Smiley: Moyang Segala Emoji

738

Emoji.

Siapa yang tidak kenal dengan emoji atau emoticon ini? Kehadiran emoji digital diumpama mengembalikan semula kegemilangan tulisan Hieroglif yang pernah digunakan oleh rakyat Mesir kuno pada suatu ketika dahulu.

Tulisan Hieroglif merupakan salah satu tulisan bergambar yang digunakan oleh masyarakat Mesir kuno untuk menggambarkan sesuatu peristiwa, rekod atau catatan yang terjadi pada masa pemerintahan dinasti-dinasti Mesir kuno. Tulisan sebegini kebanyakannya ditemui di dinding dalaman piramid, kuil sembahan ataupun di makam para raja dan bangsawan Mesir kuno.

Sebagaimana yang kita ketahui, simbol emoji terdiri daripada beberapa bentuk riak wajah seperti senyum, sedih, sakit, takut dan pelbagai macam lagi.

Emoji digital pertama diciptakan oleh Shigetaka Kurita ketika beliau bekerja di syarikat telekomunikasi NTT Docomo do Jepun pada tahun 1999. Seterusnya, emoji mula diperkenalkan pada masyarakat pada tahun 2007 oleh syarikat Apple Inc dan ia semakin digunakan secara meluas oleh pengguna media sosial untuk berinteraksi sesama mereka sehingga ke hari ini melalui beberapa proses penambahbaikan pada watak-watak emojinya. Selain bertujuan membawa suatu mesej atau maksud tertentu, emoji juga dinobatkan sebagai salah satu bahasa antarabangsa yang sangat mudah difahami.

Tetapi tahukah anda, simbol emoji senyum atau yang dikenali sebagai Smiley, pernah tergambar di atas sebuah artifak purba yang diyakini berumur hampir 2,000 SM dahulu?

Sebelum penemuan artifak yang akan diceritakan, kita akan melihat penemuan emoji Smiley di atas sebuah dokumen milik seorang peguam dari tahun 1635 M.

SMILEY TRENCIN (1635 M)

Pada bulan Februari 2017 lalu, para pengkaji National Archive of Trencin dari Slovakia, telah menemui sehelai dokumen rasmi yang berusia hampir 382 tahun (2019, 384 tahun), yang dimana, di dalamnya ditemui sebuah emoji senyum bertulisan tangan.

Emoji senyum tersebut berada di bawah sebuah tandatangan seorang peguam yang diyakini bernama Jan Ladislaides. Para pengkaji berpendapat, Jan Ladislaides melukis emoji dibawah tandatangannya sebagai salah satu bentuk kegembiraannya mengesahkan sebuah dokumen yang lengkap. Peter Brindza, ketua dalam penyelidikan dokumen terbabit mengungkapkan, yang emoji senyum tersebut mungkin sebuah emoji yang paling lama di dalam dunia ataupun hanya di daerah Trencin sahaja.

Peter Brindza, ketua penyelidik yang bertanggungjawab menyelidiki helaian dokumen milik Jan Ladislaides.

Rekod emoji senyum milik Jan Ladislaides yang diyakini sebagai penemuan emoji terlama di dunia tidak bertahan lama apabila pada bulan Mei 2017, ahli arkeologi dari Universiti Bolognia, Itali, menemui sebuah bekas minuman dari tapak arkeologi di daerah Karkamis, Turki yang berhampiran dengan sempadan negara Syria.

SMILEY KARKAMIS (2,000 SM).

Tapak arkeologi Karkamis merupakan tapak kota kuno Karkamis (Dewa Karmis) yang dahulunya pernah diperintah oleh empayar Hittie (1600 SM-1178 SM) yang mana bekas empayarnya merangkumi negara moden sekarang iaitu Turki, Syria, Lebanon dan Cyprus. Kota Karkamis pernah diperintah oleh tamadun Hittie, Neo-Assyria dan Rom.

Kawasan ini mula dikaji dan digali oleh ahli penyelidik dari pihak Muzium British pada sekitar tahun 1878 sehingga 1881, 1911 sehingga 1914 dan 1919 sehingga 1920. Penggalian seterusnya dilancarkan di antara tenaga gabungan dua buah negara, iaitu dari Turki dan Itali pada tahun 2011.

Pada tanggal 2 Mei 2017 yang lalu, seramai 25 orang ahli arkeologi gabungan dari Universiti Bolognia dari Itali, Gaziantep Metropolitan dan Sanko Holdings dari Turki, bertanggungjawab dalam misi penggalian tapak arkeologi Karkamis, telah menemui beberapa artifak purba peninggalan tamadun Hittie dan tamadun Rom.

Ketika penggalian di salah sebuah makam di tapak Karkamis, mereka telah menemui pelbagai benjana atau bekas yang menyimpan makanan atau minuman yang kebanyakannya berusia hampir 2,000 SM. Diantara penemuan tersebut, ahli arkeologi lebih terpesona dengan sebuah bekas yang dipermukaannya terpapar lukisan seakan-akan Smiley. Penemuan ini seterusnya mengejutkan mereka dan beberapa pendapat dan teori dikemukakan berdasarkan kajian, diantaranya adalah:

1. Bekas ini digunakan untuk menyimpan sherbet, iaitu sejenis minuman manis.

2. Tujuan lukisan yang dilukiskan di atas bekas air ini masih belum dikenalpasti.

Profesor Nikolo Marchetti bersama bekas air Smiley yang ditemui di sebuah makam di tapak arkeologi Karkamis.

Nikolo Marchetti, profesor dari Universiti Bolognia, yang bertanggungjawab memimpin misi penggalian di Karkamis selama 7 tahun lamanya, meringkaskan pendapatnya yang kemungkinan ini adalah emoji paling tertua di dunia yang pernah ditemui oleh manusia.

Bekas air Smiley dan beberapa artifak lain dibawa ke Muzium Arkeologi Gazeantep di Turki, untuk dikaji dan disimpan sebagai salah satu koleksi oleh pihak muzium.

Pada tahun 2018 lepas, pihak Turki telah mengumumkan untuk membuka tapak arkeologi kota kuno Karkamis kepada umum. Para pengunjung dapat melihat sisa runtuhan istana, kuil sembahan, beberapa buah tugu dan beberapa sisa peninggalan binaan tamadun Rom dan Neo-Assyria.

Rekod Smiley Karkamis sebagai emoji tertua di dunia masih utuh sehingga ke hari ini. Adakah suatu hari nanti, akan ditemui emoji Smiley lainnya yang lebih tua usianya daripada Smiley Karkamis?

Entahlah. Yang penting, dalam hidup ini, sentiasalah tersenyum walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Kalau bekas air buruk ini mampu lagi tersenyum girang setelah 4,000 tahun lamanya terkubur di dalam makam dan ia dipandang bernilai di mata sejarawan, bagaimana pula anda?

Yeah.. senyumlah walaupun muka buruk. Hanya orang yang tertentu sahaja yang mampu melihat betapa bernilainya disebalik senyumanmu.

Tapak arkeologi kota kuno Karkamis, Turki.

RUJUKAN:

1. Catatan Penggalian Arkeologi Karkamis: https://turkisharchaeonews.net/article/july-2017-turkish-archaeology

2. Pembukaan Muzium Arkeologi Karkamis: https://www.aa.com.tr/en/culture/turkey-ancient-hittites-city-to-become-open-air-museum

3. Oldest Emoji: https://nypost.com/2017/07/20/worlds-oldest-emoji-discovered-on-3700-year-old-pot/

4. Tentang Profesor Nicolò Marchetti: https://unibo.academia.edu/Nicol%C3%B2Marchetti

– TAMAT –

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.