Dalam sejarah dan penulisan manuskrip dan hikayat Melayu, kedudukan wanita Melayu pelbagai. Kebanyakan mereka menduduki kedudukan yang hebat dalam sejarah masyarakat Melayu. Artikel ini menyenaraikan sekurang-kurangnya 30 orang individu dan tokoh wanita yang hebat dalam sejarah, lagenda dan mitos bangsa Melayu.

1. Puteri Syahrul Bariyah (mitos)

Beliau diceritakan dalam Kitab Sulalatus-Salatin sebagai puteri Raja Kida Hindi yang dikahwinkan dengan Raja Iskandar dari Rom. Kitab Sulalatus-Salatin menceritakan perihalnya sebagai seorang wanita yang amat cantik parasnya, selain seorang yang bijaksana dan baik akhlaknya. Daripada keturunan mereka berdualah lahirnya keturunan Raja-Raja Melayu.

2. Sitti Malangkik (Sejarah / mitos)

Beliau diceritakan dalam Kitab Tuhfat al-Nafis sebagai seorang Ratu Bugis dan ibu segala keturunan Raja-Raja Bugis. Tuhfat al-Nafis juga menyebut dakwaan bahawa Ratu Bugis tersebut bersusur galur daripada keturunan Ratu Balqis pada zaman Nabi Sulaiman. Daripada keturunan Ratu Bugis ini jugalah lahirnya nenek moyang kelima-lima orang putera Bugis bersaudara yang mengasaskan Dinasti Yang Dipertuan Muda Bugis dalam Kesultanan Johor.

3. Fatimah binti Maimun (Sejarah)

Beliau dipercayai seorang pendakwah wanita Islam yang terawal di Kepulauan Jawa. Kuburnya yang terletak di Kota Gresik, Jawa Timur tercatat dalam bahasa Arab tulisan kaligrafi Kufi bahawa beliau dikuburkan pada tahun 475 Hijrah (1082 Masihi). Oleh itu, kuburnya bukan sahaja antara kubur Islam tertua yang masih wujud di Alam Melayu sehingga kini bahkan kuburnya juga menjadi petanda kedatangan awal agama Islam di Kepulauan Jawa.

4. Sultanah Nahrasiyah Rawangsa Khadiyu (Sejarah)

Baginda merupakan Sultanah dalam Kesultanan Samudera-Pasai yang memerintah sekitar awal abad ke-15. Baginda berketurunan Sultan Malikus Soleh, pengasas Kesultanan Samudera-Pasai.

5. Puteri Hang Li Po (Sejarah / mitos?)

Dalam Kitab Sulalatus-Salatin, beliau diceritakan sebagai puteri kepada Maharaja China yang dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah Melaka atas hubungan diplomatik.

6. Tun Kudu (sejarah)

Tun Kudu merupakan anak kepada Bendahara Seri Wak Raja, adik kepada Tun Perak dan juga permaisuri kepada Sultan Muzaffar Shah dalam Kesultanan Melaka. Dalam Kitab Sulalatus-Salatin, walaupun beliau diceraikan oleh Sultan Muzaffar Shah untuk dikahwinkan dengan seorang pembesarnya, Tun Ali, perkahwinan tersebut telah menyelesaikan konflik dalaman istana antara Tun Ali dengan Tun Perak. Ini kerana disebabkan Tun Ali dilantik sebagai Bendahara, Tun Perak telah menentang perlantikan tersebut. Walau bagaimanapun, selepas perkahwinan tersebut berlangsung, Tun Ali dengan rela menyerahkan kedudukannya sebagai Bendahara kepada abang iparnya, Tun Perak dan hubungan antara mereka berdua pulih kembali.

7. Tun Teja (Sejarah)

Tun Teja merupakan anak kepada Bendahara Pahang yang cantik rupa parasnya tetapi dipaksa berkahwin dengan Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka terakhir yang agak buruk reputasinya dalam Sejarah Melayu sebagai seorang “kaki perempuan.” Tun Teja diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah sebagai seorang bermaruah tinggi dan tidak gilakan harta dan pangkat.

