Slobodan Praljak – Penjenayah Perang Bosnia Yang Meminum Racun

1,138

Slobodan Praljak merupakan bekas jeneral askar negara Croatia dan majlis pertahanan negara Croatia di mana dia dilantik pada 3 April 1992. Dia terlibat dalam peperangan saudara Bosnia serta beberapa peperangan di antara tahun 1992 hingga 1995.

Selepas peperangan tamat, dia menjadi seorang ahli perniagaan dan pengurus kepada sebuah syarikat bernama Oktavijan, di mana syarikat ini menerbitkan pelbagai video, filem dan rancangan televisyen.

Kehidupannya walau bagaimanapun musnah apabila dia disabitkan dengan pelbagai kesalahan berkaitan jenayah peperangan semasa dia memegang jawatan sebagai major jeneral. International Criminal Tribunal for the former Yugoslavia (ICTY) merupakan badan yang bertanggungjawab memberkas dan menyabitkan beberapa kesalahan dan perbicaraan.

Antara kesalahannya termasuk megarahkan askar Herceg-Bosnia melakukan pembunuhan beramai-ramai rakyat muslim Bosnia. Kesalahan yang lain adalah seperti penglibatannya dalam memusnahkan jambatan Stari Most iaitu sebuah jambatan yang dibina sejak zaman empayar Uthmaniah, serta beberapa kesalahan pembunuhan beramai-ramai, merampas harta beberapa pegawai tertinggi daerah Mostar dan melanggar beberapa akta Geneva.

Dia menyerah diri pada tahun 2004, dan perbicaraannya bersama International Criminal Tribunal for the former Yugoslavia diteruskan. Walaupun dia tidak mengaku bersalah, dia dipenjara selama 20 tahun pada beberapa kesalahan pertamanya, dan untuk beberapa pertuduhan lain, dia memohon untuk dibicarakan dan menghantar rayuan kepada mahkamah.

Pada 29 November 2017, perbicaraan rayuan yang diketuai oleh hakim Carmel Agius setelah mendengar hujah-hujah yang diberikan masih menyabitkannya beberapa kesalahan dan masih mengekalkan hukuman penjara selama 20 tahun itu. Semasa perbicaraan ini, Slobodan Praljak telahpun menjalani hukuman penjara selama 13 tahun, hanya 7 tahun lagi yang tinggal untuk dia dibebaskan.

Malangnya, selepas hukuman diberikan, dia tiba-tiba berdiri dan berkata “Para juri sekalian, saya, Slodoban Praljak tidak bersalah dan menentang keputusan yang dibuat!” sambil menelan sejenis cecair daripada bekas kecil. Kemudiannya dia terbaring dan mati di tempat kejadian.

Para pegawai perubatan mendedahkan hasil autopsinya, di mana mereka mendapati bahawa cecair yang ditelan itu adalah potassium cyanide, yang menyebabkan kematiannya serta merta.

Seluruh kejadian ini dirakam dan disiarkan secara langsung di televisyen merupakan satu kejadian yang amat menggemparkan. Awas, rakaman video yang tersiar di Youtube ini mengandungi beberapa babak yang tidak boleh ditonton untuk sesetengah orang.

Sedikit informasi mengenai racun bernama cyanide ini. Baunya seperti bau kacang almond, dan cara racun ini berfungsi adalah dengan menghalang penghasilan tenaga dalam bentuk ATP dengan cara menghalang enzim cytochrome C oxidase dan oksigen daripada diserap dalam mitokondria. Ketiadaan ATP menyebabkan organ-organ utama dalam badan berhenti berfungsi sepenuhnya, di mana dalam kes ini, jantungnya.

Kematiannya mendapat simpati daripada presiden negara Croatia, yang menghantar ucapan takziah serta kesal daripada kejadian yang berlaku. Penyiasatan untuk mencari bagaimana Slobodan mendapat racun tersebut masih diteruskan dan setakat ini tiada apa-apa informasi dan petunjuk yang terbaru.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.