Moving Forward As One

Suku-Suku Asli Di Amazon Yang Enggan Diganggu Dunia Luar

5,418

Jika dibandingkan dengan mana-mana tempat lain di dunia, hutan hujan Amazon merupakan tempat yang paling banyak menyimpan suku-suku asli yang hidup secara terpencil. Anggaran kini mendapati wujud lebih 100 suku asli yang tidak pernah berinteraksi dengan dunia luar.

Walau semoden mana pun kehidupan yang dilalui oleh rata-rata masyarakat sedunia pada hari ini, mereka lebih memilih untuk menjalani kehidupan sebagaimana yang ditempuhi oleh nenek-moyang mereka sejak ribuan tahun dahulu.

Pilihan ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana rasa trauma terhadap penderitaan yang dialami di zaman silam, khususnya ketika mereka berinteraksi dengan orang luar.

Menurut sejarah, hutan Amazon dihuni buat pertama kali kira-kira 13,000 tahun dahulu. Walaupun hutan ini kebiasaannya dianggap sebagai hutan murni, bukti arkeologi mendapati hidupan di dalamnya sedikit-sebanyak turut dipengaruhi oleh aktiviti manusia. Hal ini dapat dilihat menerusi kesan tinggalan pekan dan bandar yang pernah wujud di sana suatu ketika dahulu.

Kebanyakan pokok yang dijumpai di kawasan penyelidikan arkeologi di Amazon juga rata-ratanya bukan daripada spesis liar sekali gus membuktikan lagi betapa ia dipengaruhi oleh kehadiran manusia. Pada zaman prasejarah, populasi manusia di Amazon jauh lebih besar berbanding hari ini. Hutan seluas 5.5 juta km persegi itu dipercayai dahulunya menempatkan pelbagai tamadun yang bersilih ganti.

Namun, untung nasib suku-suku asli di Amazon berubah seiring kehadiran orang-orang Eropah. Mereka dijajah, diperhambakan, dibunuh, dan ramai juga yang menjadi korban wabak penyakit yang dibawa dari Dunia Lama.

Disebabkan pengalaman pahit itu, sebahagian suku asli di Amazon memilih untuk berundur ke ceruk hutan dan memutuskan tali interaksi dengan dunia luar. Semenjak itu, mereka dikenali sebagai ‘suku yang tidak dapat dihubungi’. Mereka hidup secara mandiri dengan mengamalkan gaya hidup memburu-menternak, di samping turut mengusahakan tanaman berkala.

Mujur, ekosistem di Amazon barat agak stabil jika dibandingkan dengan Amazon timur. Hutan belantara di sana kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan.

Ikan-ikan di sungai lebih daripada cukup untuk menampung kehidupan mereka. Adakalanya, mereka menikmati telur penyu dan daging haiwan liar atau burung yang diburu. Sebahagian mereka hidup secara nomad. Namun, ada juga yang bermukim secara kekal dalam kelompok kecil.

Salah sebuah petempatan suku asli di Brazil

Menjalani kehidupan yang akrab dengan alam membuatkan suku-suku asli ini prihatin dengan hidupan semulajadi. Oleh kerana itu, sejak kewujudan mereka diketahui, pihak berkuasa tempatan cuba memberikan penghormatan yang sebaik mungkin kepada mereka – khususnya dalam menjamin hak suku-suku asli tersebut ke atas tanah pusaka yang didiami mereka sejak sekian lama.

Sebahagian tempat di Brazil dan Ecuador misalnya, mewartakan kawasan hutan yang dihuni oleh suku-suku asli tersebut sebagai hutan simpan dan melarang mana-mana orang luar termasuklah syarikat minyak dan pembalakan dari menjejakkan kaki ke sana.

Hal ini bukan hanya kerana aktiviti kedua-duanya berupaya menjejaskan kelestarian sedia ada, malahan sebarang interaksi dua hala boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Kebanyakan suku asli di hutan Amazon tidak pernah terdedah kepada penyakit-penyakit moden, justeru pertemuan dengan orang luar mampu menebarkan kesan yang bukan kecil.

Pada awal 1980-an, suku Nahua secara tidak sengaja terserempak dengan pasukan peneroka yang dihantar oleh syarikat minyak terkemuka, Shell. Akibatnya, dalam tempoh beberapa tahun, kira-kira 50% dari populasi Nahua meninggal dunia akibat diserang penyakit hepatitis B dan batuk kering.

Nasib yang sama turut menimpa suku Matis yang dihubungi di Brazil pada tahun 1978. Angka korban mereka sangat ramai, hinggakan pada tahun 1983, suku Matis hanya ditinggalkan dengan 87 orang. Musibah tersebut amat mendukakan, sampaikan buat beberapa tempoh, mereka berhenti dari melakukan sebarang upacara tradisional dan melahirkan zuriat.

IKLAN: Anda sedang mencari novel thriller pembunuhan bersiri? The Patriots baru terbitkan novel keempat kami. Boleh beli di Shopee kami: https://shp.ee/47yzq2k

Suku tersebut masih wujud pada hari ini. Namun, parut luka mereka masih berbekas.

Ancaman sebegini menjadi salah satu faktor yang mendorong mereka untuk hidup menyendiri dan bersikap agresif terhadap orang luar. Bagi mereka, kehadiran orang luar selalunya membawa malapetaka. Oleh kerana itu, berlaku banyak kes pembunuhan tanpa provokasi ke atas mana-mana individu yang menceroboh masuk ke dalam kawasan mereka.

Walaupun ekosistem di Amazon barat jauh lebih baik berbanding Amazon timur, kekayaan sumber alam khususnya minyak dan kayu balak mengundang perhatian pelbagai pihak. Sebahagian kawasan di hutan Amazon sememangnya dilindungi oleh pihak berkuasa. Namun, ada juga zon yang dibenarkan untuk diteroka oleh syarikat-syarikat tertentu, yang tentunya bakal mengganggu ketenteraman suku-suku asli di sana.

Sungai Amazon yang menjadi nadi kehidupan bagi suku-suku asli yang menetap secara terpencil di dalam hutannya yang tebal

TERJEMAHAN
Caleb Strom. (27 Februari 2019). The Uncontacted Frontier: Tribes of the Amazon want to be Left Alone. Ancient Origins.

Ruangan komen telah ditutup.