8. Tun Fatimah (Sejarah)

Beliau merupakan anak kepada Bendahara Tun Mutahir yang juga sangat cantik paras rupanya tetapi beliau terpaksa berkahwin dengan Sultan Mahmud Melaka selepas ahli keluarganya dihukum bunuh termasuklah bapa dan suaminya kerana mereka difitnah oleh mereka yang ingin menggulingkan mereka selain dendam Sultan Mahmud kepada Tun Mutahir kerana tidak mengahwinkan anaknya dengan baginda. Kitab Sulalatus-Salatin menceritakan bahawa Tun Fatimah memberi syarat perjanjian kepada suaminya, Sultan Mahmud bahawa anak baginda yang dikandungnya itu nanti mestilah ditabalkan sebagai pewaris takhta baginda. Sultan Mahmud mengotakakan janji tersebut dengan menabalkan putera mereka, Raja Ali sebagai pewaris takhta baginda. Raja Ali inilah yang meneruskan legasi Kesultanan Melaka sebagai sultan pertama dalam Kesultanan Johor dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah II.

9. Puteri Gunung Ledang (lagenda)
Beliau juga adalah wanita kegilaan Sultan Mahmud Shah kerana khabar kecantikannya sehingga baginda mengutuskan utusan diraja untuk meminang puteri tersebut di Gunung Ledang. Kitab Sulalatus-Salatin menceritakan bahawa segala permintaan puteri tersebut yang pelik-pelik belaka dapat dipenuhi oleh Sultan Mahmud tetapi peminangan tersebut tidak dapat diteruskan disebabkan satu permintaan puteri tersebut tidak dapat dipenuhi oleh baginda iaitu darah putera baginda sendiri.

10. Paduka Cik Siti Wan Kembang (Sejarah)

Dalam Hikayat Seri Kelantan, baginda ialah seorang raja wanita yang pernah memerintah negeri Kelantan sekitar awal abad ke-17. Baginda merupakan puteri kepada Sultan Ahmad, pemerintah negeri Kelantan. Sepanjang pentadbirannya, negeri Kelantan telah berkembang maju dalam sektor pertanian dan juga perdagangan. Baginda gemar memelihara seekor kijang sehingga dijadikan gambar kijang terukir pada setiap mata wang negeri. Sehingga ke hari ini, kijang merupakan lambang kerajaan negeri Kelantan.

11. Puteri Saadong (Sejarah)

Baginda merupakan puteri kepada Raja Layor, Raja Jembal, dan juga anak angkat kepada Cik Siti Wan Kembang. Selepas kemangkatan Cik Siti Wan Kembang, baginda menaiki takhta daripada tahun 1667 sehingga tahun 1671. Baginda merupakan raja wanita terakhir yang pernah memerintah Kelantan. Baginda berkahwin dengan Raja Abdullah, Raja Jembal.

12-15. Ratu-Ratu Pelangi (Sejarah)

Dalam Kitab Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Ratu-Ratu Pelangi ialah empat orang ratu yang pernah memerintah Kerajaan Patani daripada tahun 1584 sehingga tahun 1649. Tiga orang daripada mereka ialah puteri-puteri kepada Sultan Patani, Sultan Bahadur Shah, manakala seorang lagi ialah puteri kepada salah seorang daripada mereka. Mereka digelar Ratu-Ratu Pelangi kerana nama mereka berdasarkan warna. Setelah kemangkatan Sultan Bahadur Shah, disebabkan ketiadaan waris putera, maka Kerajaan Patani mula diperintah oleh tiga orang puteri baginda. Puteri pertama yang menaiki takhta ialah kakanda mereka yang sulung iaitu Raja Hijau. Baginda merupakan seorang ratu yang adil dan bijaksana. Sepanjang pentadbirannya, negeri Patani begitu masyhur dengan kesesakan pelabuhannya yang dikunjungi oleh para pedagang daripada pelbagai negera termasuklah daripada Eropah dan Jepun selain menjalin hubungan diplomatik dengan mereka. Perebutan kuasa-kuasa besar Eropah ketika itu untuk berdagang di pelabuhan Patani begitu sengit sehingga berlakunya peperangan antara mereka. Setelah kemangkatan Raja Hijau, adindanya Raja Biru menggantikan takhtanya. Sepanjang pentadbiran baginda pula, negeri Patani amat maju dengan sistem pengairannya. Selepas kemangkatan Raja Biru, adindanya yang bongsu, Raja Ungu pula menggantikan takhtanya. Semasa pemerintahan baginda, serangan daripada Siam berjaya dipatahkan. Setelah kemangkatan Raja Ungu, puterinya, Raja Kuning menggantikan takhta bondanya sehinggalah kemangkatannya. Sepanjang pemerintahan Ratu-Ratu Pelangi, pertahanan Kerajaan Patani begitu ‘kebal’ daripada serangan musuh yang bertubi-tubi menyerang Patani terutamanya daripada Siam dan pada zaman pemerintahan mereka jugalah Kerajaan Melayu Patani mencapai zaman kegemilangannya.

