Stanley Kubrick: Pemalsu Pendaratan Bulan?

0
1018
views

Sejak Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan pada tahun 1969, sudah wujud perdebatan sama ada ianya benar-benar berlaku atau itu satu pembohongan besar direka oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk menyeleweng duit rakyat. Ada yang terlalu terdesak membuktikan teori pendaratan di bulan satu pembohongan, cuba membuat dakwaan yang tidak masuk akal. Antara dakwaan yang amat terkenal di sebelah Barat ialah pengakuan pengarah filem terkenal, Stanley Kubrick bahawa beliau membantu memalsukan rakaman pendaratan di bulan sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1999.

Dakwaan ini berdasarkan pengakuan Kubrick yang dikatakan dirakam oleh seorang pembikin dokumentari bebas bernama T. Patrick Murray. Murray mendakwa menyimpan filem berkenaan selama 15 tahun sebelum mempunyai keberanian menyiarkan pengakuan berkenaan di akaun YouTube miliknya pada tahun 2015. Dalam video temubual tersebut, seorang lelaki bercermin mata dan berjambang yang dikatakan Kubrick menceritakan bagaimana beliau dihampiri oleh kerajaan Amerika Syarikat dan diminta memalsukan rakaman pendaratan Neil Armstrong dan Edwin Aldrin di bulan. ‘Kubrick’ berkata, “Saya telah melakukan satu penipuan besar terhadap rakyat Amerika Syarikat, di mana saya akan terangkan secara terperinci, membabitkan kerajaan Amerika Syarikat dan Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), bahawa pendaratan di bulan itu satu penipuan, SEMUA pendaratan di bulan adalah palsu dan sayalah orang yang memfilemkan semua itu.”

‘Kubrick’ mendakwa beliau dirasuah oleh pihak kerajaan dan menganggap hasil kerjanya itu merupakan satu mahakarya terhebat. Dan semua ini ada kaitan dengan kecemerlangan hasil kerjanya dalam filem 2001: A Space Odyssey. Beliau menambah, “2001 merupakan sesuatu yang dianggap hebat tetapi itu tidak bermakna memalsukan pendaratan di bulan itu tiak hebat. Tapi saya belajar banyak perkara daripada pembikinan filem 2001 dan itulah sebab bagaimana saya boleh terlibat dengan semua ini.”

Tetapi apabila ia ditayangkan kepada umum, sudah ramai yang meragui kesahihan video berkenaan. Bagi laman sesawang Snopes yang berkemahiran mengesan kisah-kisah yang dianggap dongengan atau palsu, tanda pertama ialah tarikh Murray mendapatkan akses terhadap Kubrick. Menerusi laman sesawang Shooting Kubrick, dia mendapat akses tanpa had dengan Kubrick pada Mei 1999, sesuatu yang dianggap mustahil kerana pengarah filem yang terkenal dengan filem Spartacus dan A Clockwork Orange meninggal dunia dua bulan sebelumnya.

Tambahan pula, satu rakaman yang tidak disunting mendapati ‘Kubrick’ yang ditemubual Murray sebenarnya seorang pelakon bernama ‘Tom’ dan pembikin dokumentari itu mengajarnya bagaimana menceritakan bahagian seterusnya pengakuannya itu. Atas sebab itu, balu mendiang, Christiane Kubrick melalui jurucakapnya menyelar video berkenaan sebagai satu pembohongan. Beliau menambah, “Temubual itu merupakan satu pembohongan, Stanley Kubrick tidak pernah ditemubual oleh T. Patrick Murray. Kebanyakan cerita yang dinyatakan diada-adakan, palsu dan tidak benar.”

Jadi siapa sebenarnya T. Patrick Murray ini? Berdasarkan maklumat pada laman sesawang IMDB, Murray bertanggungjawab menghasilkan sebuah dokumentari bertajuk The Last Game pada tahun 2002 yang mendapat sambutan bersifat suam-suam kuku. Dan sejak itu, beberapa dokumentari yang dibikin tidak mendapat sambutan langsung. Semakan pada saluran YouTubenya juga menunjukkan video yang ada dalam saluran berkenaan hanyalah potongan klip-klip video dan video muzik. Dan sehingga sekarang, si pembikin dokumentari ini juga tidak menyatakan niat sebenarnya di sebalik penyiaran temubual palsu itu. Sama ada ia benar-benar satu penipuan atau dokumentari yang bersifat satira dan sindiran, hanya empunya badan saja yang tahu. Yang pasti walaupun dengan kenyataan keras yang dikeluarkan Christiane, itu tidak menghalangnya meraih populariti segera dari video berkenaan.

Waqaf Saham

Selain filem dokumentari Murray ini, ada pula mendakwa bukti pemalsuan rakaman pendaratan di bulan yang dilakukan Kubrick dinyatakan secara rahsia dalam filemnya yang ditayangkan pada tahun 1980, The Shining. Melalui filem berkenaan, beliau dikatakan meluahkan rasa malu yang tidak terhingga kerana terlibat dalam skim penipuan berkenaan. Filem yang diadaptasi daripada novel Stephen King menunjukkan banyak petunjuk seperti baju sejuk Apollo 11, nombor bilik berhantu Hotel Overlook ialah 237 (rujukan kepada jarak bumi dengan bulan iaitu 237,000 kilometer) dan penampilan patung beruang yang dianggap simbol Kesatuan Soviet. Filem yang dianggap filem Amerika yang terbaik itu sebenarnya dikatakan menjadi kanvas Kubrik untuk meluahkan kekesalan yang tak terhingga atas pembabitannya itu. Ini ada disebut dalam filem dokumentari Rodney Ascher tahun 2013, Room 237.

Tetapi tidak semua bersetuju dengan interpretasi berkenaan. Antara individu yang menolak teori mengarut itu ialah anak mendiang sendiri, Vivian Kubrick. Vivian yang pernah bekerja bersama bapanya sebagai pelakon tambahan dalam beberapa filem turut mengarah di sebalik tabir filem The Shining. Dalam satu surat terbuka yang disiarkan di akaun Twitternya, Vivian menyifatkan bapanya itu berintegriti dari segi artistik dan tidak segan-silu menyatakan pendiriannya dalam isu politik dan sosial walaupun itu berpotensi mengancam nyawanya. Beliau turut menggelar Kubrick sebagai pelindung kemanusiaan dan menganggap mustahil bapanya sanggup melakukan perkara terkutuk itu. Vivian turut menyelar individu yang berterusan menyebarkan cerita berkenaan sebagai orang yang pelik dan tidak bertanggungjawab.

SUMBER

1. Cooper, Allison. (2015). HowStuffWorks.com. Was The Shining an apology for faking the moon landing. https://entertainment.howstuffworks.com/shining-apology-faking-moon-landing.htm

2. Evon, Dan. (2015). Snopes.com. FALSE: Stanley Kubrick Faked the Moon Landings. https://www.snopes.com/fact-check/false-stanley-kubrick-faked-moon-landings/

3. Hawkes, Rebecca. (2016). The Telegraph. Remember when Stanley Kubrick ‘faked the moon landings’? https://www.telegraph.co.uk/film/movie-news/stanley-kubrick-moon-landings-hoax-fake/

4. Beall, Abigail. (2016). Daily Mail. Stanley Kubrick’s daughter blasts moon landing conspiracy theories as a ‘grotesque lie’. http://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-3678605/Stanley-Kubrick-s-daughter-blasts-moon-landing-conspiracy-theories-grotesque-lie.html

Previous articleBetul Ke Selepas 1969, Tiada Manusia Sampai Ke Bulan?
Next articleFakta Menarik Apollo Dan Pendaratan Bulan
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE