Stephen Hawking (1942 M –2018): Minda Terhebat Zaman Moden

0
1629
views

I don’t think the human race will survive the next thousand years, unless we spread into space. There are too many accidents that can befall life on a single planet. But I’m optimist. We will reach out to the stars.

Stephen Hawking

Stephen Hawking sangat terkenal sebagai orang pertama yang menjelaskan sistem kosmologi berasaskan penyatuan teori kerelatifan am dan mekanik kuantum.

Hawking juga pernah menyumbang dalam kajian membentuk teorem kegravitian tunggal (gravitational singularity theorem) bersama dengan ahli matematik agung, Roger Penrose. Hawking juga pernah meramalkan secara teori tentang radiasi yang dipancarkan oleh lohong hitam (black hitam) dinamakan sempenan namanya sendiri iaitu Radiasi Hawking (Hawking Radiation).

Hawking pernah dengar sebagai Einstein di zaman moden.

Pada Hari Kematian Galileo

8 Januari adalah hari ulang tahun kematian Galileo dan pada tahun 1942, iaitu setelah 300 tahun kematian Galileo, si pengembara masa dan galaksi lahir. Bayi ini diberikan nama Stephen William Hawking.

Hawking pernah berkata, ianya bukanlah satu kebetulan yang unik kerana pada tarikh yang sama, terdapat 200 atau lebih bayi lahir pada tarikh yang sama. Di Oxford, Oxfordshire, Hawking dilahirkan daripada pasangan Frank dan Isobel Hawking.

Kedua Ibu bapa Hawking adalah pelajar University of Oxford. Frank mengambil pengajian dalam bidang perubatan dan Isobel pula dari bidang falsafah, politik, dan ekonomi. Pada asalnya, Isobel tinggal bersama dengan suaminya di Hitgage, utara pinggir bandar London.

Tetapi mereka membuat keputusan untuk melahirkan Hawking di Oxford kerana England sedang diserang oleh askar Jerman malam demi malam. Serta ketika itu, Jerman berjanji untuk tidak menyerang Oxford dan Cambridge.

Angkatan Udara Diraja England juga tidak akan menyerang Heidelberg dan Gottingen. Ini kerana Hitler mengatakan penaklukan global tidak akan lengkap sekiranya dia tidak menjaga kemegahan senibina.

Setelah Hawking berumur dua minggu, Isobel kembali ke London. Pada umur Hawking berusia dua tahun, mereka hampir kehilangan nyawa apabila roket V2 terlanggar rumah jiran mereka. Walaupun rumah mereka hancur musnah, Hawking terselamat kerana berada di luar pada ketika itu.

Setelah perang tamat, ayahnya dilantik sebagai ketua bahagian parasitologi di National Institute of Medical Research. Mereka tingal di Highgate sehinga 1950 M dan mereka berpindah ke 20 batu ke utara di 14 Hillside Road di bandar St. Albans, Hetfordshire. Hawking berumur 8 tahun ketika berpindah ke sana.

Hawking menghadiri Sekolah Radlett untuk setahun. Ayah Hawking mempunyai keinginan yang kuat untuk Stephen Hawking memasuki sekolah swasta. Ayahnya berpendapat oleh kerana ibu bapanya tidak mempunyai wang yang cukup telah membuatkan dia tidak mencapai kejayaan yang lebih besar. Dia tidak mahu ianya terjadi kepada anak pertamya.

Sewaktu berumur 10 tahun, Hawking telah terpilih untuk memasuki peperiksaan biasiswa ke Westminster School. Walaupun ayahnya mempunyai kerjaya yang baik dalam penyelidikan perubatan, gaji saintis tetap tidak mampu untuk meliputi yuran di Westminster. Tetapi pada hari peperiksaan itu, Hawking jatuh sakit dan tidak dapat mengambilnya.

Ayahnya telah mendaftarkan Hawking ke sekolah swasta di St. Albans. Sekolah swasta yang agak beprestij di sana. Disitu, Hawking mengenali beberapa rakan yang rapat dan seronok bermain permainan berpapan yang mereka cipta, membina model kapal terbang dan kapal, serta membuat bunga api. Hawking terlalu mahir dalam membina model kapal terbang kerana tidak mahir menggunakan tangan berbanding mahir menggunakan otaknya.

Selain itu juga, mereka suka berbincang mengenai keagamaan, metafizik dan pengamatan luar biasa atau hal-hal mistik. Cikgu matematik mereka, Dikran Tahta, membantu mereka membina komputer daripada alat ganti jam, telefon lama, dan beberapa lagi komponen alat ganti kitar semula. Hawking tidak mahir dalam bersukan tetapi bagus dalam merentas desa.

Ayahnya memberi kesan yang agak penting sewaktu Hawking membesar walaupun selalu tiada di rumah dan terlepas percutian bersama untuk buat kerja lapangan di Afrika mahupun di di tempat lain. Ibunya pula tidak kurang memainkan peranan dalam pandangan politik. Hawking tidak terlalu ekstrem dalam pandangan politik, tetapi dia berat terhadap sayap-kiri.

Pada mulanya, Hawking bukanlah pelajar yang terlalu menyerlah. Pada tahun ketiga, Hawking telah dikenali sebagai pelajar yang pintar tetapi cuma tinggi sedikit daripada tinggi purata daripada kelas paling tinggi pada tahunnya.

Terinspirasi dengan guru matematiknya, Hawking memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang matematik walaupun ayahnya mahu dia mengambil perubatan. Ayahnya bimbang akan peluang kerjaya setelah Hawking menamatkan pengajian di universiti.

Ayah mahu saya mengambil bidang perubatan, tetapi saya merasakan biologi terlalu deskriptif dan tidak terlalu asas. Tetapi mungkin saya akan merasakan hal berbeza sekiranya saya menyedari tentang biologi molekul, yang ketika itu tidak terlalu dikenali ramai.”

Ayah Hawking mahu dia belajar di Oxford. Untuk mendapat tempat di Oxfod, ianya tidaklah mudah. Hawking menduduki peperiksaan kemasukan dan mengambil lima kertas yang diadakan selama dua hari dan temuduga.

Setiap kertas pula perlu diperuntukkan selama dua jam setengah untuk menjawabnya. Hawking mendapat keputusan yang sangat cemerlang pada peperiksaan itu. Hawking juga ditawarkan biasiswa untuk kemasukan pada bulan Oktober.

Oxford, Kebosanan dan Pendayung

Tahun pertama Oxford adalah masa yang agak sukar baginya. Tiada rakan rapat ketika St. Ablban bersama. Selain itu juga, kebanyakan pelajar baru pernah berkhidmat ketika Perang Dunia Kedua. Jadi, umur mereka agak tua berbanding Hawking.  Kerja yang diberikan pula tidak terlalu sukar untuk Hawking selesaikan, sama ada fizik mahupun matematik. Jadi, Hawking agak kesunyian dan bosan.

Hawking cuma hadir ke kelas matematik apabila tutornya sendiri mengakui yang fizik tahun satu cuma pengulangan fizik A-Level. Pernah sekali sewaktu kelas tutorial, tiada siapa di dalam kelasnya mampu untuk menyelesaikan masalah kecuali Hawking.

Tutornya ketika itu meminta Hawking untuk menunjukkan jalan kerjanya. Setelah melihat hasil kerja Hawking, dia sangat kagum dengan pembuktian toerem yang sukar dan memuji akan pencapaiannya.

Hawking kemudiannya kembali ke bilik dan meronyokkan kertas itu menjadi bola lalu membuangnya ke dalam tong sampah. Malah, ada suatu ketika rakan sekelasnya bertanya mengenai salah satu kerja yang mereka perlu siapkan. Hawking cuma membalas yang dia masih tidak mencuba soalan itu.

Rakannya menyuruh Hawking melakukan kerja itu kerana mereka bertiga sudah cuba menyelesaikan selama satu minggu dan cuma dapat menyiapkan satu sahaja. Pada hari yang sama, ketika pergi ke kelas tutorial bersama, mereka bertanya hawking kembali akan kerja tersebut. Hawking cuma menjawab yang dia hanya sempat menyelesaikan sembilan daripadanya.

Hawking menyimpan nota yang sedikit dan beberapa buku teks tertentu. Oleh kerana Hawking telah mempelajari sesuatu subjek terkedepan daripada piawaian ketika itu, hal ini menyebabkan dia tertekan dengan kebanyakan buku teks yang piawai (standard).

Pernah sekali Patrik Sandars, yang ketika itu merupakan felo junior penyelidik memberi beberapa kerja dan masalah untuk diselesaikan di dalam kelas. Tetapi Hawking gagal menyelesaikan masalah tersebut. Apabila ditanya kenapa tidak dapat menyelesaikan masalah itu, Hawking menghabiskan 20 minit untuk menunjukkan kesilapan di dalam buku teks.

Walaupun dia menunjukkan sikap yang tidak acuh dalam akademic, Hawking memastikan hubungan baik dengan tutornya seperti Dr. Berman. Hawking selalu minum teh bersama di rumah Dr. Berman di Banbury Road. Hawking selalu datang awal untuk meminum teh bersama dan selalu meminta nasihat untuk cadangan buku teks dan rujukan fizik.

Hawking pernah memasuki pertandingan fizik di universiti dan memenanginya dengan mudah. Dia menerima token buku Blakwell sebanyak £50.

Pada tahun kedua, segalanya berubah apabila Hawking menyertai University College Boat Club sebagai pendayung. Untuk menjadi pendayung, komitmen dan semangat yang kental diperlukan kerana perlu bersedia sama ada hujan atau salji, memecahkan ais ketika musim sejuk yang mencengkam dan berpeluh dengan kehangatan musim panas.

Bagi Hawking, ini adalah jalan yang terbaik untuk mengisi rasa kesunyian, keseorangan, dan kebosanan. Hawking mengatakan yang dia cuma belajar dalam 1000 jam ketika di Oxford. Sangat kurang jika dibandingkan purata sebanyak 157680 jam untuk tiga tahun. Atau kurang satu jam dalam seminggu.

Ini menyebabkan dia menghadapi kesukaran untuk menjawab soalan peperiksaan. Hawking lebih suka menjawab soalan teori daripada soalan fakta.

Hawking bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kosmologi di Cambridge. Syarat kemasukan di sana adalah dia perlu mendapatkan ijazah kelas pertama. Pada periksaan akhir, Hawking tidak dapat tidur dan mendapat keputusan yang pertengahan antara kelas satu dan kelas kedua. Maka, peperiksaan viva (peperiksaan oral) diperlukan. Hawking akhirnya bergraduasi dalam kelas pertama.

Ijazah Kedotoran dan Doktor

Setelah menamatkan pengembaraan ke Iran, Hawking mula menyambung pengajian di Trinity Hall, Cambridge pada oktober 1962. Pada waktu itu, Hawking mempunyai dua pilihan untuk ijazah kedoktoran iaitu dalam bidang zarah asas atau kosmologi.

Saya fikirkan waktu itu zarah asas tidak menarik, kerana mereka ketika itu menjumpai banyak zarah asas baru, dan tiada teori yang khas untuk zarah asas. Apa yang mereka lakukan adalah menyusun zarah dalam keluarga tertentu, sama seperti ahli botani. Di dalam kosmologi, kita ada teori yang jelas, iaitu Teori Kerelatifan Umum Einstein.”

Hawking memilih Cambridge kerana Oxford tidak menawarkan bidang kosmologi. Selain itu, sebab utama Hawking ke sana adalah dia mahu belajar di bawah Fred Hoyle, saintis ternama dalam bindang kosmologi.

Tetapi apabila di sana, Hawking diletakkan di bawah Dennis Sciama, nama yang Hawking tak pernah dengar. Pada mulanya, peristiwa ini bagaikan malapetaka baginya, tetapi Hawking menyedari Sciama merupakan penyelia yang lebih baik kerana Hoyle selalu melakukan perjalanan ke luar negara dan pastinya akan mempunyai masa yang sikit untuk memainkan peranan sebagai mentor.

Hawking mendapati yang Sciama juga merupakan saintis yang baik dan memberi bantuan yang sangat hebat. Serta yang paling penting adalah dia selalu ada untuk Hawking mendapatkan nasihat.

Tahun pertama penyelidikan tidaklah terlalu baik bagi Hawking kerana marasakan matematiknya tidak cukup tinggi dan bergelut dengan pengiraan kompleks yang melibatkan teori kerelatifan. Hawking juga masih dalam mood malas dan pencarian bahan penyelidikannya semakin mendesak.

Sciama pernah berkata, walaupun Hawking sangat cerdik, tetapi dia mempunyai masalah untuk mencari masalah penyelidikan untuk belajar. Ini kerana bidang penyelidikan relativity adalah terlalu baru dan luar biasa, dan ini adalah masalah yang sukar untuk dicari.

Sewaktu Hawking pulang ke rumahnya di St. Albans untuk cuti krismas, dia mendapati sesuatu yang tidak kena kerana menghadapi ketakutan yang aneh secara kerap. Sciama menyedari Hawking kadangkala mempunyai masalah untuk bertutur, tetapi ianya cuma sekejap dan Sciama menganggap ianya tiada apa-apa ketika itu.

Tetapi apabila Hawking sampai di rumah, ayahnya yang pakar dalam penyelidikan perubatan menyedari sesuatu yang tidak kena kepada anaknya. Pada mulanya ayahnya mengesyaki jangkitan sewaktu di timur tengah.

Tetapi dia membawa ke pakar untuk mengesahkan dan melakukan penyiasatan lanjut. Micheal Church mengingati yang Hawking mempunyai masalah untuk menuang air ke dalam gelas. Air banyak tumpah ke meja dan hanya sedikit ke dalam gelas.

Hawking perlu kembali ke Cambridge pada awal tahun bulan Januari, tetapi dia ke hospital untuk menjalani beberapa siri penyiasatan.

Mereka ambil sampel otot dari lengan saya, meletakkan elektron ke dalam badan saya, menyuntik cecair radio ke dalam tulang belakang, dan melihat dari atas ke bawah gambar sinaran-X, dan terikat di katil.

Mereka tidak memberitahu masalah yang saya hadapi, dan berharap ianya bukan sklerosis berbilang. Tetapi keadaan semakin teruk dan tiada apa yang dapat mereka lakukan selain memberikan vitamin.

Saya tahu mereka tidak berharap ianya memberikan sebarang kesan yang positif dengan vitamin itu. Saya pun tidak rasa untuk bertanya maklumat lebih lanjut secara mendalam kerana sangat jelas yang sakit saya semakin teruk.

Para doktor ketika itu menasihatkan Hawking untuk pulang ke Cambridge dan menyambung penyelidikannya. Ya, sudah tentu yang ianya sangat mudah berkata daripada melakukannya.

Hawking pulang ke Cambridge sementara menunggu keputusan ujian kesihatannya. Kemudiannya, Hawking telah disahkan menghidapi masalah sklerosis lateral amiotrofik (ALS) atau penyakit motor neuron.