16. Laksamana Keumalahayati (Sejarah)

Beliau merupakan satu-satunya wanita Melayu yang pernah memegang jawatan Laksamana dalam sejarah bangsa Melayu. Sepertimana yang kita ketahui, antara Laksamana yang masyhur dalam sejarah Tanah Melayu ialah Laksamana Hang Tuah dan Laksamana Tun Abdul Jamil. Antara tugas utama seorang Laksamana ialah bertanggungjawab menjaga pelabuhan dan sempadan lautan. Keumalahayati merupakan seorang Laksamana wanita dalam Kesultanan Aceh yang dilantik ketika zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah al-Mukammil sekitar akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18. Beliau sendiri berketurunan Sultan Aceh dan Laksamana Aceh. Ketika pentadbirannya, beliau berjaya memimpin pasukan tentera Aceh yang terdiri daripada wanita dan lelaki Aceh mengalahkan bala tentera Portugis dan Belanda daripada menguasai pelabuhan Aceh.

17-20. Sultanah-Sultanah Aceh (Sejarah)

Jika dalam sejarah Kerajaan Melayu Patani memiliki Ratu-Ratu Pelangi, dalam sejarah Kesultanan Melayu Aceh pula terdapat Sultanah-Sultanah Aceh. Mereka adalah empat orang sultanah yang pernah memerintah Kesultanan Aceh selama 58 tahun (1641-1699) secara berturut-turut. Semuanya bermula apabila kemangkatan Sultan Iskandar Muda Thani pada tahun 1641 tidak meninggalkan seorangpun zuriat. Oleh sebab itu, atas sokongan seorang ulama Aceh ketika itu iaitu Shaykh Nuruddin al-Raniri, maka puteri kepada Sultan Iskandar Muda yang juga permaisuri kepada Sultan Iskandar Muda Thani ditabalkan sebagai Sultanah Aceh dengan gelaran Sultanah Safiyatuddin Tajul Alam. Baginda seorang yang berpengetahuan luas kerana baginda memperoleh pendidikan daripada ulama-ulama Aceh di dalam istana sejak kecil dalam pelbagai bidang ilmu. Ketika pentadbirannya, baginda menumpukan kepada perkembangan bidang pendidikan, ekonomi, ketenteraan laut dan pengembangan agama Islam. Menurut Kitab Bustanus Salatin, baginda adalah seorang sultanah yang adil, dan Aceh sepanjang pemerintahannya aman dan makmur. Selepas kemangkatan baginda, baginda digantikan oleh Sultanah Naqiyatuddin Nurul Alam setalah ketiadaan seorangpun zuriat daripada sultanah sebelumnya. Ketika pentadbirannya, pentadbiran Aceh berpecah kepada 3 pusat pemerintahan autonomi yang dikenali sebagai Sagi. Selepas kemangkatannya, baginda digantikan oleh Sultanah Zaqiyatuddin Inayat Shah yang ditabalkan oleh ketiga-tiga ketua Sagi. Ketika pentadbirannya, selain kewujudan sistem pentadbiran Sagi, baginda telah membentuk satu majlis yang terdiri daripada 12 orang pegawai atau Orang Kaya untuk membantu pentadbirannya. Baginda kemudiannya digantikan pula oleh Sultanah Kamalat Zinatuddin Shah selepas kemangkatannya. Pada zaman pemerintahan baginda, pemerintahan Aceh mulai merudum disebabkan tentangan hebat daripada golongan yang mahukan pemerintahan kesultanan dikembalikan kepada kaum lelaki selain keluarnya fatwa dari Makkah ketika itu yang tidak menyokong pemerintahan wanita.

