Ada orang kata stateless state atau monopoli ini hanya berlaku dalam dunia fiksyen semata-mata. Terlalu banyak contoh fiksyen bagi stateless state ini. Dari Serrano Genomics (Ghost in the Shell: Stand Alone Complex) hingga Atlas Corporation (Call of Duty: Advance Warfare), ia memaparkan realiti di mana syarikat menguasai sesebuah bidang atau sistem sehingga manusia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mereka untuk menampung keperluan seharian. Tetapi siapa sangka, melalui serangan virus ‘WannaCry’ ke atas sistem komputer di serata dunia, mendedahkan kewujudan stateless state di dunia sebenar iaitu Microsoft. Dan Microsoft bukan satu-satunya stateless state yang wujud, stateless state sudah direkodkan kewujudannya dalam sejarah.

Ramai ingin tahu bagaimana kita biarkan stateless state ini muncul. Jawapannya boleh dilihat bagaimana mereka muncul terlebih dahulu. Stateless state, sama seperti syarikat-syarikat lain, mereka juga bermula dari bawah. Cuma apa yang membezakan mereka dengan syarikat-syarikat lain ialah mereka amat berinovasi dalam memperkenalkan produk mereka kepada para pengguna di luar sana dan mengedarkan produk mereka kepada orang ramai dengan lebih pantas. Mereka memanfaatkan dan menambahbaik infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan pemasaran dan penjualan produk mereka serta menunjukkan kualiti produk lebih baik berbanding produk yang ditawarkan pesaing-pesaing mereka.

Dan ini yang dilakukan oleh John D. Rockefeller yang menjadikan beliau antara individu paling berkuasa di Amerika Syarikat pada akhir abad ke-19. Rockefeller memeterai perjanjian dengan Cornelius Vanderbilt untuk mengedarkan minyaknya kepada pengguna melalui jaringan landasan keretapi yang dikawal Vanderbilt. Dan bila Rockefeller sedar jaringan tersebut sudah tidak berkesan untuk menyalurkan minyak kepada pengguna, beliau berinovasi dengan membina saluran paip minyak di seluruh negara bagi memastikan minyak Standard Oil sampai kepada pengguna. Hasilnya, ia meningkatkan pendapatan Standard Oil berlipat kali ganda dan menjadikan beliau antara individu terkaya di dunia pada ketika itu.

Stateless state tidak saja berminat menjual produk yang mereka tawarkan kepada pengguna, mereka mahu mengawal sepenuhnya sesebuah pasaran walau dengan apa cara sekalipun. Pada mereka, kewujudan pesaing-pesaing dalam pasaran bukan saja mengurangkan margin keuntungan mereka malah boleh menyebabkan pesaing-pesaing ini mengeluarkan produk jauh lebih baik dari apa yang mereka tawarkan. Prospek sebegini amat menakutkan kepada mereka kerana jika perkara tersebut dibenarkan berlaku, mereka akan kalah dan terpaksa berpuas hati dengan status quo yang ditetapkan. Makanya, stateless state akan melakukan apa saja untuk menang.

Figure 1: Pengaruh Standard Oil sebagai stateless state amat menakutkan. Sumber dari http://mabloom77.blogspot.my/2013/02/model-market-and-monopoly.html

Dan sejarah ialah saksi kepada kegelojohan dan ketamakan taikun-taikun ini dalam mengekalkan hegemoni mereka di pasaran. Bagi memastikan minyak Standard Oil terus jadi pilihan pengguna, Rockefeller membeli syarikat-syarikat dan loji memproses minyak dengan harga lumayan dengan tujuan menutup terus pintu persaingan dan mengekalkan penguasaan Standard Oil dalam pasaran minyak. Andrew Carnegie turut melakukan perkara sama, cuma beliau bersikap lebih radikal dengan menutup terus sesetengah kilang besi yang dibelinya. Bagi Carnegie, bila beliau berbuat demikian, beliau sebenarnya menambah bilangan pekerja di kilang-kilang yang dimiliki beliau dan menunjukkan dominasi syarikatnya, US Steel dalam pasaran besi dan keluli.

