Sr-71 Blackbird: Pesawat Pengintip Supersonik Ikonik

0
1081
views

Bagi peminat Call of Duty: Black Ops dan dunia penerbangan, pasti anda sudah biasa mendengar pesawat perisikan paling laju di dunia. Pesawat yang saya maksudkan ialah pesawat SR-71 Blackbird yang dihasilkan oleh pembuat pesawat, Lockheed Martin. Semasa Perang Dingin, pesawat ini menjadi pilihan Amerika Syarikat untuk mengintip Kesatuan Soviet. Tetapi sayang pada akhir Perang Dingin, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) memutuskan untuk menamatkan khidmat pesawat ini pada tahun 1990. Mari kita selusuri sejarah pesawat yang saya ikonik setanding dengan Concorde dan Concordski.

Sejak tahun 1960-an, Agensi Perisikan Pusat (CIA) berusaha membina sebuah pesawat pengintip yang dapat mengintip keupayaan pihak musuh dari altitud tinggi tanpa perlu bimbang dikesan dan diserang musuh. Maka dari sinilah, Lockheed menghasilkan pesawat pengintipan supersonik pertama iaitu A-12 Oxcart. Bagaimanapun. CIA sedar keupayaan pesawat ini terbatas selepas beberapa insiden ia diserang dengan peluru berpandu darat ke udara (SAM) di Vietnam Utara.

Atas sebab itu selepas ia ditamatkan pada Disember 1966, CIA dan Lockheed mula fokus kepada pembinaan pengganti A-12, SR-71 Blackbird. Bagi membolehkan pesawat tersebut terbang pada altitud tinggi daripada 96% atmosfera, masih ada pergeseran dengan molekul udara yang boleh menaikkan suhu badan pesawat kepada 800 darjah Celcius. Untuk mengelakkan situasi berkenaan, Lockheed memilih titanium sebagai bahan badan pesawat tetapi pembuat pesawat itu sedar bahan tersebut bukan saja sukar dikerjakan tetapi juga sukar didapati. Tetapi pada masa sama, ia turut menjadikan pesawat berkenaan lebih ringan berbanding A-12 Oxcart. Untuk mendapatkan bekalan titanium, CIA menubuhkan beberapa syarikat palsu untuk membeli titanium dari negara yang sedang diintipnya, Rusia. Ironi, kan?

Dan untuk meningkatkan peluang ia tidak dikesan di ruang udara musuh, SR-71 merupakan antara pesawat pertama yang menggunakan teknologi halimunan termasuk bahan komposit penyerap radar pada bahagian ekor dan tepi depan sirip dan cat hitam yang dicampur partikal ferit yang menyerap tenaga radar.

Pesawat berkenaan mempunyai bentuk unik termasuk gabungan fiuslaj dan sayap serta unjuran tajam pada bahagian sisinya untuk mengurangkan peluang terkena pantulan radar. Walaupun Lockheed sudah mengadakan ujian penerbangan sejak tahun 1964 lagi, operasi rasmi Blackbird hanya bermula pada tahun 1968 semasa Perang Vietnam. Sepanjang 22 tahun berkhidmat, SR-71 mengambil gambar definisi tinggi pada kawasan yang tidak boleh diakses satelit pengintipan. Individu bertanggungjawab mengambil gambar berkenaan ialah pegawai sistem pengintipan yang duduk di tempat duduk belakang sementara juruterbang sibuk fokus kepada tugas menerbangkan pesawat.

Bagi bekas juruterbang ujian USAF, Terry Pappas, salah satu tugas paling mencabar menerbangkan SR-71 ialah mengekalkan muncung pesawat satu atau dua darjah pada sudut yang dibenarkan, satu-satunya perkara yang mengekalkan Blackbird stabil di udara. Dan bila pesawat mencecah kelajuan Mach 3, Pappas menambah, “Anda bergantung kepada pesawat di mana ia hampir-hampir dalam keadaan hilang kawalan.

Pada saat itulah, adrenalin mula mengalir laju dalam badan setiap kali anda menerbangkan SR-71. Itulah sebab selepas anda selesai menerbangkan pesawat dalam masa tiga setengah jam, anda merasa keletihan.” Ada juga operasi yang memakan masa 10 jam dan ia sesuatu yang amat menjerihkan bagi juruterbang dan pegawai sistem pengintipan. Atas sebab itu, sebelum krew penerbangan menaiki Blackbird, mereka perlu rehat selama lapan jam pada malam sebelum penerbangan dan diberi makan daging stik dan telur. Mereka juga diminta menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan jika mereka tidak lulus ujian berkenaan, krew akan digantikan krew gantian yang akan masuk dan menerbangkan Blackbird.

Waqaf Saham

Figure 1: Krew penerbangan SR-71 perlu menjalani ujian kesihatan ketat untuk melayakkan mereka terbang. Jika mereka gagal, kedudukan mereka akan digantikan krew gantian untuk meneruskan misi yang telah diarahkan.

Tetapi ada satu perkara yang amat menggentarkan 86 juruterbang yang diberi peluang menerbangkan pesawat ikonik ini iaitu unstart atau gangguan aliran udara supersonik. Jika berlaku gangguan aliran udara semasa pesawat ini membelok, salah perkiraan boleh menyebabkan juruterbang terlanggar dinding kokpit dalam keadaan cuba mengekalkan kawalan Blackbird. Tetapi bagi para juruterbang ini, ia diibaratkan satu hukuman ringan jika dibandingkan melihat pemandangan indah dari 80,000 kaki. Pappas sendiri berpandangan, “Jika saya dapat mencuri lihat, saya akan lakukannya. Ia amat indah.”

Blackbird mencipta rekod penerbangan altitud paling tinggi iaitu 85,068.697 kaki dan ia dicatat pada tahun 1976. Dan pada tahun terakhir perkhidmatannya, SR-71 terbang dari pantai timur ke pantai barat Amerika Syarikat dengan purata kelajuan lebih 2,100 batu dengan tempoh penerbangan kurang dari sejam lapan minit saja. Pesawat ini juga berjaya menyusup masuk ke ruang udara negara-negara blok komunis dan digunakan dalam pelbagai operasi dari Afrika Selatan hingga Nicaragua. Bagi bekas juruterbang dan komander udara Blackbird, Rich Graham teringat pengalamannya menerbangkan pesawat berkenaan semasa Perang Yom Kippur atau Perang Ramadan yang tercetus antara rejim Israel dengan Mesir dan Syria. Perang yang tercetus pada tahun 1973 menyaksikan Amerika Syarikat menghantar 12 misi membabitkan Blackbird dari pantai timur Amerika ke Timur Tengah.

Pada misi terakhirnya, Graham masih ingat presiden Amerika ketika itu, Richard Nixon mahukan info sama ada tentera dari kedua-dua belah pihak sudah berundur seperti yang dikatakan kepada beliau. Melalui gambar yang diambil oleh Blackbird, nyatalah Israel dan pakatan Syria-Mesir berbohong berkenaan kedudukan sebenar tentera mereka. Nixon kemudian menghubungi kepimpinan tiga negara berkenaan dan berkata, “Suruh mereka berundur, saya ada bukti kamu berada di tempat kamu tidak sepatutnya berada.” Menurut Graham, bukti berkenaan sudah cukup untuk menamatkan perang itu.

Bagi setiap permulaan, ada pengakhirannya. SR-71 ditamatkan perkhidmatannya oleh USAF pada tahun 1990. Antara alasan yang diberi USAF ialah kos pengurusan operasi Blackbird yang membebankan, kebolehharapan satelit-satelit pengintipan dan Blackbird sendiri terdedah dengan ancaman peluru berpandu SAM-5 dan pesawat-pesawat yang boleh terbang pada altitud sama seperti MIG-31 dan SA-10 Grumble. Kos operasi pesawat berkenaan ialah $200,000 sejam dengan keretapi logistik khas yang turut membawa bahan api khas memakan kos $18,000 pada tahun 1989. Kongres berkeras mengaktifkan semula tiga SR-71 antara 1995 hingga 1998 dengan Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menggunakannya sehingga tahun 1999 untuk tujuan kajian. Dengan pengecualian tempoh tiga tahun itu, USAF menafikan percubaan Kongres mengaktifkan semula Blackbird atas satu alasan, kos operasi yang boleh digunakan untuk pengurusan operasi pesawat-pesawat lain.

Ketika ini, belum ada pesawat yang dapat menggantikan khidmat SR-71 sebagai pesawat pengintip supersonik. Jika ada sekalipun, sama ada ianya dibatalkan, dalam peringkat pembangunan atau digunakan secara rahsia. Bagi yang dibatalkan, Lockheed ada membangunkan dron RQ-3 Darkstar tetapi projek berkenaan sudah dibatalkan pada tahun 1999 berikutan tidak stabil di udara dan tidak memenuhi parameter prestasi dan kos yang dikeluarkan USAF. Ini mendorong Lockheed mengeluarkan dua lagi pesawat dron iaitu RQ-170 dan RQ-180 yang masih lagi dirahsiakan keupayaannya oleh USAF. Tetapi bagi beberapa penganalisis tentera, ia sudah dilengkapi keupayaan pengintipan udara dan dianggap pesawat halimunan. Dan timbul khabar angin Lockheed juga sedang sibuk membangunkan pesawat pengintip hipersonik generasi baru Blackbird iaitu SR-72. Pesawat ini masih dalam peringkat pembangunan dan dijangka mula berkhidmat secara rasmi pada tahun 2030-an. Dan tidak seperti SR-71 yang memerlukan krew penerbangan, ia masih lagi dron yang boleh mencapai kelajuan Mach 6.

SUMBER

  1. Dowling, Stephen. (2013). BBC. SR-71 Blackbird: The Cold War’s ultimate spy plane. http://www.bbc.com/future/story/20130701-tales-from-the-blackbird-cockpit
  2. Chaikin, Andrew. (2014). Smithsonian Magazine. Why the SR-71 Blackbird is the Epitome of Cold War Spycraft. https://www.smithsonianmag.com/smithsonian-institution/why-sr-71-blackbird-epitome-cold-war-spycraft-180953402/
  3. Schechter, Erik. (2015). Popular Mechanics. What Made the SR-71 Blackbird Such A Badass Plane. https://www.popularmechanics.com/flight/a14491/story-of-sr-71-blackbird/
  4. Majumdar, Dave. (2017). National Interest. The SR-71 Blackbird: The Fastest Plane on Planet Earth (And It’s Sitting in a Museum). http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/the-sr-71-blackbird-the-fastest-plane-planet-earth-its-19213
  5. Hutchison, Harold H. (2017). National Interest. A New SR-71 Blackbird Is In The Work (and It Will Be Even Faster Than Ever). http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/new-sr-71-blackbird-the-works-it-will-be-even-faster-ever-22186

 

 

Previous article8 Pemerintah Terkaya Sepanjang Zaman
Next articleBagaimana Budak Sains Politik Tonton The Purge?
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE