Dalam sejarah Alam Melayu, kita dapat membaca beberapa orang sultan atau Raja-Raja Melayu yang amat dikenali sebagai seorang yang warak dan mendampingi para ulama. Sebagai contoh, Ustaz Hasanuddin Yusuf ada menulis sebuah buku yang bertajuk “Sultan-Sultan Soleh di Nusantara” yang membincangkan seramai 24 orang Raja Melayu di Alam Melayu yang amat dikenali dengan sifat kesolehan mereka yang ditonjolkan melalui pemerintahan mereka mahupun kehidupan seharian mereka. Salah seorangnya ialah Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah ibni Sultan Mahmud Shah III, Sultan Riau-Lingga yang pertama, sebagaimana yang pernah dibincangkan dalam artikel penulis yang bertajuk “Ajaran Sesat Ketika Era Kesultanan Johor-Riau-Lingga” siaran pada 17 Disember 2017.

Dalam sejarah kesultanan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor yang kelima amat dikenali sebagai seorang sultan yang warak dan selalu mendampingi para ulama. Sebelum itu, ada baiknya penulis menerangkan serba sedikit berkenaan sejarah kesultanan Selangor. Kesultanan Selangor diasaskan sekitar tahun 1766 apabila salah seorang putera Daeng Chelak iaitu Yang Dipertuan Muda Johor-Riau kedua, yang bernama Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan Selangor yang pertama oleh Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak ketika itu. Raja Lumu merupakan adinda kepada Raja Haji fisabilillah iaitu Yang Dipertuan Muda Johor-Riau keempat yang syahid terkorban ketika menentang tentera Belanda di Teluk Ketapang, Melaka. Apabila ditabalkan sebagai Sultan Selangor, Raja Lumu memakai gelaran Sultan Salehuddin.

Selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor yang keempat) pada tahun 1898, cucunda almarhum baginda yang bernama Raja Sulaiman ibni Raja Musa ibni Sultan Abdul Samad ditabalkan sebagai Sultan Selangor yang kelima pada tahun 1898 dengan gelaran Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Baginda diputerakan pada tanggal 11 September 1863, tetapi ada catatan ilmiah lain menyatakan pada tahun 1865. Bonda baginda bernama Raja Buntal Raimah binti Raja Barkat yang berketurunan kerabat diraja Riau-Lingga. Baginda memerintah negeri Selangor selama 40 tahun sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1938. Baginda merupakan moyang kepada DYMM Sultan Selangor yang memerintah kini iaitu DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj. Salah seorang putera Sultan Alauddin Sulaiman Shah iaitu Tengku Aris, Temenggung Selangor yang juga merupakan nenda saudara kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah baharu sahaja mangkat pada bulan Januari lalu.

Sultan Alauddin Sulaiman Shah amat dikenali sebagai seorang sultan yang selalu mendampingi para ulama seperti Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani, Shaykh Hj. Abdul Ghani Hj. Othman, Sayyid Abdul Aziz asy-Syami al-Masri, Sayyid Mahmud Arif al-Bukhari dan ramai lagi. Ulama yang selalu didampinginya ialah Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi. (Jangan terkeliru pula dengan Datuk Paduka Prof. Emeritus Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid). Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdul Rahman al-Fatani merupakan kerabat diraja Patani yang dilahirkan di Bangkok, Thailand, pada tahun 1876. Beliau mendapat pendidikan agama dengan para ulama Patani di Ban Sim Dip, Bangkok dan melanjutkan pengajian agama ke Makkah dan Mesir sehingga diberi kelulusan untuk mengajar di Masjidil Haram. Sekembalinya dari Makkah, beliau menetap di Jambi, Sumatera, membuka sebuah sekolah Arab di sana dan mengajar agama di sana.

Apabila Sultan Alauddin Sulaiman Shah mengetahui bahawa Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi berada di Jambi, baginda mencemar duli berangkat ke Jambi untuk menjemput sendiri Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi ke Selangor. Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi berangkat ke Klang pada tahun 1929. Sultan Alauddin Sulaiman Shah kemudiannya telah melantik Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi sebagai Penasihat Agama Negeri Selangor dengan gelaran Shaykh al-Islam Setia Diraja Selangor. Baginda Sultan Alauddin Sulaiman Shah begitu rapat dengan Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi sehingga Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi dijemput sendiri oleh baginda bersama-sama berangkat ke luar negara.

Atas didikan dan asuhan para ulama, Sultan Alauddin Sulaiman Shah ada menulis sekurang-kurangnya tiga buah kitab agama tulisan jawi berkenaan akidah tauhid, dakwah dan akhlak. Kitab-kitab tersebut ialah “Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman,” “Nasehat (Pemilihan Guru) Melatih Kelakuan Perjalanan Adab Kanak-Kanak Pelajaran di Dalam Sekolah Melayu – Agama – Negeri Selangor Darul Ehsan” dan “Kitab Tauhid, Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan.”

Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman” disempurnakan penulisannya pada tahun 1337 Hijrah bersamaan tahun 1919 Masihi. Kitab tersebut membahaskan mengenai akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Kitab tersebut telah diulang cetak dan diterbitkan sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali. Cetakan ketiga oleh Mathba’ah New Klang Press, Klang pada 15 Jamadilakhir 1349 Hijrah bersamaan tahun 1930 Masihi.

Kitab Tauhid, Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan” yang disempurnakan penulisannya oleh baginda Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada tahun 1930 di Istana Mahkota Puri pula ialah sebuah kitab yang membahaskan tentang akidah dan sirah Rasulullah SAW. Kitab tersebut pernah diterbitkan semula oleh Syarikat Khazanah al-Fathaniyah di Kuala Lumpur pada tahun 2005 berdasarkan kitab yang dicetak oleh The Boon Hua Press di Klang pada tahun 1930M.

