Siti Nurhaliza Merevolusikan Dunia Muzik

1,658

Kebangkitan Siti Nurhaliza tidak sama sekali berasaskan nasib semata-mata. Tidak mungkin seseorang boleh digelar “Suara Asia” atau “Celine Dion Asia” kalau ikut nasib sahaja.

Beliau merupakan kiasan paling baik tentang permulaan betul-betul dari bawah. Dan sehingga hari ini bila beliau muncul saja, mesti ramai akan menahan nafas dalam kejutan dan teruja.

Namun ketepikan sebentar tentang bakat dan kemasyhuran Siti Nurhaliza. Semua sudah tahu tentangnya. Jika tutup pembesar suara pun, orang masih boleh mendengarinya. Begitu lagendanya penyanyi tempatan ini, tetapi seberapa ramai benar-benar tahu tentang jasanya yang telah merevolusikan dunia muzik?

Tidak mungkin seseorang boleh ingat bila kali terakhir Siti Nurhaliza berpakaian terdedah di atas pentas. Tidak mungkin, kerana Siti Nurhaliza tidak pernah berbuat sedemikian.

Ini kerana beliau merupakan seorang penggiat seni yang konservatif. Awalnya, beliau dikritik kerana etika pemakaiannya yang mencerminkan konservatisme dalam diri (Utusan Online, 1998).

Beliau pernah berkata, “sebagai seorang artis, saya sedar bahawa ada banyak tanggungjawab sosial yang perlu dijaga. Maka saya ingin berlaku moderat dalam semua (perkara), termasuk hal ehwal pemakaian.”

Persembahannya di Indonesia pada 1997 telah memangkinkan suatu budaya baharu terutamanya bagi genre lagu dangdut. Biasanya dangdut akan dinyanyikan dalam lebaran erotika, lebih-lebih lagi apabila dinyanyikan seorang perempuan.

Tetapi penampilan Siti Nurhaliza dari awal sampai habis dalam keadaan moderat telah menjadi sebutan. Kerana orang lebih fokus tentang bakatnya, berbanding fizikal (Harian Metro, 2009).

Atas kesopanan ini juga telah mengharumkan namanya. Siti Nurhaliza tidak menjadi seorang penyanyi semata-mata. Beliau telah mencerminkan identiti kemelayuan yang selaras dengan pembangunan Malaysia pada masa itu. Beliau menerima pujian daripada para ulama bukan saja di Malaysia tetapi Indonesia juga (Harian Metro, 2005).

Dalam era yang semakin Islamik, pembawaannya telah mengukuh sebagai suatu trendsetter – seseorang yang menentukan trend semasa, dipersonifikasi berdasarkan tatacaranya sendiri.

Sehingga seorang penyani Indonesia ditegur Menteri Belia dan Sukan Indonesia supaya mengikuti jejak langkah Siti Nurhaliza (Sompotan, 2008).

“(Siti Nurhaliza) tidak melebih-lebih. Dia tidak pakai pakaian terdedah dan menari ikut nafsu. Tetapi dia masih terkenal di tempatan dan antarabangsa.” – Adhyaksa Dault.

Pengaruh Siti Nurhaliza berlegar luas daripada aspek kemoderatan semata-mata. Kebanyakan lagunya walaupun bermain sekitar cinta mempunyai tema-tema penting juga:

Biarlah Rahsia mempunyai bunyi tentang kesibukan dunia untuk mengambil tahu tentang keperibadian orang. Sehingga hari ini masyarakat lebih gemar membawang, tidak langsung menghiraukan privasi atau perasaan orang lain.

Asalkan lepas dari dada. Janji puas hati.

Jadi tidak peliklah Siti Nurhaliza menimang populariti di Asia Tenggara. Berkali-kali beliau diundi sebagai Artis Paling Popular. Dan beliau juga telah memberikan inspirasi kepada ramai artis-artis dalam kalangan generasi seterusnya.

Promosi Buku DTT

Aizat Amdan mengakui Siti Nurhaliza merupakan idolanya (Kemalia, 2014).

Begitu juga dengan Soo Wincci yang menyerap inspirasi daripada sikap dan vokal Siti Nurhaliza (Ardini, 2017).

Masyarakat Malaysia juga telah mengundi Siti Nurhaliza sebagai wanita paling dikagumi di Malaysia, di atas Tun Siti Hasmah, Wan Azizah Wan Ismail, Oprah Winfrey dan Michelle Obama (FMT Reporters, 2019).

Kalau diteliti, Siti Nurhaliza telah memasuki satu fasa populariti yang anugerah-anugerah materialis tidak lagi membawa makna. Ibaratkan beliau tidak menjuarai apa-apa pun, namanya tidak akan terundur dari ingatan.

Seperti Mark Calaway (The Undertaker) dan Steven Spielberg dalam masing-masing arena gusti dan perfileman – piala, pingat dan anugerah sudah tidak lagi memainkan peranan dalam memacu populariti.

Biasanya orang yang capai kedudukan sebegini akan mengekalkannya ratusan tahun selepas pemergian pun. Lihat saja Alfred Hitchcock, Billie Holiday dan Frank Sinatra – masakan dunia akan melupakan mereka?

RUJUKAN:

Ardini, S.S. (2017, Ogos 13). Siti buka mata Soo Wincci. Harian Metro. Retrieved from https://www.hmetro.com.my/rap/2017/08/252988/siti-buka-mata-soo-wincci

FMT Reporters. (2019, July 22). Siti Nurhaliza setanding Michelle Obama paling dikagumi di Malaysia? Free Malaysia Today. Retrieved from https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/07/22/siti-nurhaliza-setanding-michele-obama-paling-dikagumi-di-dunia/

Kemalia, O. (2014, Mei 2). Aizat Tolak Hasrat Siti Nurhaliza, Sheila Majid. M Star. Retrieved from https://www.mstar.com.my/spotlight/hiburan/2014/05/02/aizat-tolak-hasrat-artis-senior

Harian Metro. (2005, January 25). Teruskan Lagi Siti! Retrieved 16 Ogos 2010.

Harian Metro. (2009, July 21). Bukti kehebatan artis kita. Retrieved 16 Ogos 2010.

Sompotan, J. (2008, April 14). Menpora: Dewi Persik Bisa Laku Tanpa Goyang & Buka-bukaan. Megapolitan. Retrieved from https://archive.is/20130630015137/http://jakarta.okezone.com/read/2008/04/14/33/100345/menpora-dewi-persik-bisa-laku-tanpa-goyang-buka-bukaan

Utusan Online. (1998, October 26). Populariti… Bukan Terletak Pada Gaya Seksi. Retrieved 17 August 2010.

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.