Bagi para peminat K-Drama (termasuk penulis), berita yang paling gempak minggu lepas ialah Song Joong-ki dan Song Hye-kyo (hero dan heroine drama “Descendants of the Sun”) bakal melangsungkan perkahwinan pada 31 Oktober.

Walaupun gelaran “pasangan Song-Song” (“Song-Song Couple”, 송송커플) berbunyi menarik, tapi sebenarnya perkahwinan antara orang yang mempunyai nama keluarga (“seongssi”, 성씨) yang sama merupakan pantang larang di masyarakat Korea.

Sesiapa yang pernah tonton drama “Reply 1988” mesti ingat cinta watak Sung Bo-ra dan Sung Sun-woo dihalang atas sebab mereka mempunyai nama keluarga yang sama.

Di masyarakat Asia Timur (China, Korea, Vietnam, Jepun), setiap nama keluarga melambangkan satu suku (“clan”). Ajaran Confucianisme (diamalkan di China, Korea dan Vietnam) melarang perkahwinan sesama suku atas faktor genetik.

Perkahwinan antara sepupu hanya dibenarkan bagi sepupu sebelah ibu yang membawa nama keluarga lain. Berbeza dengan budaya Arab di mana tidak menjadi masalah bagi Bani Hasyim berkahwin dengan Bani Hasyim.

Di masyarakat Cina pun, jarang nak lihat Lee mengahwini Lee, Lim mengahwini Lim, Tan mengahwini Tan. Memang ia sesuatu yang dielakkan. Malah Tan, Chen, Chan, Chin juga tak berkahwin sesama mereka kerana itu semua nama keluarga yang sama cuma disebut dalam loghat yang berbeza.

Di Korea, pantang larang tersebut mula diamalkan semasa Dinasti Joseon (1392-1910) yang menjadikan Confucianisme sebagai agama rasmi, dan diteruskan oleh Korea Selatan menerusi Perkara 809 dalam Kod Sivil Tahun 1957.

Tapi nama keluarga Korea tak banyak. Maksimum ada dalam 300 saja, berbanding dengan nama keluarga Cina yang berjumlah 6,000. Di Korea Selatan, 22% rakyat bernama keluarga “Kim”, 15% bernama keluarga “Lee”, 8% bernama keluarga “Park”. Maka jadi masalah kalau terlalu ketat dalam melarang orang yang bernama keluarga sama untuk berkahwin.

Dengan itu Perkara 809 memperkenalkan kriteria kedua iaitu tempat asal usul (“bongwan”, 본관). Kalau nama keluarga sama tapi kampung berbeza, maka dibolehkan untuk berkahwin. Kalau nama keluarga sama, kampung pun sama (“dongseong dongbon”, 동성동본) maka tak ada jodoh lah namanya.

Contohnya seperti Kim Jong-un (pemimpin Korea Utara) dan Kim Tae-yeon (penyanyi lagu “Rain”) yang sama-sama berasal dari “keluarga Kim dari Jeonju” (“Jeonju Kim-ssi”, 전주김씨).

Dalam kes Song-Song, Song Joong-ki berasal dari “keluarga Song dari Eunjin” (“Eunjin Song-ssi”, 은진송씨) dan Song Hye-kyo berasal dari “keluarga Song dari Yeosan” (“Yeosan Song-ssi”, 여산송씨), maka tiada masalah untuk mereka berkahwin, walaupun kedua-dua mereka memiliki moyang yang sama iaitu Song Ju-eun yang hidup semasa Dinasti Silla (668-935).

Sehingga tahun 1995, baru undang-undang tersebut dicabar. Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan memutuskan bahawa Perkara 809 bertentangan dengan Perkara 10, Perlembagaan Korea Selatan yang menyebut tentang “hak mengejar kebahagiaan” (“haengbogeul chuguhal gwolli”, 행복을 추구할 권리), dan Perkara 809 akhirnya dipinda pada tahun 2005, digantikan dengan larangan perkahwinan antara saudara mara.

Namun begitu, disebabkan larangan tersebut telah lama berakar di masyarakat, jadi masih janggal bagi dua orang yang bernama keluarga sama berpacaran. Setakat ini cuma nampak Lee Byung-hun dan Lee Min-jung yang berkahwin pada tahun 2013.

(Itu sebabnya kadang-kadang tulang rusuk bergetar melihat perempuan bernama keluarga Wong pun kena berfikir 3-4 kali dulu)

Bacaan Lanjut:
Alan J. Bittles, Consanguinity in Context (2012)
Martin Deuchler, The Confucian Transformation of Korea: A Study of Society and Ideology (1992)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Leave A Reply