Sultan Ahmet I: Pembina Masjid Biru

341
views

Sultan Ahmet I merupakan Sultan Empayar Turki Uthmaniyyah yang memerintah pada tahun 1603 sehingga 1617. Pemerintahan Sultan Ahmet I menandakan berakhirnya sistem warisan takhta daripada ayahanda kepada putera dengan menggantikan sistem warisan takhta kepada saudara. Berbanding para pendahulu beliau, Sultan Ahmet I tidak menjatuhkan hukuman mati kepada Sehzade Mustafa kerana pada masa itu beliau masih lagi muda. Keadaan Empayar Turki Uthmaniyyah pada ketika zaman pemerintahan Sultan Ahmet I menghadapi ancaman dari sebelah Barat serangan Austria Hapsburg manakala dari sebelah Timur pula menghadapi ancaman Safawiyyah.

Pada tahun 1604, Sultan Ahmet I menghantar pasukan tentera Janissaries dibawah pimpinan Yusuf Sinan Pasha. Pada masa tersebut, Shah Abbas I telah memulakan gerakan untuk menakluki wilayah – wilayah Safawiyyah yang pernah jatuh ketangan Empayar Turki Uthmaniyyah dahulu. Apabila Shah Abbas I mendengar Yusuf Sinan Pasha telah memimpin sejumlah besar tentera Janissaries, Shah Abbas I melaksanakan polisi “Scorched Earth” (membakar hangus) di kawasan antara Kars dan Erzurum to menghalang kemaraan Yusuf Sinan Pasha dan beberapa buah keluarga yang tinggal disitu terpaksa berhijrah ke kawasan lain atas arahan Shah Abbas I.

Shah Abbas I juga mengadakan hubungan diplomatik dengan Sepanyol apabila Duta Sepanyol, Louis Pereira de Lacerda berkunjung ke Istana Safawiyyah. Beliau mengharap kuasa Kristian di Barat dapat menekan Empayar Turki Uthmaniyyah. Yusuf Sinan Pasha telah menghadapi masalah di Erzurum akibat kehancuran yang ditinggalkan oleh tentera – tentera Safawiyyah. Segala kemudahan yang ada di Erzurum tidak boleh digunakan akibat dimusnahkan dan bekalan makanan disitu juga telah habis. Ketibaan musim sejuk juga menghalang Yusuf Sinan Pasha untuk menyerang Safawiyyah.

Yusuf Sinan Pasha tiba di Urmia dan disitu beliau dan pasukan tentera Janissaries telah diserang hendap oleh pasukan tentera Safawiyyah kerana beliau telah termakan tipu daya perangkap yang dipasang oleh Shah Abbas I dengan meletakkan bangkai kuda dan beberapa mayat. Oleh itu, kemenangan memihak kepada Shah Abbas I. Yusuf Sinan Pasha telah meninggal dunia tidak lama kemudian. Shah Abbas I berjaya menakluki beberapa wilayah di Azerbaijan.

Pada tahun 1606, satu perjanjian perdamaian yang menamatkan sengketa antara Empayar Turki Uthmaniyyah dan Austria Hapsburg. Didalam perjanjian tersebut telah menyamatarafkan kedudukan Sultan Turki Uthmaniyyah dengan Maharaja Austria dimana kedudukan Sultan Turki Uthmaniyyah lebih tinggi daripada Maharaja Austria yang hanya setaraf Wazir Besar Turki Uthmaniyyah semasa zaman Sultan Suleiman Al Qanuni. Perjanjian ini juga memansuhkan pembayaran ufti Austria kepada Sultan sebanyak 200,000 gulden. Perjanjian damai ini telah menjamin kedamaian hampir 20 tahun dan memudahan Empayar Turki Uthmaniyyah menumpu perhatian kepada pemberontakan kaum Jelali di wilayah Anatolia.