Penyakit itu memberi kesan kepada saraf tunjang dan bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap fungsi motor. Sel akan secara perlahan-lahan merosot dan menyebabkan lumpuh. Badan Hawking tidak dapat berfungsi dengan baik, tetapi otaknya masih berfungsi dengan baik.

Namun, ianya seakan ironi apabila dia adalah ahli fizik teori, dan alat yang diperlukan cumalah otaknya. Dan inilah yang berlaku apabila badannya tidak lagi berfungsi, tetapi otaknya masih berfungsi. Bayangkan sekiranya dia adalah ahli fizik eskperimental, sudah pasti kariernya sudah berakhir.

Dari Lubang Hitam kepada Letupan Agung (Teori Letupan Besar)

Sciama memberikan Hawking semangat untuk kembali melakukan penyelidikan. Walaupun Hawking mempunyai masalah untuk berjalan, dia masih mampu betutur dengan baik. Hawking mula membina reputasi apabila secara terbuka mencabar hasil kerja Fred Hoyle dan pelajarnya sewaktu syarahan pada Jun 1964.

Salah satu teori yang menyebabkan perdebatan hebat dalam komuniti fizik mengenai penciptaan alam semesta. Terinspirasi dengan hasil kerja Roger Penrose iaitu kajian meramalkan terdapat singulariti di tengah lubang hitam, Hawking mencadangkan idea yang sama kepada penciptaan alam semesta.

20 tahun sebelumnya, kebanyakannya penyelidik menggunakan rumus Einstein untuk menjelaskan lengkungan ruang masa. Selain itu juga, rumus Einstein mengatakan dunia ini tidak statik, sama ada berkembang atau mengecut. Pemerhatian menunjukkan dunia ini berkembang.

Jadi, bagaimana jika diputarkan waktu dan kepada 15 billion tahun yang lalu? Bagaimana rumus Einsten menyatakan hal ini?

Dengan meletakkan parameter alam semesta ini berada dalam keadaan jisim yang tidak terhingga sehingga graviti dan ruang-waktu menjadi satu. Ini adalah keadaan sebelum letupan besar (big bang) meledak. Keadaan ini dinamakan sebagai ‘singulariti’ atau ‘ketunggalan’.

Pada tahun 1965 M, Hawking menulis tesis bertajuk ‘Properties of Expanding Universe’. Tesis tersebut diterima pada tahun 1966 M dan lulus dengan cemerlang. Kemudian, Hawking menulis esei mengenai singulariti dan geometri ruang-masa bersama Penrose lalu memenangi hadiah berprestij, Adam Prize.

Pertengahan tahun 60-an merupakan tahun yang penting bagi Hawking. Hawking bertunang dengan Jane dan menyedari dia perlu mencari kerja. Setelah menamatkan pengajian ijazah kedoktoran, keadaan meruncing apabila Hawking semakin sakit dan tidak dapat menulis dengan baik.

Hawking meminta tunangnya menulis surat permohonan untuk menjadi felo fizik teori di Kolej Caius, Cambridge. Tetapi tunangnya patah tangan kerana kemalangan.

Jadi, mereka meminta rakannya untuk menuliskan permohonan itu. Namun sesuatu berlaku apabila surat permohonan itu memerlukan dua rujukan. Rujukan pertama sudah tentu penyelia Hawking, Sciama. Tetapi Hawking perlu mencari perujuk kedua. Hawking memilih Hermann Bondi kerana pernah berkomunikasi berkenaan jurnal di Royal Society. Hawking tidak mengetahui hal ini akan memberikan kesan yang buruk.

Saya meminta dia menjadi rujukan selepas dia memberikan syarahan di Cambridge. Dia melihat saya dalam keadaan samar lalu mengatakan ya. Tetapi pastinya dia tidak mengingati saya, kerana apabila kolej menghubungi dia untuk menulis surat rujukan, dia mengatakan tidak mengenali siapa saya.

