Skala Kardashev – Pengukur Kemajuan Sesebuah Tamadun

341
views

Setiap benda yang kita lakukan sudah pasti akan dinilai tidak kira sama ada di sekolah, universiti atau tempat kerja. Dan gred dari perbuatan ini akan tentukan sejauh mana kemajuan kita dalam sesuatu perkara. Tetapi bagaimana hendak menentukan kemajuan tamadun manusiawi? Bila sudah membabitkan teori dan pengiraan fizik, maka Skala Kardashev ialah skala yang sesuai dalam soal ini.

Lelaki di sebalik skala ini ialah seorang saintis Rusia bernama Nicolai Kardashev. Menurut beliau, kemajuan sesebuah tamadun bergantung kepada kemajuan mereka dalam soal teknologi dan tenaga. Tambah beliau, teknologi yang lebih baik akan membantu sesebuah tamadun menghasilkan tenaga yang lebih baik.

Dan dari tenaga ini juga, ia menjadi asas kepada lebih banyak teknologi dan inovasi terbaru yang memacu sesebuah tamadun lebih ke hadapan. Kardashev percaya kemajuan sesebuah tamadun bergantung kepada teknologi dan kemampuannya menghasilkan tenaga diperlukan untuk digunakan mereka.

Pada tahun 1964, idea ini dibentangkan menerusi kertas kerjanya yang bertajuk ‘Transmission of Information by Extraterrestrial Civilizations’ di mana beliau mengenalpasti tiga tahap pengelasan tamadun. Ada tiga jenis mengikut kriteria awal Kardashev iaitu Jenis 0, Jenis I dan Jenis II. Jenis 0 ialah tamadun yang masih bergantung kepada bahan mentah seperti bangkai binatang dan bahan mineral untuk menghasilkan tenaga serta belum berkemampuan meninggalkan planet mereka. Bumi dikelaskan dalam kumpulan ini dengan Carl Sagan memberi penarafan 0.7 kepada bumi pada tahun 1973.

Jenis I pula ialah tamadun yang bukan saja menuai semua jenis tenaga planet berkenaan tetapi berupaya memanfaatkan sumber yang ada termasuk bintang. Dengan kata lain, kita menuai tenaga dari bintang berhampiran, mengumpul dan menyimpannya untuk kegunaan tenaga sesebuah planet. Keadaan ini hanya boleh dicapai jika kita dapat menghasilkan tenaga lebih 100,000 kali ganda untuk capai status ini. Bagaimanapun, ia tidak terhad kepada penuaian dan pengumpulan tenaga saja. Keupayaan menuai tenaga planet ini juga merujuk kepada keupayaan mengawal alam semulajadi seperti gempa bumi, gunung berapi dan cuaca.

Sementara tamadun Jenis II pula ialah sebuah tamadun yang bukan saja menuai tenaga bintang tetapi juga mampu mengawalnya. Para saintis mencadangkan beberapa kaedah yang membawa kepada senario itu termasuk satu model yang dipanggil Sfera Dyson. Alat ini akan meliputi setiap inci bintang berkenaan, mengumpul tenaga yang terhasil dari bintang itu dan memindahkannya ke planet untuk kegunaan hari-hari terkemudian. Atau jika sesebuah tamadun dapat menguasai kaedah penghasilan tenaga melalui cara pelakuran, mereka boleh menghasilkan sebuah reaktor dengan kapasiti yang besar untuk memenuhi keperluan tenaga. Dan bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan baik, bahan tenaganya diambil dari hidrogen gas-gas gergasi berhampiran.

Tetapi untuk capai tamadun Jenis III, ia boleh dianggap satu pencapaian yang ulung. Ini kerana menerusi tamadun jenis itu, sesebuah spesis dapat mengembara ke segenap penjuru galaksi dengan pengetahuan yang hebat dari penghasilan tenaga hingga bentuk teknologi yang dimiliki. Ini sekaligus menjadikan sesebuah spesis sebagai bangsa yang agung dan hebat. Jika kita letakkan manusiawi dalam konteks ini, orang-orang yang capai tamadun sebegini dilihat berbeza kerana sudah melalui pelbagai bentuk evolusi dari segi biologi dan mekanikal yang menjadikan mereka berbeza dengan manusia yang kita kenali hari ini.

Individu sebegini mungkin mengalami proses transformasi menjadi organisma sibernetik (separuh hidupan, separuh robot) seperti yang ditonjolkan dalam bentuk Cybermen dalam drama bersiri sains fiksyen Doctor Who. Cybermen pada asalnya manusia biasa tetapi terpaksa menjalankan pelbagai pengubahsuaian bersifat mekanikal bagi membantu mereka beradaptasi termasuk mematikan semua bentuk elemen kejiwaan. Spesis ini merupakan antara spesis asing yang digeruni dalam dunia fantasi Doctor Who dan merupakan musuh kedua yang ditakuti The Doctor selepas spesis Dalek.

Menerusi kemajuan ini, mana-mana tamadun yang mencapai Jenis III boleh membina jutaan robot dan membantu mereka menduduki sistem-sistem bintang dalam alam semesta ini. Dan usah terkejut jika model Sfera Dyson itu digunakan pada bintang-bintang yang lain dan dibawa kembali ke planet asal mereka. Tetapi usaha sebegini dilihat mencabar undang-undang fizik termasuk perjalanan tahun cahaya melainkan ia boleh diatasi melalui penghasilan sistem pendorongan pacuan ledingan atau memanfaatkan tenaga yang ada untuk menghasilkan pengangkutan lubang cecacing.

Menurut Kardashev, sesebuah tamadun hanya boleh mencapai tiga tahap itu sahaja. Bagi beliau, ia dilihat melebihi had kemampuan mana-mana spesis kehidupan. Jika ada tamadun Jenis IV, tamadun ini boleh memanfaatkan tenaga dari seluruh alam semesta dan boleh berada dari satu tempat ke satu tempat dengan pantas. Kaedah penghasilan tenaga dari jenis tamadun sebelum ini dianggap mustahil untuk dihasilkan. Tamadun Jenis IV perlu mendapatkan akses kepada tenaga yang tidak diketahui manusia menggunakan kaedah undang-undang fizik yang pelik atau radikal.

Menurut Dr Michio Kaku, tidak mustahil manusia boleh mencapai tamadun Jenis I dalam tempoh 100 atau 200 tahun. Tetapi itu hanya sekadar impian jika kita berterusan merosakkan bumi, saling bertekak antara satu sama lain dan tidak berminat meneruskan pelbagai eksperimen yang menyokong kemajuan sains dan teknologi.

SUMBER

1. Faletto, Joanie. (2017). Curiosity.com. The Kardashev Scale Is a Tool that Measures How Advanced a Civilization Is. https://curiosity.com/topics/the-kardashev-scale-is-a-tool-that-measures-how-advanced-a-civilization-is-curiosity/

2. Creighton, Jolene. (2014). Futurism.com. The Kardashev Scale – Type I, II, III, IV & V Civilization. https://futurism.com/the-kardashev-scale-type-i-ii-iii-iv-v-civilization

Previous articleReiwa (令和): Signifikasinya kepada Jepun
Next articleFasa Triassic: Lahirnya Haiwan Bernama Dinosaur
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE