Ketika artikel ini ditulis, telah masuk hari ke-18 sejak serangan pembunuhan beramai-ramai demonstran Sudan oleh kumpulan tentera militan pada 3 Jun yang lalu. Sebelum berbicara tentang sisi gelap dan cerah solidariti Sudan ini, penting untuk kita faham terlebih dahulu krisis yang sedang berlaku di sana. Di bawah ini, saya sertakan beberapa perkara yang kita mesti tahu sebagai pemahaman ringkas tentang apa yang sedang terjadi dan dialami oleh rakyat-rakyat Sudan.

Pertama: Revolusi Ini Bukan Revolusi yang Pertama

Revolusi Sudan yang terjadi baru-baru ini bukanlah revolusi pertama yang berlaku di dalam lipatan sejarah Sudan, bahkan ia merupakan revolusi yang ketiga selepas yang pertama berlaku pada tahun 1964 dan revolusi kedua pada tahun 1984. Namun begitu, revolusi terbaru ini dikatakan juga sebagai revolusi Sudan yang pertama selepas negara terbesar Afrika ini berpecah kepada dua: Sudan dan Selatan Sudan.

Revolusi ketiga yang bermula sejak 19 Disember 2018 ini berpunca daripada kegawatan ekonomi yang sangat dahsyat, yang mana kemuncaknya adalah apabila telah berlaku penarikan subsidi gandum oleh kerajaan di bawah kepimpinan Omar al-Bashir dan kenaikan harga roti (makanan ruji rakyat Sudan) sebanyak tiga kali ganda daripada harga biasa.

Berikutan daripada kebangkitan rakyat itu, Omar al-Bashir akhirnya berjaya digulingkan pada 11 April 2019 selepas rakyat terus mendesak pihak tentera untuk menurunkan kuasanya. Namun adakah revolusi ini berakhir begitu saja?

Rakyat Sudan telah berkumpul melakukan demonstrasi aman dan protes ini selama berbulan-bulan, justeru itu mereka tidak akan berhenti dan berputus asa selagi permintaan rakyat ini tidak dipenuhi. Rakyat Sudan percaya bahawa mereka tidak akan diberikan kebebasan dan hak demokrasi dengan begitu mudah, kerana itu mereka kekal berkampung di tapak demonstrasi meminta tentera untuk segera memberikan kuasa kepada kerajaan awam yang dipilih secara demokratik.

Kepimpinan Omar al-Bashir yang diganti sementara oleh pihak tentera ini tidak akan membawa beza yang besar daripada penderitaan dan kekejaman sebelumnya, hanya saja yang “tua” diganti dengan yang “lebih muda”. Kemaraan rakyat yang tidak boleh lagi ditoleransi inilah yang menyebabkan tentera militan bertindak untuk menghentikan demonstrasi aman rakyat dengan keganasan dan pembunuhan orang awam tidak berdosa.

Kedua: Penggerak Revolusi Terdiri Adalah Para Ilmuwan

Mereka yang menjadi tulang belakang kepada kebangkitan rakyat ini terdiri dalam kalangan para doktor, peguam dan jurnalis yang bernaung di bawah satu organisasi diberi nama Sudanese Profesional Association (SPA) yang mana ketiga-tiga kumpulan ini merupakan golongan profesional terbesar di Sudan.

Selain doktor, peguam dan jurnalis, SPA juga memiliki lagi 17 buah organisasi profesional di bawah mereka yang terdiri daripada para jurutera, akauntan, guru dan banyak lagi badan profesional yang lain.

Daripada sini kita boleh lihat bahawa para ilmuwan yang memiliki kesedaran awam memainkan peranan yang sangat penting di dalam pergerakan revolusi ini. Hal ini demikian kerana,  golongan intelektual dan berpengetahuan pastinya tidak akan membiarkan hak mereka dicabuli sama sekali. Orang-orang yang memiliki rasa kebertanggungjawaban inilah yang dilihat layak dan mampu menjadi sandaran kepada masyarakat dalam memperjuangkan hak kebebasan dan keadilan.

Ketiga: Majoriti Peserta Demonstrasi Adalah Pemuda

Perkara ini tidak dapat disangkal kerana populasi Sudan yang terkini setakat 17 Jun 2019 adalah seramai 42.5 juta orang dan 61% daripadanya terdiri daripada rakyat yang berumur 25 tahun ke bawah, manakala 19 tahun telah dicatatkan sebagai umur median rakyat Sudan.

