Stephen Hawking Yang Menentang Israel

0
1444
views

Seluruh dunia merasai kehilangan ahli fizik terkemuka, Dr Stephen Hawking yang meninggal dunia semalam. Ia satu saat yang menyedihkan kerana dunia kehilangan minda manusia yang ke hadapan dalam bidangnya. Tetapi tahukah anda, selain dikenali sebagai pakar dalam dunia fizik, beliau juga sebenarnya antara individu yang amat lantang memperjuangkan hak dan penamatan konflik di Timur Tengah termasuk isu Palestin?

Pendirian Hawking yang menolak penindasan dan kezaliman rejim Israel terhadap Palestin sememangnya sudah jelas dan ia diperkukuhkan lagi semasa beliau mengadakan lawatan lapan hari ke Israel pada tahun 2006. Semasa lawatan tersebut, Hawking mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri rejim ketika itu, Ehud Olmert, memberi syarahan di Universiti Hebrew Jerusalem dan mengadakan lawatan ke Universiti Birzeit. Universiti itu dibina di atas tanah haram yang dirampas Israel di Tebing Barat.

Pada tahun 2009, apabila rejim melancarkan Operasi Cast Lead dengan tujuan menghentikan serangan roket ke atas Israel dari Semenanjung Gaza dan penyeludupan senjata ke semenanjung tersebut, operasi tersebut membunuh lebih seribu warga Palestin. Dan operasi ini mendapat kecaman dari seluruh dunia termasuk dari Hawking sendiri. Dalam satu temubual dengan saluran berita Al-Jazeera English, Hawking berkata, “Manusia yang ditindas dan dijajah akan melawan dengan apa saja cara yang ada. Jika Israel mahukan keamanan, maka mereka perlu berunding dengan Hamas seperti mana apa yang dilakukan Britain dengan Tentera Republik Ireland (IRA).”

Video temubual Riz Khan dengan Daniel Barenboim dan Stephen Hawking berkenaan apa yang berlaku di Gaza: https://www.youtube.com/watch?v=-1jjLRXmIck

Dan pada tahun 2013, Hawking sekali lagi menarik perhatian dunia bahawa beliau memboikot persidangan Facing Tomorrow yang dianjurkan oleh presiden rejim ketika itu, Shimon Peres sebagai tanda protes penindasan rejim Zionis ke atas warga Palestin. Keputusan Hawking merupakan satu lagi kejayaan bagi kempen boikot terutama dalam dunia akademik ketika itu. Hawking sepatutnya menjadi tarikan utama persidangan tersebut di mana ia turut meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Peres ke-90 tetapi membatalkannya selepas mendapat nasihat daripada rakan-rakan dan para saintis termasuk dari Palestin. Dengan penyertaannya dalam boikot tersebut, Hawking sebenarnya menyertai senarai individu terkenal yang memboikot rejim. Antara personaliti terkenal lain yang memboikot rejim Zionis ialah ahli kumpulan Pink Floyd, Roger Waters dan Archbishop Desmond Tutu.

Waqaf Saham

Tetapi tindakan beliau memboikot rejim mendapat kecaman ramai di Israel termasuk di laman media sosial. Di Facebook misalnya, sesetengah memperlekeh keadaan fizikalnya dan ada juga yang menuduh Hawking sebagai anti-Semitik. Sementara pengerusi persidangan Israel Maimon menyelar Hawking dengan berkata, “Tindakan boikot akademik ke atas Israel pada pandangan kami melampau dan biadab, lebih-lebih lagi bagi seseorang di mana semangat kebebasan itu menjadi asas kepada misi akademik dan kemanusiaannya. Israel ialah sebuah negara demokrasi di mana semua orang boleh bersuara dengan bebas tanpa mengira apa jenis isu. Keputusan boikot ini tidak selari dengan perbincangan demokratik terbuka.” Tetapi kecaman sebegini tidak mematahkan semangat boikot Hawking terhadap Israel sehingga ke akhir hayatnya.

Pada tahun 2016, Hawking merupakan hos yang mengumumkan pemenang anugerah Hadiah Guru Global (Global Teacher Prize) tahun tersebut. Anugerah itu dimenangi oleh seorang guru Palestin bernama Hanan Al Hroub, seorang guru yang mempunyai pengkhususan membimbing dan menyokong kanak-kanak yang trauma akibat keganasan. Hawking mengucapkan tahniah kepada Hanan melalui satu video khas di Facebook berbunyi, “Dari seorang guru kepada seorang guru yang lain, anda menjadi inspirasi semua walau di mana saja mereka berada. Saya amat berbangga memanggil anda sebagai rakan seperjuangan.” Hanan membawa pulang hadiah sejuta dolar oleh Yayasan Varkey.

Dan pada tahun lepas, Hawking meminta pertolongan 4.2 juta pengikut akaun Facebook beliau untuk menyumbang kepada kempen derma Palestinian Advanced Physics School. Kempen tersebut dilakukan untuk membawa pulang edisi kedua siri syarahan fizik ke Palestin untuk dimanfaatkan pelajar-pelajar universiti di Tebing Barat. Kempen tersebut berjaya meraih dana yang diperlukan untuk menganjurkan siri syarahan tersebut. Siri syarahan ini dianjurkan oleh Scientists for Palestine, sebuah organisasi antarabangsa yang mempromosikan kepentingan sains di negara tersebut. Namun penglibatan Hawking dengan siri syarahan ini bukanlah satu perkara baru. Ini kerana pada tahun 2016, beliau memuatkan satu video pengenalan semasa sesi berlangsung membabitkan para saintis dari Amerika Syarikat, Britain dan Jordan.

Bagaimanapun, perjuangan Hawking tidak terhenti di situ saja. Beliau amat lantang mengecam kempen Amerika Syarikat di Iraq pada tahun 2003. Pada satu perhimpunan Stop the War pada tahun 2004, Hawking menyifatkan perang Washington itu dijustifikasikan dengan dua pembohongan iaitu Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan ada kaitan dengan serangan 11 September. Dalam perhimpunan itu, beliau berucap, “Perang ini merupakan satu tragedi pada semua keluarga. Jika ini bukan jenayah perang, maka apa itu sebenarnya?” Hawking kemudian menambah, “Maafkan saya berkenaan sebutan saya. Alat sintesis saya tidak direka untuk nama-nama Iraq.”

Dan semasa perang saudara meletus di Syria terutama pada tahun 2014, Hawking berbicara berkenaan perang tersebut sebagai sebahagian daripada kempen Save the Children. Dalam kempen tersebut, beliau berkata, “Apa yang berlaku di Syria merupakan satu perkara yang keji, satu konflik di mana dunia hanya memerhati dari jauh. Ke mana perginya kecerdasan emosi dan keadilan kita? Perang di Syria bukan melambangkan berakhirnya kemanusiaan, tetapi setiap ketidakadilan yang dilakukan ialah satu kecelaan yang memegang rasa yang menyatukan kita semua. Prinsip keadilan yang bersifat universal mungkin tidak berasal dari fizik tetapi ianya amat penting pada kewujudan kita. Kerana tanpa keadilan, manusiawi pasti akan pupus.”

SUMBER

  1. Sherwood, Harriet dan Kalman, Matthew. (2013). The Guardian. Stephen Hawking joins academic boycott of Israel. https://www.theguardian.com/world/2013/may/08/stephen-hawking-israel-academic-boycott
  2. Rose, Hilary dan Rose, Steven. (2013). The Guardian. Stephen Hawking’s boycott hits Israel where it hurts: science. https://www.theguardian.com/science/political-science/2013/may/13/stephen-hawking-boycott-israel-science
  3. Abunimah, Ali. (2013). The Guardian. Stephen Hawking’s support for the boycott of Israel is a turning point. https://www.theguardian.com/commentisfree/2013/may/09/stephen-hawking-palestinian-boycott-israel-history
  4. Middle East Eye. (2018). Stephen Hawking and Hamas: How scientist spoke up for Palestinians. http://www.middleeasteye.net/news/stephen-hawking-bds-boycott-palestine-israel-syria-1346412349
  5. Khalaf, Rayana. (2018). Stepfeed.com. 4 times the late physicist Stephen Hawking stood

Previous articleDisebalik Filem 3 Abdul
Next articleRiwayat Hidup Sultan Muhammad Al-Fateh: Pembuka Konstantinopel
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE