Spanish Flu: Wabak Yang Mengorbankan 100 Juta Orang

921

Saya masih ingat lagi pada satu ketika dahulu, semasa saya sedang aktif menulis dan mendedahkan kepada masyarakat mengenai vaksin, pasti akan terdapat beberapa ketul makhluk yang menulis dengan ayat sebegini

“Orang zaman dulu boleh je hidup tanpa vaksin. Mengapa kita nak wajibkan pula perkara ini? Ini mesti agenda yahudi yang ingin melakukan jualan ubat-ubatan mereka. Pasti mereka yang mencipta virus-virus ini.”

Pada tahun 1347, wabak plague yang dikenali sebagai The Black Death mencapai kemuncak dengan menyebabkan kematian seramai 75 hingga 200 juta manusia di sekitar Eropah dan Asia. Wabak ini disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai Yersinia pestis, dan malangnya, pada zaman tersebut, teknologi perubatan moden masih lagi tidak wujud. Jadi, para doktor tidak mempunyai cara untuk merawat penyakit ini.

Askar yang Dijangkiti oleh Spanish FLu di Camp Funston – Otis Historical Archieve

Artikel kali ini adalah mengenai Spanish Flu, yang berlaku pada tahun 1918 sehingga 1920 dan dikatakan menjangkiti satu per tiga daripada populasi di seluruh dunia sewaktu itu. Penyakit ini menyebabkan kematian sehingga 100 juta manusia (anggaran 50 hingga 100 juta manusia) di dunia dan mendapat takhta penyakit kedua terbanyak membunuh populasi di dunia.

Kenyataan ini mungkin salah, mungkin kematian akibat The Black Death (200 juta nyawa diramal hilang ketika itu) kurang daripada kematian akibat Spanish Flu. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh 100 peratus yakin dan pasti kerana jumlah sebenar kematian yang disebabkan oleh The Black Plague tidak diketahui dengan tepat berapa orang.

Sebelum itu, mari kita fahami terlebih dahulu istilah-istilah yang digunakan dalam rencana ini supaya anda tidak salah faham nanti. Yang pertama adalah pandemic, yang bermaksud sesuatu penyakit yang berlaku di seluruh dunia. Berlainan dengan endemic, yang berlaku di sebahagian kawasan sahaja di dunia ini. Perkataan yang kedua adalah outbreak, yang bermaksud sesuautu buruk yang berlaku dengan tiba-tiba tanpa dijangka, seperti peningkatan jumlah pesakit yang mendapat jangkitan kuman secara tiba-tiba.

Mari kita lihat persoalan mengenai nama penyakit ini terlebih dahulu, iaitu The Spanish Flu. Mengapa dikaitkan dengan negara Sepanyol, walhal, negara ini sememangnya dipastikan bahawa jangkitan kuman ini tidak berasal daripada sini. Samalah seperti jerebu. Kita tidak boleh memanggil jerebu yang melanda Malaysia sekarang sebagai The Sarawak Haze, kerana kita tahu, punca jerebu tersebut bukannya berasal daripada negeri Sarawak seperti yang dicanangkan oleh seorang golongan bijak pandai ini.

Asal Usul The Spanish Flu – National Geographic

Jawapan untuk persoalan ini ada dalam Perang Dunia Pertama sedang giat berlaku. Dalam peperangan di antara 2 pasukan yang dipanggil The Central Power dan The Allied Power ini, jumlah manusia yang berada di dalam satu-satu pasukan itu memainkan peranan penting dalam memastikan moral dan kekuatan mental seseorang askar itu tinggi. Senang cerita, jumlah askar ini merupaakan nombor yang penting untuk memastikan siapa yang akan menang, iaitu manpower equals to winning the war.

Jadi, kedua-dua kuasa besar ini tidak mahu melaporkan terdapat banyak kematian di dalam angkatan tentera masing-masing, dan sewaktu itu, Sepanyol tidak terlibat dalam peperangan ini. Mereka tiada sebab untuk tidak melaporkan jumlah kematian sewaktu itu, jadi, daripada situlah datangnya terminologi The Spanish Flu. Raja Sepanyol ketika itu, Raja Alfonso ke-13 juga merupakan salah satu jangkitan kuman ini, tetapi baginda berjaya untuk tidak mangkat ketika itu dan berjaya mengharungi saat-saat penyakit ini mencapai kemuncaknya.

Namun, apa yang berlaku di luar Sepanyol menjadi sangat teruk ketika itu. Terdapat beberapa teori dan hipotesis mengenai asal usul penyakit ini. Ada yang menyatakan bahawa asal usulnya adalah daripada parit yang digali semasa peperangan dunia pertama, atau yang kita ketahui namanya sebagai trench warfare. Teori kedua dikatakan berasal daripada daerah Shanxi di negara China. Pada beberapa bulan sebelum itu, terdapat satu outbreak yang melanda dan menjangkiti para peladang dan petani yang tinggal di kawasan tersebut yang menyebabkan kematian ramai manusia di situ.

Teori juga menyebut, kemungkinan besar penyakit ini berasal daripada kem askar yang terletak di Funston, Kansas, Amerika Syarikat. Terdapat satu outbreak yang menyerang dan menyebabkan kematian seramai 48 orang askar di kem tersebut. Akan tetapi, itu hanyalah teori demi teori sahaja, tetapi apa yang pasti, sewaktu itu terdapat pergerakkan manusia yang sangat tinggi di seluruh dunia kerana sewaktu itu, perdagangan giat berlaku, juga, penjualan hamba kepada negara kaya juga dikatakan sedikit sebanyak menyumbang kepada kelajuan penyakit ini tersebar di serata dunia.

Jika kita lihat teori yang menyatakan bahawa penyakit ini berasal daripada kem Funston di Kansas, seramai 1000 orang askar dijangkiti kuman ini, dan akhirnya, 48 daripadanya meninggal dunia. Jumlahnya sedikit bukan? Tetapi, anda harus fahami, 1000 orang ini adalah sebahagian daripada 1 juta orang askar daripada AS yang dihantar ke Eropah sebagai bantuan semasa perang dunia pertama.

Jangkitan demi jangkitan terjadi apabila terdapat contact di antara 1000 orang askar ini kepada 1 juta askar yang lain, dan kemudiannya tersebar kepada berjuta-juta askar yang terlibat dalam perang dunia pertama. Sementelah, teknologi perubatan pada zaman itu jauh beza dengan apa yang berada pada marcapada moden seperti kini.

Image of Influenza H1N1 Virus – CDC

Mikroskop yang ada sewaktu itu tidak cukup kuat untuk seorang pakar mikrobiologi melihat kuman tersebut. Vaksin sememangnya hampir tidak wujud, dan antibiotik pula masih berada pada tahap yang amat rendah kekuatannya, apatah lagi antiviral. Sebenarnya, antibiotik tidak boleh digunakan untuk membunuh virus ini, sebaliknya kegunaannya adalah untuk membunuh kuman yang menyebabkan jangkitan kedua atau dipanggil sebagai secondary infection yang disebabkan oleh bakteria yang mengambil peluang sistem imuniti badan manusia yang lemah selepas diserang oleh virus ini. 

Sudah tentu, kini kita mengetahui bahawa kuman tersebut adalah sejenis virus influenza H1N1 berasal daripada spesis burung. Anda jangan tertukar dengan kuman Haemophilus influenza ya, itu dah cerita lain. Mereka yang maut kebanyakkannya adalah mereka yang berusia dibawah 5 tahun dan mereka yang berumur di antara 20 hingga 40 tahun. Golongan yang paling banyak maut adalah golongan ibu bersalin yang berumur sebegini. Tetapi mengapa?

Gambaran mangsa Influenza sewaktu Spanish Flu Pandemic

Untuk memahami perkara ini, kita patah balik ke beberapa tahun sebelum itu, iaitu pada tahun 1889 hingga 1890 di mana pada waktu itu, terdapat satu pandemic lain yang dinamakan sebagai Russian Flu. Virus Russian Flu ini mempunyai nama yang sama iaitu H1N1 (saya tidak mahu mengulas lebih panjang mengenai nomenclature atau penamaan H dan N di dalam sesuatu virus, karang terlalu panjang jadinya) tetapi mempunyai sedikit kekuatan jika nak dibandingkan dengan H1N1 yang disebabkan oleh Spanish Flu. (Sekiranya anda berminat nak mengetahui mengenai kekuatan dan perbezaan virus ini, anda boleh baca mengenai antigenic shift dan antigenic drift).

Jadi, mana-mana populasi yang pernah dijangkiti virus H1N1 sebelum ini, iaitu golongan yang tua di mana golongan yang umurnya melebihi 40 tahun semasa wabak Spanish Flu sudahpun mempunyai antibodi kepada H1N1 virus ini. Jadi, sistem pertahanan badan mereka amat kuat dan antibodi yang terbina di dalam badan mereka boleh melawan virus H1N1 semasa Spanish Flu ini. Golongan yang berumur diantara 6 hingga 19 tahun pula mempunyai sistem pertahanan yang baru nak up. Jadinya, mereka boleh membentuk antibodi dengan kadar yang biasa dan tidak terlalu cepat.

Gambaran mangsa Influenza sewaktu Russian Flu Pandemic

Mereka yang berumur dibawah 5 tahun pula, sistem pertahanan tubuh badan mereka masih lagi tidak matang, dan kebanyakkannya maut akibat jangkitan virus ini sendiri. Tetapi, bagaimana pula dengan golongan berusia 20 hingga 40 tahun? Bukankah sistem pertahanan tubuh badan mereka sudahpun matang dan kuat? Kiranya dah cukup matang untuk melawan mana-mana kuman mahupun virus yang menyerang mereka ini. Ya, memang benar, cuma masalahnya satu, iaitu terlalu kuat.

Sistem pertahanan badan kita ini, apabila mendapati terdapat virus yang masuk ke dalam tubuh badan seseorang itu, maka, sel darah putih akan mengeluarkan bahan bernama cytokine. Cytokine ini berfungsi untuk memanggil lebih banyak sel darah putih untuk menyerang virus yang masuk ini. Penggunaan cytokine ini adalah sebagai chemoattractant, iaitu komunikasi diantara sel darah putih di dalam salur darah menggunakan bahan kimia kerana mereka tidak mempunyai whatsapp, telegram mahupun messenger.

Penerangan Cytokine Storm

Cytokine ini menyebabkan perubahan pada struktur salur darah yang akan mengembang dan menambah jarak diantara sel endothelium, dan kesannya amat buruk iaitu penurunan tekanan darah. Bukan itu sahaja, sistem pertahanan yang terlalu kuat ini akan menyebabkan penghasilan cytokine tanpa kawalan, dan kesan akhirnya dipanggil sebagai cytokine storm.

Hujungnya, pesakit akan maut disebabkan oleh kesan imuniti badan yang terlalu kuat kerana struktur dan potensi virus H1N1 ini mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk berlakunya keadaan ini.

Hal ini sebenarnya sama sahaja dengan demam denggi di mana pesakit maut akibat sistem pertahanan badan mereka yang menjadi overdrive. H1N1 ini juga menyebabkan penggunaan platelet yang banyak, iaitu sel yang bertanggungjawab untuk pembekuan darah, dan kejatuhan platelet di dalam badan ini menyebabkan pendarahan pada kulit, mata dan akhirnya paru-paru.

Ini juga menjadi sebab contohnya di dalam kes denggi sekarang, mengapa para doktor memberikan anda rawatan air untuk tidak memberi peluang tekanan darah anda jatuh, dan mengapa mereka acapkali mencucuk lengan anda untuk mengambil darah, bukan kerana mereka nak menjual darah anda di pasaran gelap, tetapi nak memastikan platelet anda tidak menjadi terlalu rendah serta air yang dimasukkan tidak terlalu banyak. Ini analoginya lah.

Tugu memperingati mangsa Spanish Flu 1918 – Wellcome Collection

Mengikut kepada salah seorang doktor yang merawat pesakit di Kem Funston, Dr Roy Grist berkata

Dalam masa beberapa jam sahaja maut bakal menjemput mereka ini. Sebentar lagi, mereka akan sukar bernafas, kemudian, bertukar kebiruan. Memang amat teruk.”

Samalah seperti kes Spanish Flu, mereka tidak mempunyai rawatan, kecuali daripada segi rawatan sokongan semata-mata. Mengikut kepada satu aforisme, iaitu mencegah lebih baik daripada mengubati, jadi, langkah pencegahan adalah yang terbaik dalam menangani kes ini seperti membasuh tangan dan memakai topeng muka. Sebuah bandar di California, iaitu San Fansisco akan menyaman sesiapa yang tidak memakai topeng muka sebanyak 5 USD yang digelar sebagai mask slacker.

Disebabkan oleh virus ini yang muncul tiba-tiba dan membunuh ramai manusia, daripada situ muncul beberapa spekulasi. Ada yang menuduh pihak Jerman meracun seluruh dunia dengan awan dan asap beracun dan ada pula yang menuduh syarikat farmaseutikal Bayer, sengaja menjangkiti Aspirin mereka dengan virus ini, walhal, staf daripada Bayer juga merupakan mangsa kepada jangkitan kuman yang telah disahkan merebak melalui udara seperti bersin, batuk dan air liru.

Spanish Flu ini menyerang dengan 3 gelombang, di mana gelombang pertama hanya membunuh ramai askar, gelombang kedua mulai melibatkan nyawa orang awam dan gelombang ketiga mula menurun kerana rata-rata manusia sudahpun mulai ada antibodi untuk melawan penyakit ini. (Sebenarnya, kebanyakkan rencana menyatakan terdapat 2 gelombang sahaja, di mana kematian yang agak tinggi pada gelombang pertama itu tidak dikira sebagai gelombang. Entah, saya pun hairan jadinya).

Anda jangan ingat Spanish Flu ini berlaku di Eropah dan AS sahaja, sebaliknya, seperti yang dinyatakan, ianya berlaku di seluruh dunia termasuk di Asia, Afrika, Australia dan seantero dunia. Selepas tamat gelombang ketiga, serangan virus ini berhenti secara tiba-tiba. Hal ini dikatakan kerana mana-mana virus yang mempunyai kecenderungan untuk menyebabkan kematian yang tinggi akan mengalami proses mutasi menjadikannya kurang berbahaya.

Selain itu, pembentukkan antibodi dalam badan manusia juga memainkan peranan penting dalam membunuh kuman ini. Pada tahun 1933, virus ini dikaji secara mendalam dan beberapa tahun kemudian, barulah vaksin ini diberikan secara berperingkat kepada askar yang terlibat dalam perang dunia kedua dan kepada masyarakat awam kemudiannya. Penciptaan vaksin ini menyelamatkan nyawa banyak manusia kerana selepas daripada perang dunia kedua, terdapat 4 lagi outbreak yang berlaku sehingga kini.

Satu, berlaku pada 1957 – 1958, dua, pada 1968 -1969, ketiga, pada 1977 – 1978 dan yang terbaru pada 2009 – 2010. Bagaimana pula dengan kadar kematian? Malangnya, outbreak ini masih lagi menyebabkan kehilangan jiwa kepada manusia di seluruh dunia, iaitu sebanyak 290,000 hingga 650,000 setahun setiap kali outbreak berlaku di seluruh dunia. Jumlah yang jauh lebih rendah ini adalah disebabkan oleh vaksin yang telah sedia ada disamping teknologi perubatan yang berkembang pesat dalam mengelakkan perebakkan kuman di sesuatu kawasan seperti antiseptik yang lebih baik digunakan di hospital.

Vaksin ini kali pertama digunakan pada tahun 1938 – Sanofi

Jika anda nak tahu, gelombang ketiga Spanish Flu dan seterusnya yang menjadi rendah kadar kematiannya adalah disebabkan oleh pembentukkan antibodi secara semulajadi yang banyak dicanangkan oleh golongan antivaksin yang mana kepandaian mereka melebihi seorang pakar yang membuat penyelidikan dalam bidang ini. Memang antibodi akan terbentuk secara semulajadi, tetapi dalam kes ini, pembentukkan itu berlaku selepas 100 juta manusia di muka bumi ini maut, dan daripada sinilah masyarakat dunia menggesa para doktor untuk mencipta vaksin.

Vaksin sebenarnya akan menggalakkan pembentukkan antibodi terhadap kuman-kuman seperti ini secara tidak semulajadi dengan salah satunya, memberi virus yang telah dilemahkan atau memberi bahan yang mempunyai struktur seakan-akan virus supaya sel darah putih kita mengesan struktur ini dan membina antibodi melaluinya.

Hal ini kiranya, kita menipu sistem pertahanan badan kita untuk memikirkan bahawa terdapat kuman yang menyerang badan mereka, dan itulah sebabnya vaksin diberikan pada usia kecil, semasa sistem pertahanan ini tidak terlalu kuat seperti orang dewasa. Yalah, secara logiknya, tak kan kita nak beri virus yang hidup pada anak-anak kita? 

Bantahan dan perbahasan mengenai kandungan vaksinlah, konspirasi yahudi dalam melemahkan umat islamlah, dan ribuan hujahan yang tak masuk akal diberikan. Jika Yahudi itu memberi vaksin untuk melemahkan umat Islam, megapa di negara mereka, mereka mewajibkan imunisasi terhadap anak-anak Yahudi ini?

Jika benarlah kuman ini dicipta untuk memaksa kita membeli vaksin untuk melindungi diri anak-anak kita daripada kematian akibat dijangkiti kuman ini, jadi mengapa masih tak mahu beri? Walhal di Malaysia ini sistem pemberian vaksin ini adalah percuma, atau mungkin perlu membayar RM5.00.

Betapa murahnya nyawa anak-anak golongan antivaksin ini, yang mana diri mereka sendiri menerima vaksin kerana ibu bapa mereka bertanggungjawab terhadap mereka, tetapi, apabila giliran anak mereka, mereka menyatakan ini semua agenda yahudi laknatullah, walhal, diri sendiri yang lebih teruk daripada Yahudi tersebut.

Baiklah, saya berhenti di sini kerana tidak guna menulis banyak-banyak mengenai argument terhadap golongan ini. Nanti, bila saya dah buat penyelidikan, mencari kertas kajian di pubmed dan meminta pandangan doktor pakar dalam bidang penyakit berjangkit, hujungnya, mereka memberi saya link video Youtube yang ucapan dan syarahannya diberikan oleh penebar roti canai atau tukang buat air di kedai yang menyatakan dirinya mempunyai pHD di dalam bidang penyelidikan vaksin dan kerjaya sebagai pakar imunisasi secara part time. Sekian.  

Notakaki – Saya berharap agar para pembaca page The Patriots ini adalah terdiri daripada golongan bijak pandai dan mempunyai common sense dan pemikiran yang normal. Buat mereka yang mempunyai anak, maka, buatlah yang terbaik untuk menjaga mereka. Mana-mana para golongan antivaksin tidak dibenarkan untuk komen artikel ini, kerana saya bimbang kuman polio atau measles merebak di dalam komuniti The Patriots. Terima kasih

RUJUKAN:

  1. CDC on H1N1 Pandemic of 2019  https://www.cdc.gov/h1n1flu/
  2. Mortality Burden of the 1918 Spanish Flu Pandemic in Europe https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4634693/
  3. History Documentary on the Spanish FLu https://www.history.com/news/why-was-the-1918-influenza-pandemic-called-the-spanish-flu
  4. BBC on the Spanish Flu Articles http://www.bbc.com/future/story/20181023-the-places-that-escaped-the-spanish-flu
  5. Wikipedia Source on The Spanish Flu https://en.wikipedia.org/wiki/Spanish_flu

Ruangan komen telah ditutup.