Kitab tersebut dibahagikan kepada 18 bahagian perbahasan. Antara cara penulisan dan penyampaian kitab tersebut adalah dalam bentul soal jawab dan nasihat dalam bentuk 22 rangkap puisi, sesuai dengan peringkat bacaan dan pemahaman orang awam. Kedua-dua buah kitab tersebut disemak, disahkan dan dipuji oleh Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi sendiri. Sebagaimana nama kitab tersebut: “Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan,” kitab tersebut pernah dijadikan buku teks bagi sekolah-sekolah agama di negeri Selangor.

Perkara tersebut membuktikan bahawa baginda Sultan Alauddin Sulaiman Shah bukan sahaja seorang yang mementingkan pendidikan agama dalam kalangan rakyat jelatanya, bahkan baginda turut berperanan menguatkan pegangan akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah di negeri Selangor selain menyebarluaskan dakwah. Penulisan kitab-kitab tersebut juga membuktikan bahawa baginda seorang yang alim dalam bidang agama dan diiktiraf oleh ulama sendiri.

Semasa pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, baginda telah mengarahkan pembinaan dua buah masjid jami’ iaitu Masjid Sultan Alaeddin di Jugra dan Masjid Sultan Sulaiman di Klang. Bukan itu sahaja, baginda juga sering menyampaikan khutbah solat Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha di masjid-masjid sekitar negeri Selangor. Ini membuktikan kredibiliti baginda yang bukan sahaja sebagai seorang pemerintah yang berdaulat, bahkan juga sebagai ketua agama Islam negeri yang sangat berwibawa. Baginda mangkat di Istana Mahkota, Klang dalam usia 72 tahun, dimakamkan di Klang dan diberi gelaran Marhum ‘Atiqullah.

———————————-

Sesungguhnya, peranan ulama dan umara’ amat penting bagi sesebuah negeri atau negara yang agama rasminya adalah Islam dan majoriti rakyatnya beragama Islam. Ini kerana, ulama bertindak sebagai guru dan penasihat yang terbaik kepada golongan pemerintah dalam menjalankan urusan pemerintahan negeri atau negara supaya berlandaskan prinsip akidah yang sebenar dan tidak menyeleweng daripada syariat yang termaktub di dalam nas al-Qur’an dan as-Sunnah.

Dalam sejarah umat Islam umumnya, kita dapat membaca bagaimana peranan para ulama dalam istana memainkan peranan penting dalam kemajuan pemerintahan sesebuah kerajaan. Baca sahaja sejarah hubungan rapat antara Sultan Muhammad al-Fatih Uthmaniyyah dan gurunya, Shaykh Syamsuddin al-Wali juga hubungan rapat antara Sultan Zainal Abidin III Terengganu dengan gurunya, Tokku Paloh. Bagaimana Sultan Muhammad al-Fatih dan bala tenteranya berjaya membuka Kota Constantinople yang kebal itu dan mengapa ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, British tidak mampu menguasai hal ehwal pentadbiran negeri Terengganu? Itu semua berkait dengan peranan ulama masing-masing sebagai guru dan penasihat peribadi kepada raja. Baca juga bagaimana Yusuf ibni Tasyfin, pemerintah dinasti Murabitun berjaya menyatukan kembali wilayah Andalus dan Afrika Utara sebagai wilayah umat Islam setelah kejatuhan khilafah Bani Umayyah di Andalus jika tidak kerana peranan dan sokongan para ulama yang didampinginya.

Begitu juga betapa peranan ulama seperti Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi amat mempengaruhi keilmuan, keperibadian dan pemerintahan baginda Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh almarhum baginda dan roh Raja-Raja Melayu Islam yang lain serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan diredai Allah SWT.

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan perbincangan ini, para pembaca boleh merujuk senarai rujukan ilmiah di bawah:

Senarai rujukan:

– Buyong Adil, Sejarah Selangor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1981.

– Zulkefli Ani, Ahmad Irdha Mokhtar & Mohamad Zulkifli Abdul Ghani, “Mesej Dakwah dari Istana: Tinjauan Terhadap Kitab Jawi Ilmu Tawhid Karangan Almarhum Sultan Alauddin Shah ibni Almarhum Raja Musa,” Kertas kerja yang dibentangkan dalam Persidangan Nadwah Ulama Nusantara VI pada 9-10 Jun 2015 di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan. Anjuran bersama Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia dengan Lembaga Masjid Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

– Aisyah Ab Rahim & Mohd. Roslan Mohd. Nor, “Tokoh Ulama Termasyhur dalam Perkembangan Islam di Selangor Sebelum Merdeka (1900-1957): Satu Tinjauan Biografi,” dalam Jurnal al-Muqaddimah, Bil. 2, No. 2, 2014, hlm. 90-101.

– Teks khutbah Jumaat Negeri Selangor yang bertajuk “Raja; Ketua Agama Islam Negeri,” 4 Disember 2015, Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dalam laman web rasmi Portal E-Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor, pautan: http://e-masjid.jais.gov.my/uploads/uploads/KHUTBAH%20MANUAL%20(RAJA,%20KETUA%20AGAMA%20NEGERI_04.12.2015).pdf, dirujuk pada bulan Februari 2018.

– Wan Mohd. Shaghir Abdullah, “Sultan Sulaiman Selangor – Sultan yang Mengasihi Ulama,” dalam ruangan Bicara Agama, arkib 5 Julai 2004, laman web rasmi akhbar Utusan Online, pautan: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0705&sec=bicara_agama&pg=ba_01.htm#ixzz56lxzVZxo, diakses pada bulan Februari 2018.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.