Keadaan ini amat memalukan, tetapi autoriti di Kolej Caius amat bertoleransi dan menghubungai Hawking akan hal ini. Sciama datang menyelamatkan keadaan apabila mengingatkan Bondi mengenai penyelidik muda yang berbakat. Bondi kemudiannya memberikan surat rujukan dengan pujian yang hebat, berkemungkinan yang paling baik yang dia pernah tulis.

Hawking kemudiannya diterima sebagai felo di Kolej Gonville dan Caius. Jane dan Hawking berkahwin di Trinity Hall, kolej Hawking sewaktu menjadi pelajar ijazah tinggi. Ianya bukan perkahwinan tipikal ‘akademia’, tetapi lebih kepada majlis yang biasa kepada orang kebanyakan.

Muzik yang Menggerakkan Bintang dan Mengembara ke Infiniti

Pada tahun pertama perkahwinan mereka, Jane tinggal di London setelah dia menamatkan ijazah sarjana muda. Mereka mampunyai masalah untuk mencari rumah kerana Hawking tidak boleh duduk jauh daripada Department of Applied Mathematics and Theoretical Physics, Cambridge.

Jane menyambung Ph.D dan anak mereka, Robert lahir pada tahun 1967 M. Secara keseluruhannya, mereka mempunyai 3 orang anak. Lucy lahir pada tahun 1970 M, dan Timothy pula lahir pada april 1979 M.

Hawking jarang berkata tentang sakitnya dan cabaran fizikal dengan isterinya. Oleh kerana sakit Hawking semakin teruk dan dia tidak dapat langsung membantu kerja rumah, segala tanggungjawab kerja rumah diletakkan sepenuhnya pada Jane.

Sewaktu lantikan di Carlifonia, Jane mengusulkan agar pelajar ijazah tinggi atau pasca kedoktoran untuk membantu Hawking. Dan Bernar Carr adalah orang pertama mengisi jawatan itu. Hawking kembali ke Cambridge untuk rumah baru dan jawatan baru.

Don Page yang dikenali ketika di CalTech datang dan menjadi pelajar ijazah tinggi. Dengan bantuan Page, tanggungjawab Jane berkurangan dan Jane dapat menumpukan perhatian pada tesisnya.

Pada December 1977 M, Jane bertemu dengan Jonathan Hellyer Jones sewaktu menyanyi di Gereja bersama dengan kumpulan koir yang lain. Hubungan mereka semakin rapat pada pertengahan 80-an.

Hawking menerima situasi itu asalkan Jane terus mencintainya. Jane dan Hellyer tidak mahu memisahkan keluarga itu dan hubungan mereka kekal sebagai perhubungan bersifat platonik buat tempoh yang agak lama.

Kemudian pada penghujung 80-an, Hawking mula rapat dengan salah seorang jururawatnya, Elaine Mason. Hawking mengatakan kepada Jane yang dia mahu meninggalkan Jane dan berkahwin dengan Elaine Mason.

Pada februari 1990 M, mereka berpisah. Pada tahun 1995 M, mereka bercerai secara sah dan Hawking berkahwin dengan Elaine Mason pada bulan September. Pada tahun 1999 M, Jane menerbitkan buku memoir bertajuk ‘Music to Move the Stars’ yang menceritakan tentang hubungan rumah tangganya dengan Hawking.

Hawking mengatakan kepada media yang dia tiada apa-apa komen kerana tidak akan membaca biografi tentang dirinya. Perkahwinan Mason kekal sehingga tahun 2006 M, dan Hawking mula kembali rapat dengan Jane, anaknya dan cucunya.

Gembira dengan keadaan itu, Jane menulis versi baru memoir mereka yang bertajuk ‘Travelling to Infinity: My Life with Stephen’ pada tahun 2007 M dan ianya dijadikan filem pada tahun 2014 bertajuk ‘The Theory of Everything’.

