Sultan Abdul Hamid II: Benteng Umat Islam Yang Terakhir

0
688
views

Selepas Sultan Murad V telah gagal melaksanakan Perlembagaan Turki Uthmaniyyah yang pertama disebabkan masalah kesihatan mental, golongan elit reformasi terpaksa menyingkirkan Sultan Murad V melalui fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Al Islam. Oleh itu, Mihdat Pasha telah menabalkan saudaranya, Sultan Abdul Hamid II sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang baharu dengan tiga syarat iaitu melaksanakan Perlembagaan Turki Uthmaniyyah dengan kadar segera, segala keputusan dasar hanya boleh dilaksanakan atas nasihat para wazir, dan melantik semula penasihat Istana iaitu Sadullah, Ziya Pasha dan Namik Kemal Bey.

Sultan Abdul Hamid II bersetuju dengan semua syarat diberikan. Walaubagaimanapun, Sultan Abdul Hamid II seorang yang cerdik dan licik tanpa menyedari beliau akan menghapuskan segala undang – undang “taghut” apabila berkuasa kelak. Pada 31 Ogos 1876, Sultan Abdul Hamid II secara rasminya dilantik sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah dengan upacara penyerahan Pedang Osman Bin Ertugrul.

Sultan Abdul Hamid II agak berbeza dengan saudaranya, Sultan Murad V kerana beliau agak konservatif dan amat berpegang teguh kepada ajaran Islam. Walaubagaimanapun, Sultan Abdul Hamid II tidaklah menolak sebarangan kemajuan teknologi yang dibawa oleh Barat. Setelah ditabalkan sebagai Sultan, beliau mendapati segala perlembagaan yang diperkenalkan tidak sesuai untuk pemerintahan Islam.

Oleh itu, Sultan Abdul Hamid II bersetuju jika Mihdat Pasha mengubah sedikit isi kandung Perlembagaan Turki Uthmaniyyah. Antaranya adalah Sultan diberi hak kekuasaan keatas segala dasar, perundangan dan ketenteraan negara seperti yang termaktub dalam Artikel 7, Perlembagaan Turki Uthmaniyyah. Pada 23 Disember 1876, Sultan Abdul Hamid II secara rasminya mengisytiharkan Perlembagaan Turki Uthmaniyyah yang pertama dengan penubuhan Parlimen Turki Uthmaniyyah.

Pembukaan Parlimen Turki Uthmaniyyah pada tahun 1876

Perang Turki Uthmaniyyah – Rusia 1877 – 1878

Pada tahun 1877, Rusia telah mengisytiharkan peperangan keatas Empayar Turki Uthmaniyyah. Tentera Rusia telah melakukan serangan keatas Balkan, Caucasus dan Anatolia Timur. Selain itu, penduduk Muslim juga telah dibunuh secara ramai – ramai oleh tentera Rusia setiap kali mereka melalui perkampungan di wilayah tersebut. Tindakan Rusia telah mencetuskan kemarahan umat Islam sehingga Sultan Abdul Hamid II telah mengisytiharkan seruan jihad fisabilillah keatas Rusia.

Walaubagaimanapun, ahli – ahli parlimen telah mengkritik tindakan Sultan Abdul Hamid II kerana tidak berbincang dengan mereka terlebih dahulu. Pada bulan Januari 1878, Sultan Abdul Hamid II telah meminta gencatan senjata dengan pihak Rusia. Pada bulan Februari 1878, Sultan Abdul Hamid II telah meminta semua ahli – ahli parlimen untuk bersidang bagi menghadapi masalah ancaman tentera Rusia yang semakin menghampiri Istanbul. Semasa majlis parlimen bersidang, Sultan Abdul Hamid II telah dikritik oleh ahli parlimen kerana pihak kerajaan terlalu lambat bertindak. Ini telah mendatangkan kemurkaan Sultan Abdul Hamid II terhadap Parlimen.

Oleh itu, Sultan Abdul Hamid II telah bertindak untuk memansuhkan Parlimen Turki Uthmaniyyah dan mengembalikan kuasa mutlak Sultan. Sultan Abdul Hamid II juga berpendapat parlimen juga tidak memberi apa – apa manfaat malah hanya tahu memberi kritikan kepada pihak kerajaan dibawah pimpinan beliau. Manakala, Mihdat Pasha telah dihukum buang negeri. Tidak lama kemudian, Mihdat Pasha telah mati dibunuh oleh ejen Sultan semasa dalam buangan di Taif.

Pada bulan Mac 1878, Sultan Abdul Hamid II telah menandatangani Perjanjian San Stefano. Antara isi kandung perjanjian tersebut adalah mengiktiraf kuasa autonomi Bulgaria dengan penubuhan kerajaan Bulgaria yang pertama pada tahun 1878 dan Rusia bersetuju mengundurkan semua tentera – tentera Rusia yang berada dalam wilayah Rusia kecuali Bulgaria. Perjanjian ini telah mendapat reaksi dan perhatian daripada kuasa besar Eropah seperti British, Austria – Hungary, dan Jerman. Ini kerana kerajaan Bulgaria yang baharu akan memudahkan pembinaan pangkalan tentera laut Rusia sekali gus akan mengancam kepentingan kerajaan British dan juga kuasa – kuasa Barat Eropah.

Oleh itu, kuasa – kuasa besar Eropah telah mendesak Rusia untuk membuat perjanjian baharu semula. Rusia juga tidak mampu untuk menghadapi kuasa – kuasa Barat secara bersendirian terpaksa tunduk dengan desakan kuasa – kuasa besar Eropah. Pada 13 Julai 1878, kuasa – kuasa besar Barat seperti British, Perancis, Austria – Hungary dan Jerman telah menghantar wakil masing – masing untuk berunding kembali mengenai satu perjanjian San Stefano. Maka satu perjanjian telah dimeterai antara Empayar Turki Uthmaniyyah dengan Rusia yang disaksikan oleh kuasa Barat. Perjanjian ini telah memberi kerugian kepada Rusia dengan menyerah sebahagian wilayah kembali kepada Empayar Turki Uthmaniyyah. Manakala, kuasa autonomi Bulgaria telah dikurangkan. Kesan daripada perjanjian Berlian 1878, Empayar Turki Uthmaniyyah telah kehilangan hasil sebanyak 8% pengeluaran kepada hasil pendapatan negara. Sultan Abdul Hamid II menganggap perjanjian tersebut merupakan konspirasi kuasa Barat untuk melemahkan kuasa Islam.

Ali Suavi merupakan seorang aktivis politik radikal Islam yang terpengaruh dengan ideologi – ideologi Barat. Beliau begitu benci dengan sistem kuasa mutlak Sultan kerana beliau menginginkan satu masyarakat yang bebas tanpa satu kekangan pun daripada pemerintah. Karya – karya beliau juga turut diharamkan oleh kerajaan kerana kritikan tersebut amat berbahaya dan boleh mempengaruhi orang ramai untuk turun melakukan revolusi.

Pada 20 Mei 1878, Ali Suavi dan 250 pengikutnya telah menyerbu Istana Ciragan dengan tujuan untuk membebaskan Sultan Murad V supaya Ali Suavi dapat mengembalikan sistem demokrasi di Turki. Walaubagaimanapun, percubaan kudeta ini berjaya dipatahkan apabila Ali Suavi dan beberapa pengikutnya telah dibunuh oleh pengawal Istana. Manakala Sultan Murad V terpaksa dipindahkan ke Istana Yildiz dimana beliau dikurungkan dibawah bilik tanah. Kemudian barulah Sultan Murad V dipindahkan ke Istana Feriye, tempat kediaman Almarhum Sultan Abdul Aziz dengan kawalan yang ketat.