Pemberontakan kaum Jelali telah tercetus kembali sebaik sahaja Sultan Ahmet I menaiki takhta. Pemberontakan ini berpunca disebabkan penindasan Nasuh Pasha terhadap penduduk di wilayah Anatolia dengan mengenakan cukai yang terlalu tinggi sehingga menyusahkan kehidupan seharian rakyat. Ancaman pemberontakan kaum Jelali telah memaksa Nasuh Pasha terpaksa berundur ke Kütahya. Oleh itu, Sultan Ahmet menghantar Kuyucu Murad Pasha yang terkenal dengan sifat tiada belas kasihan kepada pemberontak. Pada tahun 1610, Kuyucu Murad Pasha berjaya menghapuskan pemberontakan Jelali. Beberapa pemberontak Jelali telah melarikan diri ke Parsi.

Pada tahun 1612, Kuyucu Murad Pasha telah diperintah oleh Sultan Ahmet I untuk menakluki wilayah Tabriz daripada penguasaan Safawiyyah. Shah Abbas I telah memerintah semua penduduk disitu agar berpindah dan segala bekalan makanan dimusnahkan supaya tidak dapat digunakan oleh tentera Janissaries. Kuyucu Murad Pasha telah bertempur dengan tentera Safawiyyah namun terpaksa berundur akibat tentangan tentera Safawiyyah yang begitu hebat sekali. Akhirnya Kuyucu Murad Pasha telah terbunuh ketika pertempuran menentang tentera Safawiyyah. Perjanjian damai telah diadakan diantara Empayar Turki Uthmaniyyah dan Safawiyyah pada tahun 1613. Di dalam perjanjian tersebut menyatakan bahawa wilayah – wilayah yang dirampas oleh Empayar Turki Uthmaniyyah hendaklah diserah kepada Empayar Safawiyyah dan Shah Safawiyyah hendaklah membayar ganti rugi sebanyak 200 kain sutera kepada Sultan Turki Uthmaniyyah setiap tahun. Namun begitu, Shah Abbas I tidak membayar ufti tersebut sehingga menyebabkan Sultan Ahmet I menghantar pasukan tentera dibawah pimpinan Mehmed Pasha namun telah gagal pada tahun 1616.

Sultan Ahmet I terkenal dengan pembinaan Masjid Biru di Istanbul. Pembinaan Masjid Biru dibina dengan tujuan untuk memperingati kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah. Pembinaan masjid tersebut telah mendapat tentangan para ulama kerana Sultan Ahmet I tidak pernah memenangi sebarangan peperangan pun dan juga kerana menggunakan dana daripada Perbendaharaan Negara. Sebelum ini, para Sultan membina masjid sebagai memperingati kejayaan mereka dalam peperangan dan segala dana diperolehi daripada harta rampasan perang.

Pada tahun 1617, Sultan Ahmet I telah mangkat dan takhta Sultan diwarisi kepada saudaranya, Sultan Mustafa yang dianggap putera yang paling tertua berdasarkan undang – undang baharu diperkenalkan oleh Sultan Ahmet I yang menghentikan amalan pembunuhan putera.

Rujukan:

Blow, D. (2014). Shah Abbas: The Ruthless King Who Became an Iranian Legend. IB Tauris.

Faroqhi, S., McGowan, B., & Pamuk, S. (1997). An economic and social history of the Ottoman Empire (Vol. 2). Cambridge University Press.

Hatamzad, Z. (2013). Foreign Policy of the Safavid Empire During Shah Abbas I. Life Science Journal, 10(SUPPL 8), 405-407.

History of The Mosque, http://www.sultanahmetcamii.org/history-of-the-mosque/

Kouymjian, D. (2004). Armenia from the fall of the Cilician Kingdom (1375) to the forced emigration under Shah Abbas (1604). The Armenian People from Ancient to Modern Times, 2, 25.

Mikaberidze, A. (Ed.). (2011). Conflict and Conquest in the Islamic World: A Historical Encyclopedia [2 volumes]: A Historical Encyclopedia. Abc-Clio.

Polat, S. (2013). Osmanlı Taşrasında Bir Celali Yıkımının İzleri: Tavil Halil’in Kütahya (Kazaları) Baskını ve Sosyo-Ekonomik Yansımaları. Gazi Akademik Bakış, 6(12).