21. Mahsuri (Sejarah / lagenda)

Beliau merupakan seorang wanita yang terkenal dengan kecantikannya dan tinggi budi pekertinya yang tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya di Pulau Langkawi, Kedah. Beliau berkahwin dengan Wan Darus dan dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan Wan Hakim. Beliau dihukum bunuh oleh Penghulu Pulau Langkawi iaitu Dato’ Seri Pakerma Jaya Wan Yahya atas dakwaan bersekedudukan dengan lelaki asing ketika suaminya tiada di rumah akibat termakan fitnah dan hasutan isterinya sendiri. Semasa hukuman bunuh dijalankan, darah Mahsuri memancut berwarna putih menunjukkan bahawa beliau seorang yang benar dan suci. Sebelum mati, beliau bersumpah bahawa Pulau Langkawi akan sentiasa dalam keadaan huru-hara sehinggalah kelahiran keturunannya yang ketujuh. Anaknya, Wan Hakim berjaya diselamatkan dan dibawa oleh ayahnya keluar dari Pulau Langkawi. Sememangnya selepas kejadian tersebut, Pulau Langkawi sentiasa dilanda musibah bencana alam dan peperangan dipercayai keramat Mahsuri. Sekitar akhir tahun 1980-an, keturunan Mahsuri yang ketujuh, seorang budak perempuan dari Phuket, Thailand telah mendapat perhatian banyak media. Dikatakan peristiwa Mahsuri tersebut berlaku sekitar akhir abad ke-18.

22-23. Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang (lagenda)

Mereka berdua diceritakan dalam dalam kisah lisan masyarakat Sarawak sebagai dua orang puteri yang sangat jelita dari kayangan yang turun ke bumi untuk mengembalikan keamanan di negeri Pasir Kuning dan Pasir Putih yang berjiran. Pemerintahan mereka berdua menjadikan kedua-dua negeri bertambah maju. Malangnya, setelah beberapa lama, terjadi pertikaian saudara antara mereka yang menyebabkan peperangan sengit antara kedua-dua pihak. Oleh sebab itu, mereka berdua disumpah menjadi gunung dan kepulauan yang mana sehingga kini wujudnya Gunung Santubong dan Pulau Kera di Sarawak.

24. Dang Anum (Sejarah)

Dalam Kitab Tuhfat al-Nafis, diceritakan bahawa sebab kemangkatan Sultan Mahmud Shah II Johor ketika sedang dijulang adalah kerana dibunuh oleh salah seorang hulubalangnya yang bernama Megat Seri Rama. Ini kerana Sultan Mahmud telah berlaku zalim dengan membunuh isterinya, Dang Anum, yang sedang sarat mengandung kerana beliau mengidam dan memakan seulas nangka yang akan dipersembahkan kepada baginda tanpa izin baginda. Diceritakan bahawa ketika Dang Anum dihukum bunuh dengan dibelah perutnya, mereka melihat bayi dalam kandungan tersebut sedang memakan seulas nangka tersebut. Kemangkatan Sultan Mahmud tanpa meninggalkan seorangpun waris menyebabkan berpindahnya takhta pemerintahan Kesultanan Johor daripada keturunan Kesultanan Melaka kepada keturunan Bendahara Johor. Oleh itu, kematian Dang Anum merupakan titik tolak berlakunya suatu perubahan yang besar dalam politik Kesultanan Johor.

25. Puteri Kesumba (Sejarah)

Berdasarkan Kitab Tuhfat al-Nafis, beliau ialah pewaris takhta Kerajaan Mempawah dan juga puteri kepada Sultan Zainuddin, pemerintah Kesultanan Matan. Beliau memerintah Kerajaan Mempawah bersama suaminya, Opu Daeng Menambun iaitu salah seorang daripada lima orang putera Bugis bersaudara.