Selain itu, Sultan Abdul Hamid II juga menghadapi masalah penentangan daripada gerakan Young Turks atau dikenali sebagai Kaum Turki Muda. Selain itu, Gerakan Young Turks juga ditubuhkan oleh pertubuhan rahsia Freemason Turki. Gerakan Young Turks menjadi suara lantang dalam mengkritik dasar – dasar pemerintahan autokratik Sultan Abdul Hamid II. Gerakan Young Turks telah memilih Mesir dan Eropah sebagai pusat gerakan propaganda mereka bagi menjatuhkan Sultan Abdul Hamid II. Propaganda telah menjadi senjata mereka untuk memburukkan keperibadian Sultan Abdul Hamid II dimata rakyat. Antaranya adalah menuduh Sultan Abdul Hamid II sebagai seorang paranoid dan gila kuasa. Selain itu, gerakan Young Turks juga menyusup masuk kedalam ketenteraan. Ini bagi memudahkan usaha untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid II kelak.

Young Turks

Walaupun tuduhan dan fitnah yang sering dilemparkan kepada Sultan Abdul Hamid II, namun beliau telah banyak melaksanakan projek – projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat. Antaranya adalah pembinaan bangunan – bangunan yang cantik di wilayah Hijaz terutamanya di Mekah dan Madinah, bangunan kerajaan, markas tentera, hospital, dan memperbaiki sistem pengairan yang lebih efisien dan efektif disekitar kota Mekah dan Madina. Projek – projek pembangunan juga banyak dibantu oleh Osman Nuri Pasha yang menginginkan wilayah – wilayah Turki Uthmaniyyah terus berkembang maju dan makmur.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kemudahan perhubungan dengan membina jaluran telegraf yang lebih meluas ke seluruh wilayah – wilayah Turki Uthmaniyyah. Sultan Abdul Hamid II juga membina laluan kereta api Hijaz yang menghubung Madinah dan Istanbul bagi memudahkan jemaah haji dapat tiba ke destinasi haji dalam masa yang singkat.  Tetapi sayangnya laluan tersebut telah diletupkan oleh ejen British, Lawrence of Arabia ketika Perang Dunia Pertama dan hanya laluan kereta dari Damsyik ke Madinah hanya dapat berfungsi dengan baik.

Penaklukan Perancis keatas Tunisia 1881

Pada tahun 1881, Perancis telah berjaya menawan wilayah Tunisia dari Turki Uthmaniyyah. Muhammad Al Sadiq III, Bey Tunisia telah bersetuju untuk berada dibawah naungan Perancis dengan syarat Perancis dapat mengaut hasil keuntungan daripada sumber kekayaan Tunisia. Keadaan ini telah mencalar reputasi Sultan Abdul Hamid II di mata rakyat. Begitu juga beberapa ancaman pemberontakan dan beberapa wilayah – wilayah Turki Uthmaniyyah sama ada ditakluki oleh kuasa besar Eropah atau merdeka daripada pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah. Antaranya adalah penaklukan Greek keatas Thessaly (1881), penaklukan British keatas Mesir (1882), dan Bulgaria menakluki wilayah Rumelia Timur (1885).

Perang Turki Uthmaniyyah – Greek 1897

Pada tahun 1897, peperangan antara Greek dan Turki Uthmaniyyah telah tercetus apabila Greek telah melakukan keganasan di wilayah Turki Uthmaniyyah yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan Empayar Turki Uthmaniyyah. Walaubagaimanapun, Greek telah berjaya dikalahkan oleh tentera Turki Uthmaniyyah. Kekalahan yang memalukan ini telah memaksa Greek telah memohon kepada Sultan Abdul Hamid II untuk berdamai kerana peperangan ini telah menyebabkan Greek telah mengalami kerugian yang begitu besar sekali.

Sultan Abdul Hamid II bersetuju untuk berdamai kerana beliau hanyalah ingin mengekalkan keamanan dalam dirantau Balkan. Beliau tahu sebarang provokasi akan mengundang padah kepada Empayar Turki Uthmaniyyah. Oleh itu, Sultan Abdul Hamid II lebih memilih cara diplomatik dalam menyelesaikan masalah konflik antarabangsa. Selain itu, beliau mengekalkan pemerintahan autokratik sama ada cara kekerasan atau halus untuk kestabilan Empayar Turki Uthmaniyyah diambang keruntuhan. Oleh itu, beliau telah mengekalkan kuasa mutlak Sultan, menubuhkan pasukan polis rahsia dan menyekat kebebasan surat khabar.