Sebab itu yang kita lihat para pemuda sentiasa menjadi watak utama dalam hampir kesemua gambar dan video revolusi hari ini. Tidak ketinggalan para wanita yang menjadi kumpulan paling hadapan dalam menuntut hak demokrasi sewaktu protes aman ini berlaku. Alaa Salah, wanita muda berusia 23 tahun telah diberi gelaran “Lady Liberty of Sudan” dan menjadi ikon kebangkitan rakyat Sudan berikutan kelantangannya dalam menuntut kembali hak keadilan kepada rakyat.

Alaa Salah menjadi salah satu daripada banyak contoh terbaik sebagai seorang mahasiswa yang percaya diri, berani dan sedar akan tanggungjawabnya terhadap diri dan masyarakat sekeliling.

Pemuda hari ini seharusnya mengambil inspirasi daripada sosok-sosok muda sebegini agar kehidupan kita menjadi lebih terarah dan berisi. Kita harus tahu ke mana perginya fokus kita saat ini, adakah kita maklum dan sedar akan tanggungjawab kita yang besar terhadap masyarakat atau kita hanya tahu mengisi hari dengan hiburan semata-mata?

Tinggalkanlah perkara yang tidak menumbuhkan diri kita dan lihatlah apa yang boleh diberikan kepada ummat dan masyarakat secara keseluruhan.

Solidariti Sudan: Adakah Kita Melakukannya Dengan Benar?

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap perkara pasti ada hitam dan putihnya. Di celahan masyarakat dunia yang gigih dan bersungguh-sungguh dalam membangkitkan kesedaran dan menyatakan solidariti mereka terhadap rakyat Sudan, telah wujud kumpulan oportunis yang memanfaatkan isu kemanusiaan ini dengan keji atas dasar memenuhi kepentingan peribadi mereka.

Orang-orang seperti ini yang mungkin tidak keterlaluan untuk kita sebutkan sebagai “penunggang isu kemanusiaan”. Mereka telah bertindak membuat satu akaun Instagram palsu menyatakan bahawa untuk setiap jumlah post yang dikongsi pada bahagian story Instagram, sumbangan makanan akan diberikan kepada kanak-kanak Sudan yang dilanda kelaparan di dalam krisis ini.

Untuk satu saat saya berasa hairan juga bagaimana orang awam sendiri begitu mudah mempercayai tawaran tanpa jaminan begini sehingga posting tersebut telah berjaya mendapat perhatian ramai dengan lebih daripada 1.7 juta likes. Mungkin juga kerana di saat getir seperti ini masyarakat tidak berfikir panjang, hanya saja yang berada di fikiran mereka adalah untuk membantu rakyat Sudan dengan apa saja cara termampu, termasuklah dengan berkongsi maklumat daripada akaun laman sosial yang hanya diketahui palsu selepas seminggu ia beroperasi.

Pihak yang membuat akaun palsu tersebut menyatakan bahawa tujuan akaun tersebut dibuat atas nama “Sudan Meal Project” hanya lah suka-suka untuk menambah jumlah pengikut di Instagram, yang mana alasan sebegini sangatlah tidak masuk akal dan tidak boleh diterima jika benar seseorang itu mempunyai nilai kemanusiaan itu di dalam diri.

Lebih menyedihkan lagi apabila akaun palsu yang sama seperti ini semakin bertambah di laman sosial Instagram bak cendawan tumbuh selepas hujan. Begitu murah dan remeh sekalikah isu kemanusiaan ini pada pandangan mereka hingga boleh dibuat main?

Pengguna media sosial sendiri juga seharusnya berfikir dengan lebih panjang sebelum mengambil apa-apa tindakan berhubung isu ini. Mereka sepatutnya selidik terlebih dahulu latar belakang pihak penyumbang sebelum bertindak untuk menyokong dan berkongsi kepada orang ramai. Sekurang-kurangnya kita tahu mereka ini datang daripada badan organisasi apa dan bagaimana sumbangan ini akan diberikan kelak. Sekiranya maklumat sebegini tidak dipaparkan, wajar rasa ragu-ragu yang timbul itu membuatkan kita berfikir sejenak tentang kesahihannya sebelum bertindak menyebarkannya kepada orang lain.

Sesebuah kebenaran itu tidak terletak pada bilangan orang yang mengikuti dan menyokongnya. Berlakulah adil dalam menilai dan bertindaklah dengan bijak dalam menyatakan solidariti terhadap isu kemanusiaan yang berlaku.

Dayana Zawani

JK Khidmat Masyarakat,

HARMONI UIAM


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.