Ada orang kata, stateless state ini seharusnya dialu-alukan kehadiran mereka kerana mereka menjadikan dunia lebih baik untuk manusiawi sejagat. Tetapi ada harga bagi kehadiran mereka iaitu mereka juga ada hak dalam menentukan apa yang terbaik kepada mereka walaupun ia beri kesan buruk kepada rakyat. Bagi stateless state, keuntungan syarikat jauh lebih penting daripada kepentingan orang ramai sebab pada mereka, keuntungan sebegini yang menggerakkan operasi syarikat dan menyuntik lebih banyak dana kepada ekonomi negara. Atas sebab itu, mereka boleh saja lakukan apa saja atas nama keuntungan walaupun ia membenihkan benih penindasan dan tirani ke atas orang biasa. Akibatnya, ramai akan bangkit menentang seperti peristiwa Homestead Strike pada 1892. Walaupun peristiwa tersebut membantu syarikat menamatkan pengaruh kesatuan pekerja tetapi ia juga memberi imej buruk kepada taikun-taikun stateless state ini.

Stateless state ini juga tidak segan-silu melobi dan mempengaruhi pemerintah. Ini satu norma yang berlaku di mana saja. Tujuan mereka melobi ialah dengan memastikan dasar yang digubal atau pemerintah yang dipilih berterusan memihak kepada mereka. Ini sekaligus dapat memastikan mereka mengekalkan margin keuntungan dan mengekalkan dominasi mereka dalam pasaran. Dan ini apa yang dilakukan oleh Carnegie, Rockefeller dan J.P Morgan dengan menyokong kempen William McKinley sebagai presiden dan meletakkan Teddy Roosevelt sebagai naib presiden. Walaupun mereka merupakan seteru dalam dunia perniagaan, mereka sedia bekerjasama sementara demi memastikan dominasi mereka dalam bidang yang mereka diceburi tidak dihakis. Dan trend ini diteruskan sehingga sekarang walaupun ia mengundang kemarahan ramai dari aktivis hingga orang ramai yang bimbang integriti pemerintah terjejas kerana terlalu mengikut kehendak stateless state.

Dan satu perkara paling menakutkan berkenaan stateless state ini ialah apabila mereka tumbang atau tidak berkemampuan menangani ancaman, pengguna tidak lagi ada akses atau perlindungan yang ditawarkan. Senario ini bukan lagi satu teori tetapi berlaku di depan mata sendiri melalui serangan ‘WannaCry’ ke atas sistem komputer seluruh dunia. Mungkin ada yang akan berhujah, ini serangan senjata baru oleh negara-negara berbahaya tetapi bagi saya, ia sebenarnya mendedahkan secara tidak langsung bahaya monopoli ini. Monopoli sebegini yang menyebabkan manusia tiada alternatif selain menggunakan produk yang ditawarkan di pasaran dan terpaksa bergantung sepenuhnya tanpa ada pelan sokongan atau produk alternatif untuk menggantikannya. Dan bila masalah timbul dan stateless state gagal bertindak sebaik mungkin menanganinya, pengguna dihimpit dengan pelbagai isu seperti tiada akses kepada maklumat dan kerugian transaksi.

Stateless state, apakah ia masih wujud pada masa akan datang? Jawapannya boleh dilihat pada sejarah itu sendiri. Selagi mana ada kelompangan dalam sistem yang membenarkan ia wujud, selagi itulah ia sentiasa akan muncul dalam bentuk baru. Ia takkan pergi begitu saja melainkan manusia sedar bahawa monopoli, walau sehebat mana empayar dibina, walau sebanyak mana wang yang diraih, bila mana ia jadi ancaman atau Achilles’ heel, patut dihapuskan dari muka bumi. Terlalu banyak keburukan yang muncul berbanding kebaikan yang ditawarkan oleh stateless state ini. Tetapi manusia takkan sedar sehingga ia kembali menghantui mereka. Benarlah kata George Santayana, “Mereka yang gagal mempelajari sejarah akan mengulanginya semula.” Dan manusia akan menerima padah pada akhirnya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

1 Comment

Reply To Faris Maju Cancel Reply