Sultan Abdul Hamid II juga mempromosikan ideologi Pan Islam yang menyatukan kaum Muslimin diseluruh dunia dan mengukuhkan kedudukan beliau sebagai Khalifah Umat Islam sedunia. Bagi mengukuhkan ideologi Pan Islam, Sultan Abdul Hamid II telah menjemput Syeikh Jamaluddin Al Afghani ke Istanbul. Namun usaha ini telah gagal sehingga Syeikh Jamaluddin Al Afghani telah dikurung didalam sebuah bilik bawah tanah kerana terdapat perselisihan faham dengan Sultan Abdul Hamid II kerana Syeikh Jamaluddin menginginkan sebuah pemerintahan Islam yang demokratik.

Selain itu, Sultan Abdul Hamid II juga telah meminta bantuan daripada ulama Patani yang terkenal, Syeikh Ahmad Al Fatani untuk menubuhkan syarikat penerbitan buku bagi memastikan segala usaha penterjemahan dan penerbitan kitab – kitab ulama Islam dilakukan dengan mudah. Walaubagaimanapun, pertemuan antara Sultan Abdul Hamid II dan Syeikh Ahmad Al Fatani masih lagi belum dapat diperdebatkan melainkan perutusan surat diantara satu sama lain.

Syeikh Ahmad Al Fatani juga banyak menulis sejarah riwayat hidup Sultan Turki Uthmaniyyah bermula seawal riwayat hidup Ertugrul Bin Suleyman Shah. Selain itu, Sultan Abdul Hamid II juga telah mengeluarkan perintah keatas penduduk Islam Sulu agar menyokong kerajaan Amerika Syarikat. Ini kerana Duta Amerika Syarikat ke Turki Uthmaniyyah, Oscar Straus memohon Sultan Abdul Hamid II agar penduduk Islam Sulu tidak memberontak dibawah pemerintahan Amerika Syarikat.

Selain itu, Sultan Abdul Hamid II juga menghantar duta – duta ke China dan Jepun bagi mengukuhkan kedudukan beliau sebagai Khalifah umat Islam masyarakat Cina Muslim. Sultan Abdul Hamid II juga mengharap persahabatan dengan Empayar Jepun yang ketika itu telah bangkit sebagai kuasa besar dengan tujuan untuk memastikan tekanan kuasa besar Barat dapat dikurangkan. Sultan Abdul Hamid II juga mengadakan hubungan yang baik dengan Jerman kerana Jerman ketika itu hanya satu – satunya kuasa besar Eropah yang bermusuh dengan Rusia.

Oleh itu, Kaiser Wilhelm II telah mengadakan lawatan diplomatik sebanyak dua kali ke Istanbul iaitu pada tahun 1889 dan 1898. Sultan Abdul Hamid II menganggap Jerman merupakan sekutu Turki Uthmaniyyah yang paling dipercayai berbanding British dan Perancis. Selain itu, Sultan Abdul Hamid II juga memerlukan kepakaran teknologi dari Jerman untuk membantu mempertingkatan keupayaan ketenteraan Turki Uthmaniyyah.

Theodor Herzl merupakan seorang tokoh politik Gerakan Zionis yang terkenal pernah mencuba untuk melobi Kaiser Jerman, Wilhelm II agar memujuk Sultan Abdul Hamid II supaya menjual tanah Palestin kepada Gerakan Zionis. Theodor Herzl telah menghantar surat kepada Sultan Abdul Hamid II untuk menyatakan niat untuk membeli tanah Palestin dari Empayar Turki Uthmaniyyah. Sebagai balasan, Gerakan Zionis akan membantu Empayar Turki Uthmaniyyah membayar segala hutang kerajaan.

Sultan Abdul Hamid II telah menolak tawaran tersebut dengan secara keras dengan menyatakan tanah Palestin bukanlah milik beliau tetapi milik rakyat Turki yang diamanahkan kepada beliau untuk menjaga tanah Palestin tersebut. Gerakan Zionis sedar bahawa Sultan Abdul Hamid II bukan senang untuk dibeli. Oleh itu, Gerakan Zionis telah membuat satu rancangan untuk menjatuhkan Sultan Abdul Hamid II dengan menyebarkan propaganda kebencian rakyat terhadap Sultan Abdul Hamid II.

