun raja negeri jiran. Ciri-ciri seorang ketua yang hebat ini telah membuatkan sejarawan orientalis British seperti Richard James Wilkinson yang hidup pada zaman British dulu mendabikkan baginda sebagai pemimpin terbaik yang pernah dimiliki oleh Melaka.

Namun, hayat sultan hebat yang berjiwa rakyat lagi warak ini tidak lama. Tidak sampai usia 30 tahun, pada saat pelbagai lagi keagungan sedang menanti dicipta oleh baginda, betapa baginda dikatakan mangkat secara tiba-tiba. Sulalatus Salatin tidak menceritakan sebab musabab kemangkatan baginda, tetapi catatan Portugis menceritakan betapa ketika baginda dalam perjalanan menunaikan haji, baginda telah dibunuh oleh musuhnya Raja Inderagiri dan saudara lelakinya yang merupakan raja Pahang yang barangkali dipandu rasa cemburu kerana kehilangan takhta di tangan baginda pada awal dahulu.

Adapun, sebelum menghadap Yang Maha Esa, baginda sempat mengirimkan wasiat terakhirnya.

“Ketahui oleh segala tuan-tuan sekalian, bahawa umur kita telah pautlah, ajal kita pun hampirlah rasanya. Adapun jikalau sudah kita mati, bahawa anak kita Si Mamadlah rajakan oleh Bendahara dengan segala Orang Kaya-kaya sekalian akan ganti kita; hendaklah sangat-sangat pelihara kamu akan dia, kerana ia kanak-kanak. Seperti mana kasih tuan-tuan semua akan kita, demikianlah kasih tuan hamba sekalian akan dia; jikalau barang suatu khilaf bebalnya, sangat-sangat maaf tuan-tuan sekalian dan tegur ajari dia; tuan hamba tilik kepada kanak-kanaknya.:”

Pesanan untuk anakandanya yang bakal mewarisi takhta:

“Hei anakku, adapun engkau hendaklah banyak-banyak sabar, dan ampunmu akan segala hamba sahayamu, dan baik-baik memelihara akan dia; kerana firman Allah Taala Inna ‘llahu ma’as sabirin, yakni bahawa Allah Taala serta pada segala yang sabar,”

“Dan jikalau datang kepada dua pekerjaan, suatu pekerjaan Allah, dan suatu pekerjaan dunia, maka dahulukan olehmu pekerjaan Allah daripada pekerjaan dunia. Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu, kerana wa manyatawakkal ‘ala’llah, Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi (dimalukan) dia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; kerana segala Melayu itu ketanahanmu, seperti kata Arab;

“Al-‘abdi tinu’l-maulahu, yang hamba itu tanah tuhannya. Jikalau engkau bunuh ia tiada dengan dosanya, bahawa kerajaanmu binasa. Hei anakku, hendaklah engkau turut dan engkau ingatkan wasiatku ini, dan kau kerjakan, supaya berkat diberi Allah subha nahu wa taala.”

Baginda kemudian dimakamkan di Pagoh, Johor. Makam baginda merupakan satu-satunya makam sultan Melaka yang masih wujud pada hari ini dengan gelaran marhum berdarah putih.

Foto makam baginda dari kejauhan.
Batu nisan yang terdapat di makam baginda.

RUJUKAN:

1. A. Samad, Ahmad (1979). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Armando, Cortesao. (1944). The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of the East from the Red Sea to Japan. London: The Hakluyt Society.

3. Wilkinson, R. J. (1912). The Malacca Sultanate. The Malayan Branch of the Royal Asiatic Society.



Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.