28 tahun lepas, seorang pelajar jurusan perhutanan bernama Leslaw Dycrz merupakan antara individu terlibat untuk projek pemulihan hutan asli di kawasan Auschwitz-Birkenau. Auschwitz-Birkenau merupakan antara kem kematian Nazi paling terkenal dalam sejarah Perang Dunia Kedua (WWII) dan pencemaran udara yang terhasil dari kem tersebut selama berdekad-dekad lamanya sudah menjejaskan hutan di kawasan tersebut. Justeru, usaha yang dijalankan Dycrz ini diharap dapat memulihkan semula hubungan hutan asli kawasan tersebut. Tetapi apa yang ditemui Dycrz akan mengubah sejarah yang kita ketahui tentang kem tersebut.

Tatkala beliau bersandar pada timbunan runtuhan dan tanah, Dycrz merasakan ada sesuatu tersembunyi dalam timbunan tersebut. Apabila beliau menggali timbunan tersebut, Dycrz menemui sebuah beg bimbit kulit di mana di dalamnya ada sebuah termos. Dalam termos itu pula mengandungi sekeping nota bertulis tangan dalam Bahasa Yunani. Walaupun Dycrz tidak memahami bahasa tulisan tersebut, teks itu sebenarnya keterangan paling penting berkenaan peristiwa Holocaust. Ia sebenarnya laporan saksi yang dibuat oleh seorang lelaki bernama Marcel Nadjary, seorang Yahudi yang berasal dari Greece yang diperhambakan bersama 2,000 individu lain dan dipaksa membantu rejim Nazi menguruskan jentera kematian dalam kem mereka. Nadjary sebenarnya sebahagian daripada Sonderkommando, sebuah kumpulan lelaki Yahudi yang dipaksa membawa tahanan-tahanan kem ke ruang gas dan melupuskan mayat-mayat mereka.

Pada kemuncak operasinya, jentera kematian Auschwitz akan menggas 6,000 orang Yahudi sampai mati setiap hari. Dan setiap kali proses tersebut selesai, maka bermulalah juga tugas yang sama sekali tidak dimahukan oleh kumpulan ini. Sonderkommando bukan saja dipaksa membantu melupuskan mayat tapi pada masa sama, menjadi saksi jenayah perang dan kemanusiaan penawan mereka. Walaupun para sejarawan mengetahui kewujudan kumpulan ini tetapi tidak ramai anggota kumpulan yang terselamat pada akhir perang. Ini menyebabkan keterangan Nadjary semakin penting berkenaan Holocaust itu sendiri.

Jika ada pembaca yang menyangka mereka ini melakukannya atas sebab sukarela, itu salah, Hakikatnya apabila mereka tiba di kem-kem seperti Auschwitz atau Buchenwald, orang yang terpilih akan dimasukkan dalam kumpulan tersebut dan sekiranya mereka enggan, mereka akan diancam bunuh. Sonderkommando dipaksa berkhidmat dan tidak tahu apa tugas mereka sehinggalah mereka diberitahu. Dan adakalanya tatkala mereka melupuskan mayat, ada terkejut melihat mayat ahli keluarga atau rakan-rakan mereka dalam kumpulan mayat yang telah digas. Mereka tidak boleh keluar atau menolak tugas tersebut dan satu-satunya jalan keluar ialah membunuh diri. Maka atas sebab itulah di sesetengah tempat, Sonderkommando dipanggil Arbeitsjuden (Yahudi untuk bekerja/Jews for work) atau Hilflinge (pembantu/helper).

Memandangkan status mereka sebagai Sonderkommando, mereka sentiasa hidup dalam ketakutan dan diasingkan dari komuniti mereka sendiri. Kebanyakan anggotanya ialah orang muda dan memandangkan tugas mereka ialah mengangkat dan melupuskan mayat, anggota Sonderkommando ini diberi catuan makanan lebih dari apa yang diterima tahanan-tahanan lain. Anggota-anggota ini turut diasingkan dari populasi kem dan hanya berinteraksi dengan anggota lain Sonderkommando dan tawanan-tawanan yang akan dibunuh. Selain melupuskan mayat, anggota Sonderkommando juga perlu mengekalkan keamanan dalam kalangan tahanan sebelum digas di mana anggota ini terpaksa berbohong tahanan-tahanan ini perlu mandi sebelum kembali disatukan dengan keluarga mereka.

Selain itu, selepas mengalihkan mayat dari ruang gas, anggota Sonderkommando juga perlu memotong rambut mayat untuk dijual kepada firma-firma Jerman untuk tujuan komersial dan mengambil barangan berharga termasuk gigi emas. Anggota-anggota ini turut memeriksa pakaian dan barangan peribadi mangsa, membakar mayat di krematorium, mengisar saki-baki tulang jadi habuk dan ia ditabur di pelbagai tempat pembuangan untuk menyembunyikan bukti jenayah kejam Nazi ini. Memandangkan pengetahuan mendalam mereka terhadap jenayah-jenayah penawan mereka ini, rejim Nazi Jerman menguatkuasakan polisi menggas semua anggota Sonderkommando dan digantikan oleh orang-orang baru yang tiba di kem sekurang-kurangnya tiga bulan, adakalanya setahun atau lebih bergantung kepada keupayaan khas yang dimiliki mereka. Bagi anggota Sonderkommando baru, tugas pertama mereka ialah mengalihkan mayat-mayat anggota kumpulan sebelum ini. Berdasarkan rekod dari penubuhan kem hinggalah penutupan kem, sekurang-kurangnya ada 14 generasi anggota Sonderkommando.

