Di satu kawasan bawah tanah bangunan Biro Kimia, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat pada 1902, sekumpulan 12 orang individu duduk di meja makan dan menikmati hidangan mewah yang disediakan seorang chef terkenal. Tetapi makanan percuma yang dinikmati mereka diselitkan dengan racun yang tidak diketahui.

Mula-mula, chef terkenal yang hanya dikenali sebagai ‘Perry’ hanya menyelitkan boraks dalam mentega. Tetapi sebaik melihat ia tidak disentuh oleh 12 individu ini, dia cuba menyelitkannya dalam susu tetapi tidak berhasil. Bila ditanya kenapa, rasa susu tersebut seperti metalik.

Enggan berputus asa, Perry menukar boraks dalam bentuk kapsul agar ia boleh diambil oleh peserta-peserta ini. Akhirnya, taktik tersebut menjadi dan untuk tempoh lima tahun seterusnya, walaupun peserta eksperimen bersilih ganti, kapsul berisi bahan pengawet dan racun digunakan dalam setiap hidangan.

Sekali pandang, ia persis eksperimen saintis gila macam Dr Victor Frankenstein. Tetapi bagi ketua ahli kimia Jabatan Pertanian Dr Harvey Washington Wiley, eksperimen sebegini bertujuan menguji sejauh mana bahan pengawet makanam yang digunakan syarikat-syarikat terbukti selamat kepada pengguna. Wiley merujuk eksperimen ini sebagai ujian percubaan kebersihan meja tetapi media – lebih tepat Washington Post menggelarnya sebagai Skuad Racun (The Poison Squad).

Rajah 1: Harvey Washington Wiley

Untuk eksperimen sebegini, mereka tidak pernah berdepan kekurangan sukarelawan di sebalik label ganas yang diberi media. Setiap peserta yang menyertai eksperimen bersetuju untuk tidak mengambil makanan dari luar semasa eksperimen berjalan kecuali air. Sekiranya ada, mereka perlu melaporkannya kepada doktor-doktor dari Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Hospital Marin.

Sebelum makan, berat, suhu badan dan kadar degupan jantung direkodkan. Selain itu, mereka juga perlu memberitahu makanan apa yang diambil semasa eksperimen kepada pakar-pakar kesihatan bertugas.

Pada akhir eksperimen, mereka perlu menyerahkan sampel air kencing dan najis untuk analisis ujian kimia – bahagian eksperimen yang paling dibenci. Satu bahagian eksperimen kemudiannya diperuntukkan oleh Wiley bagi mengkaji sama ada bahan makanan tambahan boleh hilang akibat pernafasan atau peluh. Kadar racun digunakan ditambah sedikit demi sedikit dan eksperimen dihentikan sekiranya ada peserta merasa tidak sihat.

Kebanyakan sukarelawan yang menyertai eksperimen Wiley ini merupakan kakitangan awam yang berusia muda. Setiap peserta menjalani saringan ketat termasuk pemeriksaan dari segi moral, tidak mabuk dan boleh diharap. Selepas melepasi semua saringan, mereka diminta menandatangani surat melepaskan hak untuk menyaman kerajaan sekiranya mereka jatuh sakit atau mati akibat eksperimen ini.

Mungkin ada menganggap ia merenyahkan dari segi kertas kerja. Tetapi risiko yang diambil mereka dalam eksperimen ini sememangnya merbahaya. Justeru, tidak hairanlah mengapa eksperimen hanya dihentikan jika peserta jatuh sakit atau tidak dapat berfungsi (contohnya sakit perut dan muntah-muntah).

Habuan mereka bukanlah wang tunai tetapi makanan yang disajikan tiga kali sehari secara percuma kepada mereka. Di samping itu, mereka perlu menjalani pemeriksaan fizikal mingguan dengan semua aktiviti kebersihan diri perlu dilaporkan.