Gerakan Zionis juga membantu Young Turks untuk menyebar propaganda kebencian dikalangan rakyat dengan menggelar Sultan Abdul Hamid seorang yang terkutuk. Pada masa yang sama, imigran Yahudi secara senyap – senyap memasuki tanah Palestin dimana imigrasi tersebut didanai oleh Gerakan Yahudi dan keluarga Rothschild. Populasi Yahudi di tanah Palestin semakin bertambah selepas Perang Dunia Kedua.

Masjid Yıldız

Pada tahun 1905, organisasi Dashnak yang merupakan sebuah organisasi pengganas Armenia telah merancang untuk melakukan pembunuhan keatas Sultan Abdul Hamid II di Masjid Yıldız. Namun begitu, percubaan tersebut telah berjaya dipatahkan. Ini kerana Sultan Abdul Hamid II berada di dalam Masjid Yıldız agak lama kerana sedang berbual dengan Syeikh Al Islam. Walaubagaimanapun, Sultan Abdul Hamid II telah mengampuni jenayah pengganas tersebut.

Revolusi 1908

Pada tahun 1908, Young Turks telah melancarkan revolusi dimana Sultan Abdul Hamid II terpaksa menurunkan kuasa mutlak kepada kuasa perlembagaan. Perlembagaan Turki Uthmaniyyah dan Parlimen juga telah ditubuhkan semula pada 24 Julai 1908. Selepas itu, Young Turks menubuhkan parti politik iaitu “Committee of Union and Progress” (CUP) dan “Liberal Entente”. Terdapat juga parti – parti politik juga turut ditubuhkan seperti Parti Sosialis Turki Uthmaniyyah dan Al Fatat. Revolusi 1908 telah menandakan tamatnya pemerintahan autokratik Sultan Turki Uthmaniyyah selama beratusan tahun.

Tidak lama kemudian, Sultan Abdul Hamid II digulingkan pada tahun 1909 dalam satu pemberontakan di Istanbul. Sultan Abdul Hamid II telah dihukum buang negeri ke Salonika. Pada tahun 1918, Sultan Abdul Hamid II telah mangkat di Istana Beylerbeyi, Istanbul. Para Sultan dan Khalifah selepas Sultan Abdul Hamid II hanyalah boneka kepada kerajaan Young Turks.  Walaubagaimanapun, ia telah menimbulkan rasa kekesalan dikalangan rakyat kerana mengulingkan Sultan Abdul Hamid II yang selama ini sering mengambil berat mengenai kebajikan rakyat. Oleh itu, sebuah puisi yang dituliskan oleh seorang ahli Young Turks, Rıza Tevfik Bölükbaşi yang menyatakan rasa kekesalan beliau.

“İstimdad”

Di manakah anda Sultan Abdul Hamid yang mulia?

Adakah lamunan saya sampai ke hadapan anda?

Bangun daripada tidur untuk seketika,

Lihatlah dosa bangsa yang tidak tahu bersyukur ini

Apabila sejarah akan mengingati nama anda

Bangsa ini akan mengakui anda betul, wahai Sultan yang hebat

Kami adalah orang yang membuat fitnah,

Padahal Sultan seorang yang bijaksana,

Waqaf Saham

Kami kata Sultan kami adalah kejam dan gila,

Kami berkata Sultan harus tunduk kepada revolusi,

Kami menuruti godaan syaitan,

Kami mencetuskan huru hara,

Kami yang kurang waras,

Kami telah mengikat benang busuk dengan permata,

Bukan sahaja gila, tetapi kami juga biadap,

Kami telah meludah ke penghormatan nenek moyang kita

Kemudian, seorang yang kurang berperilaku

Kumpulan telah bertunas dan memasuki arena

Dari manakah semua pengkhianat ini datang?

Betapa malunya mereka!

