Sonny Bill Williams – Figura Muslim All Blacks

1,274

Piala Dunia Ragbi sedang berjalan di Jepun ketika ini dan seperti biasa, peminat ragbi menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada pasukan masing-masing sama ada New Zealand dan Australia hinggalah tuan rumah, Jepun. Bagi peminat All Blacks, sudah pasti nama yang meniti di bibir mereka ialah Sonny Bill Williams yang menjadi ayam tambatan pasukan. Tetapi tidak ramai tahu bahawa beliau juga merupakan seorang atlet Muslim yang berpengaruh di New Zealand.

Semasa ditemubual portal Now To Love, Williams mendedahkan pendedahan pertamanya terhadap Islam bermula selepas beliau bermain di Australia bersama kelab Canterbury Bulldogs. Beliau berkata, “Saya membesar sebagai seorang Kristian dan jujurnya, saya selalu merasa tidak selesa bukan dengan mesej yang disampaikan tetapi persekitaran saya. Orang-orang yang saya kenali di Australia… mereka mempunyai sejenis aura di sekeliling mereka, mereka merasa gembira, mereka tidak pernah merasa sedih… sentiasa menjemput saya… Itulah kali pertama saya mengenali Islam.”

Bagi yang mengikuti perkembangan Williams, pasti tahu kisah perpindahan kontroversinya ke Toulon pada tahun 2008 walaupun ketika itu masih memiliki kontrak dengan Bulldogs. Untuk mengelak pertelagahan ini berterusan, Toulon membayar yuran perpindahan sebanyak 300,000 paun sterling terhadap Bulldogs.

Setahun selepas itu, beliau melafazkan dua kalimah syahadah. Akuinya selepas memeluk Islam, pengetahuannya dalam soal agama agak terhad. Tetapi semua itu berubah menerusi jalinan persahabatan yang dijalin dengan sebuah keluarga penduduk tempatan berdarah Tunisia yang mengukuhkan lagi kepercayaannya terhadap Islam dan membantunya mempelajari agama.

Williams masih ingat tentang mereka dengan berkata, “Mereka merupakan sebuah keluarga dengan empat atau lima orang anak dan mereka mempunyai rumah satu bilik dan semua memilih tidur di ruang tamu. Saya menghabiskan kebanyakan masa di situ… banyak masa saya tidur di atas lantai. Rasa syukur, ketenangan, kegembiraan yang wujud dalam isi rumah berkenaan… sangat indah… itulah bagaimana saya bermula mencintai Islam.”

Pada Mac lepas, dunia dikejutkan dengan serangan pengganas ke atas Masjid Al-Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 51 orang dan mencederakan 49 lagi mangsa. Pelaku serangan ialah seorang pelampau kulit putih bernama Brenton Tarrant dan kini dalam tahanan pihak berkuasa sementara menanti perbicaraan yang akan diadakan pada tahun hadapan. Tetapi insiden ini turut menonjolkan kualiti Williams bukan saja sebagai seorang figura sukan tetapi juga sebagai tokoh Muslim New Zealand yang berpengaruh.

Selepas mendapat tahu insiden itu berlaku, beliau menaikkan satu rakaman video berdurasi 64 saat di Twitter. Menerusi rakaman itu, Williams yang sebak mengenang insiden itu mendoakan kesejahteraan mangsa yang terbunuh dalam serangan pengganas itu dan mendoakan agar mereka ditempatkan di syurga. Boleh lihat capaian Twitter yang mempunyai video berkenaan:

Beberapa hari kemudian, beliau menyertai umat Islam dan rakyat New Zealand lain untuk solat Jumaat yang diadakan di Hagley Park. Walaupun dikenali sebagai seorang yang pemalu, beliau mengetepikannya dengan menyatakan satu mesej penting, “Saya bangga sebagai seorang Muslim dan saya juga bangga sebagai warga New Zealand.”

Williams turut menyelar serangan tersebut sambil menyifatkan individu yang mensasarkan Muslim di negara seperti New Zealand sebagai kurang mempunyai kesedaran dan pengetahuan terhadap agama Islam. Beliau turut berpandangan insiden sebegini memarakkan lagi keinginan New Zealand untuk memerangi isu perkauman dan ekstremisme seperti yang diterjemahkan oleh Perdana Menterinya, Jacinda Ardern. Beberapa hari sebelumnya, Williams turut mengumumkan kerjasama dengan Projek Muslims Around The World (MATW) untuk meraih dana bagi membantu keluarga-keluarga mangsa yang terjejas akibat serangan pengganas Christchurch itu.

Dalam temubual bersama portal Now To Love, beliau turut mengakui serangan Tarrant memberi kesan kepada komuniti Muslim di Christchurch termasuk isterinya, Alana. Williams masih ingat betapa takutnya isterinya itu selepas serangan itu berlaku. Namun, ada satu kesan positif yang muncul dari serangan ini. Selain menyaksikan pengukuhan perpaduan antara komuniti yang menolak elemen ekstremisme dan pelampau kulit putih, ia turut menyaksikan ibu tercinta Lee Williams dan rakan sepasukan kebangsaan Ofa Tu’ungafasi melafazkan dua kalimah syahadah dua minggu selepas serangan Tarrant.

Rajah 1: Williams (kiri) bersama abangnya, John dan ibu mereka, Lee. Sumber: https://www.nowtolove.co.nz/news/latest-news/sonny-bill-williams-on-how-he-found-islam-41038

Bila ditanya reaksinya selepas mendengar berita pengislaman ibu tercinta, Williams berkata sambil mengesat air mata,”Ianya sangat, sangat istimewa. Itulah keindahan Islam apabila kita tidak terikat dengan dunia. Kita ini hanyalah penumpang yang melaluinya untuk seketika dan Insya Allah kita akan berada di bawah naungan-Nya. Dan itulah mentaliti saya sejak dulu lagi.”

Ujarnya lagi, “Saya bukanlah sempurna dan saya sendiri mempunyai kelemahan tetapi saya berusaha. Saya berusaha untuk memperbaiki diri sendiri dan saya bersyukur mempunyai seorang isteri yang cantik, anak-anak yang cantik. Ya, kita membuat kesilapan tetapi bila kita diuji, kita ada matlamat dan panduan untuk diikuti. Saya bersyukur ibu dapat melihatnya… Dia dapat melihat bagaimana ia mengubah kehidupan kami berdua.” Kami di sini yang dirujuk Williams ialah beliau dan abangnya, John yang turut memeluk Islam beberapa tahun sebelumnya.

Williams mengakui bukan mudah berada dalam sebuah komuniti yang masih bergelut memahami Islam. Tetapi itu tidak menghalangnya berusaha menunjukkan imej positif agama kepada orang lain. Tambahnya, tak kira apa fahaman atau agama yang dianuti, selagi mana ia membawa mesej positif kepada komuniti sekeliling, maka ia seharusnya diraikan kerana ia menjadikan sesebuah komuniti itu jauh lebih baik.

Williams juga turut mengajak mana-mana individu yang masih menyimpan rasa curiga terhadap agama untuk mendekati Muslim yang baik keperibadiannya. Ini kerana orang sebegini akan menunjukkan kepada individu berkenaan apa yang diajar agama bukanlah keganasan seperti yang didakyah sesetengah pihak tetapi cinta dan kasih sayang.

RUJUKAN:

1. Harris, Dominic. (2019). Sonny Bill Williams calls for end to racism after ‘amazing’ show of love and peace. Stuff. https://www.stuff.co.nz/national/christchurch-shooting/111473647/sonny-bill-williams-arrives-in-christchurch-praises-support-for-muslim-community

2. Land, Emma. (2019). Sonny Bill Williams’ mother and All Black teammate Ofa Tu’ungafasi have converted to Islam. Now To Love. https://www.nowtolove.co.nz/news/latest-news/sonny-bill-williams-mother-and-ofa-tuungafasi-convert-to-islam-40912

3. Land, Emma. (2019). Sonny Bill Williams opens up about what led him to finding Islam. Now To Love. https://www.nowtolove.co.nz/news/latest-news/sonny-bill-williams-on-how-he-found-islam-41038

4. Careem, Nazvi. (2019). Christchurch shooting: tearful Muslim New Zealand All Blacks player Sonny Bill Williams sends his prayers – ‘you are all in paradise’. South China Morning Post. https://www.scmp.com/sport/rugby/article/3001811/new-zealand-shooting-tearful-muslim-all-blacks-player-sonny-bill

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.