Pernah pada satu ketika, seorang peserta mahu mendapatkan potongan rambut di sebuah salon. Sebaik ia diketahui oleh pakar-pakar bertugas, si polan ini diarah pergi ke salon dan mengambil semula sisa rambutnya. Pendek kata, semua aspek fizikal diukur termasuk rambut!

Satu lagi peraturan yang ditetapkan Wiley untuk pemilihan peserta ialah tiada peserta wanita dibenarkan. Alasan yang dikemukakan ialah kononnya wanita mempunyai kapasiti otak yang sedikit berbanding lelaki dan dianggap orang gasar oleh ketua ahli kimia Jabatan Pertanian itu. Chef wanita juga tidak dibenarkan memasak untuk Skuad Racun atas alasan sama.

Jadi, apa yang mendorong Wiley melakukan eksperimen ini? Semuanya bermula apabila beliau cuba menggubal undang-undang berkaitan makanan tambahan di Kongres selepas dilantik sebagai ketua ahli kimia Jabatan Pertanian. Tetapi sebaik dihidu oleh syarikat-syarikat makanan, pelobi syarikat-syarikat ini berusaha menggugurkan setiap rang undang-undang yang dikemukakan.

Sebagai tindak balas, Wiley berjaya mendapat peruntukan sebanyak AS$5,000 untuk membiayai eksperimen ini. Dalam dokumen rasmi, ia bertujuan menyiasat ciri setiap bahan yang terkandung dalam bahan pengawet dan apa prinsip yang sesuai untuk digunakan dalam pengeluaran makanan. Tetapi matlamat akhirnya ialah menjadikan ia sebagai batu asas untuk undang-undang pengawet makanan.

Mungkin ada bersimpati dengan mereka. Tetapi bagi setiap kapsul pengawet yang ditelan, mereka menikmati hidangan enak dan mewah seperti sos epal, sup, ayam panggang, teh dan kopi. Selain boraks, pelbagai bahan pengawet lain yang diuji seperti formaldehid, asid benzoik dan sulfur dioksida.

Kerja keras Skuad Racun membawa kepada penggubalan Akta Pemeriksaan Daging dan Akta Dadah dan Makanan Tulen – kedua-duanya digubal pada tahun 1906. Wiley mahukan Akta Dadah dan Makanan Tulen dinamakan sempena namanya. Tetapi ia disekat oleh seorang figura terkenal bernama Teddy Roosevelt. Dengan mengubah nama akta berkenaan, nama Presiden Amerika Syarikat itu dikenali berbanding Wiley.

Walaupun Skuad Racun dibubarkan pada 1907, Biro Kimia Jabatan Pertanian diberi tugas menguatkuasakan undang-undang berkenaan. Lima tahun selepas itu, Wiley meninggalkan jabatan berkenaan dan menyertai majalah wanita terkenal Good Housekeeping sebagai ketua pengujian makanan.

Walaupun dikenali sebagai seseorang yang meremehkan hak wanita, ironinya beliau berkahwin dengan seorang pejuang hak asasi wanita terkenal. Wiley berkahwin dengan Anna Kelton pada tahun 1911 dengan wanita tersebut berusia separuh daripada usianya. Di sebalik semua itu, kedua-duanya hidup bahagia dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

Perkahwinan tersebut terus bertahan sehinggalah Wiley meninggal dunia pada 30 Jun 1930. Tarikh tersebut merupakan ulang tahun ke-24 Akta Dadah dan Makanan Tulen diluluskan oleh dewan perundangan Amerika Syarikat. Kini, kedua-duanya dikebumikan di Perkuburan Negara Arlington, satu penghormatan molek buat Bapa FDA itu.

RUJUKAN

Watson, B. (2013, 27 Jun). The Poison Squad: An Incredible History. Esquire.

Lewis, C. (2002, November dan Disember). The “Poison Squad” and the Advent of Food and Drug Regulation. U.S. Food and Drug Administration Consumer Magazine.

Felton, J. (2022, 9 Februari). The Poison Squad: The US Government Experiment That Saw Volunteers Deliberately Eat Poisons. IFLScience.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply