Socrates: Bapa Falsafah Agung Barat

786

Socrates, ahli falsafah terkenal sepanjang zaman, yang mindanya dianggap antara yang paling halus dan rumit pernah wujud dalam tamadun manusia. Kem4tiannya merupakan detik gelap bagi sejarah Athens dan manusia. Namun, pemikiran dan ajaran-ajarannya terselamat dan masih terus hidup, menyuluhkan cahaya selama 2500 tahun. Plato, Aristotle, Nietszche dan ramai lagi pemikir ulung sepanjang zaman sama sekali tidak berupaya memberikan analisis muktamad perihal idea-idea Socrates. Kami juga tidak berhasrat untuk menyinggung tentang hal ini di dalam artikel ini. Namun, artikel kali ini memberikan peluang bagi anda yang mahu mengenali Socrates, yang mahu mendapatkan sentuhan atau gambaran tentang kehidupan dan pemikiran ahli falsafah yang masyhur ini.

Socrates dilahirkan pada tahun 470SM dan meninggal dunia pada tahun 399SM di Athens. Beliau lahir di dalam sebuah keluarga yang miskin dan daif. Bapanya adalah seorang pemahat arca manakala ibunya pula adalah seorang bidan. Socrates pada awalnya mengikuti jejak langkah bapanya sebagai pemahat arca, profesion lazim pada masa itu. Namun kemudiannya, beliau berhenti dan mendedikasikan hidupnya untuk falsafah.

Maklumat tentang latar belakang pendidikan Socrates tidak dapat diketahui. Lantaran itu, kita hanya boleh mengandaikannya sahaja. Sebahagian ilmuwan menduga bahawa beliau belajar secara sendiri, berdasarkan ajarannya tentang pemerhatian terhadap dunia dan penghuninya.

Banyak maklumat yang kita ketahui tentang Socrates datang daripada penulisan Plato, yang menyatakan bahawa Socrates merupakan seorang lelaki yang jujur dan budiman, serta seorang rakyat yang mengasihi negaranya. Beliau tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab keagamaan dan politik seperti mengundi. Beliau turut terlibat dalam kehidupan berpolitik di Athens, negara kota yang sangat beliau kasihi.

Patung Socrates di hadapan Akademi Athens

SOCRATES SI TENTERA

Fakta yang kurang diketahui tentang Socrates adalah beliau juga pernah menjadi seorang tentera. Beliau berp3rang dalam tiga kempen P3rang Peloponnesian, di mana beliau memperagakan keberanian dan kegagahan yang luar biasa, di samping ketahanan menghadapi kesukaran semasa dan selepas pertempuran.

Dalam Symposium, sebuah teks falsafah oleh Plato, seorang pemuda bernama Alcibiades memuji keberanian Socrates serta kekuatannya yang tidak kalah kepada kesejukan dan ketakutan. Alcibiades mengatakan bahawa Socrates telah menyelamatkan nyawanya dalam pertempuran dan kemudian, enggan menerima penghormatan atas sebab itu

.Dalam Apology, iaitu laporan Plato tentang ucapan-ucapan Socrates dalam mempertahankan dirinya, Socrates menyamakan tindakan mengundurkan diri daripada falsafah dengan pengunduran diri seorang tentera daripada musuh apabila situasi pertempuran cenderung untuknya terbvnuh.

Terdapat satu kes undang-undang di Athens yang masyhur lantaran ia menggambarkan kualiti moral Socrates. Selepas berlakunya sebuah pertempuran laut, ketika ombak dan cuaca yang dahsyat membuatkan mustahil untuk pasukan tentera berpatah balik, para panglima yang sudah meriah kemenangan bertindak meninggalkan tentera-tentera yang terkorban (tidak dikebumi dan tidak diberikan penghormatan selayaknya) dan turut meninggalkan kelasi-kelasi yang berada di dalam kapal-kapal yang telah digenangi air.

Panglima-panglima tersebut bukan hanya meninggalkan mereka, malah mengejar armada Sparta yang sedang melarikan diri. Socrates merupakan seorang ahli boule, iaitu sidang rakyat Athens.

Bertekad untuk berpegang teguh pada prinsip berbanding digoyahkan dengan pandangan popular yang berisiko ditimpa pemulauan atau hukuman m4ti, beliau secara bersendirian menentang perbicaraan yang beliau anggap tidak mematuhi perlembagaan. Beliau menghalang undian sehingga gilirannya sebagai seorang ahli sidang tamat, yang sesudah itu para panglima tadi dikenakan hukuman m4ti.

SOCRATES DAN TIGA PULUH TIRANI

Setelah berakhirnya P3rang Peloponnesian dan pembubaran demokrasi, Athens ditadbir oleh Tiga Puluh Tirani. Socrates adalah salah satu pengkritik mereka yang paling keras dan beliau sering berkonflik dengan mereka, terutama sekali dengan rakan lama serta bekas pelajarnya, Crito dari Alopece.

Tiga Puluh Tirani bertindak balas terhadap individu yang dianggap sebagai ancaman terhadap mereka dengan cara merampas harta dan menjatuhi hukuman m4ti. Socrates sering bertelagah dengan Tiga Puluh Tirani ini dan enggan menerima autoriti mereka, sekaligus hal ini menjadi satu faktor utama yang membawa kepada hukuman m4ti yang dijatuhkan ke atasnya.

Walaupun Socrates merupakan salah seorang individu yang paling kabur sejarah hidupnya dalam dunia, beliau juga adalah salah seorang insan yang paling dipandang tinggi. Ahli falsafah ini langsung tidak meninggalkan walau satu patah tulisan sekalipun. Apa yang kita tahu tentang perjalanan dan ajaran falsafahnya datang menerusi individu-individu ulung lain pada era itu, iaitu Aristotle, Xenophon dan sudah tentu, Plato yang catatannya dianggap paling dipercayai dan tepat di antara semua.

Xanthippe menuang air ke atas Socrates, lukisan oleh Luca Giordano

Kem4tian Socrates yang diselubungi ketidakadilan mengejutkan masyarakat Athens pada masa itu, di mana Plato yang masih muda sedang berkembang besar sebagai seorang pemikir dan ahli falsafah sekaligus mendorongnya untuk merekodkan kehidupan dan ajaran-ajaran guru agungnya itu.

Salah satu karyanya adalah The Apology, iaitu himpunan ucapan Socrates dalam mempertahankan dirinya terhadap tuduhan penguasa Athens yang dilemparkan ke atasnya, dalam versi Plato. Hampir kesemua yang kita tahu tentang idea-idea falsafah Socrates datang daripada pelajarnya yang setia itu, yang juga merupakan salah seorang ahli falsafah terulung dalam sejarah manusia. Menurut Plato, titik mula dan akhir pemikiran Sokratik terletak pada mottonya, “Aku tahu bahawa aku tidak mengetahui apa pun.”

FALSAFAH-FALSAFAH SOCRATES

Socrates merupakan seorang ahli fikir yang mendalam pemikirannya dan gemar terhadap skeptikisme. Pemikiran dan persoalan-persoalannya secara umum berkisar pada permasalahan harian kehidupan manusia. Hal ini merupakan salah satu kaedah prinsip yang membezakan pemikiran Sokratik dengan ahli-ahli falsafah pra-Sokratik, yang lapangan khususnya meliputi falsafah alamiah.

Ahli-ahli falsafah pra-Sokratik antara lain termasuklah Zeno dan Pythagoras. Falsafah ini menolak mitos yang sebelum ini digunakan untuk menerangkan alam. Malahan, mereka cuba mencari penerangan rasioanl dan matem4tik bagi fenomena alam, di samping turut cuba menjawab persoalan-persoalan tentang alam secara logika dan munasabah.

Socrates mengasihi masyarakatnya. Beliau gemar berhubung dengan mereka, mendengar permasalahan mereka dan merenungi cara fikir mereka. Ajaran dan tutur-katanya sering berkisar mengenai nilai moraliti, keberanian, kebaikan, kesetiaan kepada undang-undang dan kepada negara.

Beliau juga menuding kesan-kesan negatif yang terdapat pada nilai-nilai yang berbalikan. Beliau mengajar golongan pemuda, terutama mereka yang kaya, agar tidak berlebih-lebih dalam hal material dan tidak terlalu menumpu pada penompokan harta, sebaliknya untuk bertingkah lebih bermoral dan mementingkan pengembangan jiwa. Beliau meyakini bahawa masyarakat boleh menyelesaikan masalah dan menemukan kebenaran dengan menggunakan logika sebagai alat.

Mungkin Socrates paling masyhur dengan kaedahnya yang dikenali sebagai ‘Kaedah Sokratik’. Socrates, dalam perbincangan ini, bertingkah seperti seorang yang dungu total atau bertingkah sepenuhnya seolah tidak menyedari isu-isu yang dibincangkan. Dengan mengajukan persoalan demi persoalan, beliau cuba berusaha untuk mencungkil kebenaran bersama ‘teman bicara’ yang pada akhirnya, selepas selesai menjawab kesemua persoalan itu, dirinya dibawa kepada ‘kebenaran’ sebagaimana yang disebut oleh Socrates sebagai kesimpulan bagi dialog-dialog yang dijalankan itu.

Dalam Bahasa Yunani, ia dikenali μαιευτική μέθοδος sebagai – kaedah ‘maieutic’, yang merujuk kepada tanggapan bahawa kebenaran itu berada di dalam minda dan – sama seperti bidan (pekerjaan ibunya) yang membawa seorang bayi lahir ke dunia, maka Socrates membawa kebenaran kepada teman-teman debatnya

Debat di antara Socrates dan Aspasia

Dalam pada keulungan dan kemasyhuran yang diraihnya, Socrates juga mempunyai ramai musuh fanatik, sebagai kesan daripada pengaruhnya yang besar dalam kalangan masyarakat dan penentangannya terhadap autoriti di zamannya. Malangnya, penentangan beliau ini membawa kepada kem4tiannya.

Perbicaraan masyhur ke atas Socrates, yang dianggap sebagai salah satu kes kegagalan keadilan yang paling sedih dalam sejarah manusia, membawa kepada penjatuhan hukuman m4ti ke atas ‘Bapa Falsafah Barat’.

Pada tahun 399SM, Socrates didakwa ‘gagal memperakui dewa-dewa yang diperakui kota’ dan ‘merosakkan pemuda Athens’. Ramai sejarahwan mempercayai bahawa pertuduhan ini direka berikutan salah faham terhadap persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh Socrates semasa beliau mengajar dengan menggunakan kaedah Sokratik-nya. Hukuman ini menetapkan bahawa beliau perlu meminum racun.

Walaupun Socrates boleh sahaja menyelamatkan dirinya dengan melarikan diri dari penjara, beliau memilih untuk menghadapi kem4tian sama seperti beliau menjalani hidupnya – iaitu dengan penuh bermaruah dan penuh keberanian, meninggikan kepercayaan dan nilai-nilai yang beliau habiskan hidupnya untuk diajarkan kepada masyarakat.

‘Kem4tian Socrates’, lukisan oleh Jacques-Louis David (1748-1825)

FAKTA-FAKTA TAMBAHAN

  • Crito adalah nama sebuah dialog yang berlangsung antara Socrates dan Crito dari Alopece tentang keadilan dan ketidakadilan. Kepingan sastera klasik ini mengandungi pernyataan purba tentang teori pentadbiran ‘kontrak sosial’. Ia menjadi sumber inspirasi selama hampir 2500 tahun.
  • The Dialogues oleh Plato merupakan catatan paling lengkap tentang ajaran Socrates yang terselamat dan wujud sehingga kini.
  • Kebanyakan kepercayaan Socrates dipanggil sebagai ‘paradoks’ kerana pada mulanya, ia kelihatan berkontradik dengan tanggapan umum. Kemudian, kita mengenalinya dengan istilah ‘paradoks Sokratik’.
  • Socrates mengahwini Xanthippe, seorang gadis yang sangat muda dan sangat terkenal dengan sifat barannya. Mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki, iaitu Lamprocles, Sophroniscus dan Menexenus.
  • Socrates sering diperincikan sebagai seorang yang perawakannya tidak menarik dan bahkan hodoh, selain individu yang tidak mengambil berat tentang penampilan dan pemakaiannya. Lebih daripada itu, beliau sering berjalan tanpa memakai kasut.
  • Socrates dituduh tidak menghorm4ti para dewa dan sebahagian sejarahwan menganggapnya sebagai salah seorang ateis awal yang paling masyhur dalam sejarah. Namun, Socrates ada menyebut tentang kuasa unggul. Hal ini sekaligus mendorong sebilangan sejarahwan untuk meyakini bahawa beliau adalah seorang monoteis.
  • Socrates tidak menerima wang sebagai imbalan bagi ceramah dan ajarannya. Beliau malah menentang amalan golongan Sophist (guru-guru dan ilmuwan di Yunani purba) yang menawarkan khidmat nasihat dengan bayaran. ‘Protagoras’, salah satu catatan paling masyhur dari klasik Dialogues oleh Plato, memerihalkan tentang debat di antara Socrates dan ahli Sophist yang bernama Protagoras berkenaan topik kontroversi ini.
  • Semasa beliau berusia 17 tahun, Socrates bertemu dengan seorang ahli falsafah yang bernama Archelaus. Ramai yang meyakini bahawa lelaki inilah yang menanamkan semangat cintakan falsafah dalam diri Socrates.
  • Pada tahun 2011, kes Socrates dibuka semula dalam Mahkamah Persekutuan New York. Dalam perbicaraan bersejarah ini – yang dihadiri oleh ahli-ahli akademik, rakyat awam, peguam-peguam jenayah dan pemenang-pemenang anugerah Nobel Sastera dari seluruh dunia – Socrates dibebaskan dari tuduhan setelah 2500 tahun beliau dihukum m4ti. Selepas mendengar pembentangan kes oleh para siswa sejarah dalam membela dan mendakwa Socrates, dua dari tiga ahli majistret menganggap bahawa bukti tidak cukup untuk menyabit kesalahan ke atas ahli falsafah ulung itu.
  • Socrates meninggal dunia pada usia 71 tahun.

Ruangan komen telah ditutup.