Mereka telah memecah – belahkan masyarakat,

Mereka telah melakukan kezaliman,

Mereka yang tidak menghormati Sultan,

Sujudlah mereka sebelum ini,

Tablus yang kotor pegawai yang memberontak,

Tidak ada batas bagi mereka yang menderita kelaparan,

Bagi mereka yang telah mengorbankan nyawa mereka,

Kutukan keatas para penzalim,

Tetapi beliau masih ingat dengan rahmat,

Sekarang bangsa telah menjadi tanah perkuburan,

Setiap orang mempunyai bahagian kutukan,

Hanya sedikit orang yang mendapat keamanan,

Pagi di kota yang hancur,

Kepentingan bangsa ditutup oleh dosa,

Agama semakin dipijak,

Jiwa Turki terus memberontak

Terhadap Allah dan Rasul,

Rasul kami adalah pemberi syafaat,

Malah dari syurga, Rasul memberi syafaat kepada kami,

Bangsa ini telah musnah, semoga ia dapat diselamatkan,

Ampunilah kami, wahai Padishah.

Rujukan:

Bal, İ. (Ed.). (2004). Turkish foreign policy in post Cold War era. Universal-Publishers.

Billings, M. (January 14, 2006). Retrieved from: http://news.bbc.co.uk/2/hi/programmes/from_our_own_correspondent/4609450.stm

Braginsky, Vladimir. The Turkic-Turkish theme in traditional Malay Literature: imagining the other to empower the self. Brill, 2015.

Çekiç, C. E. (2016). Hamidian epic: war literature in the late nineteenth century ottoman empire (Doctoral dissertation, Bilkent University).

Davison, R. H. (2015). Reform in the Ottoman Empire, 1856-1876 (Vol. 2325). Princeton University Press.

Effendi, A. (2011). Lions of the Golden Apple. Germany: Haqqbutler. pp. 167–170.

Ekinci, M. U. (2006). The origins of the 1897 Ottoman-Greek War: A diplomatic history. The Institute of Economics and Social Sciences of Bilkent University, master’s thesis, Bilkent University, Ankara.

Excerpts from the book:A Myth of Terror Armenian Extremism:Its Causes and Its Historical Context (n.d). Retrieved from: http://www.ataa.org/reference/myth/party.html

Finkel, C. (2007). Osman’s Dream: The History of the Ottoman Empire. Hachette UK.

Güçlü, Y. (2015). The Fall of the Ottomans: The Great War in the Middle East, 1914–1920. Journal of Muslim Minority Affairs, 35(4), 580-588.

GÖÇEK, F. (2011). What is the Meaning of the 1908 Young Turk Revolution? A Critical Historical Assessment in 2008. SİYASAL/Journal of Political Sciences, (38).

Hamka (1981). Sejarah Umat Islam Edisi 2016. PTS Publishing

Husaini, A. (2005). Wajah peradaban Barat: dari hegemoni Kristen ke dominasi sekular-liberal. Gema Insani.

Lewis, M. D. (2013). Divided Rule: Sovereignty and Empire in French Tunisia, 1881Ð1938. Univ of California Press.

Masters, B. A. (2010). Encyclopedia of the ottoman empire. Infobase Publishing

Qureshi, M. N. (1999). Pan-Islam in British Indian politics: A study of the Khilafat movement, 1918-1924 (Vol. 66). Brill.

Ris’an Rusli (n.d). Pemikiran Teologi Islam Modern. Kencana

The Ottoman Constitution. (December 23, 1876). Retrieved from: https://ael.eui.eu/wp-content/uploads/sites/28/2014/05/Brown-01-Ottoman-Constitution.pdf

The Preliminary Treaty of Peace signed at San Stefano. (1878). Retrieved from: https://pages.uoregon.edu/kimball/1878mr17.SanStef.trt.htm#RUS.withdrawal

Yilmaz, Ş. (2015). Turkish-American Relations, 1800-1952: Between the Stars, Stripes and the Crescent. Routledge.

Zain, F. M. (2007). [ms] Gerakan Islah Muhammad Rashid Rida dan Pengaruhnya Terhadap Kebangkitan Islam di Malaysia. Islāmiyyāt, 29