Starbuck: Sebuah Bentuk Penjajahan Budaya?

0
848
views

“Caffè macchiato, hot, Venti, please”.

Tiap kali korang order kopi kat Starbucks seperti di atas, tanpa disedari korang dah sebut tiga perkataan Bahasa Itali: caffè, macchiato, venti. Venti bermaksud “20”, merujuk kepada saiz cawan 20 auns (591 ml). So sebenarnya amat annoying bila barista Starbucks menjerit perkataan-perkataan tersebut dalam fake American accent. Tak kena beb.

Walaupun bunyi Italiano, namun Starbucks kena tunggu sampai 6 September 2018 baru dapat buka cawangan pertamanya di Itali bertempat di Piazza Cordusio, Milan. Sejak Starbucks ditubuhkan pada 1971, orang Itali menentang kemasukan Starbucks kerana menganggap ia satu penghinaan kepada budaya Itali: caffè latte, caffè macchiato, espresso, hatta Americano ni semuanya berasal dari Itali. Ada ke patut orang Amerika nak mempakej semula dan jual balik pada orang Itali pada harga yang lebih tinggi?

Tapi tak tau sihir apa yang Howard Schultz (CEO Starbucks) pakai, pada tahun 2016 Itali akhirnya membenarkan kemasukan Starbucks. Schultz pun menghormati budaya setempat. Design kedai ikut stail caffè bar di Itali. Logo langsuir warna hijau pun tak kelihatan secara terang-terangan.

Kemasukan Starbucks ke Itali sekali lagi mencetuskan debat tentang “cultural imperialism”. Dalam kajian hubungan antarabangsa, terma cultural imperialism bermaksud dominasi budaya sesebuah negara ke atas negara lain, atau senang kata “penjajahan budaya”.

Waqaf Saham

Fenomena cultural imperialism telah diperdebatkan sejak 1990-an, di mana ada pendapat yang mengatakan “globalisasi” sebenarnya ialah “Amerikanisasi”. Produk-produk Amerika seperti McD misalnya, telah disebarkan ke seluruh dunia sehingga mendominasi gaya hidup manusia di luar Amerika.

Antara buku yang mengupas tentang subjek ini ialah “Jihad vs. McWorld” oleh Benjamin Barber (1995). Thomas Friedman (mamat ni pro-globalisasi) pula mengemukakan teori “Golden Arches Theory of Conflict Prevention” pada tahun 1999 yang mengatakan perang tidak akan berlaku antara dua negara yang ada McD (Golden Arches merujuk kepada logo McD). Macam logik juga, tengok negara-negara yang bergolak hari ini: Syria, Yaman, Korea Utara, Afghanistan. Semua tak ada McD.

Itu bukan bermaksud McD tu boleh menjadikan orang “peace-loving”. Cuma adanya McD bermaksud negara itu dah dintegrasi ke dalam sistem dunia kapitalis (capitalist world-system). Jadi kapitalis global akan cuba sedaya (secara melobi) untuk mengelakkan peperangan yang akan menjejaskan untung.

Masalah dengan “cultural imperialism” ini ialah: dengan dana mereka yang besar, syarikat-syarikat gergasi berpotensi untuk menyingkirkan pesaing tempatan yang sebenarnya membawa budaya setempat yang asli. Jadi ramai duk risau caffè bar kecil-kecilan tak dapat bersaing dengan Starbucks. Tapi rasanya orang Itali pun tak ada teruja sangat dengan Starbucks sebab rasa kopi dia tak kena dengan tekak orang Itali.

Silap-silap jadi macam kes di Korea Selatan di mana Wal-Mart dan Carrefour terpaksa gulung tikar. Apa barang orang Korea nak shopping kat kedai Mat Saleh sedangkan kedai Korea banyak lagi.

Dan di Korea Selatan juga ada kedai Starbucks pertama dalam dunia di mana papan nama premisnya ditulis dalam tulisan tempatan. Pergi kat Insadong di Seoul, korang akan jumpa papan nama kedai Starbucks dalam tulisan Hangul (스타벅스커피), lain daripada yang lain. Itu merupakan hasil tuntutan penduduk setempat Insadong untuk melindungi lanskap kawasan Insadong (yang dikenali sebagai pusat budaya tradisional) daripada “dicemari” oleh budaya Amerika.

Cerita pasal Starbucks pun boleh jadi panjang lebar macam ni (sebenarnya cerita dia panjang lagi, boleh lanjut ke 50,000 patah perkataan). Itulah keindahan kajian hubungan antarabangsa.