Singulariti

Hawking bersama dengan Penrose berkolaborasi bagi kajian lanjut berkenaan konsep teorem singualri daripada tesis Hawking. Ini bukan sahaja berkenaan tentang singulariti, tetapi bukti kepada alam semesta ini bermula daripada titik ketunggalan atau singulariti.

Selain itu, Hawking juga mempostulat fenomena ufuk peristiwa lubang hitam tidak boleh menjadi kecil yang kini dikenali sebagai hukum kedua dinamik lubang hitam. Bersama dengan Jacob, mereka mengusulkan empat hukum dinamik lubang hitam, dan mengaitkan dengan termodinamik.

Hawking juga mula menceburkan diri dalam bidang graviti kuantum dan mekanik kuantum. Dia mengusulkan lubang hitam memancarkan radiasi (yang kini dikenali sebagai radiasi Hawking) sehingga lubang hitam itu lenyap apabila kehabisan tenaga.

Walaupun pada mulanya idea itu sangat kontroversi, tetapi akhirnya ianya mula diterima ramai dan dianggap sebagai penemuan penting dalam fizik teori.

Pada tahun 1970 M, Hawking memberi syarahan perdana. Pada tahun yang sama juga, Hawking mula mengubah transisi dalam pendekatan terhadap fizik teori. Hawking lebih kepada intuitif dan spekulasi berbanding dengan rigid dengan bukti matematik.

Pada tahun 1981 M, Hawking mengusulkan yang maklumat di dalam lubang hitam akan musnak sekiranya lubang hitam hilang. Ini sebenarnya agak radikal dan melanggar prinsip mekanik kuantum sebab maklumat tidak boleh hancur atau dimusnahkan.

Hawking mula memulakan garis baru bagi penyelidikan teori kuantum ke dalam asal-usul alam semesta. Di Vatican, Hawking mengatakan kemungkinan alam semesta ini tiada sempadan, dimana tiada permulaan mahupun pengakhiran.

Hawking bekerjasama dengan Jim Hartle menerbitkan model baru yang dikenali sebagai Hartle-Hawking State. Konsep singulariti sebelum letupan besar (big bang) digantikan dengan konsep rantau seakan dengan kutub utara yang tiada siapa boleh pergi ke sana, tetapi tiada sempadan di sana. Ini memberi kepada implikasi tentang kewujudan Tuhan.

Jika alam semesta ini tidak mempunyai sempadan, maka Tuhan juga tidak mempunyai kebebasan untuk menentukan bagaimana alam semesta ini bermula.

Hawking tidaklah terus menolak peranan Tuhan. Dalam buku terkenalnya, ‘A Brief History of Time’ menyatakan kewujudan Tuhan tidak penting dalam menjelaskan permulaan alam semesta.

Salah satu lagi hasil kajian terkenal Hawking adalah berkenaan idea tentang anak panah masa. Jika teori ketiadaan sempadan itu benar, masa akan kembali ke belakang apabila alam semesta berhenti mengembang dan kemudiannya musnah.

Hawking juga secara terbuka mahu tanda dagangan ke atas namanya bagi mengelakkan namanya disalah guna untuk keuntungan. Selain Hawking, J.K Rowling, David Beckam, dan Brion Cox juga melakukan hal sama.

Tindakan Hawking ini baik sebenarnya apabila baru-baru ini syarikat Apple gagal menghalang sebuah syarikat ditubuhkan menggunakan nama Steve Job, dan terdapat kesan gigitan pada huruf J seakan dengan logo Apple.

 

Previous articleRevolusi-Revolusi Menggulingkan Dinasti Qing
Next articlePika – Bukan Pikachu
Zamir Mohyedin sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang fizik. Telah menerbitkan karya-karya fizik, sejarah dan falsafah. Selain dalam penyelidikan, beliau juga terlibat dalam penulisan, penterjemahan dan penyuntingan manuskrip. Berminat dalam bidang sains, falsafah, sejarah dan psikologi.
SHARE