Sultan Abdul Hamid College : Legasi Pemimpin Malaysia

0
1271
views

Sultan Abdul Hamid College (SAHC) merupakan sebuah sekolah berstatus elit yang terletak di Alor Setar, Kedah Darul Aman. Dengan cogan kata “Scholar, Sportsman, Gentleman”, SAHC merupakan sebuah institusi pendidikan berprestij yang ditubuhkan sejak sebelum kemerdekaan iaitu pada 8 Disember 1908. Ini menjadikan ianya sebagai antara sekolah yang tertua di Malaysia selain Penang Free School dan Malay College Kuala Kangsar.

Sekolah yang hanya untuk pelajar lelaki atau dikenali sebagai “Boy’s School” ini pada asalnya merupakan sekolah untuk anak para bangsawan negeri Kedah. Hanya mereka yang terpilih sahaja layak untuk memasuki ke sekolah Inggeris pertama di Kedah ini pada suatu ketika dahulu.

Pada tahun 1908, sebelum Kedah di bawah naungan British, kerajaan negeri telah melantik Mohamad bin Iskandar iaitu bapa kepada Tun Dr Mahathir sebagai pengetua pertama SAHC yang pada awal penubuhannya dikenali sebagai Government English School (GES).

Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama merupakan antara murid terawal ke sekolah ini. Sistem peperiksaan pada ketika itu berasaskan Junior Cambridge Examination (Tingkatan 3) dan Senior Cambridge Examination (Tingkatan 5).

Pentadbiran sekolah ini terletak di bahu Pengetuanya yang sentasa beralih tangan. Pada awal penubuhan, beberapa orang pegawai British menjadi pengetua bagi sekolah ini. Antara sukan terawal yang popular di sekolah ini adalah bola sepak, hoki dan ragbi. Kini semakin banyak sukan yang ditubuh dan dimainkan oleh para pelajar seperti tenis, futsal, petanque, kriket dan lain-lain.

Pada tahun 1935, barulah nama GES ditukar menjadi Sultan Abdul Hamid College (SAHC) dan kekal sehingga kini. Nama baru ini adalah bersempena nama Sultan Kedah iaitu Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Sultan Abdul Hamid Halim Shah merupakan Sultan yang amat disayangi oleh rakyat Kedah kerana kebijaksanan dan sikap waraknya.

Pada zaman baginda lah negeri Kedah mencapai kemakmuran kerana turut dibantu oleh Perdana Menteri Kedah yang bernama Datuk Wan Muhammad Saman. Kerana inilah jika kita ke negeri Kedah, masih ramai rakyat Kedah yang menyimpan gambar baginda yang sering memakai tengkolok bersisipkan bulu burung Cenderawasih.

Waqaf Saham

Pada tahun 1941 sehingga 1944, SAHC terpaksa ditutup apabila Perang Dunia Kedua meletus dan tanah air tercinta turut terkena tempiasnya. SAHC menjadi markas tentera Jepun sepanjang Perang Dunia Kedua berlangsung. SAHC dibuka semula pada 15 Oktober 1945 dengan keadaan fizikal yang teruk akibat perang. Namun, pengetua baharu iaitu Mr JF Augustin Berjaya memulihkan kembali sekolah ini. Kini, pelbagai cerita seram yang menjadi bualan para pelajar SAHC memandangkan pelbagai kisah kejam yang berlaku sepanjang peperangan.

Pada tahun 1946, Mahathir Mohammad memegang jawatan Secretary of Literary and Debating Society. Ramai pelajar yang menduduki Senior Cambridge Examination pada tahun 1941 terpaksa menduduki semula peperiksaan memandangkan kertas peperiksaan tidak dapat dihantar ke United Kingdom akibat peperangan.

Pada tahun 1956, Mr GE Sutcliffe menggantikan Mr Martin Ogle sebagai pengetua baharu SAHC. Pada tahun ini, SAHC dibahagi kepada dua bahagian. Bahagian Secondary School dan Primary School. Bahagian Primary School kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Iskandar bersempena nama datuk kepada Tun Dr Mahathir. Sekolah Kebangsaan Iskandar terletak disebelah SAHC dan hanya dipisahkan dengan pagar dawai.

Pada tahun 1962, Dr Mahathir Mohammad menjadi Presiden SAHOCA iaitu persatuan Alumni para pelajar SAHC. Kini, ibu pejabat SAHOCA terletak di Wisma SAHOCA, Kelana Jaya, Selangor. SAHC memiliki pelbagai tradisi. Mereka terkenal dengan warna keramat Hitam, Merah dan Kuning sebagai lambing identiti mereka.

Slogan “Scholar, Sportsman, Gentleman” menjadi prinsip ke dalam setiap diri pelajar umpama prinsip yang disematkan ke dalam diri pelajar Gurukul dalam filem Mohabatein, “Tradition, Honour, Discipline”. Setiap pelajar SAHC perlulah menjadi seorang Scholar (Ilmuan), Sportsman (Aktif) dan Gentlemen (Beretika). Pelajar dari “Boy’s School” ini dikenali sebagai Collegian oleh masyarakat setempat. Di Alor Setar terdapat sebuah “Boy’s School” dan tiga buah “Girl’s School” yang terkenal iaitu :-

a) (ASMA) Sekolah Menengah Sultanah Asma
b) (BAHIYAH) Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah
c) (CONVENT) Sekolah Menengah Kebangsaa Convent

SAHC mempunyai ramai alumni yang terkenal dan berjasa pada negara. Antaranya ialah :-

• Tuanku Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah – Sultan Negeri Kedah,YDPA ke-5 dan YDPA ke-14
• Tuanku Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah – Sultan Negeri Kedah ke-29
• Tuanku Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah – Raja Muda Negeri Kedah
• Tunku Abdul Rahman- bekas Perdana Menteri Malaysia pertama.
• Mahathir bin Mohamad – bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4.
• Tunku Ismail Bin Tunku Yahaya – bekas Menteri Besar Kedah ke-2
• Syed Omar Bin Syed Abdullah Shahabuddin – bekas Menteri Besar Kedah ke-3
• Syed Nahar Bin Tun Syed Sheh Shahabuddin – bekas Menteri Besar Kedah Ke-5
• Osman Bin Haji Aroff- bekas Menteri Besar Kedah Ke-6
• Daim Zainuddin – bekas Menteri Kewangan Malaysia ke-6.
• Prof. Emeritus Shahnon Ahmad – Sasterawan Negara
• Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa – Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia
• Zaki Azmi – Bekas Ketua Hakim Negara
• Azizan Ariffin – Panglima Angkatan Tentera Malaysia
• Prof. Dr Uthman el-Muhammady – Pendakwah
• Ilyas bin Haji Din – Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia ke-13
• Mohamed Khir Johari – Menteri Kabinet
• Akmal Rizal Ahmad Rakhli- Bekas pemain bola sepak Kedah dan Kebangsaan.
• Azhar Mansor – Wira Samudera Negara
• Victor Andrag – Bekas pemain bola sepak Kedah dan Kebangsaan
• Azmi Mahmud – Bekas pemain bola sepak Kedah dan Kebangsaan (Penjaga Gol)
• Tan Cheng Hoe – Ketua Jurulatih bola sepak Kebangsaan.
• Dan ramai lagi.