Suku Cahokia: Bangsa Pembina Tamadun Purba Di Amerika Syarikat

575

Suku Cahokia menetap di Illinois berkurangan dengan teruk bermula Abad Ke-18 disebabkan faktor pertelingkahan, peny4kit dan juga gerakan Kristianisasi (White, et al., 2020).

Namun pada zaman kebangkitan Cahokia, terdapat satu perkaitan menarik yang memungkinkan punca kebangkitan itu sendiri.

Sebelum tahun 900, suku Cahokia ini belum membuat penanaman jagung secara berleluasa.

Namun sekitar tahun 900 hingga 1,000, Cahokia didapati menggunakan jagung dengan begitu besar. Kerana pasukan penyelidikan menemui bertih-bertih jagung yang hangus di kawasan-kawasan arkeologi Cahokia.

Melihat isotop karbon dalam gigi dan tulang 108 orang dan 15 ekor anjing di situ, mereka juga menemui kadar isotop jagung jauh lebih tinggi berbanding spesis-spesis makanan tempatan kawasan.

Dengan menganalisiskan kadar Karbon-12 hingga Karbon-13, mereka juga mengenalpasti jenis makanan suku Cahokia berdasarkan zaman berlainan.

Asalnya disangka jagung dibawa ke Lembah Sungai Mississippi sekitar zaman Nabi Isa (as).

Namun terdapat satu masalah besar dengan sangkaan ini. Asalnya jagung sangat kerap ditanam di serata Mesoamerika iaitu kawasan-kawasan seperti Amerika Tengah.

Dan Mesoamerika ini terletak sekurang-kurangnya 3,835 kilometer jauh daripada Sungai Mississippi.

Bagi sebuah jarak yang begitu jauh semestinya suhu dan cahaya yang jauh berbeza akibat faktor latitud. Jurang antara bunga dan buah ditentukan jumlah cahaya matahari diterima.

Jika ditanam semasa musim bunga, jagung takkan berbunga pun sehingga Ogos. Dan datang saja musim salji, pokok tersebut akan mati.

Maka jagung dari Mesoamerika perlu masa untuk evolusi supaya bersesuaian dengan iklim utara.

Penyesuaian iklim hanya logik jika berlaku semasa zaman Nabi Isa (as). Tetapi untuk melaksanakan perladangan secara besar-besaran, ia memerlukan masa lebih lama.

Jadi bila isotop karbon ditemui di gigi dan tulang 108 orang Cahokia antara 600 hingga 1,400, wujud dengan jelas perkaitan konsisten yang mana pemakanan jagung bermula sekitar tahun 950 hingga 1,000.

Malah maklumat isotop daripada anjing ditanam di serata itu pun begitu juga.

Kiranya secara tiba-tiba ada lonjakan besar yang jagung menjadi makanan ruji tempatan. Dan tahun 950 hingga 1,000 itulah bermulanya pembinaan bukit-bukit Cahokia yang menjadi cara kehidupan tempatan.

Zaman ini juga menunjukkan pertumbuhan populasi Cahokia secara besar-besaran, sampaikan wujudnya perbezaan ideologi pun berdasarkan simbol-simbol kesuburan yang dianuti.

Artifak-artifak daripada Cahokia yang ditemui mempunyai bentuk wanita yang bercucuk tanam.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Dan melihat bekas-bekas air mengandungi simbol bunga matahari dan labu, saintis seolah-olah boleh mengenalpasti tanaman sebelum jagung.

Maka ilmu pertanian sudah kaya dalam kalangan Cahokia. Mereka hanya menggunakan jagung sebagai medium tanaman baharu.

Ketiadaan simbol jagung dalam artifak-artifak Cahokia membuktikan jagung ialah makanan baharu dalam kalangan masyarakat ini.

Cahokia ialah sebuah penempatan urban yang sangat berpengaruh dalam kalangan budaya Mississippi.

Budaya ini juga mengawal pengeluaran alatan-alatan tangan yang menjana ekonomi untuk kesinambungan semua (Snow, 2010).

Dan aktiviti perdagangan Cahokia menggunakan sistem barter tanpa penglibatan sebarang wang tunai (Seppa, 1997).

Pengurusan bandar yang licin ini mengembangkan populasi tempatan. Malahan jagung yang mudah tumbuh pula membolehkan kenaikan daripada 1,000 hingga 10,200 dalam tempoh 50 tahun sahaja (Benson, et al., 2009).

Pihak arkeologi juga menganggarkan populasi bandar dalam 6,000 hingga 40,000 pada kemuncak Cahokia (Hodges, 2011), disebabkan ramai daripada perkampungan membekalkan jagung kepada pusat bandaraya.

Pada awal abad ke-21, tinggalan penempatan baru ditemui di sebelah barat Cahokia. Maka para saintis menambahkan lagi anggaran populasi Cahokia.

RUJUKAN:

Benson, L.V., et al. (2009). Cahokia’s Boom and Bust in the Context of Climate Change. American Antiquity. 74 (3): 467-483.

Hodges, G. (2011). America’s Forgotten City. National Geographic. Retrieved from https://www.nationalgeographic.com/magazine/2011/01/americas-forgotten-city/

Seppa, N. (1997, Mac 12). Metropolitan Life on the Mississippi. The Washington Post. Retrieved from https://www.washingtonpost.com/wp-srv/national/daily/march/12/cahokia.htm

Snow, D. (2010). Archaelogy of Native North Americas. Upper Saddle River. NJ: Prentice Hall. Halaman 201-203.

White, A.J., et al. (2020, Januari 24). After Cahokia: Indigenous Repopulation and Depopulation of the Horseshoe Lake Watershed AD 1400-1900. American Antiquity. 85 (2): 263-278.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.