Pada akhir tahun 1944 atau lebih tepat, 7 Oktober 1944, sekumpulan tahanan dan anggota Sonderkommando melancarkan pemberontakan di Auschwitz. Mereka hanya bersenjatakan kapak, pisau, bom tangan, dua mesingan dan bahan letupan. Dalam insiden tersebut, 3 anggota pasukan Schutzstaffen (SS) terbunuh dan 12 lagi cedera sementara satu krematorium musnah sama sekali. Tahanan-tahanan Auschwitz mahukan kisah mereka diceritakan kepada dunia dan mereka menggesa anggota Sonderkommando melarikan diri dari kem. Sesetengah anggota berjaya melepaskan diri tetapi berjaya ditangkap semula dengan bantuan penduduk tempatan pada hari yang sama. Akibatnya, 200 anggota Sonderkommando yang terselamat dipaksa berbogel dan baring meniarap sebelum ditembak mati di kepala. Berdasarkan rekod, 451 anggota Sonderkommando terbunuh pada hari itu.

Figure 1: Antara mayat anggota Sonderkommando yang dibakar anggota SS selepas pemberontakan Sonderkommando di Auschwitz berjaya dipatahkan.

Kebanyakkan anggota Sonderkommando berusaha menyampaikan kisah mereka ke dunia luar agar mereka tahu skala sebenar jenayah kemanusiaan Nazi. Selain cubaan melarikan diri, anggota Sonderkommando juga menyeludup kamera ke dalam kawasan kem untuk mengambil gambar operasi pembunuhan yang berjalan di Auschwitz. Antara gambar yang diambil ialah gambar sekumpulan wanita yang dipaksa berbogel menanti giliran di ruang gas, lokasi ruang gas dalam hutan dan dua mayat yang dibakar di luar berikutan kesesakan dalam krematorium. Empat gambar ini kemudian diseludup dalam tiub ubat gigi dan dihantar kepada pemberontak-pemberontak Poland yang menentang rejim Nazi. Berdasarkan rekod, empat gambar ini saja merupakan dokumentasi gambar yang menerangkan apa yang berlaku berhampiran ruang gas di Auschwitz. Gambar-gambar ini dan testimoni individu seperti Nadjary merupakan bukti kuat tentang apa yang berlaku di Auschwitz. Nadjary melakukannya atas sebab mahu membalas dendam kematian ayah, ibu dan kakaknya.

Tetapi pendedahan ini masih belum dapat menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa pembunuhan rejim Nazi. Berdasarkan rekod, hanya 100 anggota Sonderkommando yang terselamat pada penghujung WWII. Tetapi gambar dan testimoni ini menjadi bukti kewujudan jenayah perang Nazi semasa Holocaust dan bukti tekanan fizikal dan psikologi yang dikenakan mereka ke atas tawanan-tawanan yang dipaksa menyembunyikan jenayah mereka.

Pada tahun-tahun selepas WWII berakhir, ramai menganggap Sonderkommando bersubahat dengan rejim Nazi. Perwatakan mereka berdasarkan kenyataan Miklos Nyizli, salah seorang pembantu Dr Josef Mengele di Auschwitz. Nyizli menyifatkan mereka bersuka-ria dan merasa kenyang tatkala rakan-rakan sebangsa mereka mati kelaparan. Bagaimanapun, sesetengah kenyataan Nyizli berkenaan keadaan fizikal anggota Sonderkommando berlawanan dengan apa yang diketahui tentang mereka, sekaligus menyebabkan reputasinya tercemar. Sejarawan Holocaust, Gideon Greiff menyifatkan kenyataan Nyizli lebih bersifat mitos dan fitnah.

Greiff kemudian menerbitkan sebuah buku berkenaan kumpulan ini pada tahun 1999 bertajuk We Wept Without Tears. Buku Greiff ini berdasarkan temubual beliau dengan anggota-anggota Sonderkommando yang terselamat yang menceritakan pengalaman mereka dalam kumpulan tersebut. Salah seorang anggota Sonderkommando, Filip Muller menerbitkan memoir berkenaan pengalamannya itu dalam memoir Eyewitness Auschwitz: Three Days in the Gas Chambers. Dalam buku tersebut, Muller menceritakan beliau mahu masuk dalam ruang gas bersama sekumpulan tahanan untuk mati tetapi dipujuk oleh seorang wanita untuk terus hidup dan menceritakan pengalamannya kepada dunia.

SUMBER

  1. Williams, Dominic. (2016). The Conversation. Stories from Holocaust prisoners forced to work in the gas chambers should be heard, not silenced. http://theconversation.com/stories-from-holocaust-prisoners-forced-to-work-in-the-gas-chambers-should-be-heard-not-silenced-65862
  2. Blakemore, Erin. (2018). History.com. The Jewish Men Forced to Help Run Auschwitz. https://www.history.com/news/the-jewish-men-forced-to-help-run-auschwitz
  3. Jewish Virtual Library. The Revolt at Auschwitz-Birkenau. http://www.jewishvirtuallibrary.org/the-revolt-at-auschwitz-birkenau

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.