26. Raja Hamidah (Sejarah)

Beliau yang juga dikenali sebagai Engku Puteri adalah kerabat diraja Kesultanan Riau-Lingga yang berpengaruh kuat dalam sejarah kesultanan tersebut. Beliau adalah puteri kepada Yamtuan Muda keempat iaitu Raja Haji fisabilillah dan juga kakanda tiri kepada Yamtuan Muda keenam iaitu Raja Jaafar. Beliau juga merupakan permaisuri kepada Sultan Mahmud Shah III Johor. Beliau seorang yang berpengetahuan luas, amat prihatin dengan kerabatnya dan seorang yang berpengaruh kuat dalam istana Kesultanan Johor dan Riau-Lingga kerana beliau bertanggungjawab menjaga Regalia kebesaran diraja yang menjadi simbol kuasa sultan. Tindakan kakandanya Yamtuan Muda Raja Jaafar menabalkan Tengku Abdul Rahman sebagai pengganti takhta ayahandanya, Sultan Mahmud tidak dipersetujui oleh Raja Hamidah kerana anakanda tirinya itu masih mempunyai kakanda tiri iaitu Tengku Hussein yang lebih layak menaiki takhta. Raja Hamidah telah bertindak melarikan Regalia diraja dan mempertahankannya daripada pihak Belanda yang cuba memecahbelahkan kerajaan Johor. Walau bagaimanapun, regalia tersebut akhirnya berjaya dirampas secara kekerasan oleh pihak Belanda untuk meneruskan pertabalan Tengku Abdul Rahman sebagai sultan. Pertabalan Tengku Hussein oleh pihak British di Singapura sebagai Sultan Johor yang baharu menyebabkan empayar Kerajaan Johor berpecah dua iaitu Kesultanan Johor dan Kesultanan Riau-Lingga.

27. Tengku Embong Fatimah (Sejarah)

Dalam Kitab Tuhfat al-Nafis, beliau merupakan puteri kepada Sultan Mahmud Muzafar Shah IV Johor dan juga isteri kepada Yamtuan Muda Johor terakhir ialah Raja Muhammad Yusuf. Setelah kemangkatan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Sultan Riau-Lingga, baginda tidak meninggalkan seorangpun waris. Oleh sebab itu, Tengku Fatimah sebagai cucunda saudara Almarhum Sultan Sulaiman dilantik sebagai pemangku sultan sementara sebelum beliau menabalkan puteranya sendiri, Tengku Abdul Rahman ibni Raja Muhammad Yusuf sebagai Sultan Riau-Lingga dengan gelaran Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah.

28-30. Tiga orang wanita kerabat diraja Riau-Lingga (Sejarah)

Kesultanan Riau-Lingga melahirkan ramai cendikiawan dalam kalangan kerabat dirajanya seperti Raja Ali Haji. Dua orang puteri Raja Ali Haji iaitu Raja Safiyah dan Raja Kalthum serta adinda Raja Ali Haji iaitu Raja Saleha mereka bertiga merupakan penulis dan penyair. Antara karya penulisan syair yang mereka hasilkan seperti “Syair Kumbang Mengindera,” “Syair Saudagar Bodoh,” dan “Syair Abdul Muluk.”

Kesemua mereka adalah individu dan tokoh wanita yang masyhur dalam sejarah, lagenda dan mitos bangsa Melayu, bahkan mereka menjadi ikon sesuatu tempat dan sejarah. Mereka berperanan besar sebagai pemerintah yang ditaati, pembesar yang digeruni, bangsawan yang dihormati dan juga wanita biasa, ibu, isteri yang sentiasa memelihara kehormatan diri. Selain daripada memiliki rupa paras yang cantik, mereka juga disukai kerana kewarakan mereka, kebijaksanaan mereka, keberanian mereka dan sifat keperibadian mereka yang terpuji. Senarai di atas hanya menyebut sebahagian kecil sahaja wanita yang dirujuk daripada penulisan-penulisan manuskrip sejarah, lagenda dan mitos bangsa Melayu. Ramai lagi tidak dinyatakan dalam senarai di atas seperti Siti Zubaidah (Champa), Cut Nyak Dhien (Aceh), Tengku Tengah (Johor), Puteri Lindungan Bulan (Kedah) dan ramai lagi. Rujuk manuskrip Melayu dan penulisan-penulisan dalam senarai rujukan di bawah untuk mengetahui lebih ramai lagi tokoh-tokoh wanita dalam sejarah bangsa Melayu.

Walaupun dalam kisah mereka terdapat segelintir kecil yang dianiaya, tetapi penganiayaan mereka meninggalkan kesan yang besar terhadap perubahan politik kerajaan. Umpamanya Tun Kudu sanggup diceraikan oleh Sultan Muzafar Shah Melaka untuk dikahwinkan dengan Bendahara baginda menyebabkan konflik dalaman istana dalam kalangan pembesar dapat diselesaikan dengan cara baik. Tun Fatimah walaupun terpaksa berkahwin dengan Sultan Mahmud Melaka, namun tindakan protes beliau dengan menggugurkan kandungan setiap kali beliau hamil menyebabkan Sultan Mahmud berasa sangat menyesal dengan tindakannya. Selepas perjanjian bahawa putera baginda yang dikandungnya itu akan ditabalkan sebagai pewaris takhta baginda, maka baginda bersetuju dengan perjanjian tersebut dan Tun Fatimah tidak lagi menggugurkan kandungannya. Puteranya itu kemudiannya menjadi penyambung legasi Kesultanan Melaka yang musnah selepas itu dengan kebangkitan Kesultanan Johor di bawah pimpinannya. Pengorbanan Dang Anum dan Mahsuri sebagai wanita yang dianiaya sehingga menyebabkan berlakunya bencana alam yang luar biasa dan perubahan politik yang besar menandakan bahawa kematian mereka membawa pengaruh yang besar. Boleh jadi peristiwa-peristiwa ajaib dalam kisah mereka menandakan ‘karamah’ mereka sebagai seorang wanita yang suci tetapi dizalimi.

Kewibawaan kepimpinan Ratu-Ratu Pelangi, Cik Siti Wan Kembang, Sultanah-Sultanah Aceh dan Laksamana Keumalahayati dapat dilihat dengan kemajuan kerajaan masing-masing dalam hal keamanan, keselamatan, perdagangan, infrastruktur dan politik. Walaupun ketika pemerintahan sultanah-sultanah Aceh terdapat penentangan dalaman ketika itu berkenaan isu perlantikan wanita sebagai sultan, tetapi kita dapat lihat bahawa sepanjang hampir enam dekad Aceh di bawah pemerintahan keempat-empat sultanah tersebut, Aceh aman daripada ancaman-ancaman luar. Bukan semua rakyat Aceh menentang pemerintahan mereka, tetapi segolongan agamawan dan aristokrat yang mahukan pemerintahan dikembalikan kepada kaum lelaki. Bahkan, pemerintahan keempat-empat orang sultanah tersebut disokong oleh ulama seperti Shaykh Nuruddin al-Raniri dan Shaykh Abdul Rauf Singkel. Ketegasan Raja Hamidah pula dalam mempertahankan amanah dalam hal pemerintahan kerajaan amat dikagumi dalam sejarah.

Dakwaan sesetengah pihak terutamanya golongan feminis bahawa sepanjang sejarah bangsa Melayu kaum wanita sentiasa dipinggirkan dan ditindas adalah fitnah semata-mata. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapatnya beberapa kes sebegitu dalam sejarah Melayu seperti ketika zaman pemerintahan dua orang Sultan Mahmud iaitu Sultan Mahmud Melaka dan Sultan Mahmud II Johor, tetapi kedua-dua orang sultan tersebut secara umumnya diketahui umum mempunyai reputasi buruk dari segi akhlak mereka. Golongan ini cuma menonjolkan beberapa kes penindasan wanita dalam sejarah Melayu tetapi menyembunyikan banyak lagi penulisan sejarah, lagenda dan mitos masyarakat Melayu berkenaan kehebatan individu-individu dan tokoh-tokoh wanita dalam kisah-kisah tersebut.

Selain individu-individu wanita yang disebutkan di atas, terdapat juga etnik Melayu yang adatnya bersifat matrilineal. Etnik Melayu Minang sememangnya amat dikenali sebagai etnik Melayu yang masih mengamalkan Adat Pepatih iaitu kaum wanita mereka mendapat lebih keistimewaan berbanding kaum lelaki dari segi pemberatan keturunan dan pewarisan harta pusaka. Selain etnik Melayu Patani dan Aceh yang mempunyai ramai pemerintah daripada kalangan wanita dalam sejarah mereka, etnik Melayu Bugis di negeri-negeri Bugis di Sulawesi juga masih diperintah oleh raja-raja wanita sehingga abad ke-19. Benarlah kata-kata “Tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia!”

Senarai Rujukan:

Haryati Hasan, “Isu-Isu Wanita dalam Manuskrip Melayu Abad ke-15 Hingga Abad ke-18,” dalam Jurnal Perspektif, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Jil. 6, Bil. 1, 2014, hlm. 36-48.

Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu (edisi pelajar), diselenggara oleh A. Samad Ahmad, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2013.

Raja Ali Haji, diselia oleh Virginia Matheson Hooker, Tuhfat al-Nafis, Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998.

Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Bangi, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2005.

Andaya, B. W., “Gender, Islam and the Bugis Diaspora in Nineteenth and Twentieth-Century Riau,” dalam Sari, Vol. 21, ATMA, UKM, 2003.

Asna Husin, “Women and Shari’ah Law: Lessons from Aceh,” dalam Ar-Raniry, Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry: International Journal of Islamic Studies, Jil. 2, No. 2, Dec 2015.

Ita Shamtasiyah Ahyat, “Muslim Women in Past and Present Governmental Leadership: Case of Rulers of The Sultanate of Aceh and The Fifth President of The Republic of Indonesia,” dalam Journal of Education and Learning, Vol. 8, No. 4, 2014, hlm. 309-316.

Mehmet Ozay, “Women as Rulers Phenomenon in Southeast Asian Islamic Society: The Queens of Aceh,” dalam World Journal of Islamic History and Civilization, Jil. 1, Bil. 3, 2011, hlm. 142-151.

Ismail Hanapiah, Mahsuri, Langkawi, Kedah: Tasik Langgun Enterprise, 2003.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

3 Comments

  1. Penulis blog ini saya yakin orang mekayu keturunan bugis. Isinya bugis sentris. Tokoh dongeng siti malangkik disebut sejarah. Tokoh siti malangkik keturunan ratu balqis sama sekali tidak bisa di lacak dan di idenftifikasi. Sedangkan tokoh sarrul bafriyah dan iskandar disebut mitos. Padahal tokoh ini bisa di lacak dan bisa diidentifikasi dalam sejarah.
    Kemudian tokoh sejarah melayu wan Sundari dan wan sri beni dan raden ayu candra puri putei bintan tidak ditulis. Semua yg ditulis wanita keturunan bugis semua. Hang lipo putri cina permaisuri mansursah ada dalam sejarah disebut mitos. Dasar kamu bugis sentris. Semua orang bugis melayu dari bukit siguntang dan riau mana bos??????

  2. Tuhfah annafis ini banyak bohongnya juga. Sultan mahmud sah mangkat dijulang digambarkan sangat bejad dan sangat biadab.
    Digambarkan sebagai orang mandul, homo sex, kawin dengan kuntil anak, menyuruh cek pong istri sultan nahmud sah mangkat dijulang meminum air mani sperma sulta yang di pancarkan ke mulut cek pong sehingga mengandung raja kecik. Sungguh biadab dan keji pengarang tuhfah annafis ini. Mempitnah sultan. Belum lagi Sultan mahmud mangkat dijulang ini membunuh istri megat sri rama karena makan nangka sultan dengan membelah perut sungguh mustahil itu. Itu adalah fitnah agar megat sri rama mengamuk. Sekalipun istri megat srirama dihukum karena makan nangka sultan tentu tidak dibelah perutnya dan diinjak bayinya. Istri megat sri rama itu mati karena keguguran karena kwalat makan nangka sultan.
    Dasar tukang tipu kamu memburukkan reputasi sultan keturunan malaka.

Leave A Reply